Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
71,383
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 1


Keadaan sekeliling yang slow motion pada petang ini betul-betul membuatkan aku terasa hendak balik membuta di rumah. Itulah, tadi elok-elok lepak tengok TV, aku jugak yang gatal keluar ke pekan ni. Nak rehatkan fikiran sambil bersenam konon. Akhirnya kaki aku jugak yang lenguh mundar-mandir kat kaki lima ni. Macammanapun, aku rasa pekan Bangi patut rasa bertuah kerana aku yang hensem ini berkenan menjejakkan kakiku di dadanya dengan tujuan yang suci murni iaitu merayau seorang diri membuang masa dan tenaga di rembang petang yang membosankan ini.

Bosan! Memang inilah petang yang paling membosankan dalam sejarah hidup aku. Muram, malas, tak ada mood; namakan apa saja istilah yang sesuai, itulah suasananya. Ditambah pula dengan awan mendung di kaki langit yang semakin menebal menanti masa menurunkan hujan, dihiasi pula dengan sinar mentari petang yang semakin pudar cahayanya; semua ini menyumbangkan kekaburan pada pandanganku yang mula terbayangkan tilam dan bantal...

“Mak kau!” Aku hampir tersungkur kerana terkejut bila cahaya kilat tiba-tiba memenuhi ruang pekan. Serentak dengan itu guruh pun berdentum diiringi hujan yang gila lebat. Aku mendongak ke langit. Hitam dan gelap. Mesti hujan lebat ini berlarutan sampai ke malam. Pernah satu waktu dulu hujan turun tak henti-henti dua hari dua malam. Kebetulan pula masa itu aku sedang bercuti, jadi skala kemalasanku mencapai klimaksnya sehinggakan aktiviti harianku berkisar sekitar membuta tiada yang tidak membuta melainkan membuta belaka. Selama itu jugalah aku beroleh kesedaran yang jitu bahawa microwave yang ada di rumah tidak terbatas kegunaannya hanya untuk memasak tetapi juga untuk mengeringkan baju.

“Hoi, Adil!” tiba-tiba kedengaran suatu suara sumbang memanggil namaku. Apakah itu suara Kuzi? Kucuba mencari arah datangnya suara itu tetapi (maafkan aku kerana terpaksa menggunakan ayat yang bombastik ini) tangisan hujan dan dentuman guruh yang menggila mengalahkan deria pendengaranku yang terpaksa pasrah kepada lagu alam.

“Hoi, sini Dil!” suara itu berbunyi lagi. Kali ini aku dapat menangkap arah datangnya. Nun, di warung seberang jalan pandanganku menangkap wajah orang yang memanggilku. Tidak syak lagi, memang budak Kuzi. Di sebelah Kuzi kelihatan Razin. Dua-dua member rumah. Mereka melambai-lambai ke arahku. Aku pasti hujan yang lebat ini mempengaruhi ketajaman pandangan mataku buat seketika kerana dari jauh mereka tidak kelihatan seperti manusia biasa tetapi seperti dua ekor monyet.

Aku melangkah keluar dari kaki lima lantas berlari menuju ke warung itu. Razin dan Kuzi tersengih-sengih melihat aku. Sengih yang ada dua kemungkinan. Pertama, mereka gembira melihat aku membuktikan kasih sayangku sebagai teman sejati meredah hujan yang menggila mendapatkan mereka. Kedua, mereka gembira melihat aku basah kuyup selepas berlari seperti orang sewel. Kemungkinan kedua ini lebih menjurus kepada kepastian kerana sebaik-baik saja aku duduk di sebuah kerusi kosong di hadapan mereka, mereka tertawa kuat. Siap tepuk-tepuk meja lagi. Cis! Aku ingatkan basah sikit saja, rupa-rupanya lencun.

“Wei korang! Bukan main lagi ketawakan aku!”

“Eh, kitaorang bukan ketawakan kau, Dil,” Kuzi cuba menafikan. Satu penafian yang penuh dusta kerana hilaian tawanya semakin menjadi-jadi apabila melihat aku memerah-merah lengan baju yang basah.

“Hah, ketawalah puas-puas. Ketawalah. Biar tercabut anak tekak dan terburai perut korang,” aku ingat bila aku cakap dengan nada merajuk macam tu mereka akan berhenti ketawa tetapi rupa-rupanya mereka menjadi semakin galak. Yang lebih tension lagi kali ini mamak warung itu pun ikut ketawa sama. Nasib baik tak ada pelanggan lain dalam warung ni, kalau tidak harus pecah telinga aku melayan tawa ria mereka.

“Apa gelak-gelak ni, Mamak? Buat kopi aku cepat!”

“Mana bole tara ketawa tengok awak satu macam serupa baru lepas mandi juga. Saya...”

“Mamak...” aku buat suara brutal yang penuh beramaran, memotong terus kata-kata mamak itu.

“Sori, sori. Sekarang juga saya buat itu kopi,” ha, tahupun takut mamak ni. Mahunya tidak, akulah hero dalam cerita ni.

“Alah, rilek la, Dil,” ketawa Razin mulai reda. “Kitaorang tak boleh tahan tadi. Tapi kan, kau sepatutnya rasa gembira.”

“Gembira apa ke jadahnya?”

“Gembira pasal berjaya menghiburkan kitaorang dengan aksi-aksi lucu kau,” Razin tergelak semula tetapi serta merta menekup mulutnya dengan tangan bila aku merenung tajam. “Ops, janganlah marah, Dil. Ni, aku nak komen sikit pasal kau. Aku tengok tadi masa kau berjalan kat kaki lima tu, kau sentimental je.”

“Sentimental apa benda?”

“Gaya kau berjalan tadilah. Sentimental betul, macam orang mati bini je.”

“Salah ke? Selalu sangat aku berjalan laju-laju, sekali-sekala nak juga merasa jalan lambat-lambat. Lagipun tak ada apa nak aku buru.”

“Eh, jadi selama ni kau jadi pemburulah, Dil,” Kuzi yang tadinya diam mula menyampuk. “Tapi, tak pernah pun aku tengok kau bawa balik rusa ke, ayam hutan ke…”

“Alahai, budak Kuzi ni. Kang aku ketuk kepala kau dengan botol kicap ni kang, ha!”

“Eleh, kau ni gurau sikit pun tak boleh, Dil.”

“Banyak la kau punya gurau,” aku buat suara garang.

Suasana hening sebentar. Mungkin kerana malaikat lalu atau mungkin juga kerana budak berdua ni mula terasa bahang keganasanku menyebabkan mereka bertafakur seketika untuk menebus dosa mereka mentertawakan aku tadi.

“Korang dari mana ni?” aku cuba menukar topik. “Tak bisnes ke hari ni?”

“Kitaorang penatlah, Dil. Hari-hari asyik mengadap benda yang sama aje. Boring betul bisnes kain ni. Lagipun ada hal sikitlah hari ni. Buka kedai setengah hari je. Lepas tu kitaorang terus pergi rumah sepupu aku kat Kajang. Minggu depan dia laki bini nak pergi umrah,” Kuzi beria-ia bercerita. Air liurnya menyembur-nyembur keluar. Tak senonoh betul!

“Habis tu?”

“Habis tu apa?”

“Habis tu korang ke mana?”

“Kitaorang lepak rumah sepupu aku sampai petang. Lepas tu cadang nak balik terus ke rumah kita. Tapi si Razin ni beria-ria benar ajak aku singgah minum di sini. Dia belanja. Aku pun apa lagi.”

“Lama jugak korang kat rumah sepupu kau tu. Apa korang buat?”

“Kenduri!” Kuzi tersengih.

“Apa? Alamak, ini yang tak sedap ni. Kenapa korang tak ajak aku sekali? Kenduri doa selamat ya?”

“Yalah, apa lagi. Kari kambing lagi,” sengih Kuzi semakin lebar. Seronoklah tu dapat pergi kenduri. Cis! “Sebenarnya, kami cadang nak ajak kau. Tapi kami tengok kau tengah syok tidur. Kami tau malam tadi kau berjaga, lukis komik. Malaslah kami nak kejut.”

“Hisy, rugi besar aku,” aku mengeluh.

“Hai, kami bagi can kau tidur puas-puas pun tak seronok?” kali ini sengih Kuzi sudah menyerupai muncung seekor tapir.

“Tapi tak sama nikmat tidur dengan makan sedap!”

“Alah, lupakanlah pasal tu,” celah Razin. “Yang penting sekarang ni, kita kena bersiap-siap. Lepas ni ada orang nak pergi ke rumah kita.”

“Orang?” aku dan Kuzi hairan.

“Siapa?” tanyaku.

“Kitalah sendiri. Kan kita ni orang?”

“Ceh, kau pekena kami ya? “ tuduh Kuzi. Jahanam punya Razin.

“Taklah. Yang betulnya malam ni memang ada orang nak datang ke rumah kita. Bukan kita, orang lain. Pukul 12.00 malam ni.”

“Kau jangan nak bergurau,” aku merenung tajam ke muka Razin.

“Aku cakap betul ni.”

“Siapa?” Kuzi ulang balik soalan aku tadi.

“Kau akan tahu nanti. Tengoklah sendiri bila dia datang.” Razin bangun. “Aku nak uruskan kedatangan orang tu. Korang baliklah dulu.”

“Biar kami ikut,” cadangku.

“Tak payah. Pengsan korang nanti,” Razin lantas berlari meninggalkan aku dan Kuzi di warung. Aku dan Kuzi berpandangan sesama sendiri.

“Hairan ya. Orang mana nak datang ni?” Kuzi menggaru-garu kepala.

“Lagi satu, kau tak rasa pelik ke bila Razin kata dia nak datang pukul 12.00 tengah malam?”

“A’alah, 12.00 malam. Eiii, seram aku. Jangan-jangan pontianak tak?”

“Isy, mengarut la kau ni. Ada pulak Razin berkawan dengan pontianak?”

“Takde la sampai macam tu. Tapi kan Dil, kau perasan tak budak Razin tu nampak kelam-kabut je tadi? Dia kata nak urus kedatangan orang tu. Sepatutnya kita intip ke mana dia pergi.”

“Ya jugak. Hai, bodoh la kita ni.”
 
“Aku dah seram sejuk ni. Kau perasan tak Razin tu sejak akhir-akhir ni perangainya lain macam je?”

“Dia ada masalah kot.”

“Masalah peribadi tak apalah. Tapi aku takut ia melibatkan kita pulak. Manalah tahu...”

“Apa kau merepek ni?”

“Manalah tahu budak tu sebenarnya dah kena rasuk!”

“Kena rasuk apa?”

“Faham-faham ajelah.”

“Kan jangan nak mengarut. Ini zaman moden. Dah la. Jom kita balik.”

“Kau gila ke, Dil? Hujan masih lebat ni!”

“Ala sikit je basah pun sementara nak sampai ke kereta.”

“Aku tak bawa kereta la. Aku dengan Razin naik motor aku je pergi rumah sepupu aku tadi.”

“Razin tadi balik macam mana?”

“A’ah tak perasan pulak aku. Cepat betul dia lari keluar dalam hujan tadi. Orang yang dia nak jumpa tu ada dekat-dekat sini je kot. Yang kau pulak macam mana boleh terlepas ke pekan ni? Mana motor kau?”

“Aku jalan kaki je ke sini. Exercise.”

“Mak aih dari Kampung Bahagia siap jalan kaki je.”

“Bukan jauh sangat pun. Dalam 10 minit je. Eh dah la. Sampai bila kita nak melapuk kat sini? Hujan ni mesti lama. Entah-entah melarat sampai pagi esok. Kau nak tunggu sini sampai pagi esok ke, hah? Dah la. Kita redah jelah dengan motor. Balik rumah kita terus mandi.”

“Suka hati engkaulah Dil. Jom.”

Dalam perjalanan pulang, tiada bicara antara aku dan Kuzi. Lagipun bukannya aku orang gila nak berborak tengah hujan. Masing-masing sibuk melayan perasaannya sendiri. Aku masih memikirkan kata-kata Razin. Aku juga memikirkan kata-kata Kuzi. Memang benar, Razin sekarang dah banyak berubah. Senda guraunya tak serancak dulu. Kalau dulu, dialah yang kuat membebel di rumah kami tetapi sejak akhir-akhir ini ramahnya agak kurang. Dia lebih banyak mengambil sikap berdiam diri. Senda guraunya tak berapa best dah. Dah jatuh di bawah gred F.

Ah, apa guna fikir semua tu? Tapi, apa maksud kata-kata Razin tadi? Siapa nak datang ke rumah?

Akhir-akhir ini Razin selalu sangat balik jauh malam. Bila ditanya, dia kata dia buat kerja sambilan. Bila ditanya kerja di mana, dia kata dia kerja kilang di Bandar Baru Bangi . Tak tahu penat ke dia ni? Dahlah sehari suntuk melayan pelanggan bersama Kuzi di kedai kain mereka, boleh sambung kerja malam pulak. Jangan-jangan budak Razin ni terlibat dengan kegiatan jenayah tak? Yalah, kalau tak apalagi yang dibuatnya sampai larut malam macam tu? Mungkin orang yang akan datang malam ini adalah geng jahatnya dan…

Hisy, tak mungkin. Sasau betul pemikiran aku ni. Aku cukup kenal Razin. Kami rakan baik, rakan serumah. Aku cuba buang syak wasangka itu jauh-jauh tapi semakin dicuba semakin susah pulak. Pening kepala aku.

“Aduh!” aku menjerit tiba-tiba.

“Apa la nak jadi dengan kau ni, Dil. Asyik berangan-angan je. Tiang rumah sendiri pun boleh terantuk!” tempelak Kuzi.

Rupanya aku dan Kuzi sudah sampai di rumah. Aku langsung tak sedar yang aku sebenarnya sudah turun daripada motorsikal, buka topi keledar dan berjalan dengan selambanya ke arah tiang rumah yang besar itu. Haru betul.

“Cuba kau tengok, Dil. Siapa yang tengah duduk atas kerusi kat beranda tu,” bisik Kuzi kepadaku sewaktu kami melangkah ke tangga.

Aku mendongak. Aku nampak seorang lelaki sedang duduk membaca majalah. Razin!

Hairan, cepat juga dia balik. Jalan mana yang diikutnya?


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman