30
LANGKAH diatur laju apabila
merasakan yang dirinya bagaikan sedang diekori. Ferrari Spyder merah di hadapan
menjadi sasarannya. Namun baru sahaja kereta yang mempunyai dua pintu itu
hendak dibolosi, tingkahnya terhalang. Sepasang tangan menarik kasar tubuhnya
hingga tertarik ke belakang.
“Tak guna punya
betina!!!” jerkah Datin Azilah.
Pucat wajah Melisa
menghadapi ‘puting beliung’ di hadapannya itu. Tidak disangkanya yang pada hari
ini dia akan ditangkap buat kali kedua oleh isteri kepada Dato Ezman itu.
“Kenapa? Kau terkejut
tengok aku berdiri depan kau! Macam tu?” Datin Azilah semakin merapatkan
dirinya dengan perempuan simpanan suaminya itu. Sahabat baik yang menemaninya
jua turut melakukan perkara yang sama.
Datin Azilah memberikan
isyarat mata kepada Datin Mazni. Segera sahabat baiknya itu memahami akan makna
yang tersirat di balik bahasa tubuh itu. Datin Mazni menarik laju lengan Melisa
dan dicengkamnya kuat lengan model muda itu.
“Sakitlah!” terjerit
Melisa akibat kesakitan yang sedang dirasainya tika ini.
“Sakit? Tahu pun sakit!
Kau ingat hati aku ni tak sakit ke bila kau sewenang-wenangnya berasmara dana
dengan suami aku dekat hotel ni, ha?!!!” jerkah Datin Mazni lagi.
“Apa yang Datin
cakapkan ni? Saya... saya tak faham.” Tidak lancar tuturan Melisa.
“Kau jangan ingat aku
bodoh! Kau jangan ingat yang selama ni aku tak serang kau selepas ‘pertemuan’
kita dulu sebab aku takutkan kau! Aku masih ada maruah yang perlu aku jaga...
untuk berdepan dengan perempuan murahan macam kau ni, memang bukan status
aku... tapi makin aku diamkan, makin berani kau pijak-pijak maruah aku! Kau ni
memang perempuan tak guna! Tak sedar diri!!!” Kali ini Datin Azilah bertindak
di luar jangkaan. Habis ditarik-tariknya rambut panjang milik Melisa.
Terkejut Datin Mazni dengan
sikap baran yang semakin meluap-luap sahabat baiknya itu, “Datin... dahlah tu.
Karang mati pula perempuan ni you kerjakan.”
“Memang! Memang I nak
perempuan ni mampus! Ada hati dia nak gantikan tempat I di hati Dato Ezman.
Woi! Perempuan tak guna!!! Kau dengar sini baik-baik, aku takkan biarkan kau
gantikan tempat aku! Segala harta kekayaan dan kasih sayang Dato Ezman hanyalah
untuk aku dan bukannya perempuan tak bermaruah macam kau ni!” Datin Azilah
sudah mencengkam kuat muka Melisa dan sepasang mata tajam miliknya menusuk ke
sepasang mata milik perempuan simpanan suaminya itu.
“Kalau betul hati dan
perasaan Dato Ezman hanyalah milik Datin, kenapa harus Dato mencari perempuan macam
saya ni?” Kali ini Melisa tidak terus mendiamkan dirinya. Biarpun maruahnya
hanya tinggal sisa, dia tetap jua mahu mempertahankannya.
“Tak guna!!! Kau ni
memang betul-betul nak mampus!” Semakin naik hantu Datin Azilah dengan sindiran
musuhnya itu.
“Salah ke apa yang saya
katakan? Dato mencari saya di saat dia merasakan yang hati dan perasaan dia
bukannya milik Datin. Dato sendiri mengakui yang dia tidak pernah cintakan
Datin. Tapi dia terpaksa... terpaksa mempertahankan rumah tangga yang dibina
hampir 25 tahun kerana arwah mama dia. Datin tak rasa ke yang Datin ni jauh lebih
kejam daripada saya? Datin sanggup ‘ikat’ Dato kerana arwah mama dia sedangkan
Datin tahu hakikat yang sebenarnya... Dato tak pernah cintakan Datin! Dia
lakukan semua ini hanyalah kerana arwah mama dia dan kerana wanita yang telah
melahirkannya itu jualah dia sanggup mengambil Datin sebagai isteri dia!” Kian
berani Melisa ‘menyerang’ Datin Azilah.
Terhenti pergelutan
yang tadinya sedang rancak memarakkan amukan di jiwa Datin Azilah. ‘Taring’
amarahnya jua sudah ‘tumpul’. Tidak disangkanya yang perempuan simpanan
suaminya itu telah mengetahui tentang kisah silam dirinya dengan si suami yang
telah menikahinya hampir 25 tahun yang lalu.
“Kenapa Datin diam?
Datin malu? Malu sebab kawan baik Datin ni tahu tentang perkara ni?” soal
Melisa kepada wanita yang sudah kebisuan itu.
Segera Datin Azilah
menoleh ke arah Datin Mazni. Dari riak wajah sahabat baiknya itu, dia tahu yang
wanita itu sedang cuba untuk menyembunyikan rasa terkejutnya.
“Datin... kalau saya
jadi Datin saya akan ‘lepaskan’ Dato Ezman. Sekurang-kurangnya perkara itulah
yang akan saya lakukan sebelum saya pergi meninggalkan dunia ini buat
selama-lamanya.” Melisa mengukirkan segaris senyuman sinis. Dia mahu hati
wanita tua itu turut merasai kesakitan yang dirasainya tika dirinya dicaci dan
dihina sebentar tadi.
“Apa yang kau merepek
ni? Kau jangan nak melalut macam orang hilang akal ya! Orang yang sepatutnya
meninggalkan Dato Ezman adalah kau! Dan bukannya kawan baik aku ni. Sama ada
Dato Ezman cintakan atau pun tidak Datin Azilah, mereka tetap jua suami isteri!
Tapi kau... siapa kau untuk memperkatakan hal penceraian di antara mereka?”
Kali ini Datin Mazni pula yang bersuara. Sakit benar hatinya dengan sikap
bongkak model muda itu.
“Aku? Aku adalah
perempuan yang teramat digilai dan dicintai oleh Dato Ezman. Tapi kawan baik
kau ni... dia hanyalah seorang isteri yang langsung tidak pernah dipedulikan
tentang hati dan perasaannya. Mungkin dari lahiriahnya, dia adalah wanita yang
paling bahagia bersuamikan seorang lelaki yang penyayang. Tapi hakikatnya...
hanya dia seorang sahaja yang tahu betapa kesunyian ‘mengunci’ keharmonian
dalam rumah tangga mereka.” Habis menuturkan kata-kata itu, Melisa melangkah
pergi. Ferrari Spyder merah pemberian Dato Ezman dibolosi dan segera kereta
mewah itu berlalu meninggalkan kawasan parkir hotel mewah di ibu kota itu.
“Tak guna punya
betina!!! Kau jangan ingat yang kau boleh terlepas daripada aku! Aku takkan
biarkan kau menghancurkan rumah tangga kawan baik aku ni!” jerit Datin Mazni. Biarpun Datin Mazni tahu yang Melisa
tidak mungkin akan mendengarkan jeritannya itu, tetapi dia tetap jua mahu
melahirkan amarahnya terhadap wanita yang telah mengganggu gugat kebahagiaan
rumah tangga sahabat akrabnya itu.
“You okey ke?” soal
Datin Mazni sambil memimpin Datin Azilah ke kereta mewah miliknya.
Datin Azilah membukakan
pintu kereta di bahagian penumpang di hadapan buat sahabat baiknya itu. Enjin
kereta dihidupkan selepas dia mengambil tempat di bahagian pemandu. Namun
kereta itu masih belum dipacu.
“You nak I kejar
perempuan tu ke?” soal Datin Mazni kemudiannya.
“Tak... tak payah,”
sayu suara Datin Azilah tika ini.
“You okey ke?” Sekali
lagi soalan yang tidak dijawab oleh Datin Azilah sebelum ini ditanyai semula.
“I... I tak sangka yang
Dato sanggup buat I macam ni...” Kali ini tangisan sudah kedengaran.
Segera Datin Mazni
memeluk erat tubuh Datin Azilah, “Sabarlah... I faham perasaan you. Dahlah...
tak payahlah you nak fikirkan lagi tentang apa yang diperkatakan oleh perempuan
tu. You sendiri tahukan yang Dato takkan sanggup untuk membuka aib you.”
“Kalau bukan Dato,
siapa lagi? Hanya kami berdua sahaja yang tahu tentang perkara tu. Hanya I dan
Dato Ezman je yang tahu tentang sebab mengapa Dato terpaksa mengahwini I. I
betul-betul tak sangka yang Dato sanggup aibkan I di hadapan perempuan tak guna
tu. Apa salah I? Apa salah I sampai Dato sanggup buat I macam ni? Apa salah I,
Mazni?” Terenjut-enjut bahu Datin Azilah menahan sengsara di jiwa.
“I... I bukannya nak
sebelahkan Dato. Tapi I percaya yang Dato mempunyai alasannya yang tersendiri.
Tapi I yakin yang Dato tak seburuk yang you sangkakan. Hanya perempuan tu je
yang tak sedar diri! You dengar baik-baik apa yang I nak cakapkan ni... Walau
apa pun yang terjadi you tak boleh berpisah dengan Dato. Kalau you buat macam
tu, ini bermakna you telah memberikan kemenangan kepada perempuan tak guna tu!”
nasihat Datin Mazni kepada Datin Azilah.
“Dia memang dah menang!
Perempuan tak guna tu memang dah menang! Dia berjaya menakluki hati dan
perasaan Dato. Tapi I? I tak pernah dikasihi dan dicintai biarpun seketika oleh
lelaki yang telah menikahi I hampir 25 tahun yang lalu!” tangisan Datin Azilah
menjulang. Hiba di hati Datin Mazni jua
kian bertandang, “Itu I tahu. Tapi kalau you boleh tunggu selama hampir 25
tahun... kenapa you tak boleh nak tunggu untuk sedikit masa lagi?”
Datin Azilah terdiam.
Namun sendu akibat tangisan masih kedengaran.
Di dalam kesedihan dan kekecewaan dia mengakui kebenaran di sebalik
kata-kata yang meluncur keluar dari bibir sahabat baiknya itu.
‘Ya! Kalau aku boleh
tunggu selama hampir 25 tahun untuk menagih kasih dan sayang daripada suami
aku... kenapa tidak sekarang? Biar apa pun yang terjadi, aku takkan ‘lepaskan’
suami aku! Lelaki yang telah menikahi aku hampir 25 tahun yang lalu akan tetap
menjadi milik aku sampai bila-bila! Cinta dan kasihnya tetap jua ku tagih
biarpun diri ini sering diketepikan!’ Tekad bergema di baris-baris akhir bicara
hati Datin Azilah.