1
JULIANA masih leka memerhatikan patung kristal
di hadapannya. Senyumannya memekar saat mata dan hati memuji kehalusan dan
keunikan patung yang berbentuk pasangan kekasih itu. Patung kristal yang diukir
indah itu ‘melahirkan’ si jejaka yang sedang memayungi kekasih hati dengan
menggunakan tangannya.
“Cantiknya...” Mulut melahirkan pujian di hati.
“Cantikkan cik,” tutur seorang juru jual
perempuan yang menghampiri Juliana. Bibirnya menguntum senyum. Sikap biasa bagi
seorang juru jual sepertinya.
“Kalau cik berminat, saya boleh bagi diskaun.”
Masih ramah juru jual itu ‘mengumpan’ sasarannya.
“Saya rasa... saya tak mampulah. Mahal sangat,”
jujur Juliana.
“Mana ada mahal cik. Kalau cik nak, saya boleh
bagi harga istimewa buat cik,” ‘umpan’ juru jual itu lagi.
“Tak apalah. Saya cuma tengok-tengok je.”
Juliana sudah berkira-kira untuk melangkah pergi sementelah dia tahu akan
kemampuan diri. Tidak mungkin untuknya memiliki patung kristal itu. Jumlah yang
perlu dibayar untuk memiliki apa yang diingini itu bukanlah kecil angkanya.
“Nanti dulu cik.” Juru jual perempuan itu
menahan langkah insan di sisinya.
Juliana menghentikan langkahnya. Matanya
menatapi juru jual yang mempunyai sikap bersungguh-sungguh itu.
“Macam ni cik... kalau cik berminat dengan
patung kristal ni, saya boleh bagi cik diskaun,” tutur juru jual itu
kemudiannya.
Juliana masih diam. Dia tahu yang juru jual di
hadapannya itu masih hendak meneruskan percakapannya.
“Saya boleh bagi cik diskaun sebanyak 30%.
Maknanya daripada harga asalnya, RM 4444 kita tolak sebanyak RM 1333.20... cik
cuma perlu bayar RM 3110.80 sahaja.” Jumlah akhir disebut bersama senyuman yang
kian manis.
“Sahaja?... Bagi saya, harga tu masih mahal
lagi. Tak apalah...” Juliana berpaling sekali lagi. Kali ini dia benar-benar
ingin melangkah keluar dari kedai yang menjual pelbagai barangan kristal itu.
“Tapi cik, bukan mudah tau untuk cik nak
dapatkan patung kristal yang begitu unik dan halus buatannya ni. Cik boleh
tengok di mana-mana kedai yang menjual barangan kristal... takkan ada satu pun
patung kristalnya yang mempunyai nilai dan kualiti yang sama dengan patung
kristal ni.” Juru jual itu masih enggan berputus asa.
Dia menghalang langkah Juliana sekali lagi. Kini
dia berdiri betul-betul di hadapan wanita itu. Di tangannya pula tersedia sebuah
patung kristal yang menjadi pujian bibirnya sebentar tadi.
“Saya tahu yang patung kristal ni memang begitu
halus buatannya. Mesti si pengukir mempunyai kemahiran yang tinggi. Tapi
saya... saya tak mampu. Harganya masih mahal buat saya.” Juliana menolak lembut
tangan juru jual itu. Sebagai tanda yang dia benar-benar tidak mampu untuk
memiliki inginan hatinya. Namun entah di mana silapnya, patung kristal yang
sedang dipegang oleh juru jual itu terhempas ke lantai dan berderai.
Membulat mata Juliana. Dadanya berdebar laju.
Dirinya terasa mahu meraung tika ini. Takut seandainya dirinya dipersalahkan.
“Aiyo... apa sulah jadi?” soal seorang wanita
berbangsa Cina. Telo percakapannya jelas menunjukkan ketidakfasihannya bertutur
di dalam Bahasa Malaysia.
“Maaf bos. Tapi bukan salah saya, perempuan ni
yang tolak tangan saya tadi.” Juru jual perempuan itu cuba mempertahankan
dirinya.
“A... apa pula salah saya. Saya tolak tangan
awak dengan lembut. Lagipun saya bukannya tolak patung kristal tu. Saya tolak
tangan awak.” Giliran Juliana pula tampil untuk mempertahankan kebenarannya.
“Lembut awak cakap? Kalau lembut tak adalah
tercampak patung kristal tu. Lagipun awak sendiri dah mengaku yang awak tolak
tangan saya tadi, kan? Sekarang apa lagi alasan awak? Awak mesti bayar ganti
rugi untuk patung kristal ni!” Tinggi nada suara juru jual itu.
Juliana diamuk kegelisahan dan ketakutan. Juru
jual dan empunya kedai kristal itu memandang tajam ke arahnya. Kedua-duanya
bagaikan sudah berpakat untuk ‘menjerut’ dirinya.
‘Ya ALLAH... apa yang perlu aku lakukan ni? Ya
ALLAH... bantulah aku,’ rintih Juliana di hatinya.
“Apa lagi yang you tunggu! Bayarlah. Sulah
hancurkan balang olang, tak mau bayar pula. Kalau you tak mau bayar, saya call polis. Suluh tangkap you!” ugut
tauke perempuan itu.
“Tapi... saya betul-betul tak hempaskan patung
kristal tu. Patung kristal tu tercampak sendiri. Lagipun masa tu, pekerja you
ni yang pegang patung kristal tu. Bukannya saya,” tutur Juliana masih enggan mengaku
bersalah.
“Apa awak cakap! Sekarang ni, awak nak salahkan
saya pula! Kalau awak tak tolak tangan saya tadi, tak adalah tercampak patung
kristal tu!” jerkah juru jual perempuan itu.
Kini, dia dan bosnya menghampiri Juliana.
Sejengkal sahaja jarak mereka dengan insan yang sudah teriak ketakutan di
wajahnya itu.
Juliana menjarakkan perlahan tubuhnya. Takut
untuk berhadapan dengan ‘singa-singa’ betina di hadapannya itu, ‘Ya ALLAH...
tolonglah aku. Bantulah aku Ya ALLAH. Aku benar-benar memerlukan pertolonganMU
saat ini...’ Doa terus-terusan dipanjatkan pada Yang Maha KUASA.
“I kata lepaskan I!” terdengar seorang lelaki
menjerit. Jeritan itu kedengaran di hadapan pintu utama kedai kristal itu.
Juliana tertoleh ke belakang. Jeritan lelaki itu
menggamit dirinya. Tanpa disangka-sangka, sepasang mata garang milik lelaki itu
bersimpul dengan pandangan sayu miliknya. Buat seketika pandangan mata mereka
bersatu.
“Apa yang you pandang-pandang tu!” Garang
seorang wanita berskirt pendek memarahi lelaki bertubuh bidang itu.
“I pandang buah hati I. Takkan salah kot.”
Lelaki itu mengenyitkan matanya dan melangkah masuk ke kedai kristal itu. Dia
menghampiri wanita berkebaya nyonya di hadapannya.
“Apa maksud you?!” terjerit wanita seksi itu
saat dirinya melangkah laju menghampiri lelaki idamannya itu.
“Maksud I... Inilah kekasih hati I,” tutur
lelaki kacak itu bersama segaris senyuman menggoda. Senyuman itu ditujukan khas
buat wanita di sisinya.
Juliana terlopong. Matanya membulat saat lelaki
di sisinya itu melahirkan kata-kata itu. Dirinya dijadikan kekasih hati lelaki
itu? Tapi kenapa? Bila masa pula dia ada menjalinkan hubungan istimewa dengan
lelaki itu? Apatah lagi, dia langsung tidak pernah mengenali siapakah lelaki
bertubuh tinggi lampai itu!
“You jangan nak main-mainkan I!” jerit wanita
seksi itu lagi.
“I tak pernah main-mainkan you. Dah lama dah
sebenarnya I nak perkenalkan buah hati I ni dengan you. Cuma tak ada kesempatan
je,” senyuman melebar di bibir lelaki kacak itu.
“Asyraf! Cukup! Jangan nak main-mainkan perasaan
I lagi. I tahu yang you langsung tak ada hubungan dengan perempuan ni!” Kian
cengil wajah wanita seksi itu tika ini.
‘Ooo... Asyraf nama mamat ni,’ celah hati
Juliana.
“I tak pernah nak main-mainkan perasaan you Mel.
Memang selama ni I langsung tak pernah ada hati pun dengan you. Cuma you tu je
yang tak boleh nak terima hakikat. Sekarang... I harap you tolong hentikan
kegilaan you tu! Tolong jangan ganggu hidup I lagi!” Tegas kata-kata Asyraf.
‘Mel! Takkanlah dia ni... emm... takkanlah dia
ni model terkenal tu?’ teka hati Juliana. Dia merapatkan dirinya dengan wanita
berpakaian seksi di hadapannya itu.
Mel berasa tidak senang dengan sikap
‘pesaingnya’ itu. Asyraf pula cuba menghalang langkah wanita yang langsung
tidak diketahui akan namanya itu. Tetapi wanita itu terlebih awal mendapatkan
Mel.
“Awak... awak ni Melisa, kan? Model terkenal
tu?” soal Juliana.
Berubah riak muka Melisa. Dia menolak perlahan
kaca mata hitam yang dipakainya. PAnya di sisi, ditoleh.
“Maaf. Cik salah orang ni.” Baizura yang merupakan
PA kepada Melisa terus bersuara.
“Tak! Saya tak salah orang. Awak ni pula,
Baizura, kan? PA kepada Cik Melisa?” Juliana terus cuba untuk mendapatkan
kepastian.
“Cik... cik betul-betul dah salah orang ni.”
Baizura masih meneruskan pembohongannya.
“Sayang... tak payahlah you nak teka-teka lagi.
Memang pun perempuan yang selalu kacau I ni namanya Melisa aka Mel, model terkenal tu.” Asyraf mendapatkan kembali wanita
berkebaya nyonya dan berseluar panjang itu.
“Mel... I rasa lebih baik kita balik dulu sebelum
paparazzi dekat luar sana tu dapat cari you. Lagipun, keadaan makin ‘panas’
sekarang ni.” Baizura menasihati model terkenal itu.
Melisa mendengus. Amarah di hatinya kian
membara. Di sebalik kaca mata hitam itu dia ‘memanah’ sepasang mata milik
wanita di sisi lelaki idamannya itu dengan sejuta kebencian.
“Baik. I akan beredar dulu. Tapi... itu tidak
bermakna yang I akan lepaskan you Asyraf. You tetap akan jadi milik I sama ada
you suka atau pun tidak dan kau! Lebih baik kau berhati-hati, sebab aku takkan
teragak-agak untuk ‘melenyapkan’ perempuan murahan macam kau ni!” amaran keras,
Juliana terima sebelum wanita bongkak itu dan PAnya berlalu pergi dari kedai
kristal itu.
‘Kurang ajar! Tak ada sesiapa pun yang berani
panggil aku perempuan murahanlah, biol!!!’ Sakit hati Juliana saat penghinaan
itu menjamahi telinganya.
Juliana terus menoleh ke sisi. Wajah lelaki yang
baru pertama kali ditemuinya itu dipandang tajam. Dia mahu lelaki itu
menjelaskan segala-galanya! Dia mahu lelaki itu menerangkan mengapa harus dia
yang dijadikan kekasih olok-olok lelaki itu?!