Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,359
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8

8

HAJI KAMARUL masih mencuba. Nombor yang sama tetap jua didail berulang-ulang kali.

“Sudahlah tu Haji... marilah kita makan dulu. Dah nak dekat pukul tiga dah ni... Dari pagi lagi Haji langsung tak sentuh makanan pun. Marilah...” Mak Esah selaku pembantu rumah menghampiri majikannya di serambi rumah kayu dua tingkat itu.

“Esah... salah aku ke sebab semua ni terjadi? Salah aku ke sehinggakan Juliana pergi membawa diri?” Terdengar kesayuan di dalam persoalan itu. Haji Kamarul sudah memasukkan handphonenya di dalam poket baju melayunya.

Mak Esah terdiam. Dia sudah maklum konflik apakah yang telah berlaku di dalam keluarga majikannya itu.

“Esah... ke mana agaknya Juliana pergi membawa diri? Aku betul-betul risau. Dah berkali-kali aku cuba menghubungi nombor telefonnya, tapi... hai... entahlah. Mungkin dia dah tukar nombor kot. Mungkin dia betul-betul dah terasa hati dengan aku. Ni semuanya salah aku. Aku langsung tak mempertimbangkan perasaan dia sebelum aku memutuskan ‘perkara’ tu. Ni semuanya salah aku... salah aku, Esah.” Terlihat genangan air mata di kelopak mata yang sudah berkedut itu.

“Haji... sudahlah tu. Jangan sesalkan lagi perkara yang dah berlaku. Mungkin Juliana tak ke mana-mana pun. Mungkin juga dia cuma ke rumah Ucu dia, di Meru.” Mak Esah cuba menenangkan majikannya itu.

“Tak. Dia tak ada di sana. Aku dah hubungi adik aku tu... dia kata Juliana langsung tak ke sana.” Semakin sayu suara Haji Kamarul.

“Haji ada cuba tanya pada Faridah? Julianakan rapat dengan sepupu dia tu,” soal Mak Esah kemudiannya.

Haji Kamarul menganggukkan kepalanya dan linangan air mata yang segar diseka segera.

“Faridah pun tak tahu ke mana Juliana menghilang?” Masih belum puas Mak Esah meminta pengesahan.

“Tak. Faridah langsung tak tahu ke mana menghilangnya Juliana. Apa yang perlu aku lakukan ni Esah? Aku risaukan keadaan dia. Kad ATM, Kad Kredit dan buku cek dia, semuanya dia tinggalkan. Nampak sangat dia nak buktikan pada aku yang dia boleh hidup berdikari di luar sana tanpa bantuan aku. Tapi... aku takut! Selama ni, Juliana langsung tak pernah menjalani kehidupan seorang diri tanpa pantauan aku dan arwah mamanya.” Kerisauan jelas terukir di atas figura yang sedang dihujani air mata itu.

Mak Esah mengeluh. Rasa risau bersatu dengan rasa takut di dalam hatinya. Takut seandainya gadis yang baru menginjak menjadi wanita muda itu akan diperapa-apakan oleh sesiapa di luar sana.

“Esah... kalaulah arwah Saleha masih hidup... mesti dia akan kecewa dengan tindakan aku.” Haji Kamarul terus-terusan melahirkan sesalannya.

“Sabarlah Haji... kita pun tak nak semua perkara ni berlaku. Haji... apa kata... kalau kita buat laporan polis? Mungkin pihak polis dapat membantu kita dalam menyelesaikan masalah kehilangan Juliana ni,” cadang Mak Esah.

Haji Kamarul mengeluh. Dia mengalihkan pandangannya ke luar rumah. Sepasang matanya menjamahi kehijauan dan kedamaian alam semula jadi.

“Bukan aku tak nak buat laporan polis. Tapi... Unggal tak tahu lagi tentang kehilangan Juliana. Dia masih belum dapat menghidu tentang kepincangan yang telah berlaku di dalam ‘rancangan’ kami.” Perlahan Haji Kamarul bersuara.

“Apa?! Maksud Haji, Unggal langsung tak tahu menahu tentang kes kehilangan Juliana? Dia tak tahu yang Juliana telah melarikan diri daripada rumah ni? Macam tu?” terkejut Mak Esah dengan pengakuan majikannya itu.

Haji Kamarul menganggukkan kepalanya lemah.

“Ya ALLAH... Haji... kenapa Haji langsung tak nak berterus terang dengan Unggal? Kenapa Haji sembunyikan perkara sebesar ni?” Runsing Mak Esah dengan sikap majikannya itu.

“Aku ada sebab aku sendiri.” Perlahan sahaja suara Haji Kamarul tika ini.

Mak Esah terus-terusan memandang wajah majikan di hadapannya. Dia tahu yang dia langsung tiada hak untuk bersuara sementelah dia hanyalah seorang pembantu rumah sahaja. Tetapi hatinya tetap jua memberontak, menyuruhnya melahirkan pertanyaan, “Apa sebabnya? Kenapa Haji diamkan sahaja perkara ni daripada pengetahuan Unggal?”

“Esah... aku... aku harus menjaga maruah anak aku. Macam mana kalau Unggal sangkakan yang anak aku tu perempuan liar dan tak terdidik akhlaknya lantaran jalan mudah yang diambilnya? Kau rasalah, apa reaksi Unggal kalau dia tahu yang anak dara aku tu telah melarikan diri kerana semata-mata tidak menyetujui rancangan kami?” soal Haji Kamarul kepada Mak Esah.

Mak Esah terdiam sekali lagi. Otaknya pantas mencari kebenaran terhadap kata-kata majikannya itu.

“Sekarang kau fahamkan apa yang aku khuatirkan. Aku tak nak maruah anak aku tercemar.” Haji Kamarul pantas memusingkan tubuhnya. Namun langkahnya masih belum diatur kerana dia tahu masih ada bicara yang ingin dilahirkan oleh pembantu rumahnya itu.

“Itu saya faham. Tapi satu perkara je yang saya tak faham dan masih menganggu fikiran saya. Kenapa Haji tak batalkan sahaja rancangan Haji dengan Unggal tu?” Soalan terakhir dilahirkan jua oleh Mak Esah.

Haji Kamarul tertunduk. Dia mengeluh. Namun tiada patah kata pun yang lahir dari bibir tuanya, hanya kakinya sahaja yang diarahkan untuk melangkah ke hadapan bagi meninggalkan pembantu rumahnya itu di serambi rumah. Sekali lagi kamar tidur menjadi fokusnya. Tangisan pasti rebah sebentar lagi dan perut yang bergendang irama hanya dibiarkan sahaja. Tiada seleranya untuk menjamah apa pun yang terlihat enak di ruangan matanya.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.