Home Novel Komedi/Romantik Komedi Suamiku, Encik Sotong
Suamiku, Encik Sotong
Syikin Zainal
27/5/2013 15:35:23
492,954
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 20

“Macam mana Iz, dah tiga bulan Iz tak hubungi Erica. Jangan-jangan anak Mama ni dah hilang sengat tak?” Tengku Atylia mula mempertikaikan taktik anak terunanya.

“Relekslah Mama, tak ke mananya Erica tu. Sengaja Iz senyap. Ni tengok ni. Berjela SMS dari dia. Biar dia rasa bersalah. Kalau Mama nak tahu hari-hari dia telefon, sms. Tapi Iz buat-buat bodoh je. Taktik Mama.”

“Taktik apa? 3 bulan Iz tak hubungi dia, nanti dia lari. Putih mata kita.”

“Mama, bukan 3 bulan tak hubungi, 3 bulan tak jumpa sahaja. Dia telefon kadang-kadang Iz jawab jugak, saja main tarik tali.” Izhan menenangkan Mamanya.

“Jangan Iz yang tersungkur dah,” pesan Tengku Atylia.

Izhan hanya tersenyum. Dia menarik nafas yang panjang.

“Nak ke mana pulak tu?” soal Tengku Atylia bila dia melihat Izhan bangun dari sofa itu.

“Masuk bilik, layan blueskejap.”

Tengku Atylia mengelengkan kepalanya. Malam ini dia tinggal berdua dengan anaknya, suaminya ada di rumah Salina, madunya.

Izhan gagal melelapkan matanya. Sejak akhir-akhir ini dia memang tidak keluar malam. Jika tiga bulan lepas, alasannya adalah untuk menjaga hati Erica Soffea. Tapi sekarang alasan itu tetap sama. Cuma sekarang dia merasakan yang dia benar-benar ingin menjaga hati gadis itu. Izhan gundah, bukan setakat gundah malah dah tahap resah gelisah. Rasa bersalah kerana membohongi mamanya. Memang dia menjauhkan diri dari Erica tetapi bukan sengaja sebaliknya dia tidak mahu terus terlibat di dalam permainan yang menjerat jiwanya kini. Entah bila hatinya dirasakan semakin menyenangi kehadiran Erica. Izhan memicit kepalanya. Hendak diceritakan kepada mamanya pasti mamanya membantah, Izhan tahu ada agenda lain di dalam minda Tengku Atylia. Bukan setakat untuk memiliki KHALEEDA HOLDING tetapi juga untuk berbesan dengan Tan Sri Khalil suatu hari nanti.

Izhan membelek telefonnya, membaca kembali kata-kata sesalan dari Erica Soffea. Berdosa pula dia rasa kerana terus membiarkan Erica terus dihambat dengan rasa bersalah. Padahal semuanya benar belaka. Biarlah, lama-kelamaan Erica akan jemu untuk menghubungi dan lama-kelamaan dia akan berjaya keluar dari hidup Erica dan Erica akan pergi dari mindanya. Izhan memejamkan matanya, namun mulutnya menyeru nama Erica sepenuh hati.

Erica tersedak, bagaikan ada orang yang menyebut-nyebut namanya.

“Makan tak baca bismilillah ke?” tanya Zahid.

“Siap baca doa makan,” jawab Erica bersahaja.

“Baguslah macam tu. Papa lama nak tegur ni, nampak Rica macam ada masalah je?’

“Masalah Papa pun tak habis lagi, sempat nak cari masalah Rica pula?”

“Masalah Papa dengan Shirin dah settle lah. Papakan dah upgrade dia jadi MJ sekarang,” seloroh Zahid.

“MJ?”

“Mak Janda.” Zahid berkata sambil ketawa. Namun ketawanya adalah ketawa sedih. Erica tahu apa yang bermain di hati Papanya. Erica tahu Papanya kecewa bila mahligai yang disangka akan bahagia rupanya hanya membawa bencana.

“Papa kecewa?” tanya Erica pula.

“Rica dah besar, dah matang. Papa rasa Rica tahu apa yang Papa rasa sekarang. Bukan setakat kecewa malah bangga pun ada. Jadi duda buat kali ke dua.”

“Papa ni main-main pulak. Tapi Rica rasa kita bahagia lagi macam ni. Tak payah lah Rica dengar suara harimau betina tu lagi. Rica kasihan tengok papa, dia langsung tak hormat Papa sebagai suami.”

“Macam Rica yang tak pernah hormatkan Farish kan?”

“Papa, Rica dengan Farish lain. Kami memang tak boleh nak bersama. Kami berkahwin sebab terpaksa. Rica dapat rasakan kalau kami tak kahwin mungkin kami boleh berbaik, tapi bukan sebagai suami isteri. Papa pun tahu kan, dalam perkahwinan kena ada cinta.”

“Dan saling hormat-menghormati.” Tokok Zahid. Dia kemudiannya mengerutkan dahi nampaknya anaknya kini semakin boleh berfikir secara matang.

“Rica rasa menyesal pula setuju dengan syarat arwah Nenda tu. Kalau tak, tak jadi macam ni. Semua tu sebab nak jadi sangat Pengerusi. Akhirnya Rica yang terikat dengan syarat tu. Farish pula nampak macam biasa je,” keluh Erica.

“Rica ada jumpa dengan dia ke?” soal Zahid.

“Bukan jumpa tapi ternampak dia dari jauh. Tengah berpegangan tangan dengan kawan perempuan dia,” Zahid tersenyum mendengarnya.

So, Farish dah jadi lelaki lah?”

“Nampak ada perubahanlah, tak macam dulu. Kejutan budaya kot,” balas Erica.

“Apa pulak kejutan budaya. Dia boleh berubah, Rica je tak beri peluang kat dia. Cemburu tengok dia berpegangan tangan dengan perempuan tu?” Zahid menduga. Dia yakin Erica cemburu, satu petanda yang baik dalam perhubungan antara Erica dan Farish.

“Memang cemburu,” Erica berterus-terang.

“Itu tandanya Erica mula sayangkan dia.”

“Bukan cemburu tu lah Papa. Dia boleh bersama dengan perempuan tu sebab perempuan tu tak tahu siapa dia. Tapi Rica dengan Abang Iz.. Emmm malas nak cakap lah.”

“Rica dengan Izhan? Papa tak faham lah,” Zahid rasa berdebar mendengarnya. Harap-harap janganlah Erica menyintai lelaki seperti Izhan. Dia kenal siapa Izhan.

“Rica bercinta dengan Izhan ke?”

Erica memandang wajah Papanya, sambil berkata “Jangan risaulah Papa, tak ada apa antara kami. Lagipun.. Dah lah Rica masuk dulu.”

“Rica, Papa tak habis lagi ni,” namun Erica tidak mengendahkannya. Dia terus masuk ke kamar yang dihiasi dengan kertas dinding yang berwarna hijau lembut.

Erica merebahkan dirinya di atas katil empuk itu. Tidak tahu apa yang difikirkan. Hati dan fikirannya hanya memikirkan Izhan, lelaki yang benar-benar berjaya menawan hatinya. Memang dia jatuh cinta pandang pertama dengan sepupunya sendiri. Izhan melengkapi ciri lelaki idamannya, semua yang ada pada Izhan benar-benar menambat hatinya. Kenapa begitu tegar dia menuduh lelaki itu sedemikian rupa, hingga menyebabkan lelaki itu terus membawa diri. Erica mengeluh, sudah berkali-kali dia menelefon dan menghantar mesej kepada Izhan namun Izhan tidak mengendahkannya. Kalau jawab sekadar menjaga hatinya sahaja. Erica tahu Izhan tersinggung dengan kata-katanya. Erica menyesal, benar-benar menyesal. Jika di beri peluang kali ke dua, dia akan menerima Izhan dan menyintai lelaki itu sepenuh hatinya. Erica nekad tiada lelaki lain selepas ini di dalam hatinya, kecuali Izhan.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.