Bab 17
Hujan rintik-rintik mula turun. Awan hitam bergumpal di langit. Suasana sekeliling amat gelap. Aku, Razin, Kuzi, Ajep dan Datuk Zeq berjalan perlahan-lahan meredah hujan. Penduduk pulau Goma yang tadinya berpusu-pusu menyaksikan pemergian kami sudah kembali ke rumah masing-masing memandangkan hujan semakin lebat. Ini adalah atas arahan Datuk Zeq sendiri. Hujan lebat di tengah malam adalah syarat utama untuk keberkesanan operasi pulang ke alam manusia.
Guruh berdentum hebal di langit. Langkah kami semakin pantas. Datuk Zeq mahu kami sampai di rumah kami dengan selamat. Seperti keadaan sewaktu kami mula-mula pergi ke alam bunian dulu, kami tidak menggunakan apa-apa sebagai penutup kepala. Cukup dengan kain merah yang terikat di kepala masing-masing. Datuk Zeq dan Ajep memakai kain berwarna hitam di kepala mereka.
“Kita sudah tiba,” Datuk Zeq bersuara tiba-tiba. Tertonggok di depan kami ialah pohon jejawi yang akan kami tempuhi untuk kembali ke dunia kami. Datuk Zeq dan Ajep berdiri menghadap muka kami.
“Nerau,” Datuk Zeq memandang Razin. Bahu Razin dipegangnya. “Kalau berlaku hujan di tengah malam begini lagi, datanglah ke alam ayah. Ayah dan abangmu serta seluruh penduduk pulau Goma ini sentiasa terbuka untuk menyambut kau dan kawan-kawan kau.”
Razin mengangguk. Kemudian Datuk Zeq berpeluk dengan Razin. Ajep pula menyusul mendakap Razin. Datuk Zeq memandang aku dan Kuzi. Tangan kami digenggamnya erat-erat.
“Adil, Kuzi. Walaupun kita berlainan alam tapi kita semua tetap bersaudara. Pakcik amat terhutang budi kepada kamu berdua. Tak mungkin pakcik dapat membalasnya. Pertolongan yang kamu berikan akan pakcik abadikan sepanjang hayat pakcik.”
“Abang juga amat terhutang budi kepada kalian berdua, Adil dan Kuzi. Tanpa kalian, tak mungkin abang dan ayah abang serta penduduk pulau Goma dapat menikmati kedamaian dan kesejahteraan,” tambah Ajep pula.
“lni semua kuasa Allah. Syukur padanya, ucapkanlah Alhamdulillah,” ceramah Kuzi, mencedok senikata lagu kumpulan Raihan. “Kami juga amat berterima kasih kepada Datuk, abang Ajep dan seluruh penduduk pulau Goma kerana menganggap kami seperti saudara sendiri. We are brothers,” amboi, speaking pulak dia. Tapi sekali dengar macam lirik lagu kumpulan Brothers pulak.
“Datuk, saya masih risau dengan gangguan jelmaan orang Kaya Jef dan kemungkinan bangsa Gayat menyerang balas,” aku menyuarakan kebimbanganku. Kami sudah memaklumkan mengenai peristiwa yang berlaku empat hari lepas kepada Datuk Zeq. Katanya, lembaga yang menyerangku tempoh hari ialah hantu laut merangkap hantu raya belaan Orang Kaya Jef. Perkara ini disahkan oleh Tok Fesal, pawang utama pulau Goma.
“Tak ada apa yang hendak dirisaukan, Dil. Kau telah menewaskan hantu itu. Lagipun apa yang berlaku tempoh hari antara kau dengan hantu itu hanya sekadar mainan ilusi,” Datuk Zeq mengulang ayat yang telah disebutkan kepadaku oleh Tok Fesal tempoh hari. “Lagipun kamu bertiga sudah melihat sendiri bagaimana Tok Fesal menyerunya semula dan mengurungnya di dalam botol yang kini ditanam di dasar laut oleh Tok Fesal sendiri. Kita pun sudah berusaha membaca Yasin beramai-ramai.”
“Macam mana kalau ada orang melepaskannya?” Kuzi masih tidak herpuas hati.
“Tak ada orang lain yang tahu tentang perkara ini kecuali kita berempat termasuk Tok Fesal. Orang tua itu boleh dipercayai,” tegas Datuk Zeq. Aku bersetuju dengan kata-katanya itu. Aku tidak meragui kejujuran Tok Fesal. Memang baik orangnya. Aku sebenarnya sudah lama mengenalinya. Yalah, dia itu salah seorang tawanan yang kubebaskan dari Penjara Izzie tempoh hari dan sama-sama turut serta dalam serangan di sana dan penaklukan markas besar Gayat. Cuma malam tadi sahaja aku terperanjat sikit apabila dia dlperkenalkan oleh Datuk Zeq sebagai Tok Fesal, pawang utama Pulau Goma. Tak sangka pulak dia sehebat itu.
“Tentang kemungkinan serangan balas dari negara Gayat, strategi telah diatur untuk menghadapi mereka. Mereka tak akan dapat menawan pulau Goma dan pulau Auf lagi. Sebenarnya mereka bukan mahir sangat berperang. Kejayaan mereka dulu banyak dibantu oleh pengaruh Datuk Nasha. Itu saja! Lagipun sekarang ini kita sudah ada pengawal-pengawal pantai, skuad khas dan dalam proses penubuhan gabungan armada laut hasil kerjasama dengan pulau-pulau lain macam pulau Cen, Kucpin dan Duyut. Kalau bangsa Gayat berani kembali lagi, memang mereka sengaja mencari maut,” terang Datuk Zeq dengan panjang lebar.
“Ayah, nampaknya hujan semakin lebat. Biarlah kami pergi dulu,” Razin mencelah.
“Ya, pergilah. Jaga dirimu baik-baik anakku,” Datuk Zeq mendakap anaknya sekali lagi. “Tengoklah kalau ada kelapangan, ayah dengan abang kau akan turun ke sana. Dah lama tak berjalan-jalan di luar. Teringin juga hendak bercuti di Kelantan atau Terengganu. Nanti kita atur kemudian ya. Lagi pun minggu depan Ajep dah ada temu janji pembedahan plastik kat Pulau Duyut.”
Aku dan Kuzi bersalaman dengan Datuk Zeq dan Ajep. Razin melambai kepada Datuk Zeq dan Ajep. Kemudian dia melangkah ke arah pohon jejawi lantas hilang dari pandangan. Aku dan Kuzi mengikutnya dari belakang.
Bye bye orang pulau Goma! Panjang umur kita jumpa lagi!
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.