“Macam
mana Iz, dah tiga bulan Iz tak hubungi Erica. Jangan-jangan anak Mama ni dah
hilang sengat tak?” Tengku Atylia mula mempertikaikan taktik anak terunanya.
“Relekslah Mama, tak ke mananya
Erica tu. Sengaja Iz senyap. Ni tengok ni. Berjela SMS dari dia. Biar dia rasa
bersalah. Kalau Mama nak tahu hari-hari dia telefon, sms. Tapi Iz buat-buat
bodoh je. Taktik Mama.”
“Taktik apa? 3 bulan Iz tak
hubungi dia, nanti dia lari. Putih mata kita.”
“Mama, bukan 3 bulan tak
hubungi, 3 bulan tak jumpa sahaja. Dia telefon kadang-kadang Iz jawab jugak,
saja main tarik tali.” Izhan menenangkan Mamanya.
“Jangan Iz yang tersungkur dah,”
pesan Tengku Atylia.
Izhan hanya tersenyum. Dia
menarik nafas yang panjang.
“Nak ke mana pulak tu?” soal
Tengku Atylia bila dia melihat Izhan bangun dari sofa itu.
“Masuk bilik, layan blueskejap.”
Tengku Atylia mengelengkan
kepalanya. Malam ini dia tinggal berdua dengan anaknya, suaminya ada di rumah
Salina, madunya.
Izhan gagal melelapkan
matanya. Sejak akhir-akhir ini dia memang tidak keluar malam. Jika tiga bulan
lepas, alasannya adalah untuk menjaga hati Erica Soffea. Tapi sekarang alasan
itu tetap sama. Cuma sekarang dia merasakan yang dia benar-benar ingin menjaga hati
gadis itu. Izhan gundah, bukan setakat gundah malah dah tahap resah gelisah.
Rasa bersalah kerana membohongi mamanya. Memang dia menjauhkan diri dari Erica
tetapi bukan sengaja sebaliknya dia tidak mahu terus terlibat di dalam
permainan yang menjerat jiwanya kini. Entah bila hatinya dirasakan semakin
menyenangi kehadiran Erica. Izhan memicit kepalanya. Hendak diceritakan kepada
mamanya pasti mamanya membantah, Izhan tahu ada agenda lain di dalam minda
Tengku Atylia. Bukan setakat untuk memiliki KHALEEDA HOLDING tetapi juga untuk
berbesan dengan Tan Sri Khalil suatu hari nanti.
Izhan membelek telefonnya,
membaca kembali kata-kata sesalan dari Erica Soffea. Berdosa pula dia rasa
kerana terus membiarkan Erica terus dihambat dengan rasa bersalah. Padahal
semuanya benar belaka. Biarlah, lama-kelamaan Erica akan jemu untuk menghubungi
dan lama-kelamaan dia akan berjaya keluar dari hidup Erica dan Erica akan pergi
dari mindanya. Izhan memejamkan matanya, namun mulutnya menyeru nama Erica
sepenuh hati.
Erica tersedak, bagaikan ada
orang yang menyebut-nyebut namanya.
“Makan tak baca bismilillah
ke?” tanya Zahid.
“Siap baca doa makan,” jawab Erica
bersahaja.
“Baguslah macam tu. Papa lama
nak tegur ni, nampak Rica macam ada masalah je?’
“Masalah Papa pun tak habis
lagi, sempat nak cari masalah Rica pula?”
“Masalah Papa dengan Shirin
dah settle lah. Papakan dah upgrade dia jadi MJ sekarang,” seloroh
Zahid.
“MJ?”
“Mak Janda.” Zahid berkata
sambil ketawa. Namun ketawanya adalah ketawa sedih. Erica tahu apa yang bermain
di hati Papanya. Erica tahu Papanya kecewa bila mahligai yang disangka akan
bahagia rupanya hanya membawa bencana.
“Papa kecewa?” tanya Erica
pula.
“Rica dah besar, dah matang.
Papa rasa Rica tahu apa yang Papa rasa sekarang. Bukan setakat kecewa malah
bangga pun ada. Jadi duda buat kali ke dua.”
“Papa ni main-main pulak.
Tapi Rica rasa kita bahagia lagi macam ni. Tak payah lah Rica dengar suara
harimau betina tu lagi. Rica kasihan tengok papa, dia langsung tak hormat Papa
sebagai suami.”
“Macam Rica yang tak pernah
hormatkan Farish kan?”
“Papa, Rica dengan Farish
lain. Kami memang tak boleh nak bersama. Kami berkahwin sebab terpaksa. Rica
dapat rasakan kalau kami tak kahwin mungkin kami boleh berbaik, tapi bukan
sebagai suami isteri. Papa pun tahu kan, dalam perkahwinan kena ada cinta.”
“Dan saling hormat-menghormati.”
Tokok Zahid. Dia kemudiannya mengerutkan dahi nampaknya anaknya kini semakin
boleh berfikir secara matang.
“Rica rasa menyesal pula
setuju dengan syarat arwah Nenda tu.
Kalau tak, tak jadi macam ni. Semua tu sebab nak jadi sangat Pengerusi.
Akhirnya Rica yang terikat dengan syarat tu. Farish pula nampak macam biasa
je,” keluh Erica.
“Rica ada jumpa dengan dia
ke?” soal Zahid.
“Bukan jumpa tapi ternampak
dia dari jauh. Tengah berpegangan tangan dengan kawan perempuan dia,” Zahid tersenyum
mendengarnya.
“So, Farish dah jadi lelaki lah?”
“Nampak ada perubahanlah, tak
macam dulu. Kejutan budaya kot,” balas Erica.
“Apa pulak kejutan budaya.
Dia boleh berubah, Rica je tak beri peluang kat dia. Cemburu tengok dia
berpegangan tangan dengan perempuan tu?” Zahid menduga. Dia yakin Erica
cemburu, satu petanda yang baik dalam perhubungan antara Erica dan Farish.
“Memang cemburu,” Erica
berterus-terang.
“Itu tandanya Erica mula
sayangkan dia.”
“Bukan cemburu tu lah Papa.
Dia boleh bersama dengan perempuan tu sebab perempuan tu tak tahu siapa dia.
Tapi Rica dengan Abang Iz.. Emmm malas nak cakap lah.”
“Rica dengan Izhan? Papa tak
faham lah,” Zahid rasa berdebar mendengarnya. Harap-harap janganlah Erica
menyintai lelaki seperti Izhan. Dia kenal siapa Izhan.
“Rica bercinta dengan Izhan
ke?”
Erica memandang wajah
Papanya, sambil berkata “Jangan risaulah Papa, tak ada apa antara kami.
Lagipun.. Dah lah Rica masuk dulu.”
“Rica, Papa tak habis lagi
ni,” namun Erica tidak mengendahkannya. Dia terus masuk ke kamar yang dihiasi
dengan kertas dinding yang berwarna hijau lembut.
Erica merebahkan dirinya di
atas katil empuk itu. Tidak tahu apa yang difikirkan. Hati dan fikirannya hanya
memikirkan Izhan, lelaki yang benar-benar berjaya menawan hatinya. Memang dia
jatuh cinta pandang pertama dengan sepupunya sendiri. Izhan melengkapi ciri
lelaki idamannya, semua yang ada pada Izhan benar-benar menambat hatinya.
Kenapa begitu tegar dia menuduh lelaki itu sedemikian rupa, hingga menyebabkan
lelaki itu terus membawa diri. Erica mengeluh, sudah berkali-kali dia menelefon
dan menghantar mesej kepada Izhan namun Izhan tidak mengendahkannya. Kalau
jawab sekadar menjaga hatinya sahaja. Erica tahu Izhan tersinggung dengan
kata-katanya. Erica menyesal, benar-benar menyesal. Jika di beri peluang kali
ke dua, dia akan menerima Izhan dan menyintai lelaki itu sepenuh hatinya. Erica
nekad tiada lelaki lain selepas ini di dalam hatinya, kecuali Izhan.