Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 23

JAM loceng sedang menunjukkan pukul 2.30 pagi. Rina kini sedang lena tidur dan tanpa disangka memasuki alam mimpi yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Merasakan dirinya sedang berada di sebuah perkampungan yang dipenuhi dengan orang berpakaian lama. Sama seperti dalam lukisannya. Adakah dia sedang berada di tempat tinggal wanita berjubah itu? Hairannya orang sekeliling tidak menghiraukan kehadirannya. Seolah-olah kehadirannya tidak disedari.

            Sesaat kemudian, belakangnya telah disentak oleh sesuatu lalu ditolehnya ke belakang. Ternyata seorang budak lelaki yang sedang tundukkan wajah. Padanlah mengapa budak itu secara tidak sengaja telah melanggar Rina. Kemudian budak itu mendongak wajahnya. Rina tersentak melihatnya. Bukan sahaja terkejut melihat kesan lebam pada wajah budak itu, malah wajahnya seakan pernah dilihatnya sebelum ini. Bila difikir semula, ia sangat mirip dengan wajah anak kepada wanita berjubah.

            Panggilan dari seseorang membuatkan budak lelaki itu terus berjalan ke hadapan tanpa menghiraukan kehadiran Rina. Wajahnya tampak sedih. Rina pantas menoleh ke hadapan dan menemui seorang lelaki dewasa. Rina terdiam seketika. Adakah dia sedang bermimpi tentang masa silam wanita berjubah itu?

            Tiba-tiba suasana berubah mendadak. Rina kembali dikelilingi api marak yang panas. Sosok manusia menyerupai wanita berjubah diperhatikannya. “Kau! Kau kan dah mati! Kenapa nak Olivia mati? Kau berdendam dengan dia ke?!” Pantas Rina menyoalnya. Wanita berkulit putih itu diam memandangnya. Rina berharap sangat agar wanita itu menjawab persoalannya.

            “Bukan kau tak ambil peduli tentang orang sekeliling kau? Kenapa kau pedulikan perempuan tu?” Rina tersentap dengan kata-katanya. Benar juga apa yang dikatakannya. Tanpa sedar, dia telah mengambil berat tentang Olivia. Entah apa yang telah difikirkannya pada ketika itu.

            “Manusia ada banyak kelemahan, termasuk kamu. Kelemahan kamu adalah persahabatan. Persahabatan telah membuat kamu lemah dan terus dirundum emosi yang mendalam.”

            “Diam!! Jangan cakap pasal aku!” Pekik Rina bengang. “Kau jangan mengganggu hidup aku ataupun dia orang! Kau dah mati, patut kekal dalam dunia mati!!”

            Tidak semena-mena api terus naik marak dan menjulang tinggi ke atas. Rina fikir mungkin wanita tersebut sedang memarahinya. Walaupun hanya bermimpi, kepanasan api masih dapat dirasainya. Rina mahu berlari dari situ, tetapi tidak berjaya. Ke mana sahaja dia pergi, api akan menghalangi jalannya.

            “Kamu adalah manusia yang berego tinggi! Tapi di luar sana ada lagi manusia yang lebih teruk daripada kamu! Mereka semua tu patut mati! Mati! Mati!!”

            “Kenapa kau mahukan dia orang mati?! Kau berdendam dengan dia orang ke?” Soal Rina hairan.

            “Ya!! Merekalah yang menyebabkan aku mati, meninggalkan anak yang masih kecil. Kamu tak tau betapa peritnya hidup anak aku setelah aku mati!!” Bahang api semakin panas dirasai. Rina sedang merasakan dirinya sedang dibakar hidup-hidup. Bisakah dia mati di alam mimpi?

            Rina akhirnya terjaga dari mimpi mengerikan. Jari-jemari tangannya diperhatikan sebelum melepaskan keluhan. Ketika bermimpi tadi, jari-jemarinya sudah terbakar oleh api. Memang satu perkara mengerikan baginya. Itukah sebab mengapa wanita itu berdendam dengan manusia? Itukah penyebab manusia kerap mati sejak kebelakangan ini?

 

KEESOKAN harinya, telinga Rina terasa bingit dengan bunyi ketukan pintu yang kuat. Rina merengus kasar dalam keadaan mamai. Siapa pula yang datang ke biliknya pada pagi itu? Mulutnya menguap luas sambil ditutup tangannya. Sengaja dia melengahkan masa untuk seketika. Lalu pintu yang dikunci dibukanya.

            “Rina! Alhamdulillah, kau selamat!” Spontan, Hanim memeluk rapat tubuh Rina. Rina terpaku seketika sebelum menolak tubuh Hanim ke depan. Suara tangisan Hanim didengarinya menyebabkan dia tertanya mengapa.

            “Ke-kenapa ni?”

            “Semua orang... Semua pelajar kat asrama ni dah...” Hanim masih menangis tanpa henti. Dia tidak sanggup untuk mengungkapkannya kepada Rina.

            “Semua orang dah apa, Hanim? Beritahulah!” Desak Rina ingin tahu. Entah mengapa dia berasa cemas seketika. Jantungnya berdegup dengan laju.

            “Semua orang dalam asrama ni dah mati.” Tidak lama kemudian, muncul Sarah dari tingkat atas. Kedua-dua tangan serta bajunya tercalit beberapa kesan darah. Rina terkedu dan tergamam. Tubuhnya perlahan disandarkan pada dinding. Mulutnya terkunci daripada bersuara kerana terlalu terkejut dengan berita tersebut.

            Olivia kemudiannya muncul dan ia amat melegakan hati Hanim selaku rakan sekelas. Mereka berdua saling berpelukan dan menangis tidak berlagu. Sementara Rina masih dengan perasaan terkejutnya. Namun matanya kelihatan berkaca. Sarah pula pening memikirkan kejadian yang telah berlaku.

            “Aku rasa ada orang yang bunuh mereka semua. Aku dah periksa semua tubuh dia orang dan ada kesan tusukan kat mana-mana tempat,” beritahu Sarah setelah keadaan menjadi tenang.

            “Dibunuh?” Hairan Rina mendengarnya.

            “Apa-apapun, kita kena beritahu kepada pihak universiti. Suruh dia orang hubungi polis,” usul Hanim sambil dipersetujui oleh Olivia. Mereka berdua kemudiannya menuruni tangga untuk keluar dari bangunan asrama, meninggalkan Rina dan Sarah berdua-duaan.

            Akhirnya Rina mengalah daripada menahan emosi. Air mata bercucuran keluar ke pipi. Kepala serta dadanya disentuh kerana kesakitan yang dialami. Suara yang didengari agak nyaring kedengaran. Perasaan traumanya kembali menghantui dirinya. Sarah berasa kasihan melihatnya. Apa yang menyebabkan Rina menjadi trauma sedemikian?

            Oleh sebab tidak sanggup melihatnya lagi, Sarah terpaksa menarik tangan Rina untuk keluar dari bangunan asrama. Mungkin dengan cara itu, Rina tidak mengalami trauma lagi. Setelah dibawa keluar, barulah Rina berasa tenang sedikit. Wajah Sarah diperhatikannya dengan matanya yang bengkak itu.

            “Aku tak sanggup tengok kau menangis macam histeria tadi. Jadi aku bawa kau ke sini. Aku tak taulah kenapa kau naik trauma pasal orang mati ni,” keluh Sarah sambil menyilangkan tangannya. Belum sempat Rina membalasnya, Sarah memberi isyarat supaya menutup mulutnya. Dia tidak berminat untuk tahu tentang kisah silam Rina walaupun dalam hatinya ingin mengetahui asbab trauma Rina.

            Hanim serta Olivia datang kembali ke arah mereka bersama dengan Naim. Sarah dan Rina hairan dengan kehadiran lelaki itu. Adakah seluruh pelajar lelaki juga dibunuh dan hanya Naim sahaja yang terselamat?

            “Bukan Naim seorang, ramai lagi pelajar lelaki yang terselamat. Sama juga dengan pelajar perempuan dari bangunan asrama sebelah,” beritahu Olivia. Sarah mengangguk faham sambil berasa lega kerana masih ada lagi pelajar yang terselamat selain daripada mereka berlima.

            “Pihak universiti ada cakap apa-apa tak pasal kes mengejutkan ni?” Tanya Sarah.

            “Dia orang pun terkejut bila dapat tau pasal hal ni. Pihak polis dah dihubungi dan tak lama lagi dia orang akan sampai ke sini,” balas Hanim.

            “Tapi memang tak sangkalah, ada orang sanggup bunuh berpuluhan pelajar universiti ni. Agaknya siapalah orang tu,” luah Naim bengang. Buku limanya digenggam kuat sambil diperhatikan oleh Sarah.

            Kemudian baru mereka tersedar bahawa Rina tiada bersama dengan mereka. Rupa-rupanya dia sedang menjenguk ke jendela bilik yang kebetulan terbuka dari dalam. Riak wajahnya berubah dan cuba menahan tangisannya.

            “Rina, kenapa tu?” Hanim segera datang menghampirinya. Secara tidak sengaja, Hanim turut terpandang ke dalam bilik seorang pelajar yang mati dibunuh. Wajahnya juga berubah mendadak sebaik terlihat leher mangsa yang dipenuhi darah. Matanya juga terbeliak luas. Tidak sanggup Hanim melihatnya lagi.

            Rina diam membisu tanpa kata. Bukan setakat terkejut melihat keadaan mangsa yang mati dibunuh kejam, dia juga tergamam mendapati seutas rantai kunci yang berada di sebelah mangsa. Sebelum itu juga dia telah menjenguk ke jendela bilik lain dan benda yang sama juga ada di sisi mangsa. Dia berasa hairan dan tertanya. Adakah ia sengaja ditinggalkan oleh pembunuh? Atau mangsa-mangsa itu sendiri memiliki rantai kunci tersebut?

            “Sarah, bo-boleh aku tanya pasal arwah Faiz?” Terdetik hati Rina untuk menyoal demikian. Semua yang mendengarnya menjadi hairan. Kepala Sarah dianggukkan sahaja.

            “Dia ada simpan rantai kunci macam ni tak?” Lalu Rina menunjukkan rantai kunci miliknya yang berwarna putih. Memang secara kebetulan rantai kunci itu ada bersamanya sekarang.

            “Ya, memang ada. Kenapa?” Soal pula Sarah, hairan. Rina terdiam lagi lalu jatuh terduduk di situ. Dia sangat terkejut mendengar jawapan dari Sarah. Adakah rantai kunci yang pernah popular itu kini membawa nasib malang? Wajahnya berubah pucat. Mereka yang lain segera menghampirinya dan cuba bercakap dengannya. Suara mereka semakin lama semakin perlahan didengari. Pandangannya kian bertukar kabur sebelum menjadi gelap gelita.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura