Home Novel Komedi/Romantik Komedi Suamiku, Encik Sotong
Suamiku, Encik Sotong
Syikin Zainal
27/5/2013 15:35:23
493,211
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1

Semua orang sedia menunggu peguam yang bernama Siti Sarah itu untuk membacakan wasiat peninggalan Tengku Khaleeda Tengku Mansor. Erica Soffea sedang sibuk melihat-lihat jari jemarinya yang baru di rias. Sudah agak lama dia tidak ke rumah agam yang benar-benar cantik ini. Sudah naik lenguh kakinya melangkah ke dalam rumah agam itu, namun dia belum pasti di mana letaknya bilik tidur utama. Semuanya kelihatan sama. Dia membayangkan bagaimana dengan kehidupan Tengku Khaleeda selama ini. Keseorangan di rumah yang besar hanya ditemani oleh orang-orang gajinya sahaja dan ‘sotong’ kesayangannya.

Zahid memerhatikan anaknya, dari menjeling dia kemudian memberikan isyarat agar anaknya itu lebih bersopan duduknya, tetapi Erica Soffea tidak mengendahkannya. Mungkin hatinya masih marah kerana terpaksa membatalkan niatnya untuk bersama-sama dengan rakannya bercuti di Singapura. Zahid menghampiri anaknya. Dia mengambil tempat di sebelah Erica.

“Rica, duduklah elok-elok,” bisik Zahid kepada anaknya yang baru menginjak ke usia 19 tahun itu.

“Nak duduk macam mana lagi ni Pa? Rica dah duduk elok ni,” jawab Erica yang lebih mesra dengan panggilan Rica.

“Macam ni elok?” tegur Zahid lagi bila dia melihat Erica menyilangkan kakinya di hadapan tetamu-tetamu itu.

“Hish, Papa ni. Hari ni bising je. Selalunya duduk macam ni, okey je,” balas Erica. Mulutnya dimuncungkan.

“Ni, kenapa pakai macam ni?” tegur Zahid lagi.

“Habis tu tak kan nak pakai jubah kot?”

“Budak ni, suka sungguh menjawab. Lain kali pakailah yang sopan-sopan sikit. Bukannya seluar yang terangkat macam ni. T-Shirt tu dah nak nampak pusat. Ini kan hari pembacaan wasiat. Tak boleh ke pakai yang elok-elok sikit?”

“Papa ni demam ek? Hello, selama in Papa tak pernah bising tau. Itu lah, makan asam pedas banyak sangat.”

“Tak ada kena mengenalah. Cuma hormat lah sikit. Kan ramai orang ni,” jawab Zahid lagi. Perlahan, bimbang jika tetamu yang lain mendengar rungutannya itu.

“Ramai? Papa yang ada cuma kita, Mama Lia, peguam, famili Mak Ngah dengan si sotong tu sahaja. Bukan kita tak kenal pun siapa mereka tu. Cuma kita lama tak jumpa. Lagipun apa kena mengena dengan kita. Selama ni pun nenek bukan ambil tahu pasal kita kan? Dah mati baru nak suruh balik sini. Nasib baik dah kebumi, kalau tidak,”

“ERICA SOFFEA,” kali ini suara Zahid agak kuat kedengaran.

“Dia masih lagi nenek Erica. Ibu kepada mama Erica. Okey. Walau Rica tak suka dia masih lagi nenek Erica. Jangan lupa tu.”

Erica mendiamkankan diri. Walau apa yang berlaku, marahnya pada Tengku Khaleeda sukar dihilangkan. Dia memang tidak sebulu dengan neneknya. Ada sahaja perkara yang tidak kena di mata neneknya itu. Tambahan pula neneknya sentiasa membandingkannya dengan si sotong yang dipelihara. Erica sempat menjeling lagi ke arah Farish alias sotong. Farish menundukkan kepalanya. Wajahnya muram. Entah berapa galen air mata yang ditumpahkan oleh sotong yang berusia 21 tahun itu, dua tahun lebih tua dari Erica.

“Lebih-lebih pula si sotong ni, macam lah nenek dia yang meninggal,” bisik Erica.

“Sotong, sotong. Dia ada nama la,” tegur Zahid lagi. Sambil mencuit anak gadisnya. Dia tahu antara Farish dan Erica bagai anjing dengan kucing. Erica cemburu melihat kasih sayang yang diterima Farish oleh Tengku Khaleeda.

“A’ah. Nama dia sotong kurita. Penganti Paul tu Pa,” jawab Erica sambil ketawa perlahan. Farish menjeling.

“Kau ni gelak-gelak kenapa? Kau suka ke nenek kau mati?” suara Farish kuat kedengaran. Mereka yang ada hanya menjeling.

“Aku punya suka lah, nak gelak ke, nak menangis ke. Tak ada kena mengena dengan kau lah,” balas Erica.

“Erica boleh tolong diam tak?” Tengku Atylia bersuara. Mukanya masam, sesekali dia melihat ke arah jam tangannya.

Erica mendiamkan diri namun dia sempat lagi menjeling ke arah Farish. Geramnya pada Farish jelas kelihatan.

Siti Sarah turut melihat jam di dinding. Akhirnya dia bersuara.

“Nampaknya kita terpaksa tangguhkan pembacaan wasiat ini.”

“Tapi kenapa?” tanya Tengku Atylia. Kini hanya dialah satu-satunya anak Tengku Khaleeda yang masih hidup.

“Kita kena tunggu kedatangan Tengku Izhan. Tak sampai-sampai juga. Lagipun saya ada kerja lagi yang saya perlu lakukan.” Terang Siti Sarah. Selaku peguam yang dipertanggugjawabkan untuk menguruskan pembacaan wasiat itu.

“Ala tak payahlah tunggu dia. Lagipun dia anak saya. Saya boleh jadi wakilnya.” Kata Tengku Atylia lagi.

“Maaflah Tengku Atylia. Kita kena tunggu Tengku Izhan juga. Baiklah semua. Nampaknya kita perlu bersurai terlebih dahulu. Esok pagi, pukul 10.00 saya minta semua dapat menghadirkan diri. Jangan ada yang tak datang pulak. Kalau tidak terpaksalah kita tangguhkan lagi,” pesan Puan Siti Sarah. Dia kemudiannya mengemaskan kembali dokumen yang ada dengan dibantu oleh pembantunya.

Masing-masing mendiamkan diri.

“Kak Ngah nak tidur sini jugak ke? Kalau nak tidur Lia siapkan bilik.” Kata Amylia, anak dara yang sudah pun berusia 35 tahun.

“Emm. Nampaknya begitulah. Tapi Kak Ngah nak guna bilik bonda.” Jawab Tengku Atylia.

Amylia hanya memandang ke wajah Farish. Sebelum Tengku Khaleeda menghembuskan nafasnya. Dia sempat berpesan agar bilik itu diberikan kepada Amylia.

“Tapi bilik tu, Mak Engku dah berikan kepada Mama Lia,’ Farish bersuara.

“Hey, aku anak dia. Kau orang berdua ni menumpang sahaja,’ sergah Tengku Atylia.

“Tak pa, Kak Ngah. Nanti saya suruh Mak Limah siapkan bilik tu,” kata Amylia. Dia sedar dia tidak ada hak untuk terus mempertahankan bilik mewah itu.

Erica hanya mengelengkan kepalanya. Memang dia agak berbulu dengan Tengku Atylia, yang dipanggilnya Mak Ngah. Dari dulu lagi Tengku Atylia memang tidak pernah menganggap Amylia sebagai adiknya.

“Ala takat bilik pun nak kecoh apanya,” Erica bersuara pula.

“Rica,” Zahid memanggil nama anaknya.

“Betul apa. Lagipun Mak Ngah bilik Mak Ngah pun besar jugak kan?” sambung Erica lagi, tanpa mempedulikan teguran dari ayahnya.

“Tak apa lah Rica. Lagi pun Mama Lia tak selesa lah duduk bilik tu. Besar sangat,” Amylia mengalah.

Erica dan Farish mendiamkan diri. Tahu sangat dengan sikap suka mengalah Amylia, dan sikap tidak mahu mengalah Tengku Atylia.

“Rica, kamu tu budak-budak lagi jangan nak masuk campur dalam urusan orang tua,” Tengku Atylia bersuara.

Farish sempat memberikan senyuman yang sinis kepada Erica selepas mendengar kata-kata dari Tengku Atylia.

“Kau ni pasal? Sakit hati ke?” marah Erica kepada Farish. Farish tidak mempedulikan kata-kata Erica. Sebaliknya dia terus bangun meninggalkan mereka yang ada di bilik itu. Masuk menuju ke biliknya.

“Okey lah. Nampaknya terbantut lagi urusan kita hari ni. Harap-harap esok Izhan boleh datang lah,” Zahid bersuara.

“Kau jangan susah hati Zahid. Anak aku tu dah dalam perjalanan. Lagipun kau tak ada hak dalam keluarga ini. Kau cuma bekas menantu sahaja,” kata Tengku Atylia.

“Aku tahu. Aku pun tak nak masuk campur jugak. Tapi nak buat macam mana. Nama aku pun ada dalam senarai. Nak tak nak kena juga datang. Kalau aku tak ada tak jalan jugak pembacaan wasiat tu,” bidas Zahid.

“Kak Ngah, sudah lah tu. Bonda baru je pergi. Lagipun Abang Zahid ni tetap keluarga kita. Walaupun Kak Long dah tak ada,” pujuk Amylia. Dia tidak mahu ada pertengkaran di dalam keluarga Tengku Khaleeda ini. Tengku Atylia bangun dari duduknya. Tanpa mempedulikan apa yang dikatakan oleh Amylia, dia terus meninggalkan bilik itu.

“Abang Zahid, jangan pedulikan Kak Ngah tu,” kata Amylia kepada Zahid. Zahid sekadar menganggukkan kepalanya.

“Macam mana Mama Lia boleh tahan dengan sikap dan perangai Mak Ngah tu?” tanya Erica, bersahaja.

“Lama-lama Rica pun boleh tahan bila dah lama duduk dengan dia,” jawab Amylia. Dia memang selesa dipanggil Mama Lia oleh Erica dan Farish.

“Tak pa lah, Lia. Abang balik ke hotel dulu. Rica macam? Nak ikut Papa?” Zahid bertanya kepada anaknya.

“Malas nak mengadap muka bini Papa yang jelita teramat tu. Rica duduk dengan Mama Lia sahaja lah,” jawab Erica. Zahid mendiamkan diri. Jika tidak kerana Amylia yang ada di situ tentu dia sudah memarahi Erica bila mendengar jawapan dari anak gadisnya itu.

Amylia hanya menjeling ke arah Erica. Walaupun rasa ingin tergelak dengan jawapan yang diberikan oleh Erica tetapi ditahannya. Zahid keluar dari bilik itu. Meninggalkan Erica dengan Amylia. Dia kemudiannya bersalaman dengan Tengku Eddrus, suami Tengku Atylia.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.