HARI ini, waktu rehat tengah hari lebih panjang. Rus dan
Nurul awal-awal lagi telah membeli makanan di restoran dan mahu makan di pantri
sahaja. Waktu tengah hari begini memang ramai pelanggan lelaki memenuhi
restoran.
Selepas makan, mereka akan menunaikan solat Jumaat di masjid
berhampiran pula. Itu yang menyebabkan Rus dan Nurul ambil keputusan makan di
pejabat. Selain sukar mendapat tempat duduk, tentu sahaja berasa segan dan
tidak selesa. Orang lelaki ini, pantang kalau ada orang perempuan di hadapan
mata. Ada sahaja perkara yang mahu mereka lakukan demi menarik perhatian kaum
hawa.
Selesai makan, Nurul melepak di kubikel Rus. Amy tiada
bersama. Setiap pagi Jumaat, gadis itu selalu ada mesyuarat di luar.
Kadang-kadang dia akan makan di restoran berhampiran pejabat klien. Tetapi
semenjak ada pujaan hati, dia sanggup menahan lapar dan makan di restoran biasa
yang dia kunjungi.
Baru sahaja Rus duduk menyandar sambil memejamkan mata, suara
Amy sudah kedengaran. Rus tersenyum memandang wajahnya yang kemerah-merahan.
“Hai korang!” Amy yang baru balik terus menerpa ke meja Rus.
“Kau ni apa hal? Cuba bernafas dengan tenang dulu baru buka
mulut,” tegur Nurul.
“Sungguh aku tak
sangka, korang pun mesti terkejut,” sambung Amy kemudian menarik nafas
dalam-dalam lalu dilepaskan.
“Apa dia?” Rus juga jadi tidak sabar apabila Amy berkata
begitu.
“Pasal jejaka misteri aku tu la…”
“Hmm… cerita apa pulak kali ini?” tanya Nurul.
“Aku ternampak dia pergi solat Jumaat kat masjid depan tu,”
beritahu Amy.
“La… nak bagi tahu itu aje ke?” keluh Nurul. Dia ingatkan ada
cerita yang lebih sensasi.
“Entah apa-apa la si Amy ni! Dah hari ni hari Jumaat,
mestilah dia solat Jumaat kat masjid,” sampuk Rus.
“Korang ni otak lembap betul. Sekarang dah terjawablah kenapa
aku hanya terjumpa dia setiap hari Jumaat aje,” jelas Amy.
“Ooo… macam tu,” balas Nurul.
“Lagi satu, confirm
dia calon suami yang soleh. Sekarang ni bukan senang nak jumpa lelaki yang
menjaga solatnya,” beritahu Amy lagi.
“Beruntunglah siapa yang dapat dia...” ujar Rus.
“Akulah yang beruntung tu!” Cepat sahaja Amy menyambung ayat
Rus.
“Hmm… kali ini apa lagi yang kau tahu pasal dia?” tanya Nurul
pula.
“Lepas ni, aku dah tahu nak cari siapa kalau nak selidik
pasal dia,” beritahu Amy sambil tersengih. Wajah yang sedikit berpeluh dia lap
dengan tisu.
“Kau kena berjumpa dengan siapa pulak?” Nurul bertanya lagi.
“Rupanya selama ni dia baik dengan tauke restoran, si mamak
tu,” jelas Amy.
“Kalau macam tu, senanglah kerja kau lepas ni,” sampuk Rus
pula.
“Memang senang banyak! Balik rumah nanti, aku cuma perlu
senaraikan apa saja informasi yang aku nak tahu pasal dia. Mamak akan tolong
aku dapatkan jawapannya.”
“Kau ni betul-betul serius ke, Amy?” tanya Nurul yang melihat
kesungguhan Amy sejak dari pertama kali terjumpa lelaki misteri itu.
“Percintaan perlu diusahakan, barulah ia mudah mekar dan
asyik untuk dinikmati,” tutur Amy dengan senyuman.
“Amboi kau! Dah jadi minah jiwang pulak,” usik Rus. Tidak
menyangka Amy akan berbicara begitu.
“Bila dah bercinta nanti, ada langkah lain pulak perlu aku buat,”
tambah Amy.
“Langkah apa pulak ni, Amy? Aku yang bercinta dengan kekasih hati
tak pakai langkah-langkah pun. Main redah aje!” gurau Nurul pula.
“Kena ikut tip jugak, baru boleh berjaya. Kalau nak bercinta tak
boleh terbiar begitu aje. Kena disirami dengan kasih sayang. Kalau tak dibaja dengan
kemesraan, layulah dia,” jelas Amy yang mahu berkongsi tip.
Menggeleng Rus mendengar tip daripada Amy. Tetapi, boleh juga
dia guna selepas berkahwin nanti.
“Kau tak takut ke kalau akhirnya kau gagal memikat jejaka
idaman kau tu?” tanya Nurul.
“Apa maksud kau?”
“Kadang-kadang
kita rasa kita sudah bersedia untuk bercinta, tapi hakikatnya masih belum bersedia. Kita jugak belum tentu
mampu untuk menghadapi kekecewaan yang mungkin akan terjadi.” Panjang lebar
pula Nurul menjawab pertanyaan Amy.
“Aku
dari awal dah siap sedia untuk bercinta. Apa aje dugaan yang datang tetap akan
aku tempuh. Kalau perlu berebut dengan orang lain, aku okey aje. Barulah
mencabar!” jawab Amy dengan yakin.
“Nampaknya
kau serius sungguh dengan lelaki tu,” sampuk Rus.
“Dia
adalah jejaka idaman aku sebab memenuhi segala kriteria yang aku nak. Serius, aku
akan berusaha untuk dapatkannya,” ujar Amy.
“Tengok
kawan kita ni, Rus. Kalah dengan kita yang dah ada calon untuk kahwin!” perli
Nurul.
“Tulah,
nasib kita tak berebut dengan dia,” balas Rus.
“Korang
jaga ajelah bakal suami korang tu. Aku punya jangan nak kacau,” pesan Amy.
“Yalah Cik Amy. Kau
punya, kau punya aje. Memang kita orang tak boleh nak kongsi!” balas Rus.
“Okeylah, aku nak ke
tempat aku,” ujar Amy dan terus beredar.
SELEPAS Amy dan Nurul beredar menuju ke kubikel
masing-masing, Rus membelek telefonnya. Tiba-tiba
iaberdering pula.
‘Private number, siapa
pulak?’ Dia teragak-agak sama ada mahu menjawabnya atau tidak.
Akhirnya Rus jawab juga panggilan itu, mana tahu andai ia
panggilan penting.
“Ya, nak cakap dengan siapa?” Rus bertanya dengan tenang.
“Hai, awak sihat?”
Mendengar suaranya, Rus sudah boleh agak ia panggilan
daripada siapa. Mimpi apa pula lelaki itu menelefonnya? Dia mula
berdebar-debar.
“Rus?”
“Ya, saya sihat,” jawab Rus sambil menahan debaran di dada.
Entah kenapa, mendengar suaranya sahaja sudah buat dia jadi tidak keruan. Mujur
tidak bersemuka.
“Awak suka manisan?”
“Sukalah jugak.” Acuh
tak acuh sahaja Rus menjawab. Padahal dia memang suka juga makan sesuatu yang
manis, namun dalam jumlah yang terhad.
“Okey, nanti ada orang akan hantar kat ofis awak.”
“Hah?” Rus seakan tidak percaya mendengarnya. Ingatkan lelaki
itu sekadar bertanya.
“Tiga minit lagi turun kat receptionist. Okay, bye.”
Talian terus terputus.
Dalam kurang percaya, tidak berapa lama kemudian Rus turun
juga ke tingkat bawah. Dari jauh, Kak Zai yang bertugas di kaunter penyambut
tetamu sudah tersenyum-senyum memandangnya.
“Macam tau-tau aje ada hadiah untuk Rus,” usiknya Kak Zai.
“Ada hadiah untuk saya ke? Siapa yang hantar kak?” Sengaja
Rus pura-pura bertanya.
Kelihatan tiga kotak heksagon berlainan saiz diikat bersama
dengan reben berhampiran telefon. Rus sudah dapat mengenal pasti manisan apa
yang dihadiahkan kepadanya. Memang hadiah yang dibeli dari luar negara! Adakah
lelaki itu baru balik dari Turki? Rus tertanya sendiri.
“Rus tak tahu ke?” Kak Zai bertanya balik. Dia berasa hairan
pula apabila Rus tidak tahu pengirimnya.
Rus terpaksa menggeleng untuk mengelakkan pertanyaan lain
yang mungkin Kak Zai tanya. Nanti dia juga yang susah hendak menjawabnya.
“Katanya, manisan ni dari kayangan,” gurau Kak Zai pula
sambil tersenyum simpul.
“Akak ni…” jeling Rus.
“Tak adalah! Akak masuk aje, hadiah ni dah ada kat sini.
Nasib ada nama penerimanya. Kalau tak, kita pakat makan ramai-ramai,” jelas Kak
Zai.
“Akak memang! Suka usik saya,” balas Rus sambil membuka reben
yang mengikat tiga kotak manisan itu. Rus terus membelek kotak yang paling
kecil.
“Sebenarnya siapa yang hadiahkan kat Rus?” Kak Zai tetap mahu
tahu juga.
“Saya pun tak pasti kak, tak tulis nama pun. Orang nak bagi,
saya ambik aje. Kenyang perut, suka hati!” Bersahaja Rus menceriakan suasana.
Kak Zai ketawa berdekah-dekah mendengar gurauan Rus.
“Ni untuk akak.” Rus menghulurkan kotak manisan yang bersaiz
sederhana kepada Kak Zai.
“Terima kasih, Rus. Dapat jugak akak dan anak-anak merasa
manisan dari luar negara ni. Nak ke sana memang tak mampu,” ucap Kak Zai dengan
terharu.
“Alah, Turkish Delight aje pun. Bukanlah istimewa sangat…” balas
Rus. Dia tidaklah begitu teruja dengan pemberian lelaki itu.
“Tentulah istimewa. Bila kita diberikan hadiah, itu tandanya
ada kita dalam hati seseorang…” tutur Kak Zai dengan penuh makna.
Terbatuk Rus mendengarnya. Benarkah?