RUS panas punggung mengenang insiden
tadi walaupun mat salih berlagak biasa sahaja. Dia tidak betah untuk
berpura-pura tiada apa yang berlaku. Ke mana dia hendak melarikan diri? Dalam
mindanya hanya ada dua perkara sahaja yang terlintas. Bersiar-siar di setiap
koc atau terus pergi ke bar F & B di koc C.
Pilihan terbaik tentu sahaja menuju ke
koc C. Di sana dia boleh mengisi perut dan duduk berlama-lama. Tetapi dia perlu
meminta jejaka di sebelahnya ini memberi ruang untuk dia keluar. ‘Aduhai… payah
jugak bila duduk di kerusi tepi tingkap ini,’ keluhnya.
Baru sahaja Rus berkira-kira hendak
membuka mulut, tiba-tiba mat salih itu bangun. Rus mengurut dada. Apabila
menyedari lelaki itu menuju ke tandas, Rus bingkas bangun dan menuju ke koc C.
Tiba di bar F & B, dia memesan air Nescafe
dan mihun goreng. Selepas buat pembayaran, dia mengambil tempat di kerusi yang
paling hujung. Perlahan-lahan dia mengacau air Nescafe yang masih panas,
kemudian menyisipnya. Mihun yang dibeli hanya dipandang, tidak teringin pula
hendak menjamahnya.
Ketika ini tiada penumpang lain yang
berada di situ. Mungkin sahaja masing-masing sudah mengisi perut sebelum
menaiki tren. Rus pula hanya menjamah lempeng pisang sewaktu bersarapan
walaupun emaknya ada memasak nasi lemak. Bukan dia tidak suka, cuma takut sakit
perut dalam perjalanan.
Sementara itu, dia melayari Facebook di
telefon pintarnya. Apabila tiada isu yang menarik, dia beralih menghayati
pemandangan di luar pula. Namun, apa sangatlah yang dapat dipandang andai tren
ini berdesup bukan main laju. Kadang-kadang menghampiri 150km/jam juga!
Begitulah kelajuan yang tercatat pada skrin monitor sewaktu Rus berada di
tempatnya.
Lima belas minit berlalu dan dia masih
di situ. Termenung, berangan dan ulang
lagi bagi menghabiskan masa. Sebenarnya dia berasa tidak begitu selesa, tapi
sekurang-kurangnya dia dapat menghilangkan diri sebentar. Tidaklah asyik serba
salah duduk di tempatnya.
Tadi sahaja mat salih itu sering
menjelingnya dengan ekor mata, macamlah dia tidak perasan. Kononnya leka
membaca dan meneliti dokumen, namun kerap juga lelaki itu mencuri pandang ke
arahnya.
‘Eh, bukan aku ke yang asyik curi
pandang kat dia?’ Tiba-tiba Rus tersenyum. Geli hati dengan gelagat sendiri. Masih
ada hati menyalahkan orang lain, padahal dirinya yang berlebih!
“Manis!” sebut satu suara.
Rus tersentak dan segera menoleh
sebelahnya. Oh tidak, kini mat salih juga sudah berada di koc C? Mereka cuma
dijarakkan dengan sebuah kerusi yang kosong di tengah.
“Maksud saya air Nescafe ni manis,” ujar
lelaki itu sebaik menyedari Rus mengerut dahi.
‘Alahai, mat salih! Kau ingat aku
perasan yang kau kata aku manis ke?’ Rus mengomel dalam hati.
“Tak sangka duduk kat sini rasa syok
pulak. Bergoyang-goyang badan dibuatnya. Hati pun rasa goyang-goyang jugak!”
‘Goyang-goyang?’ Rus terpaksa menahan
diri dari ketawa. Pada masa yang sama pura-pura tidak peduli bicara lelaki itu.
Sah, taktik hendak mengajaknya berbual. Bukan dia tidak dapat membaca niatnya.
“Awak?” panggil mat salih sambil
mengetuk meja beberapa kali.
“Kalau awak nak, makanlah mihun saya ni.
Tiba-tiba rasa kenyang pulak,” pelawa Rus sambil menolak bungkusan mihun ke
sebelah kiri cawannya.
“Hmm… tapi tak cukup dengan mihun aje.
Saya nak yang lain boleh?”
Nampaknya mat salih masih mahu mencuba
nasib. Untung Sponge Bob timbul, untung The Rock tenggelam!
“Boleh…” balas Rus, selamba.
“Betul?” Mat salih seakan tidak percaya.
Siap jegilkan mata.
“Boleh blah!” ucap Rus dan cepat-cepat
beredar menuju ke koc B. Dia rasa hendak ketawa juga kerana dapat kenakan mat
salih itu.
Sampai di tempatnya, Rus terus
menghenyakkan dirinya. Kini dia mencari akal bagaimana hendak mengelak dari
lelaki itu. Melihat jam di tangan buat dia sesak nafas. Dia terpaksa
menghadapnya sekurang-kurangnya lagi satu setengah jam. Lama gila tu! Takkan
dia hendak berlagak jadi patung Barbie dan buat tidak tahu sahaja?
Paling-paling pun dia hanya boleh
berpura-pura sibuk melayari internet atau Facebook. Tak pun menghubungi Amy dan
ajak dia berbual. Namun itu bukan pilihan yang bijak. Gadis itu mesti bertanya
pasal mat salih di sebelahnya. Paling dia tak suka, tentu sahaja bil telefonnya
akan naik! Baiklah dia berjimat cermat.
“Sibuk ke? Sedap mihun tadi. Terima
kasih ya,” ucap mat salih ketika duduk di tempatnya. Seperti tadi, dia kembali
memakai tali pinggang keledarnya.
Rus sekadar mengangguk dan melemparkan
pandangan ke luar tingkap. Saat ini hujan sudah turun membasahi bumi. Terasa hendak berselimut sahaja apabila suhu penghawa dingin agak sejuk. Sesekali
dia menggosok-gosok kedua tapak tangannya. Namun, tiada apa yang berubah. Dia
berasa semakin sejuk pula.
“Awak sejuk ke? Saya ada sweater, nak
pinjam?” tanya mat salih yang perasan Rus dalam kesejukan.
“Tak apalah.” Rus segera menolak
walaupun ketika ini dia amat memerlukannya. Biarlah dia kedinginan dari memakai
sweater orang yang tidak dikenali. Silap hari bulan, entah penyakit apa yang
akan hinggap di tubuhnya. Baiklah dia elakkan dari mencari nahas.
“Ni sweater baru yang dah dibasuh. Saya
tak pernah pakai lagi, ambillah.” Mat salih masih berharap Rus tidak menolak
pelawaannya.
Rus serba salah. Lelaki itu bagai
tahu-tahu sahaja apa yang bermain di fikirannya.
“Awak… pakailah! Nanti selsema. Kalau
sampai tahap menggigil, tak ada siapa yang boleh tolong awak,” pujuk lelaki itu
apabila Rus masih jual mahal.
“Terima kasih.” Akhirnya Rus mengalah
juga.
“Sama-sama.”
Sweater yang dihulurkan dia sambut
dengan rasa amat bersyukur, tetapi dalam hati sahaja. Tidak mahu berlebih di
hadapan lelaki itu.
Sungguh, kedinginan kali ini mencengkam hingga
ke tulang hitam. Walaupun sedikit besar, Rus berasa selesa setelah memakainya.
Bau pencuci Dynamo menyakinkan Rus sweater itu telah dibasuh.
“Kan dah okey?” Sebuah senyuman turut terukir
di bibir mat salih. Gembira sekali kerana dapat memberi sedikit pertolongan.
“Maaf sebab kutuk awak pasal tali
pinggang keledar tu,” pohon Rus, namun tidak berani memandang wajah orang
sebelah.
“Tak apa. Sebenarnya saya selalu
tertanya-tanya…” Mat salih berhenti seketika.
Rus terpaksa memandangnya. Takkanlah
tidak mahu memberi sebarang respons. Orang telah berbudi, seharusnya dia
berbahasa.
“Kenapa ya, gadis Melayu begitu skeptikal
dengan perkara baik yang jarang dilakukan orang lain?” sambungnya sambil
merenung Rus.
“Maaf sekali lagi. Hanya saya yang
skeptikal dengan apa yang awak buat. Awak jangan salah faham, bukan semua gadis
Melayu begitu,” ujar Rus agar lelaki itu tidak tersalah anggap.
“I
see. By the way, wajah saya ni
macam putera raja dari kayangan ke?” tanya mat salih. Wajahnya memang bercahaya
ketika menuturkan soalan cepu cemas buat gadis di sebelahnya.
Aduhai… ini yang buat Rus mahu melompat
keluar dari tren ETS ini!
Sepi. Tiada jawapan daripada Rus.
Tidak berapa lama kemudian kedengaran
sebuah keluhan kecil dilepaskan. “Okey… saya faham yang awak tak selesa duduk
di sebelah saya. Saya janji takkan kacau awak,” tuturnya sambil mengenyitkan
mata.
Rus sekadar tersenyum dan berasa amat
lega mendengarnya.
Mat salih sambung buat kerja. Dia
kembali meneliti dokumen yang dibawanya.
Rus pula sudah mati kutu dan tidak tahu
hendak buat apa. Lama-kelamaan, matanya kian kuyu dan layu. Akhirnya dia
terlena juga.