RUS masih dengan
kerisauan di hati. Sejak semalam, hatinya masih belum tenang. Kenapalah Huzaif
tidak balik lebih awal? Begitu pun sama ada suka atau tidak, dia perlu menerima
dugaan yang menimpa dirinya. Walaupun menyakitkan, terpaksa dia telan dan
lalui.
“TUHAN izinkan kita
disakiti agar nanti kita tahu untuk mengubati orang yang terluka,” pujuk Nurul
yang turut bersimpati dengan Rus.
Kali ini, dia menjadi pakar motivasi pula. Mahu memberikan
kata nasihat dan perangsang buat sahabat yang disayangi. Hubungan baik Nurul
dengan gadis itu bukan sekadar rakan serumah dan sepejabat, malah seperti
adik-beradik. Andai Rus susah hati, dia juga akan berasa tidak tenang.
“Padanlah dengan muka aku, kan?” Dalam sedih, Rus mengutuk
diri sendiri pula.
“Hish kau ni… tak baik cakap macam tu!” tegur Nurul yang
tidak suka Rus mengutuk diri sendiri.
“Sebenarnya aku tak pernah rela dengan pertunangan kami.
Memang aku amat berharap Huzaif akan putuskan pertunangan,” terang Rus.
“Kau biar betul? Kenapa selama ini kau tak cakap dengan aku?” Nurul buat muka terkejut dengan
penjelasan Rus, padahal dia sedia maklum tentangnya.
“Kalau aku cakap sekalipun, kau bukannya boleh buat apa,”
balas Rus.
“Sekurang-kurangnya kau boleh kongsi masalah dengan aku.
Kadang-kadang kita akan rasa sedikit lega bila dah luahkan kat orang lain
walaupun masalah sukar hendak diselesaikan,” ujar Nurul sedikit hampa.
Ingatkan tiada rahsia di antara mereka. Rupanya ada perkara
Rus kongsikan dengan dirinya dan ada yang dikongsikan dengan Amy sahaja.
“Sekarang ni aku tengah pening. Persediaan majlis telah
dibuat. Aku tak pasti macam mana mak dan abah aku nak hadapi semua ni,” keluh
Rus.
“Nak buat apa lagi? Kena terima dan reda ajelah. Melainkan
kau ada calon lain.”
“Kau ni ke situ pulak!”
“Dari membazir, baik teruskan majlis dengan calon yang lain.
Ada calon tak?” tanya Nurul. Manalah tahu dalam diam Rus mencintai lelaki lain.
“Banyaklah kau punya calon!”
“Kalau macam tu, tak payah pening-pening. Terus tukar jadi
majlis doa selamat, habis cerita.” Mudah sahaja Nurul memberi jalan
penyelesaian.
“Itu aje pun alternatif yang ada. Cuma lepas ni, muka mak dan
abah aku memang teballah,” ujar Rus. Andai dirinya yang berada di tempat emak
dan abahnya, memang boleh demam seminggu!
“Harap kau banyak bersabar. Amy tahu tak?” tanya Nurul sebaik
teringatkan sahabat mereka yang seorang lagi.
“Aku tak beritahu dia lagi. Sekarang ni, dia pun ada masalah
jugak. Tak naklah susahkan dia dengan masalah aku pulak,” terang Rus.
“So macam mana
sekarang ni?” tanya Nurul. Wajah Rus dipandang dengan penuh simpati.
“Aku hanya mampu bersedih…”
“Percayalah cakap aku, apa yang kau sedihkan itu akan buat
kau gembira dan tenang pada masa yang lain,” tutur Nurul.
“Kau takkan faham perasaan aku. Kau tak alami apa yang aku
rasa,” keluh Rus.
“Memanglah, tapi kau perlu lupakan apa yang terjadi dan
mulakan hidup baru. Tak payah nak ingat pasal benda tu lagi,” nasihat Nurul.
“Cakap senanglah. Hendak melaluinya tak semudah apa yang kita
sangka,” balas Rus.
“Apa-apa hal, jangan lupa beritahu aku. Kalau kau nak aku
datang temankan kau kat kampung, cakap aje. Aku pasti datang,” pesan Nurul.
“Terima kasih Nurul sebab sudi dengar masalah aku,” ucap Rus.
Kini dia berasa sedikit lega.
“Tak ada hal. Jangan bersedih sangat,” pesan Nurul sebelum
berlalu menuju ke biliknya.
“Yalah.”
Rus merebahkan dirinya
di atas katil. Hatinya masih bersedih mengenangkan apa yang terjadi. Membayangkan
wajah sedih emak dan abahnya lagi membuat dia tertekan. Dalam memikirkan masa
hadapannya yang kian suram, akhirnya dia bersedih sampai terlena.
RUS
menyusuri laluan pejalan kaki di taman berhampiran rumah sewanya. Petang ini
tidak ramai yang beriadah di sini. Tidak seperti hari lain, riuh dengan manusia
yang membawa ahli keluarga.
Ketika berasa bosan di rumah, dia sering juga ke sini
bersendirian. Nurul dan Amy memang jarang menemaninya ke sini. Mereka lebih
gemar ke pusat beli-belah andai kebosanan melanda diri.
Rus berjalan dan terus berjalan mengikut langkah kaki. Ketika
ini pandangan matanya seakan kosong, sama seperti ruang hatinya yang kosong dan
sunyi-sepi. Tiba-tiba dia berselisih dengan seseorang. Mujur dia sempat
mengelak dari bertembung.
“Isaac, is that you?”
Rus segera bertanya.
“Ya…” Isaac segera menoleh pada yang bersuara.
Benar sangkaan Rus, lelaki itu memang mat salih. Bagai tidak
percaya pula boleh berjumpa dengan putera kayangan di taman ini.
“ALLAHUAKBAR!” ucap Isaac.
Dia tidak menyangka gadis yang menyapanya adalah Rus. Gadis
yang ingin sekali dia temui. Ketika pertemuan mereka di lapangan terbang, dia
tidak sempat berbual panjang dengan gadis itu.
Rus terpempan buat seketika. “Macam mana boleh ada kat sini?”
soalnya.
“Untuk dipertemukan dengan awak…” gurau Isaac kemudian
tertawa. Wajahnya gembira sekali, bagai mendapat hadiah paling berharga.
“Janganlah main-main!”
Isaac sambung ketawa dengan bebelan Rus. Terubat juga rindunya
pada gadis itu. Wajahnya dia pandang tanpa berkelip, bagai melihat sesuatu yang sangat cantik.
Rus mencebik, kemudian segera menundukkan wajah sebaik
menyedari Isaac merenungnya. Tiba-tiba berasa segan pula. ‘Apasal tiba-tiba dia
kelihatan amat tampan?’ desis hatinya.
“Rus…” panggil Isaac.
Rus mengangkat wajah lalu memandangnya. “Macam mana boleh ada
kat sini?” Rus mengulangi pertanyaannya.
“Cari awaklah!” Sama seperti tadi, Isaac masih dengan
gurauannya.
“Cari saya? Untuk apa?”
“Jadi isteri saya, boleh?” tanya Isaac tanpa berselindung dan
rasa segan.
“Tolonglah!” Rus ketawa sinis mendengarnya, padahal sesuatu telah
terdetik dalam hatinya.
“Tolong apa? Tolong pinang? Okey… esok saya hantar rombongan
peminangan,” beritahu Isaac. Wajahnya memang
serius ketika menuturkannya.
“Hah? Awak jangan nak mengarut pulak, ya?” balas Rus. Pada
masa yang sama, dia turut berasa terkejut dengan bicara lelaki itu.
“Ada awak nampak saya main-main?” Isaac bertanya balik.
Rus pandang dalam-dalam wajah lelaki di hadapannya itu.
Tiba-tiba baru dia perasan sesuatu. Bukankah sebentar tadi Isaac mengucapkan
ALLAHUAKBAR? Bukankah secara tidak langsung dia telah beritahu sesuatu
kepadanya? Rus berbicara sendiri.
“Boleh saya hantar rombongan, Rus?” ulang Isaac.
“Hah?” Rus tergamam. Dia mengucap panjang sambil mengurut
dadanya.
Pada masa yang sama, telefon Rus turut berdering. Menggagau
Rus mencari telefon dalam beg tangannya. ‘Abah?’ detiknya sebaik terlihat nama yang
terpapar di skrin, namun panggilan sudah terputus. Lantas dia mengambil
keputusan untuk menghubungi abahnya kemudian sahaja.
Rus kembali mahu memandang Isaac, namun lelaki itu sudah
tiada di sisinya. Matanya terus liar memandang sekeliling, mencari kelibatnya.
Tetapi lelaki itu sudah tidak kelihatan di mana-mana.
Rus berasa hampa. Putera kayangan sememangnya pelik.
Tiba-tiba sahaja dia muncul dan lenyap dalam sekelip mata. Entah ke mana dia menghilang.
Sama seperti hati Rus yang bagaikan sudah hilang dari dirinya!