Kalsum panik bila mendapati Karim
tiada di atas katil sebaik terjaga dari tidur. Matanya melilau mencari di
seluruh bilik. Karim memang tiada di
situ.
Dia bergegas keluar dari bilik
tidur itu. Mencari di ruang sorong. Karim juga tiada di situ. Mencari di ruang
tengah. Karim tetap tiada di situ. Mencari di bilik air. Karim tiada di situ
juga walaupun didapatinya lantai bilik air itu basah. Dia berjalan semula ke
ruang tengah. Tercium bau hancing dan busuk. Membongkok-bongkok mencari punca
bau hancing dan busuk itu. Ternampak ceretek air kencing yang tidak dilap.
Tiba-tiba dirinya dipeluk dari belakang.
Kalsum terkejut. “Siapa ni?!”
jeritnya. Dia melihat tangan yang merangkul tubuhnya. Dia segera berpaling. Dia
terkejut besar. “Abang!”
Karim tersenyum lalu terus
mencumbuinya. Di atas lantai hancing dan busuk itu mereka melempiaskan nafsu
syahwat yang sudah lama terpendam.
“Saya hairan bang,” kata Kalsum
yang terbaring keletihan.
“Apa?” tanya Karim.
“Bagaimana abang boleh pulih ni?
Bila pulih ni?” tanya Kalsum.
“Tengah malam tadi. Terjaga.
Tiba-tiba nak terkencing dan terberak. Abang panggil Sum. Tapi Sum tak dengar.
Abang cuba nak pergi sendiri ke bilik air. Tiba-tiba boleh bangun sendiri,”
jawab Karim.
“Kenapa malam tadi abang nak ke
bilik air? Selalunya abang kencing dan berak atas tilam tu saja,” tanya Kalsum,
hairan juga.
“Tergerak hati, Sum. Tuhan bagi
gerak hati tu. Masa tidur malam tadi Abang bermimpi. Seorang tua yang bersih
mukanya datang rumah ni. Dia mengubat abang. Guna ayat-ayat Al-Quran. Dalam
mimpi itu abang sembuh. Boleh bangun,” bohong Karim.
“Sebab tu abang bangun bila
jaga?” tanya Kalsum.
“Ya. Dia kata nanti abang boleh
mengubat orang. Dengan izin tuhan,” bohong Karim lagi.
“Betul ke bang?” tanya Kalsum,
teruja. “Bagusnya bang. Berkat abang belajar agama di Lombok tu, agaknya.”
Karim mengangguk.
Kalsium mencium-cium sesuatu.
“Kenapa?” tanya Karim yang
berpura-pura tidak tahu.
“Abang tak bau hancing dan
busuk?” tanya Kalsum.
Karim menggeleng.
Kalsum terus mencium-cium.
Karim tersenyum di dalam hati.
Lalu bangun dan masuk ke dalam bilik tidur. Kalsum terburu-buru mengekorinya.
Anak-anak mereka masih tidur merekot di bawah selimut. Termasuk Soraya yang
tidur semula. Karim mengenakan pakaian baru.
“Abang nak pergi mana?” tanya
Kalsum.
“Abang nak ke Kedai Kopi Mail.
Sudah lama tidak pekena kopi Mail,” jawab Karim.
Kalsum terpana dengan jawapan
suaminya itu.
“Sum jangan risau. Abang takkan
apa-apa. Sampai bila hendak menyorok,” kata Karim yang tahu apa yang sedang
bermain di fikiran isterinya itu.
“Sum takut kalau kawan-kawan
abang tu datang balik,” luah Sum.
“Abang akan selesaikan nanti,”
jawab Karim, begitu yakin.
Sum mengangguk-angguk. Menurut
sahaja dengan penjelasan Karim itu walaupun hatinya tetap risau.
Karim berjalan masuk ke dalam Kedai
Kopi Mail. Kedai kopi itu sudah dipenuhi ramai orang. Abang Min, Budin dan Manan
duduk semeja. Mereka bersarapan di meja berdekatan kaunter bayaran.
Budin menyiku lengan Manan.
Kemudian menjuihkan bibirnya ke arah Karim yang baru duduk di meja berdekatan
meja kuih muih dan nasi lemak diletakkan.
“Apa?” tanya Manan.
“Karim!” jawab Budin hampir tanpa
suara, menegaskan kepada Manan.
“Karim?” tanya Manan, mula
menarik matanya dari halaman sukan surat khabar dan melihat ke arah juih bibir
Budin ditujukan. Manan hampir terlopong melihat Karim. “Dia ke tu?” tanyanya
hampir tidak percaya.
“Dialah siapa lagi,” kata Abang
Min yang ikut melihat Karim. “Nampak lebih muda.”
Tiba-tiba Karim melihat ke arah
mereka dan melepaskan senyuman.
Abang Min seolah-olah terpaksa
mengangkat tangan, menegur sapa dari jauh. Begitu juga Budin dan Manan.
“Bila dia balik, bang?” tanya
Budin kepada Abang Min.
“Entah. Mungkin malam tadi. Dah
habis belajar di pesantren agaknya,” jawab Abang Min.
“Apa? Pe…pesan…pesan…” tanya
Manan tergagap.
Gagap Manan dipotong Abang Min.
“Pesantren! Seperti sekolah pondok di sini,” jelas Abang Min kepada Manan.
“Ohh. Dia belajar agama? Dah jadi
ustazlah ni,” balas Manan.
“Yalah kalau pelajaran agamanya
habis,” sambut Budin.
“Nanti aku sembang dengan dia.
Barulah tahu letak duduk perkara yang sebenar. Aku pun tahu daripada Kak Ani.
Dia bersembang dengan Kalsum dulu. Kalsum kata Karim ke Indonesia untuk belajar
agama. Kalau tak silap sudah tiga tahun,” kata Abang Min.
“Saya pun dengar begitu,” kata Budin.
“Kenapa aku tak tahu apa-apa?”
tanya Manan.
Abang Min dan Budin tersenyum. Mereka
terkejut bila ditegur Karim yang datang ke meja itu entah bila. Kedatangannya
tidak disedari langsung oleh mereka bertiga.
“Boleh aku duduk di sini?” tanya
Karim, menunjuk ke arah kerusi yang kosong di sebelah Abang Min.
“Apa salahnya,” jawab Abang Min.
Karim bersalam dengan Manan,
Budin dan Manan. Selepas itu barulah dia duduk.
“Bila sampai sini?” tanya Abang
Min.
“Tengah malam tadi,” jawab Karim.
“Balik sendiri?” tanya Abang Min.
“Ya,” jawab Karim sambil
mengangguk. Dia menggamit salah seorang pekerja kedai kopi itu. Memesan secawan
lagi kopi O panas.
“Sudah habis belajar agama?”
tanya Abang Min.
“Ya. Alhamdulillah,” jawab Karim.
“Cepat ya,” kata Manan lalu
mencicip busa teh panas.
“Apa tak cepat. Siang malam tadah
kitab. Sehari tidur dua tiga jam saja. Selebihnya baca kitab, baca kitab, baca
kitab,” jawab Karim lalu tersenyum.
“Patutlah habis cepat,” kata
Budin.
“Lepas ni bolehlah hang bagi
usrah di masjid,” kata Abang Min.
“Aku belajar agama untuk diri
sendiri dan keluarga je bang. Cukuplah sekadar lepas keluarga. Buat masa
sekarang tidak berniat hendak mengajar. Mungkin di masa hadapan, kalau
diizinkan tuhan,” kata Karim.
“Ohh…” balas Abang Min sambil
mengangguk-angguk.
Budin dan Manan pun
mengangguk-angguk macam burung belatuk.
“Eh, dah nak dekat pukul sembilan
ni,” kata Abang Min selepas melihat masa pada jam tangannya. “Aku balik dulu.
Bawa sarapan untuk Kak Ani,” sambungnya.
“Kak Ani sihat bang?” tanya
Karim.
“Hang tak tahu?” tanya Abang Min.
“Tahu apa?” tanya Karim.
“Nampak sangat hang tak tahu,” balas
Abang Min. “Kak Ani sudah tiga tahun lebih lumpuh. Tiba-tiba awal pagi tu dia
strok. Mulut dia berbuih-buih. Nasib baik aku sedar. Nasib baik sempat bawa ke
hospital. Ha, waktu tu adik kepada kak ipar hang tu baru sampai dari Klang.”
“Oh begitu…” balas Karim. Dia
tersenyum di dalam hati.
Abang Min beredar. Sampai di
rumah dia teringatkan sesuatu. Dia menyelongkar dompetnya. Berjumpa juga dengan
sekeping kertas yang tercatat senarai nombor telefon. Dia mendail nombor-nombor
telefon itu. Dia memberitahu semua orang yang dihubunginya bahawa Karim sudah
pulang ke situ. Dia tersenyum mengingatkan komisen yang dijanjikan mereka.
Dalam tiga tahun ini banyak sekali orang mencari Karim di rumah pusaka
keturunan Haji Zainul itu. Ada di antara mereka yang singgah di rumahnya dahulu
untuk bertanya benar atau tidak rumah di hadapan rumahnya itu ialah rumah
pusaka keluarga Kalsum. Pertanyaan yang sederhana itu selalunya akan bersambung
dengan perbualan. Melalui perbualan itulah beberapa orang menawarkannya sedikit
habuan jika dia dapat memaklumkan kepada mereka jika nampak kelibat Karim
pulang ke situ.
Budin dan Manan kekal bersama
Karim. Mereka bersembang panjang. Penduduk-penduduk kampung yang baru
berkunjung ke Kedai Kopi Mail itu menegur dan bersalam dengan Karim sebaik
melihatnya. Kemunculannya itu tiba-tiba menjadi sensasi dan disambut seperti
orang penting di situ. Mereka seperti terlupa kerja kotor yang dibuat oleh
Karim dulu sehingga riuh halaman rumah pusaka itu lebih tiga tahun yang lalu. Peristiwa
itu tersebar di seluruh kampung. Tiada siapa yang tidak tahu tentang peristiwa
itu. Tetapi sebaik melihat Karim tadi semua terlupa akan hal itu.
Dahlan dan Bakar orang yang pertama sampai
sebaik dihubungi oleh Abang Min. Karim masih di Kedai Kopi Mail ketika mereka
berdua sampai. Sebaik kereta Dahlan masuk simpang kampung, mata Dahlan terus
ternampak kelibat Karim di Kedai Kopi Mail itu. Dahlan memakirkan kereta di
bawah pokok ara berdekatan Kedai Kopi Mail.
Dahlan dan Bakar keluar kereta
dengan terburu-buru. Bunyi keriut pintu kereta dibuka menarik perhatian Karim.
Sedarlah Karim akan kehadiran mereka berdua. Karim tersenyum di dalam hati. Dia
bersedia untuk berdepan dengan bekas orang bawahannya itu.
Dahlan dan Bakar semakin
menghampiri Karim. Marah kedua-duanya membuak-buak. Sebaik sampai di meja Karim
berada, Dahlan yang tidak dapat mengawal perasaan terus menampar meja tersebut.
Pinggan dan gelas terangkat lalu berselerak di atas meja. Kopi O panas dan teh
panas tumpah di atas meja. Sebahagiannya terpercik pada baju Karim, Budin dan
Manan. Kedai Kopi Mail itu menjadi gempar.
“Astaghfirullah…” ucap Karim
menghadapi keadaan itu. Ucapan itu hanya di mulut. Tetapi di dalam hatinya
memaki hamun Dahlan.
“Celaka hang Karim!” pekik Dahlan
yang sudah mengepal jari.
“Kita bawa bincang,” jawab Karim,
tenang.
“Bincang engkau kata? Sebelum
lari dulu kenapa tak bincang? Hang tengok kaki aku ni. Tempang sebab hang
bangsat!” pekik Bakar pula.
Dahlan menggenggam kolar kemeja
Karim. Menariknya ke atas sehingga memaksa Karim bangun. “Hang memang penipu!”
Satu tumbukan dilepaskan. Tumbukannya itu kena tepat pada mata Karim. Karim
mengaduh dan terlutut di tanah.
Suasana menjadi kelam kabut.
Manan yang kasihankan Karim cuba menyabarkan Dahlan. Tetapi percuma dia ditolak
ke tepi oleh Bakar.
“Aku tak bersalah. Aku dianiaya
oleh orang atas. Aku juga sama macam hangpa. Ya Allah, tunjukkanlah kepada
mereka,” ucap Karim. Di mulut sahaja. Di hati dia mula membaca mantera.
“Jangan nak tunjuk alimlah….”
Kata Dahlan lalu mengambil kerusi. Kerusi kayu itu diangkat tinggi melepasi
kepalanya. Dia bersedia menghentak kepala Karim dengan kerusi itu.
Budin cuba menghalang Bakar.
Tetapi ditahan oleh Bakar.
Semua mata memandang Dahlan.
Dahlan menghentak kerusi itu sekuat hati. Tetapi entah bagaimana kerusi itu
terlepas dari tangannya. Tercampak ke deretan motosikal yang parkir di hadapan
halaman Kedai Kopi Mail itu. Disusuli oleh bunyi derak tulang yang kedengaran
kuat.
“Aduh!!!” Dahlan memegang
ketiaknya. Dia dapat merasakan tulang bahunya lari dari soket sendi. Dia dapat
merasakan ada sesuatu yang menyentap keras tangannya tadi.
Semua yang berada di kedai kopi
itu kehairanan.
“Aduh!!! Tolong aku Bakar.
Sakit!!!” teriak Dahlan yang perlahan-lahan melutut.
Bakar mengambil kerusi lain.
Menghayun kerusi itu sekuat-kuatnya. Kerusi yang dihayunnya itu terlepas dari
genggamannya. Melayang ke arah tempat basuh pinggan. Patah bila bertembung
dengan dinding di situ. Bunyi derak tulang kedengaran sekali lagi.
“Aduh!!!” Kali ini teriakan itu
dari mulut Bakar. Bakar memegang-megang ketiaknya. Tulang bahunya lari dari
soket sendi. Seperti Dahlan, dia juga dapat merasakan ada sesuatu yang menyentap
keras tangannya tadi.
Kini Dahlan dan Bakar melutut di
tanah.
“Aku tak bersalah. Aku dianiaya.
Tengok Tuhan sudah tunjuk,” kata Karim kepada Dahlan dan Bakar.
Pengunjung-pengunjung kedai kopi
itu segera mengerumuni Karim, Bakar dan Dahlan. Karim bangun dan berjalan ke
arah Bakar.
“Maafkan aku Bakar sebab engkau
jadi tempang. Aku juga dianiaya,” kata Karim.
Kemudian Karim pergi kepada
Dahlan. “Maafkan aku Dahlan.”
Karim kemudian berjalan longlai
ke rumah pusaka. Dahlan dan Bakar terus meraung kesakitan. Beberapa orang
penduduk menghantar mereka ke hospital.
Tetapi satu kejadian aneh berlaku. Bakar dan Dahlan yang melutut di tanah itu
tidak dapat bangun. Badan mereka terasa amat berat. Walaupun dengan bantuan
orang ramai mereka tetap gagal untuk bangun. Lutut mereka seolah-olah tertancap
kukuh pada tanah.
“Kes berat ni,” kata salah
seorang pelanggan kedai kopi itu.
Dahlan dan Bakar terus meraung
sakit. Masing-masing dapat merasakan bahu mereka itu seperti sedang diramas
keras oleh sesuatu.
“Ini ada kena mengena dengan
Karim ni. Aku rasa seseorang harus pergi jumpa dia. Minta dia maafkan mereka
berdua ni. Doa orang teraniaya cepat makbul,” kata seorang pelanggan kedai kopi
yang lain.
Manan berlari ke rumah pusaka
keturunan Haji Zainul. Memberi salam dan dijawab Mazlan. Setelah diberitahu apa
yang terjadi di kedai kopi, Mazlan segera memanggil Karim yang sudah pun berada
di tingkat atas rumah. Karim turun ke tingkat bawah. Manan beritahu apa yang
sedang berlaku terhadap Bakar dan Dahlan. Lalu mereka bertiga bergegas ke Kedai
Kopi Mail.
“Aku maafkan engkau berdua. Bangunlah,” kata Karim. Membaca mantera di dalam hati.
Barulah Bakar dan Dahlan boleh
bangun.
“Maafkan kami Karim. Kami tuduh
hang sembarangan,” kata Dahlan.
Karim mengangguk dan tersenyum.
“Semua orang buat silap.”
Bakar dan Dahlan terus dibawa ke
hospital.
Mulai dengan kejadian itu cakap-cakap
pun bertebaranlah. Nama Karim perlahan-lahan jadi sebutan. Karim yang dulu dilabel
kaki kelentong dan sebagainya itu kini bertukar status kepada orang yang
teraniaya. Apa yang terjadi kepada Bakar dan Dahlan itu adalah buktinya. Doa
Karim dimakbulkan Allah serta merta. Bakar dan Dahlan yang pulih berbaik semula
dengan Karim. Mereka berdualah yang menyebarkan kepada bekas-bekas pelabur skim
pelaburan Pak Lang bahawa Karim tidak bersalah. Malah Karim teraniaya seperti
mereka.