Bab 8
Suasana sudah mula dinihari sewaktu aku, Kuzi dan Razin tiba di pantai. Fajar Kazib (hebat tak vocab aku) kelihatan samar-samar muncul dan kemudian menghilang. Sinar yang sekejap itu kelihatan berkaca-kaca di gigi air. Tubuh kami terasa sungguh penat. Masing-masing terbaring lesu di atas pasir pantai.
“Belum pernah aku berenang sejauh ni,” keluh Kuzi, kepenatan.
“Apa boleh buat, kawan,” balas Razin.” Tak ada jalan lain lagi. Itupun dah kira okay tu pasal Yaya dah tolong bawa kita. Kalau tak mahu setengah mati kita nak berenang dari tengah laut.”
“Jomlah kita gerak, aku takut nanti ada askar musuh nampak kita,” ajakku. Razin dan Kuzi bingkas bangun. Razin membawa kami ke satu kawasan yang agak terlindung, di celah-celah pohon kelapa. Aku rasa macam berada kat Hawaii pulak. Ada anak sungai kecil kat situ, sempatlah kami menghilangkan dahaga sekejap.
“Fuh... Ke mana kita lepas ni, Zin?” tanyaku.
“Kita sekarang berada di Tanjung Akibunnar. Kita kena susur tanjung ni sampai ke teluk rahsia. Lepas tu, kita redah kawasan hutan dan keluar ke kawasan perkampungan.”
Kami mula melangkah meredah kawasan yang ditumbuhi pohon kelapa ini. Masing-masing membisu. Semakin lama, jalan yang kami lalui semakin penuh dengan pohon-pohon kecil. Tidak berapa lama kemudian, pohon-pohon yang besar, menghijau dan rendang memayungi kami. Aku melihat di sekelilingku. Ada bunga-bunga yang rangginya saja cukup untuk membungkus tubuhku. Burung-burung sebesar ibu jari kelihatan terbang bebas dengan riangnya di dalam hutan ini. Kicau mereka mengiringi suasana dinihari. Bestnya hutan ni!
“lnilah hutan yang dinamakan hutan rimba Shalah. Bangsa Gayat tahu tentang hutan ini tapi diaorang tak tahu pasal lorong yang kita lalu ni. Ayah aku yang buat lorong ni,” beritahu Razin, bangga.
“Macam mana kau tahu yang diaorang tak tahu?” peh, berbelit-belit soalan aku.
“Penjajahan diaorang belum sampai ke kawasan ni. Penduduk Kampung Leha kat pinggir hutan ni power lagi dari diaorang. Diaorang belum dapat lagi conquer area ni. Aku harap kita dapat bersatu dengan orang-orang kampung kat sini.”
“Tapi, kita tak pasti lagi tentang berita tu, kan? Aku takut penduduk kampung dah kena tawan sebelum kita sempat sampai. Kalau jadi macam tu, habislah kita.”
“Tak mungkin, Dil. Penghulu kampung tu, datuk Nasha, nampak saja dah tua gila tapi genius orangnya. Dia cekap atur strategi untuk gagalkan rancangan bangsa Gayat. Dia tu kira macam orang kanan ayah aku la kat Pulau Auf ni. Dia member kamcing ayah aku, kira member aku jugaklah.”
“Kita mesti sampai cepat ke kampung tu, Zin,” Kuzi mencelah sekaligus menukar topik perbualan kami. “Mintak-mintak tak banyak bahaya lagilah lepas ni. Kau rasa sempat tak kita sampai kat sana sebelum pagi?”
“Aku rasa tak sempatlah, Kuzi. Kita kena berjalan selama dua hari untuk sampai ke kampung tu. That means... kita terpaksa bermalam kat hutan ni.”
“Bermalam dalam hutan ini?” aku terkejut. Eh, tapi best juga.
Razin mengangguk. “Hutan Shalah ni luas. Kita sekarang ni kat bahagian intronya je.”
“Kalau macam tu terpaksalah kita bermalam kat hutan ni ya?” budak Kuzi ni berapa kali nak tanya soalan tu. Kan aku dah tanya tadi?
“Nampak gayanya macam tulah.”
Bestnye! Dah lama tak pergi camping. Tapi khemah apa pun tak bawa camping apa ke jadahnya. Aku mula rasa tak syok.
“Subuh dah nak masuk, Zin,” Kuzi menukar topik sambil mendongak ke langit. Fajar subuh kelihatan samar-samar sahaja menerobos di celah daunan yang makin merimbun di atas kepala kami.
“Kita berehat sekejap,” Razin duduk bersandar dekat sebatang pokok. “Kita solat dan tukar pakaian... Eh, nak tukar pakaian apa benda? Barang-barang aku semua dah hilang entah ke mana masa kalut tengah laut tadi. Pedang aje yang tinggal,” Razin merungut. “Kita sarapan dululah.”
“Nak sarapan apa benda? Bekalan pun hilang sama!” Kuzi mengingatkan. “Perut aku dah main lagu Search dan Wings. Korang perasan tak yang kita belum makan apa-apa pun sejak semalam. Sempat melantak air sungai je tadi. Mak oi, laparnya!”
“Kau ni bisinglah Kuzi. Aku pun lapar jugak,” aku berleter sambil melilau-lilau mencari makanan. Manalah tahu ada orang tertinggal nasi bungkus atau pizza ke kat tengah hutan ni, boleh aku bedal. Eh, tu nampak macam pokok rambutan je. Yalah, pokok rambutan. Rimbun dengan buah masak pulak tu.
“Kuzi! Razin! Aku jumpa pokok rambutan! Siapa yang tanam...” belum sempat aku menghabiskan ayat, budak-budak itu sudah siap berada di atas pokok melahap buah. Cis, advanced betul diaorang kalau hal-hal makan free macam ni. Silap besarlah siapa yang tanam pokok rambutan ni.
Hmm... subuh di Pulau Auf menyaksikan dua ekor beruk lapar bersama aku sebagai tuan mereka membaham buah rambutan macam orang sebulan tak makan.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.