Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,565
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 20

‘YA ALLAH… semoga semuanya cepat berlalu dan berakhir. Aku dah tak larat dan mahu lari dari semua ini,’ bisik hati Rus.

Perjalanan balik ke Ipoh masih jauh. Setiap kali balik ke rumahnya di Kampung Sungai Rokam, Rus menggunakan perkhidmatan ETS. Haji Rosman akan menjemputnya apabila sampai di stesen Ipoh.

Kereta Waja milik abahnya hanya dia guna untuk ke pejabat sahaja. Andai keluar pada hujung minggu, selalunya menggunakan kereta Nurul atau Amy. Satu kebetulan pula apabila mereka bertiga mewarisi kereta lama bapa masing-masing. Cuma kereta Rus tidaklah semewah kereta Nurul mahupun Amy. Mereka berasal daripada keluarga orang berada.

Sebenarnya, dia dapat agak kenapa abahnya suruh balik lebih awal. Pasti sahaja hendak beritahu pasal Huzaif yang sudah berkahwin dan sudah punya anak. Huh! Mengingatkan lelaki itu berkahwin diam-diam di luar negara, buat hatinya sakit juga.

Paling membuat Rus risau, duit hantaran perkahwinan sudah habis dibelanjakan. Malah, semua persiapan juga telah dibuat, cuma menunggu hari pernikahan sahaja. Kalau ikutkan hatinya yang marah, memang dia mahu saman sahaja pihak lelaki.

Malam tadi, Haji Rosman menghubunginya dan menyuruh balik secepat mungkin. Abahnya cuma beritahu keluarga Huzaif ada datang ke rumah, tetapi tidak mahu bercerita lebih lanjut. Rus tetap berasa risau walau abahnya tenang sahaja.


TIBA di stesen Ipoh, dari jauh Rus sudah nampak wajah abahnya. Rupanya Haji Rosman awal-awal lagi sudah menunggunya. Rus menyalam dan mencium tangan abahnya seperti selalu.

“Bagi abah beg Rus tu,” pinta Haji Rosman dan terus menarik beg pakaian Rus menuju ke kereta.

“Kenapa abah nak Rus balik cepat? Ada apa-apa ke?” Rus tidak sabar hendak tahu.

“Tak elok kita bincang kat sini. Kat rumah nanti mak akan cerita semuanya pada Rus,” beritahu Haji Rosman sambil memasukkan beg ke dalam boot kereta.

“Abah, jangan buat Rus saspens pulak!” Ini yang membuat Rus bertambah tidak keruan.

Sekilas Haji Rosman memandang anaknya. “Kat rumah nanti Rus akan tahu. Bersabarlah,” pujuknya.

“Okeylah…”

Rus sudah tidak sedap hati apabila abahnya berkata begitu. Andai abahnya tidak mahu bercerita dan emaknya pula yang akan beritahu semuanya, pasti ada perkara yang lebih serius.

Dalam perjalanan, Rus juga berasa pelik kerana abahnya tidak mahu berbual langsung. Sebaik tiba di rumah, kelibat emaknya yang dicari terlebih dahulu.

“Rus, mari sini,” panggil Hajah Kalsum yang sedang menanti ketibaan anaknya. Gerakan tangan yang lembut menggamit anaknya agar duduk di sampingnya.

Rus segera menghampiri dan melabuhkan punggungnya di sofa.

Hajah Kalsum memandang sayu anak gadisnya. Sejak Haji Rosman bertolak menjemput anaknya, hatinya sentiasa tidak tenang. Dia tetap bimbang dengan penerimaan Rus tentang masa hadapannya.

“Abah kata mak ada benda nak beritahu Rus.” Rus bertanya setelah bersalam dengan emaknya.

“Betullah tu. Ni pasal pertunangan Rus dengan Huzaif.” Hajah Kalsum mengeyakan walau berat hendak membuka mulut. Namun dia perlu beritahu juga keputusan yang telah dibuat.

“Mak, kalau Che Jamaliah nak putuskan pertunangan, Rus tak ada masalah...” ucap Rus perlahan.

Hajah Kalsum sedikit terkejut mendengarnya. Andai Rus sudah berkata begitu, pasti sahaja anaknya sudah maklum tentang Huzaif.

“Kalau mak nak cakap pasal duit hantaran yang dah terpakai tu, Rus boleh bayar balik,” sambungnya.

Hajah Kalsum menarik nafas dalam-dalam. “Bukan sebab tu, Rus…” Sebak hatinya mendengar bicara anaknya. Masih lagi mahu berbahasa walau diri telah teraniaya.

“Habis tu, sebab apa?”

“Che Jamaliah nak Rus jadi menantu dia jugak.” Akhirnya terucap juga. Tadi, Hajah Kalsum berkira-kira sendiri bagaimana hendak beritahu anaknya dengan cara yang terbaik.

“Hah?! Rus tak nak jadi isteri nombor dua Huzaif!” Rus terus membantah.

“Jadi, Rus dah tahu yang Huzaif dah berkahwin?” soal Hajah Kalsum.

Rus mengangguk perlahan.

“Dengar dulu. Mak pun tak nak Rus berkahwin dengan Huzaif…” Hajah Kalsum beritahu pendiriannya.

“Habis tu dengan siapa? Che Jamaliah mana ada anak lelaki lain, kan?” potong Rus.

“Memang la, tapi arwah Tuan Rashid ada anak lain dengan bekas isteri pertama dia,” beritahu Hajah Kalsum.

Rus tergamam mendengarnya. Rasa saluran darah ke jantung tiba-tiba tersumbat. Sukar hendak menerima apa yang sedang terjadi ketika ini.

“Dengar tak apa mak cakap ni? Arwah Tuan Rashid ada anak lain dengan isteri pertama. Dialah yang akan gantikan tempat Huzaif,” terang Hajah Kalsum.

“Mak, kenapa semua orang tak tanya Rus dulu? Yang nak kahwin Rus, bukan Che Jamaliah atau orang lain!” Saat ini, tidak semena-mena air mata Rus sudah terhambur.

“Mak dan abah dah tak tahu nak cakap macam mana. Che Jamaliah nak Rus jugak jadi menantu dia.” Hajah Kalsum menerangkan keadaan sebenar.

“Nak pulak anak tiri Che Jamaliah tu kahwin dengan Rus? Jumpa pun tak pernah!” Rus merengus sambil menyeka air matanya. Geram dengan apa yang berlaku.

“Che Jamaliah kata, Shah sendiri yang tawarkan diri untuk jadi suami Rus. Tak ada sesiapa pun yang paksa dia,” jelas Hajah Kalsum.

“Ini yang Rus tak suka! Dahlah dulu Rus kena dengar cakap semua orang. Sekarang pun Rus tak boleh buat keputusan sendiri. Ini tentang masa depan Rus, Mak. Tak boleh ke kali ini Rus yang tentukan sendiri?” Air mata yang cuba ditahan, bergenang lagi.

“Janganlah cakap macam tu, Rus. Semua persiapan dah dibuat. Cuma pengantin lelaki yang berubah,” pujuk Hajah Kalsum.

“Tak boleh ke batalkan aje majlis ni? Rus tak nak!” Rus cuba membantah.

“Shah sendiri dah berjumpa mak dan abah. Dia bersungguh nak kahwin dengan Rus, takkanlah mak dan abah nak menolak?”

“Rus nak larilah kalau macam ni. Ingat kahwin-kahwin ni, boleh paksa ke?” luahnya dalam kesedihan.

Ketika ini, air mata Rus sudah semakin laju membasahi pipi. Kenapalah semua orang tidak mahu memahami dirinya?

“Rus, mak tahu Rus anak yang baik. Boleh tak Rus terima ketentuan ni dengan lapang dada?” pujuk Hajah Kalsum sambil memegang bahunya.

Hajah Kalsum sendiri tidak mudah untuk bersetuju dengan keputusan suaminya. Dirinya turut kasihan dengan anaknya kerana menjadi mangsa keadaan. Namun, entah kenapa kali ini suaminya yakin Shah adalah pilihan yang terbaik.

“Lapang apanya? Rus langsung tak diberi pilihan!” balasnya sambil menahan sebak di dada.

Andai dia menangis sampai air mata bertong-tong sekalipun, sudah tidak berguna. Memang tiada ruang untuk dia membuat sebarang bantahan. Keinginan mencari jodoh sendiri berkubur dan terpaksa disimpan dalam laci. Akhirnya Rus membawa diri ke biliknya.


‘SHAH? Siapa pulaklah lelaki itu?’ Rus tertanya sendiri. Dahulu dia sendiri pun tidak sempat mengenali Huzaif dengan lebih rapat. Alih-alih kena berkahwin dengan orang yang tidak dikenali juga.

Rus mengeluh dengan nafas yang berat. Kenapalah mak dan abahnya suka buat dirinya tertekan? Dari kecil sampai besar, semuanya telah diatur untuk dia ikuti. Baru tersuka dengan orang lain, sudah terpaksa dilupakan. Sekali lagi dia terpaksa mengenepikan perasaan di hati. Ke mana lagi hati hendak dia bawa? Shah bukan jodoh yang dia inginkan!

Rus menangis lagi, tapi kini tanpa suara. Sepanjang malam dia sukar melelapkan mata. Sudahnya dia meletakkan tangan di bawah kepala. Mata dipejam sambil berharap masalah yang datang segera pergi.

Apabila terasa kepalanya sakit dan berdenyut-denyut, dia memicit perlahan kepalanya. ‘Ya ALLAH, jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang sabar dan patuh kepada-Mu dan kepada ibu bapaku,’ doanya dalam sendu.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.