“TERMENUNG LAGI.” Iqbal menegur Arif yang sedari tadi termenung seorang
diri di luar balkoni. Dia menghulurkan muk berisi air milo panas kepada Arif.
“Syukran,” ucap Arif sambil menyambut
muk itu. Dia menghirup sedikit.
“Fikirkan apa ni?” tanya Iqbal. Bahu Arif ditepuk perlahan.
Arif melepaskan lelahnya. Dia hanya merenung ke arah jalanan yang diterangi
lampu-lampu neon yang kelihatan sedikit kesuraman. Namun ia masih lagi dapat
membantu para pejalan kaki dan pemandu untuk melalui jalan itu. Sesekali
kedengaran bunyi hon kereta.
“Arwah Ati pernah cakap sesuatu di saat-saat akhir hidupnya.” Suara Arif
kedengaran perlahan.
“Arwah cakap apa?” Iqbal bertanya lagi.
Arif menarik nafas panjang. “Arwah cakap kebahagiaan aku adalah kebahagiaan
dia.” Setiap kali berbicara tentang arwah isterinya, hatinya pasti akan berasa
sebak.
“Itu bermakna arwah nak kau bahagia. Dia mahu kau cari pengganti. Dia tak
mahu kau habiskan sisa-sisa hidup kau di dunia ini seorang diri.”
“Takpelah Iq. Sekarang pun aku
tengah bahagia.” Arif menengadah ke langit yang dihiasi dengan kerdipan
bintang-bintang.
“Aku nak tanya kau betul-betul. Betul sekarang ni kau bahagia sebab arwah?”
Arif menoleh kepada Iqbal. Macam ada makna tersirat aja soalan Iq ni.
“Maksud kau?” Arif kehairanan dengan pertanyaan Iqbal.
“Bukan sebab student kau tu?” Iqbal meneka.
“Zahra?” Arif angkat kening.
“Aku tak sebut nama dia pun. Kau yang sebut. Kan aku dah cakap sebelum ni.
Aku nampak apa yang sedang berlaku pada kau. Sejak akhir-akhir ni kau dah
banyak berubah. Sebelum ni kau banyak memendam rasa dan tak banyak bercakap,” tutur
Iqbal penuh makna.
“Kau je yang rasa macam tu.” Arif berdalih.
“Percaya cakap aku, kau dah jatuh cinta lagi. Okey, aku nak masuk ke dalam
dulu. Tak tahan aku dengan angin malam ni. Sejuk.” Iqbal yang sedang memeluk
tubuhnya dek kedinginan malam berlalu pergi meninggalkan Arif di luar.
‘Ati, andai Ati masih ada di sisi abang ketika ini, pasti Ati tahu apa yang
harus abang lakukan. Abang benar-benar buntu Ati.’ Sambil mendongak ke arah langit lagi,
Arif bermonolog dalam hatinya.
Dilihatnya seolah-olah arwah Ati sedang menguntum senyuman manis kepadanya. Ya Allah, rahmatilah isteriku, Ati, dan Kau
tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang beriman.
USAI MENUNAIKAN solat subuh, Zahra membaca surah al-Kahfi. Surah ke-18 dalam kitab suci ini menceritakan perihal tentang kisah ketauhidan kepada Allah s.w.t, kisah Ashab al-Kahfi, kisah Nabi Musa a.s bersama Nabi Khidir a.s, kisah Zulkarnain dan kisah Yakjuj dan Makjuj.
Tambahan, hari ini
adalah hari Jumaat. Besar fadilatnya jika seseorang itu membaca surah ini pada
hari Jumaat. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, ‘Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya ada
cahaya meneranginya antara dua Jumaat (yakni selama seminggu).’ Makanya, setiap kali penghulu segala hari tiba, Zahra berusaha menghabiskan surah ini sejurus selepas solat subuh.
Sejak mendapat petunjuk hidayah daripadaNya, Zahra rajin mengisi masa dengan membaca al-Quran. Sewaktu menjumpai al-Qurannya semula, hatinya luluh melihat keadaan kalam Allah itu. Dipenuhi dengan habuk tebal. Bukan
setakat menangis teresak-esak. Hatinya turut sama menangis hiba. Mulai dari hari itu, dia berjanji akan sentiasa menjaga dan beramal dengan al-Qurannya itu.
Boleh dikatakan setiap kali selesai bersolat, Zahra akan membaca kitab suci ini sekurang-kurangnya satu muka surat. Dengan dorongan dan tunjuk ajar yang
diberikan oleh ibunya, dia berjaya membetulkan bacaannya yang salah. Selain itu, Zahra juga rajin menghadiri kelas-kelas agama dan ceramah agama yang diadakan
di masjid khususnya.
Selesai mengaji, Zahra yang ‘baru’ ini akan turun ke dapur untuk membantu
ibunya menyediakan sarapan pagi. Ok, Zahra yang ‘lama’ akan sambung tidur
selepas solat subuh. Solat pun masa akhir-akhir waktu subuh. Masa matahari nak
tunjuk muka baru dia kelam-kabut nak bangun.
“Assalamualaikum ibu.” Dengan suara yang ceria, Zahra memberi salam. Sambil
itu dia memeluk Puan Sofea dari belakang.
“Wa’alaikumsalam. Anak ibu dah bangun.” Pipi kanan Zahra dicubit lembut.
“Masak apa ibu? Zahra tolong ya.” Zahra menyingsingkan baju kurungnya. Lagi
satu perubahan baru Zahra. Setiap kali tiba aje hari Jumaat, dia akan mengenakan
baju kurung walaupun hanya berada di rumah. Kain baju kurung tersebut mestilah
jenis kain kapas. Sejuk dan sedap dipakai katanya. Ala-ala perempuan Melayu
terakhir juga.
“Dah nak siap dah. Zahra tolong buatkan air kopi. Ibu dah jerang air,” pinta
Puan Sofea.
“Okey.” Zahra mula mengeluarkan teko dari kabinet. Zahra ni pandai buat
air. Masa first time dia buat air kopi, dia terletak garam instead of gula. Apalagi tersembur Encik Rahman masa minum air kopi
buatan anaknya itu. Nasib baik keluarga sendiri yang rasa. Kalaulah dia hidang pada tetamu masa
tu, manalah dia nak letak muka dia. Malu wei
kalau bakal mak mentua tahu.
“Abah kat masjid lagi eyh ibu?”
“Haah, jap lagi balik la tu. Makin besar anak ibu ni.” Tersenyum Puan
Sofea melihat Zahra.
“Mestilah Zahra dah besar. Umur pun dah berapa. Takkan nak balik ke umur enam
tahun?”
“Ibu harap Zahra boleh dapat jodoh yang baik cepat. Kalau ada yang baik dan
soleh tu terima jelah.” Puan Sofea berpesan.
“Insya-Allah ibu. Zahra pun tak nak tergesa-gesa lagi. Nak habiskan studi
dulu.” Zahra menyampaikan hasratnya. Air kopi yang siap dibancuh, diletakkan di
atas meja makan. Sedang Zahra mengambil cawan dan piring dia ternampak ibunya
sedang mengelap air mata dengan hujung bajunya. Zahra terus mendapatkan ibunya.
“Eh, kenapa ibu menangis?” Zahra panik.
“Habuk masuk,” dalih Puan Sofea. Cuba menyembunyikan apa yang dia rasa
ketika itu. Ibu mana tak rasa sedih apabila anaknya diperlakukan begitu.
“Ye ke?” Macam tak percaya je. Ibu tengah nangis ni. Fasal aku putus tunang ke?
Zahra merangkul bahu Puan Sofea dari belakang. “Ibu jangan risau.
Insya-Allah putera idaman Zahra pasti akan muncul.” Zahra cuba melawak. Senang
hatinya melihat ibunya ketawa.
“Putera idaman mana pulak dah
ni?” Encik Rahman yang baru pulang dari masjid mula menegur.
Puan Sofea mencebik, tanda gurau. “Abang ni. Lain kali bagi salam. Ni tiba-tiba je.”
Encik Rahman menarik kerusi untuk duduk. “Awak tu yang tak dengar. Saya dah
bagi salam masa nak masuk rumah tadi. Siapa yang nak cari putera idaman ni?”
“Siapa lagi kalau bukan anak abang. Saya buat apa? Saya kan dah ada abang.”
“Haah kan, saya lah putera
idaman awak.”
Zahra berdeham. “Ehem, ehem. Zahra ada kat sini. Jealous Zahra tengok tau.” Dia mula mencedok nasi lemak yang
dimasak oleh ibunya sejak pukul enam setengah pagi tadi. Kemudian menghidangkan
kepada abah dan ibunya.
“Kalau jealous cepat-cepat la kahwin. Nak abah carikan?”
“Abah ada calon ke?” Zahra yang sudah mengambil tempat, mula mencedok sedikit sambal lalu diletakkan atas nasinya. Dari kecil lagi Zahra suka buat begitu. Letak sambal atas nasi lemak, lepas tu gaul semua.
“Ada. Zahra nak ke? Baik, soleh, rajin pergi masjid. Senang cerita semua
yang baik-baik ada pada dia.” Encik Rahman mula mempromote anak orang.
“Sape?” Zahra ni macam berminat je. Berkelip-kelip mata dia.
“Siapa lagi kalau bukan pensyarah Zahra, Arif.” Keluar dah nama calon
menantu Encik Rahman.
“Abah ni macam dah takde orang
lain. Tak naklah.” Cepat-cepat Zahra menolak. Tahu takut. Ustaz Pink tu.
“Kenapa pulak?” Encik Rahman
mengerutkan dahinya.
“Erm, erm, dia tu pelik.” Alasan apa pula Zahra bagi ni.
“Pelik yang macam mana? Abah tengok okey je. Sihat walafiat je
anak orang tu.” Encik Rahman berasa hairan dengan anaknya. Ibu sedari tadi
hanya memerhati dan tersenyum.
“Erm, erm, pokok pangkal ust..ustaz tu pelik” Tersekat-sekat Zahra
membalas. Muka dia dah blushing. Hehehe.
“Zahra ni gelabah semacam ni kenapa? Zahra ada hati dengan Arif ke?” Puan Sofea
mengusik. Naluri keibuannya tak silap. Dia dapat rasa apa yang anaknya
rasakan.
“Ish! Ibu ni, ke situ pulak.” Zahra cuba tutup kegugupannya. Apesal dengan aku hari ni? Tak
pernah-pernah macam ni depan mak bapak aku. Nasi lemak dalam pinggan
dihabiskan.
Kedua-dua ibu bapa Zahra
hanya tersenyum panjang melihat betapa gelabahnya anak mereka ketika itu.
Tahulah mereka bahawa anak mereka sedang dilamun cinta tanpa disedari tuan
punya hati sendiri. Dengan mak bapak tak boleh nak sorok-sorok. Dia orang tahu.