Bab
5
Syarikat pelaburan Pak Lang itu
sah lingkup. Bakar mundar mandir macam cacing kepanasan. Dia teringatkan semua
kliennya yang menuntut semula wang pelaburan mereka. Pak Long Kerbau yang paling
menyinga marah. Pak Long Kerbau memberi tempoh seminggu kepadanya untuk
mengembalikan wang pelaburannya. Malah
Pak Long Kerbau mengupah Jaiz, tukang pukul dan kuncu-kuncunya untuk
mengawasinya siang malam sejak dua hari lepas. Mujurlah dia sempat menghantar
isteri dan anak-anaknya ke rumah mertua di Kubang Semang pada hari tembelang
skim pelaburan itu pecah.
Bakar sudah mengira wang pelaburan yang perlu
dikembalikannya jika mahu bertanggungjawab. Jumlahnya ialah hampir dua juta
ringgit. Di mana dia hendak cari duit sebanyak itu?
Bakar bangun dari sofa dan
mengintai ke luar tingkap. Sebuah Proton Saga biru masih menunggu di simpang
masuk rumahnya. Di dalamnya ada tiga orang lelaki berbadan kekar sedang berbual
sambil menghisap rokok. Samseng-samseng itu terkenal dalam menyelesaikan kerja. Jarang sekadar memberi amaran.
Bakar tidak mahu mengalami nasib
yang sama seperti Dahlan. Berita yang sampai ke telinganya menyatakan bahawa
Dahlan sekarang terlantar di unit rawatan rapi Hospital Bukit Mertajam. Dahlan
cuba melarikan diri semalam. Tetapi berjaya ditangkap oleh kuncu-kuncu Jaiz dan
dikeronyok sehingga koma dan dibiarkan terlentang di sisi jalan berliku Bukit
Lengkok. Kuncu-kuncu Jaiz itu kemudiannya menyerang rumah ibu bapa Dahlan.
Berjaya memaksa bapa Dahlan yang berharta itu menyerahkan beberapa keping geran
tanah. Jika Dahlan yang ibu bapanya ada tanah itu pun dikeronyok sampai koma
apatah lagi dia yang sebatang kara dan tidak punya walau sekangkang kera tanah.
Mereka diupah oleh salah seorang klien Dahlan.
Fikiran Bakar ligat bekerja
mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu. Dia tahu dia perlu berjumpa
dengan klien-kliennya bagi menerangkan situasi yang sebenar. Klien pertama yang
perlu ditanganinya ialah Pak Long Kerbau. Dia selamat jika berjaya meyakinkan
Pak Long Kerbau bahawa dirinya tidak bersalah.
Bakar mengambil kunci kereta di
atas meja kopi. Keluar rumah dan memandu menghala ke rumah Pak Long Kerbau. Proton
Saga biru mengekori Hondanya. Dia turun dari kereta selepas menenangkan diri dan
terus memberi salam. Pintu depan itu dibuka. Pak Long Kerbau tercegat di
hadapan pintu itu.
“Saya ni Pak Long,” kata Bakar.
Sudah naik di anak tangga pertama beranda.
“Apa hang buat datang rumah aku malam-malam
buta begini?” tanya Pak Long Kerbau.
“Saya nak bincang tentang
pelaburan Pak Long tu,” jawab Bakar.
“Hang nak bayar balik malam ni
ke?” tanya Pak Long Kerbau.
“Bukan. Saya tak ada duit…”
Pak Long Kerbau pantas memotong
kata-kata Bakar, “Kalau bukan sebab nak bayar tak payahlah jumpa aku
malam-malam buta begini!”
“Saya tak bersalah Pak Long,”
rayu Bakar.
“Habis tu siapa yang bersalah?
Hang ada sekali masa perbincangan hari tu kan? Komisennya pun hang dapat kan?”
balas Pak Long Kerbau.
“Saya tak dapat pun komisen untuk
pelaburan Pak Long tu. Gaji kami tak masuk pun bulan ni,” jawab Bakar.
“Tak dapat komisen konon! Hang
beli kereta baru tu dengan duit mana? Hang buat kabinet dapur baru dengan duit
mana? Bukan dengan duit aku tu?!” bentak Pak Long Kerbau.
“Saya guna duit simpanan. Sumpah
saya tak pakai duit Pak Long tu,” jawab Bakar.
“Hang ingat aku akan percaya
bulat-bulat?!” jerkah Pak Long Kerbau sambil menjegilkan matanya.
“Saya tak bersalah Pak Long,”
rayu Bakar.
“Daripada hang buang masa dekat
sini baik hang pi cari duit untuk bayar hutang aku tu. Tinggal beberapa hari
sahaja lagi sebelum tempoh seminggu,” kata Pak Long Kerbau dan segera menutup
pintu rumah.
“Pak Long, Pak Long, saya tak
ber…” Bakar berhenti berkata. Dia terpaku bila mendengar degar kasar pintu yang
ditutup keras oleh Pak Long Kerbau.
Sudahnya Bakar melangkah longlai
ke kereta. Diam lama di dalamnya dengan fikiran yang bersimpang siur. Dia
mengeluh pendek dan kemudian menjerit memaki hamun Karim dan Pak Lang. Dia
menghentak-hentakkan kepalanya ke stereng dan akhirnya menangis seperti anak
kecil.
Bakar tahu dia tiada jalan lain
selain lari dari situ. Dia memandu keretanya keluar dari halaman rumah Pak Long
Kerbau. Proton Saga biru terus mengekorinya. Dia memandu dalam kelajuan biasa
sambil menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Kini dia mengekori sahaja di belakang buntut
sebuah treler panjang. Peluang itu sampai bila sebuah treler dilihat berada di
lorong bertentangan. Bakar memotong treler di hadapan ketika treler di lorong
bertentangan berjarak tiga buah treler untuk berselisih dengan treler di
hadapan itu. Dia berjaya memotong treler itu dan terus memecut laju
meninggalkan treler yang dipintasnya. Proton Saga biru yang mengekorinya sejak
tadi tidak kelihatan lagi di dalam cermin pandang belakang.
Dia membelok masuk ke simpang Air
Merah. Dia akan ke rumah sepupunya di Tasik. Isteri dan anak-anaknya ada di
situ. Dia menyuruh adik iparnya menghantar ke situ tengah hari tadi kerana
bimbang kuncu-kuncu Jaiz dan klien-kliennya
tahu rumah mertuanya di Kubang Semang. Setahunya tiada siapa tahu rumah
sepupunya di Tasik itu. Dari Tasik dia akan membawa keluarganya lari ke Taiping
dan kemudian terus ke Johor Bahru. Adiknya tinggal di Johor Bahru. Dia akan
memulakan kehidupan baru di sana.
Matanya mengesan dua buah kereta
proton saga putih yang pakir di tepi jalan, tiga kilometer dari Balai Polis
Tasik. Tiga orang lelaki berbadan kekar kelihatan sedang mengawasi kenderaan
yang melalui jalan itu. Darah Bakar berderau. Dia menekan brek secara mengejut.
Tayar berdecit dan terus menarik perhatian tiga orang lelaki berbadan kekar
itu. Salah seorang daripada mereka
menunjuk-nunjuk ke arah Bakar. Ketiga-tiganya segera menaiki kereta.
Bakar membuat pusingan U. Segera memecut
kereta menghala ke simpang Air Merah semula. Matanya sentiasa memeriksa cermin
pandang belakang. Apa yang ditakutinya benar-benar berlaku. Dua buah proton
saga putih itu sedang mengejarnya. Kedua-duanya memasang lampu tinggi sehingga
menyebabkan pandangannya bersilau setiap kali memandang belakang. Dia kecut
perut. Dirinya gelabah. Hondanya baru melepasi MRSM PDRM Kulim dan tak lama
kemudian melepasi pula Sekolah Teknik Kulim dan Kolej Mara Kulim. Akhirnya di
depan sana muncul juga simpang ke Bukit Mertajam dan Kulim. Dia sempat
memeriksa cermin pandang belakang. Imej dua buah kereta Proton Saga putih itu
masih kelihatan. Pengejar-pengejar itu akan tahu ke mana pun dia membelok.
Di saat genting itu, dia
mengambil keputusan untuk membelok ke kanan, ke arah Kulim. Kakinya automatik menekan
brek sebaik memasuki simpang itu. Dua buah kereta Toyota SL dan Proton Saga
sudah pun melintangi jalan tersebut. Beberapa orang lelaki bersenjatakan kayu
berdiri di tengah-tengah jalan.
Bakar semakin gelabah. Dia masuk
gear undur. Menekan pedal minyak sekuat-kuatnya. Tayar kereta berdecit menggesel
keras permukaan jalan. Hondanya berpusing 180 darjah. Masuk gear satu dan
kereta itu meluncur laju menghala ke Bukit Mertajam. Belum sempat dia melepasi
simpang tiga itu, keretanya dilanggar oleh salah sebuah Proton Saga putih yang
mengejarnya dari Tasik. Keretanya itu diseret hingga melanggar tebing. Kepala
Bakar terhantuk pada cermin tingkap. Cermin itu diperciki darah yang tersembur
deras dari pelipis kepalanya. Dia pening dan pandangannya kabur. Tidak lama
kemudian dia dapat dengar seseorang membuka pintu dan menariknya keluar. Dia
diheret ke atas tebing dan dibiarkan terlentang beberapa saat sebelum satu
terajang hinggap di pipinya. Kepalanya berdengung dan darah tersembur keluar
dari mulutnya. Satu terajang lagi hinggap di dadanya dan badannya terhenyak
kasar ke tanah.
“Hang ingat hang boleh lari dari
Jaiz ya. Ini Jaizlah. Orang aku ada di mana-mana. Hang tahu tak?!” Suara Jaiz
kedengaran marah.
Bakar tahu suara itu suara Jaiz.
Penglihatannya yang kabur tadi beransur-ansur jelas. “Ampunkan aku Jaiz. Aku
tak bersalah…”
“Aku tak peduli hang bersalah ke
tak. Aku dibayar untuk tuntut duit daripada hang,” balas Jaiz. Salah seorang
kuncunya memberikan batang besi kepada Jaiz.
“Depa yang bersalah Jaiz. Aku
tukang kutip saja…” rayu Bakar sambil cuba mengesot menjauhi Jaiz.
“Aku tak tahu itu. Kenapa lari
kalau hang tak bersalah!” bentak Jaiz yang sudah menghayun-hayunkan batang besi.
Desas-desis batang besi itu membelah angin kedengaran.
Bakar ketakutan. Cepat-cepat
hendak bangun dan lari dari situ. Tetapi dia tidak mampu mengangkat badannya
yang lemah itu. Belum sempat badannya mencecah tanah semula kedengaranlah desas batang besi dihayun. Batang besi itu
hinggap di lututnya. Bunyi derak tempurung lutut pecah kedengaran. Dia meraung
kesakitan dan seterusnya terjelepuk di atas tanah. Matanya berpinar tetapi
telinganya dapat juga menangkap bunyi siren polis. Dia tidak sedarkan diri.
Bakar tersedar. Segera mendapati
dirinya di dalam wad ortopedik Hospital Kulim. Isteri dan anak-anaknya gembira
melihat dia sedar semula. Dia mendapat tahu Jaiz dan kuncu-kuncunya berjaya
diberkas polis. Oleh kerana ketakutan ditangkap sama, Pak Long Kerbau datang
berjumpa isteri dan mertuanya. Mereka menyelesaikan masalah itu secara baik.
Ibu mertuanya terpaksa menjual tanah untuk membayar balik kerugian yang dialami
oleh Pak Long Kerbau. Pak Long Kerbau bersetuju menerima 300 ribu ringgit sebagai
ganti rugi berbanding 500 ribu ringgit. Ibu mertuanya juga telah membayar
kerugian semua kliennya yang datang mencarinya sepanjang dia berada di dalam
koma itu.
Bakar menangis mendengar
penjelasan isterinya itu. Dia mengucapkan terima kasih kepada mertuanya itu.
Jauh di sudut hatinya dia berasa amat malu.
Sementara di London, Karim
bersenang lenang dengan keluarganya. Tidak peduli dengan nasib yang menimpa
anak-anak buahnya itu. Dia berasa dirinya sudah selamat. Tetapi Allah Maha Adil
dan Maha Perancang. Dia tidak sedar Allah merancang sesuatu yang akan
menyebabkannya kembali ke Malaysia.
Habshah memasang telinganya
betul-betul. Dia tidak pasti sama ada apa yang didengarnya tadi benar atau
khayalan sahaja. Jam dinding menunjukkan sekarang tepat pukul dua belas tengah
malam.
Habshah melihat ke katil sebelah.
Bibik Aminah sedang tidur nyenyak. Dengkur perempuan tua itu kedengaran nipis.
Dia terdengar lagi suara itu. Bertingkah di antara dengkur nipis pembantu
rumahnya itu dengan bunyi detik jam.
Suara itu terus kedengaran nipis
di telinga. Suara itu ialah suara seorang perempuan sedang ketawa. Dia
tersentak lalu pantas melihat sekeliling. Bulu romanya meremang.
“Kih, kih, kih…”
Suara ketawa perempuan itu
kedengaran semakin jelas. Mata Habshah melingas ke arah dari mana suara itu
datang. Bibik Aminah masih tidur dengan nyenyaknya. Dan ketika dia menarik
matanya daripada terus melihat turun naik perut Bibik Aminah itu, matanya
terpandang kelibat sesuatu sedang berdiri di bahagian katil sebelah sana
pembantu rumahnya itu. Pandangannya yang sekilas lalu itu tidak dapat mengesan
dengan jelas apakah yang dilihatnya tadi.
Habshah menoleh semula ke arah
katil Bibik Aminah. Melihat semula turun naik perut pembantu rumahnya itu. Lama
dia begitu tetapi tiada apa-apa yang muncul.
“Kih, kih, kih…”
Suara ketawa seorang perempuan
kedengaran semakin jelas. Kali ini dari sebelah kanan pula. Habshah menoleh
pantas ke kanan. Matanya memeriksa semua benda yang berada di bahagian kanan
katilnya itu. Kini matanya melekat pada almari baju kayu lama yang tersandar
pada dinding. Almari baju kayu lama itu adalah almari baju yang diwarisi daripada
arwah ibunya. Menurut arwah ibunya almari baju itu diwarisinya daripada arwah
opahnya.
Almari baju itu bergegar. Kedua-dua
daun pintu almari baju itu terbuka perlahan-lahan. Keriut engselnya bergema,
menyeramkan. Kini pintu almari baju itu terkangkang. Pakaian-pakaian Bibik
Aminah kelihatan tergantung kemas di dalam almari baju itu. Pakaian-pakaian itu
terketar-ketar ditiup angin kipas.
Habshah ternampak sesuatu di
antara celahan pakaian-pakaian itu. Dia memfokuskan pandangan ke kawasan tengah
ruang dalam almari baju itu. Mulutnya terlopong bila mendapati apa yang
dilihatnya itu adalah rambut yang panjang mengurai menutup kepala satu lembaga.
Dia terkejut besar.
“Kih, kih, kih…”
Suara ketawa perempuan itu
kedengaran lebih nyaring. Kali ini ia bergema di telinga kirinya. Habshah
menoleh ke arah katil Bibik Aminah setelah lembaga di dalam almari itu hilang. Dilihatnya
seorang perempuan berwajah jelita sedang tersenyum kepadanya dari bahagian
katil sebelah sana. Perempuan itu ghaib
sepantas kilat.
Habshah ketakutan. Dia cuba
mengejutkan Bibik Aminah. Tetapi tidak berjaya. Suaranya tidak mampu melepasi
kerongkong. Matanya masih melekat pada katil Bibik Aminah.
“Ambillah aku…”
Rayuan perempuan itu bergema di kedua-dua
belah telinga Habshah.
Habshah semakin takut.
“Ambillah aku!”
Suara perempuan yang tadi merayu
lembut kini bertukar keras dan kasar. Habshah terperanjat lagi. Dirinya
menggeletar ketakutan. Dia meronta-ronta hendak meninggalkan katil. Mulutnya
ternganga-nganga cuba memanggil Bibik Aminah. Namun dia tidak berdaya
menegakkan diri dan bersuara. Seperti ada sesuatu yang sedang memegang kaki,
pinggang, badan dan bahunya. Ada sesuatu juga yang menghalang suaranya keluar
dari kerongkong.
Habshah terus meronta-ronta. Perempuan
itu perlahan-lahan mendekatinya. Selepas beberapa ketika ia sudah berdiri di sisi
kiri katil. Perempuan itu mendepakan tangannya, minta diambil dan dipeluki.
Habshah menggelengkan kepala berkali-kali. Enggan memenuhi permintaan perempuan
itu.
Perempuan itu tersenyum melihat
gelengan Habshah. Ia tersengih sehingga menampakkan giginya yang rapat-rapat
dan tajam. Kemudian dia terus memeluk Habshah dengan mukanya dibenamkan ke bahu
kanan Habshah. Habshah dapat merasakan kedinginan tubuh perempuan itu. Dia yang
tidak berdaya itu meronta-ronta untuk melepaskan diri dari pelukan perempuan itu. Tetapi usahanya gagal. Perempuan
itu tetap melekap pada badannya.
Habshah terus meronta-ronta
dengan lebih kuat sehingga menggegarkan katil. Kiut keras katil itu masih tidak
dapat mengejutkan Bibik Aminah dari tidur. Habshah mulai berasa sakit pada bahu
kanan. Sesuatu yang tajam sedang menusuk masuk ke dalam daging bahu kanannya
itu. Dia mula berasa lemah. Tidak mampu lagi meronta-ronta. Berasa amat
mengantuk. Matanya tertutup perlahan-lahan. Tetapi telinganya masih jelas mendengar
suara perempuan itu ketawa, memanggilnya dan merengek bertali arus.
Mata Habshah terpejam rapat.
Bibik Aminah terbidas bangun.
Terjaga mengejut dari tidur. Bulu romanya merinding. Matanya terus mencari
Habshah. Dia ternampak kelibat seorang perempuan muda menjauhi katil Habshah mengarah
ke tingkap dan menghilang. Dia pantas beristighfar dan terus mendapatkan
Habshah.
“Puan, puan,” panggil Bibik
Aminah sambil menepuk-nepuk bahu kiri Habshah. Habshah tidak memberi reaksi.
Matanya terus pejam. “Puan, puan,” panggil pembantu rumah itu lagi. Habshah
tetap tidak memberi sebarang reaksi. Pembantu rumah itu meletakkan jari
telunjuknya pada hidung Habshah. Segera bersyukur kepada Allah SWT kerana
Habshah masih bernafas. Dia segera pula memeriksa nadi pada pergelangan tangan
Habshah. Bersyukur lagi kerana nadi Habshah masih berdenyut.
“Puan, puan,” panggil Bibik
Aminah. Kali ini dia menepuk-nepuk bahu kiri Habshah dengan lebih kuat. Habshah
belum memberi reaksi. Pembantu rumah itu merasa leher Habshah. Ada bahagian
yang panas dan ada bahagian yang dingin. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena
pada Habshah. Segera membaca ayat kursi dan ditiup pada Habshah. Kemudian cuba
mengejutkan Habshah beberapa kali lagi. Badan Habshah bergerak sedikit tetapi
sekejap sahaja. Matanya masih terkatup rapat.
Beberapa saat selepas itu hidung
pembantu rumah itu menangkap bau busuk dan hanyir. Bau itu meloyakannya. Bulu romanya semakin merinding.
Dia segera menekan suis lampu bilik. Bilik itu terang berderang. Ketika itulah
dia melihat ada darah bercampur nanah mengalir keluar dari bahu kanan Habshah.
Bibik Aminah terkejut besar.
Bergegas ke tingkat atas untuk memanggil Johan. Mereka berdua bergegas kembali
ke bilik di tingkat bawah itu. Habshah tetap baring kaku. Darah dan nanah terus
mengalir keluar dari bahu kanannya itu. Bau darah nanah itu semakin lama
semakin busuk dan hanyir. Johan terperanjat melihat keadaan tersebut.
Terburu-buru menggoyang badan Habshah untuk mengejutkan isterinya itu.
Tetapi Habshah masih tidak jaga.
Bibik Aminah membaca ayat kursi
dan meniupkannya ke arah Habshah sekali lagi. “Cuba encik kejutkan puan sekali
lagi,” kata pembantu rumah itu sesudah meniup ayat kursi pada Habshah.
Johan menggoncang badan Habshah
sekali lagi. Dengan izin Allah SWT, Habshah mula memberi reaksi.
“Kak Limah, tolong Sah kak. Kak
Limah, tolong Sah kak…” kata Habshah yang masih terpejam matanya itu.
Selepas itu Habshah diam kaku
semula untuk beberapa ketika sebelum kelopak matanya bergerak-gerak perlahan
dan kemudian pantas. Kepalanya pula terketar-ketar dan badannya terenjat-renjat
sebelum diam kaku semula.
“Sayang…” panggil Johan.
Habshah membuka matanya serta
merta. Johan terundur beberapa langkah ke belakang. Pembantu rumah itu
terlopong.
Mata Habshah kekuningan dan
meliar disertai dengus nafas yang menyeramkan. Pandangan dan pernafasannya itu
berlainan sekali dengan pandangan dan pernafasan orang biasa.
Johan segera menghubungi emak
tirinya. Mak Siti yang dibawa oleh Rais sampai ke rumah itu setengah jam
kemudian. Mak Siti membaca mantera sambil memegang ibu jari Habshah. Habshah
pulih seperti sedia kala. Darah nanah pada bahu kanannya berhenti mengalir. Dia
tertidur semula sejurus pulih.
Mak Siti ke dapur mencari Bibik
Aminah. Sementara Johan dan Rais ke ruang tamu.
“Tak boleh dibiarkan ni bang,”
kata Rais kepada Johan, abang kandungnya itu.
“Abang pun rasa begitu,” balas Johan.
“Apa kata emak?” tanya Rais.
“Mak belum kata apa-apa lagi,”
jawab Johan.
“Rasanya elok abang dan kakak
tinggal di rumah emak. Bolehlah emak tengok dan halau apa yang patut kalau ia
datang menganggu lagi,” cadang Rais.
Johan mengangguk setuju. Tetapi
keberatan hendak menyusahkan Mak Siti. Lagi pula dia takut hendak menyuarakan
hasratnya itu. Mak Siti bomoh terkenal. Rumahnya penuh dengan pesakit saban
malam.
Di dapur, Mak Siti mendekati
Bibik Aminah yang sedang membuat air. Pembantu rumah itu terkejut bila mendapati
Mak Siti sudah berdiri di sebelahnya. Dia benar-benar tidak sedar kehadiran Mak
Siti. Mak Siti tersenyum melihat reaksi pembantu rumah itu.
“Mak Siti, terkejut saya,” kata
Bibik Aminah.
“Sudah siap air untuk budak-budak
tu?” tanya Mak Siti.
Pembantu rumah itu mengangguk
sambil meletakkan seteko kopi O panas dan sepinggan biskut ke dalam dulang.
“Pandai jugak engkau ya,” kata
Mak Siti tiba-tiba.
Bibik Aminah terkejut mendengar
kata-kata Mak Siti itu. Dia faham maksud Mak Siti tetapi dia berpura-pura tidak
mengerti.
“Kopi O ni biasa-biasa sahaja,
Mak Siti. Puan Habshah yang ajar saya bagaimana membancuhnya,” jawab Bibik
Aminah.
Mak Siti tersenyum lalu menepuk
bahu Bibik Aminah. “Jangan pandai-pandai berani…” kata Mak Siti lalu menghilang
ke ruang tamu.
Bibik Aminah segera merasa sakit
pada bahu yang ditepuk oleh Mak Siti itu. Dia mengangkat juga dulang untuk
dibawa ke ruang tamu. Tangannya terketar-ketar kerana tiba-tiba tidak berapa berdaya
menampung berat dulang itu. Dia berasa tangannya sangat lemah dan ada bisa yang
sedang menjalar ke seluruh tangan kiri itu.
“Bawa Sah ke rumah mak. Biar mak
yang jaga dia. Kalau di sini akan semakin teruk jadinya,” kata Mak Siti sebaik
sampai di ruang tamu.
Johan dan Rais berpandangan.
“Mak macam tahu sahaja apa yang
kami bualkan,” kata Rais.
Mak Siti tersenyum. “Bawa pagi
nanti juga. Tidak boleh tangguh.”
Johan mengiakan.
Bibik Aminah sampai ke ruang
tamu. Tangannya yang terketar-ketar semasa meletakkan dulang di atas meja
disedari oleh Johan.
“Kenapa bibik?” tanya Johan.
“Gak apa-apa,” jawab Bibik Aminah.
Bibik Aminah berlalu dari situ
dan sempat menjeling khuatir ke arah Mak Siti. Mak Siti yang tahu dirinya
dipandang curi oleh pembantu rumah itu senyum sengaja.