Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 22: Terasing

Malam itu, tatkala Chaq tertidur dengan nyenyaknya sambil memeluk bantal Pororo yang rupa-rupanya merupakan hadiah harijadi yang diberikan oleh teman lelakinya, aku pula sibuk menyiapkan artikel yang tergendala sebentar tadi kerana perbualan kami mengenai lelaki bernama Zaniel tadi. Namun tidak sampai sejam aku bekerja, komputer ribaku berbunyi.

Bukan komputer ribaku. Tapi Yahoo Messenger yang tersembunyi di balik ikon kuning yang tersenyum lebar di bahagian kanan taskbar komputerku. Ada tetingkap yang bercahaya memaparkan nama “Izayoi”.

Iza. Perempuan yang mengkhianati janjinya padaku.

Ku lorotkan tetikus ke tetingkap tersebut dan mengklik.

Izayoi: Safiiii!!! Sorry sangat sangat sangat. Aku lupa nak call ko balik!

BUZZ!!!

Aku paling pantang bila orang gunakan butang baz tersebut untuk mendapatkan perhatian. Mujur aku tidak memakai fon telinga, kalau tidak pasti telingaku berdesing dibuatnya.

Lantas aku menjawab teguran yang tidak bermoral itu.

Safiblurlicious: Kau memang tak ada kesedaran sivik.

Izayoi: Ala, kau masih marahkan aku ke? Sowiiiii.

Safiblurlicious: Ejaan sorry yang salah dan perasan comel tu cuma buat aku yang tadi sebenarnya cool je terus rasa nak marah.

Izayoi: Aha. Ok. Ok.

Izayoi: Aku tak eja macam tu dah.

Izayoi: Tapi aku memang betul2

Izayoi: nak mintak maaf ni.

Izayoi: aku bukannya apa

Izayoi: tadi aku

Safiahblur: Boleh tak cakap sekaligus dalam satu box je? Rimaslah aku baca tulisan yang terpotong2 ni.

Izayoi: Sorry!!!

Izayoi: Ha, aku nak cakap yang tadi aku dengan Helmi pergi dinner kat rumah parents dia. Jadi macam tak sopanlah kalau aku berbual dengan kau kat telefon. Lepas tu sampai rumah pulak, ayah aku ajak Helmi berborak sambil minum2 pulak dulu, tak bagi Helmi balik rumah terus. Tu yang aku lupa nak call ko balik.

Sementara dia menulis semua itu, aku pula menyambung kerjaku menulis artikel. Tidak ada gunanya aku menunggu dia menaip semua alasannya tanpa melakukan sesuatu yang lebih berfaedah. Namun akibatnya, sekali lagi bilik yang sunyi itu dikejutkan dengan bunyi yang menyakitkan telinga, hasil kreatif pencipta Yahoo Messenger.

BUZZ!!!

Izayoi: Mana kau menghilang? Pesal tak balas apa2? Ko marah ke?

Safiblurlicious: Aku tengah menulislah. Sabor la sikit.

Safiblurlicious: Tak, aku tak marah. Buat apa aku nak marah bende kecik macam ni. Cuma jangan guna buzz tu lagi boleh tak? Sakit telinga woh.

Izayoi: Teehee. K. Alhamdulillah!

Safiblurlicious: Helmi apa khabar? Kalau kau jumpa dia lagi, beritahu dia yang aku kata he has not been a good friend lately. Menghilang tanpa khabar berita. Sejak dah nak berbini ni, terus lupa kawan. Jantan tak guna.

Izayoi: Ahahaha. Aku mintak maaflah bagi pihak dia. Dia busy sangat. Masa dia borak dengan ayah aku tu pun, aku rasa dia paksa diri dia bukak mata. Next week dah nak kena fly Sabah pulak.

Safiahblurlicious: Sabah? Busy memanjang. Nak kahwin ke tak nak tu?

Izayoi: Haih, tataula aku. Tapi tak best la citer sini. Kita jumpa esok la. Lunch sama-sama nak?

Safblurlicious: Ok. Kau belanja. Aku tak nak bawak wallet. Haha.

Izayoi: Teruk btol. Okay. Fine. Kalau macam tu, kau datang kedai mamak area ofis aku ni esok time lunch.

Safiahblurlicious: Orait.

Izayoi: Set. Jumpa esok ya? Aku nak tidur dulu. Assalamualaikum.

Safiahblurlicious: Wsalam.

Tetingkap kecil muncul di bahagian kanan taskbar mewar-warkan yang ‘Izayoi’ sudah meninggalkan perbualan. Tetingkap perbualan tadi terus ku tutup dan kerja yang tergendala sebentar tadi ku sambung semula.

Hmm.....

Dah hilang idea.

Iza sudah mengganggu momentum kerjaku dan menyebabkan idea yang aku simpan dalam laci ingatan aku sudah hilang. Lalu aku membuat keputusan untuk memeriksa Facebook.

Ada beberapa mesej peribadi yang dihantar oleh pembaca tetapi belum sempat ku balas. Esok saja aku akan uruskan hal tersebut. Ada gambar yang mahukan kebenaran aku untuk dilepaskan ke dinding Facebookku. Gambar aku dan Roul di Galeri Annexe, sejam sebelum kejadian yang melibatkan ‘bekas’ teman wanitanya berlaku. Roul yang tersengih besar sedang berdiri di sebelahku, kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket.

Lelaki yang sebenarnya tidaklah sekacak mana itu nampak segak sekalipun gayanya yang agak selekeh. Segak kerana Roul berada dalam elemennya. Mana-mana lelaki pun akan nampak segak dan bergaya bila mereka berada di tempat yang mereka selesa atau melakukan sesuatu yang menjadi kepakaran. Kekacakan seorang lelaki itu diukur dari fokusnya, saat mereka serius melakukan sesuatu, saat mata mereka merenung dan dahi mereka berkerut, saat peluh membasahi leher mereka ketika mereka khusyuk melakukan kerja.

Gambar itu menunjukkan Roul yang fokus dan menyukai setiap saat dia di sana. Hal itu membuatkan aku bangga kerana menjadi sebahagian dari hidupnya. Itu juga membuatkan aku rasa bersalah kerana tidak begitu memberi perhatian padanya.

Aku terus menatal skrin newsfeed Facebook ku ke bawah dan terhenti bila aku terpandangkan gambar Iza. Gambar dia yang baru saja dimuatnaik oleh adik Helmi, Maria. Gambar tersebut menunjukkan Iza yang dipeluk oleh Maria dan seorang lagi gadis yang tidak aku kenali. Ada seorang lagi insan yang aku tidak kenal di belakang mereka dan memberikan tanda peace dengan jarinya.

Gambar yang seterusnya memaparkan Iza dan Helmi dengan dua pasangan lain. Seorang wanita Tionghoa yang sedang sarat mengandung bersama seorang pemuda yang aku pasti adalah suaminya, manakala satu lagi gambar seorang gadis melayu dan pasangannya yang memakai pakaian sedondon. Di sebelah gambar itu tertulis, “Jia Huey and Danny, Hell and ZaZa at Beebee & Johan’s nikah event.” Ada beberapa komen di gambar tersebut, termasuk pengantin yang dikenali sebagai BeeBee itu.

Komen BeeBee tertulis: “Lepas ni giliran Helmi dan Jaja pulak. Yay!”
Komennya dibalas oleh Jia Huey: “Yay, lepas ni lengkaplah trio couple! Barulah I dengan Danny tak boring!”

BeeBee menyambung: “Jangan risau. Kita semua dah janji, kan? We will move to the same neighbourhood, dan anak-anak kita akan pergi sekolah yang sama!

Kemudian giliran Helmi memberi komen: “Zaza kata dia tak nak anak awal.”

Jia Huey balas: “Ala, you tu yang tak nak anak cepat2. Nak honeymoon lama2 kan?”

Johan balas: “LOL”
Danny balas: “Burn!!”

Iza balas: “Helmi pandai2 buat plan sendiri. Tanak kawin kang, baru tau.

BeeBee balas: “Aiyok tatayok! Macam mana ni? I dah nominate Zaza as our couples even manager.Kalau dia tanak kawin dengan Hell, susahlah nak cari manager baru! Helmi, mintak maaf cepat kat BFF kitorang.”

Helmi: “Okaaay. Sorry BFF Jia Huey n BeeBee.”

Aku tidak menyambung bacaanku. Aku tidak patut memiliki perasaan ini, namun entah kenapa aku rasa terasing. Terasing dalam dunia Iza dan Helmi yang bakal menjadi suami isteri dan bergaul dengan pasangan suami isteri yang lain. Terasing dari dunia mereka di mana Helmi dipanggil Hell dan Iza dikenali sebagai Zaza. Terasing dari dua sahabat karibku, hanya berdasarkan perbualan pendek di dalam kotak komen Facebook. Itu pun mereka masih belum berkahwin.

Entah bagaimana agaknya lepas berkahwin nanti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.