Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 1

Sekitar tahun 2005,

LOCENG sekolah telah pun berbunyi. Maka tamatlah waktu persekolahan di sebuah sekolah rendah yang terletak di utara Malaysia. Di luar pagar sekolah, para ibubapa sudah bersabar menanti kepulangan anak-anak mereka yang sudah pun melangkah keluar dari bilik darjah. Di dalam salah sebuah bilik darjah, kelihatan tiga orang murid yang belum selesai mengemas beg masing-masing.

         Sewaktu mengemas beg sekolahnya, Rina teringat akan satu perkara yang terjadi pada pagi tadi sebelum ke sekolah. Zip beg kembali diselak dan mencari sesuatu yang disimpannya. Dua orang rakannya berasa hairan melihatnya. Apatah lagi mereka sudah terlewat dan tidak mahu membiarkan ibubapa mereka menunggu lama di luar pagar.

        “Rina, kau cari apa lagi? Ada tertinggal sesuatu ke?” Sampuk Siti sambil diiyakan seorang lagi rakannya.

Rina tidak menjawab sampukan Siti. Dia masih khusyuk mencari barang yang dipercayai memang disimpan ke dalam beg sekolahnya pada pagi tadi. Bimbang jika tercicir ke tempat lain. Siti mengeluh panjang melihat tindakan Rina, memaksa dia berniat mahu meninggalkan bilik darjah itu dengan segera.

         Baru beberapa tapak langkah ke hadapan, Siti serta rakannya terkejut dengan jeritan kecil Rina. Mereka berdua menyangka ada sesuatu perkara terburuk terjadi pada Rina, padahal tiada apa yang berlaku sebenarnya. Rina tertawa kecil sambil memohon maaf kepada kedua-dua rakannya itu.

          “Kau ni janganlah cuba menakutkan kami. Nasib baiklah sekarang ni waktu siang. Apa benda kau cari lama-lama kat dalam beg tu?” Soal Nurul lalu mengurut dadanya dengan perlahan. Sementara Siti melepaskan keluhannya sambil menyilang tangannya. Renungannya tepat ke arah Rina, mahu meminta penjelasan dari rakannya itu.

          “Aku cari benda ni tadi. Tengoklah ni!” Nada Rina kedengaran teruja lalu menunjukkan benda yang dicarinya tadi.

          Ternyata ia bukan sekadar benda biasa. Benda yang berbentuk bulat dan bersaiz kecil adalah batu permata jernih. Siti serta Nurul turut teruja melihatnya dan memuji kecantikan batu tersebut.

          “Inikan,... Mana kau dapat? Ayah kau bagi?” Tanya Siti ingin tahu. Dirinya yang baru berusia 11 tahun tidak tahu-menahu apa-apa tentang ketulenan batu permata atau sebagainya. Sama juga seperti Rina dan Nurul.

           “Mm, tak taulah. Aku jumpa kat atas meja bilik aku. Aku tak pasti samada ayah aku bagi atau tak,” jawab Rina tersenyum puas. Entah mengapa dia berasa puas hati memiliki batu permata tersebut walaupun tidak tahu sama ada batu tersebut tulen ataupun tidak.

           “Hah?! Kau tak tanya kat ayah kau lagi?” Siti seakan tidak mempercayainya. Dia mula mencurigai jika Rina mencuri batu secantik itu dari orang lain? Ataupun dia mengutip batu itu di mana-mana tempat tanpa mengetahui ia milik orang lain?

            Baru tersedar dia sudah terlambat, Rina segera mengemas beg sekolahnya dan menyimpan batu permata tadi ke dalam begnya. Bukan niat dia untuk tidak mempedulikan rakannya, tetapi dia hanya tidak mahu bapanya menunggu lebih lama di luar pagar sekolah. Bergegas dia melangkah keluar dari bilik darjah dan meninggalkan dua orang rakannya.

            Tanpa mempedulikan rungutan Siti tentang batu permata Rina, Nurul sempat mengucapkan ‘jumpa lagi’ kepadanya sebelum turut bergegas keluar dari bilik darjah. Sekali lagi Siti mengeluh panjang. Kepalanya digeleng perlahan dan tidak mahu memikirkan batu permata lagi.

 

PINTU sebuah kereta dibuka di bahagian hadapan sebelum ditutup semula. Rina tersenyum sinis sambil memandang wajah bapanya. Mujur bapanya tidak mudah marah selepas anak tunggalnya itu dilihat terlalu lewat untuk keluar dari bilik darjah. Tanpa menunggu lama lagi, bapanya terus memandu keluar keretanya dari kawasan sekolah.

            Rina hanya senyap membisu. Radio kereta pula tidak dipasang, hanya kedengaran bunyi air-cond kereta sahaja. Mungkin bapanya bukan jenis orang mudah marah dan sebagainya. Dia mula membayangkan jika sampai di rumah nanti, pasti dia akan ditegur mengapa keluar lambat dari bilik darjah tadi. Dalam diam dia melepaskan keluhannya. Selama ini dia tidak pernah dimarahi oleh bapanya. Apatah lagi sejak kematian ibunya.

            Sekurang-kurangnya kurang satu kilometer dari sekolahnya, terdapat ramai rakan-rakan sekolahnya keluar-masuk dari sebuah kedai runcit. Rina tidak dapat memastikan benda apa yang dibeli oleh mereka. Namun apa yang pasti, jelas riak wajah mereka terpapar rasa kegembiraan dan keseronokan.

            Setengah jam kemudian, kereta yang dipandu bapa Rina akhirnya tiba di perkarangan rumah mereka. Dahi Rina berkerut dan melahirkan rasa kepelikannya. Sebenarnya sudah lama dia ingin bertanya kepada bapanya tetapi sering kali terlupa kerana sibuk dengan kerja sekolahnya.

            “Ayah kenal ke dengan pak cik tua tu?” Rina memberanikan diri membuka perbualan dengan menanyakan bapanya mengenai seorang lelaki tua yang sering membersihkan halaman rumah mereka.

            “Tak, ayah lansung tak kenal dia,” balas Zamir sambil mengeluh. Enjin kereta masih dihidupkan. Dia tidak pasti bila orang tua itu akan menyiapkan kerjanya.

            “Ayah tak upah sesiapapun untuk bersihkan halaman rumah kita. Ayah sendiri masih mampu untuk buat kerja tu,” sambungnya. Keluhannya dilepaskan lagi.

            “Kalau macam tu, ayah suruhlah dia berhenti. Kesian pak cik tu. Kita tak suruh dia buat kerja, tapi dia buat jugak,” pujuk Rina dengan nada kasihan.

            Zamir memang bersetuju dengan pujukan anaknya itu. Lantas dia keluar dari kereta dan meminta lelaki tua yang sudah bongkok satu itu supaya berhenti membersihkan halaman rumahnya. Pada mulanya lelaki tua itu diam membisu sambil memandang tepat ke arah Zamir menyebabkan dia mula berasa kekok. Perasaannya mula bercampur-baur. Bimbang orang tua itu akan melakukan sesuatu di luar jangkaannya.

            Kemudian lelaki tua itu mengalih pandangan tepat ke arah Rina yang masih duduk di dalam kereta. Ingin sekali Rina keluar dari kereta dan cuba memujuk lelaki tua itu namun dia sudah pun dipesan agar tidak keluar dari kereta oleh bapanya.

            Selang tiga minit kemudian, barulah lelaki tua itu akur dan mengangguk-anggukkan kepalanya. Zamir mencekak pinggang seketika sambil melepaskan keluhan. Bukan hari ini sahaja, malah setiap hari lelaki tua itu akan muncul dan membersihkan halaman rumahnya. Anehnya apabila ditanya tentang identiti orang tua itu, tiada sesiapa yang tahu.

            Sesudah lelaki tua itu beredar dari rumahnya, Zamir segera masuk semula ke dalam kereta dan memarkir kereta di perkarangan rumah yang sudah bersih itu.

            “Ayah, kenapa tak jemput pak cik masuk ke rumah tadi? Penat pak cik buat kerja tadi,” luah Rina hairan. Kedua-dua mereka sudah pun keluar dari kereta. Zamir sempat memerhatikan sekeliling agar orang tua tadi benar-benar meninggalkan perkarangan rumah mereka.

            “Ayah tak ada niat jahat pun. Cuma dia bukan orang yang kita kenal. Ayah tau dia hanya orang tua saja tapi ayah masih curiga kat dia,” balasnya.

            “Walaupun dia dah berhari-hari bersihkan halaman rumah kita?” Bidas Rina tanpa berniat membantah kata-kata bapanya.

            Zamir diam seketika. Jika hendak mengikut gerak hati, mahu sahaja dia menjemput lelaki tua tadi masuk ke rumahnya. Sekurang-kurangnya hidangkan sahaja air minuman untuk basahkan tekak yang kering dan biarkan dia direhatkan seketika bagi melepaskan rasa penat membersihkan halaman rumah.

            Namun begitu, setelah berfikir panjang, dia tetap dicurigai tidak kira dia merupakan warga orang tua ataupun orang muda. Ini kerana Zamir benar-benar tidak mengenali orang tua itu malah tidak pernah terserempak atau bertembung dengannya di kampung tersebut. Alasan kuat Zamir makin mencurigai orang tua itu adalah penduduk kampung turut tidak mengenalinya. Malah tempat tinggalnya juga tidak diketahui.

            Mana mungkin orang tua berbongkok satu sanggup berjalan jauh dan memasuki kampung halamannya? Satu lagi persoalan pelik di fikiran Zamir adalah jika orang tua itu sering membersihkan halaman rumahnya, sudah pasti dia mengenali Zamir sekeluarga. Atau mungkin ahli keluarga terdekat arwah isterinya?

            “Jauh ayah mengelamun. Ayah mula rasa bersalah sebab tak jemput pak cik tua tadi?” Sampuk Rina setelah lama berdiam diri.

            “Dah! Ayah tak nak fikir apa-apa pasal orang tua tadi. Masuk rumah cepat dan tukar baju tu. Ada cikgu bagi kerja sekolah tak?” Tanya Zamir tanpa membalas pertanyaan anaknya tadi.

            Rina sekadar mengangguk kepala sahaja lalu segera melangkah masuk ke dalam rumahnya. Dia tidak kisah jika bapanya tidak mahu mengungkit mengapa dia keluar lewat dari bilik darjah tadi.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura