Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 31 : Kahwin tu apa pak usu?

“PAK USU, kita nak ke mana?”

“Pak usu nak bawa Aleeya jumpa seseorang. Ok, dah comel.” Arif yang sedang bersila di atas karpet di ruang tamu rumah banglo alongnya membetulkan cekak rambut Aleeya. Aleeya sendiri yang pilih cekak rambut berwarna merah jambu yang dihias dengan rama-rama itu. Antara cekak kegemaran dia. Selesai dengan Aleeya, Arif merapikan rambut Asyraf pula.

“Siapa? Anak atuk Rahman ke?” Bersinar-sinar mata Aleeya.

Tergelak Arif mendengarnya. Pandai sungguh Aleeya ni.

“Aleeya, anak atuk Rahman tu ada nama. Jangan panggil macam tu. Next time panggil kak Zahra, ok?” pesan Arif.

Aleeya mengangguk. “Jadi kita betul nak jumpa kak Zahra ke?” tanya Aleeya lagi. Tak berkedip matanya memandang Arif.

“Iya. Aleeya juga yang minta, kan?” Inilah rupanya permintaan hidup mati Arif kepada Zahra. Dan disebabkan permintaan ini juga, dia minta agar Zahra tidak ke mana-mana pada hari Sabtu nan indah itu. Indah dengan langit biru yang cerah. Dan burung-burung pun berkicauan. Seolah-olah merestui penemuan mereka.

Apa lagi, melonjak kegembiraan budak itu. Abang dia, Asyraf, masih belum mengenali Zahra. Jadi dia hanya mengikut saja.

“Pak usu, kenapa pak usu tak nak kahwin dengan kak Zahra? Kak Zahra cantik, comel, sesuai dengan pak usu.” Lancar saja Aleeya bertutur.

Terkesima Arif mendengarnya. Kalau tengah makan biskut Marie cecah air milo ni boleh tersedak. Tak menyangka Aleeya boleh tanya fasal kahwin. Soalan maut ni. Macam mana nak jawab eyh? Arif garu kepala. Aleeya dipangku di atas riba.

“Aleeya, dalam Islam kalau nak kahwin tak boleh tengok cantik sahaja. Cantik tapi kalau tak solat, tak baca al-Quran, tak puasa, tak boleh juga. Contohnya, kalau tak solat macam mana nak ajar anak-anak nanti. Ingat lagi tak apa ustazah kat taska cakap, kalau tak solat...?” tanya Arif.

“Nanti berdosa.” Asyraf yang tekun mendengar pantas menjawab.

“Pandai,” puji Arif dengan senyuman. Kecik-kecik lagi dah tahu fasal pahala dan dosa.

Bangga Asyraf apabila dipuji. Senyum lebar sampai ke telinga.

“Tapi Aleeya tahu kak Zahra bukan macam tu. Kak Zahra baik.” Aleeya pula bersuara.

“Pak usu pun tahu kak Zahra baik.”

“Habis tu, kenapa pak usu tak nak kahwin dengan kak Zahra?” Aleeya yang masih kecil untuk memahami soal hati orang dewasa bertanya lagi.

“Kahwin ni kena sama-sama suka.” Secara tak sengaja Arif berkata begitu. Tanpa disedari, sebuah senyuman manis terlakar di bibir.

“Pak usu tak suka kak Zahra ke?” Aleeya tanya tanpa rasa apa-apa.

Arif rasa terperangkap dengan soalan Aleeya. Sudah, nak jawab apa ni? Aku suka Zahra ke? Suka tapi suka yang macam mana? Cinta?

“Suka sebab si kecil Aleeya ni suka. Jadi pak usu terpaksa la suka.” Seraya itu Arif terus menggeletek Aleeya.

“Kahwin tu apa pak usu?” Asyraf pula bertanya. Tak berkelip matanya memandang Arif.

“Kahwin tu macam papa dan mama Asyraf. Eh, kita dah lambat ni. Aleeya nak pergi ke tak ni?” Nasib baik Arif ada idea nak menjawab. Budak-budak ni makin besar makin banyak soalannya. Curious la katakan. Semua pun nak tahu.

“Mesti la nak. Dah tak sabar nak jumpa Kak Zahra.” Girang benar si Aleeya nak berjumpa dengan Zahra.

Aleeya dan Asyraf sudah berlari ke kereta meninggalkan Arif di belakang. Tiba-tiba mindanya berlayar mengingati semula perbualan antara dia dengan kedua ibu bapanya. Arif tersenyum nipis.

“Pak usu cepatlah! Nanti anak atuk Rahman keluar!” jerit Aleeya apabila melihat pak sunya yang masih belum berganjak dari muka pintu.

“Aleeya how many times must I told you. Not anak atuk Rahman, Kak Zahra.” Arif menegur Aleeya lagi sambil menuju ke kereta. Aleeya hanya tersengih.

***

SEMENTARA ITU, Zahra di rumahnya tengah mundar-mandir. Gelisah tak tentu fasal. Sekejap ke kiri, kemudian ke kanan. Sekejap-kejap selak langsir. Nak tengok sama ada Arif ada di luar atau pun tak. Dah la abah dan ibu tak ada di rumah. Pergi bercuti di Pulau Legenda, Pulau Langkawi. Sebab ada reunion dengan rakan-rakan sekelas semasa di sekolah dahulu. Ida pula, Zahra tak berani nak beritahu langsung. Penat dah kena sakat dengan Ida.

“Apocot!” Zahra melatah. Bunyi hon di luar rumah mengejut dia dari kegelisahannya. Dia mengurut dadanya. Perasaan gemuruh semakin bertamu di hati. Pantas dia mengintai melalui tingkap untuk melihat tetamu yang bertandang ke rumahnya. Bertambah terperanjat lagi Zahra melihat siapa yang datang. Arif bukan berseorangan tetapi bersama dengan si kembar. Sebelum keluar, sempat lagi Zahra membelek tudung Ariani dan jubah yang disarung ke badan. Dah ok ni.

Ish! Jantung ni buat hal la pulak. Kau buatkan aku susah nak selak daun pintu ni. Cool down ok? Zahra mengurut dada. Nak meraih ketenangan, kononnya. Berdebar-debar Zahra membuka pintu rumahnya. Salam diberi seraya senyuman manis buat tetamu. Arif juga begitu.

Sebaik sahaja pintu pagar dibuka Aleeya terus meluru dan memeluk Zahra. “Anak atuk Rahman!... Ops! Kak Zahra!” Aleeya menoleh ke arah Arif. Sengihan terukir pada bibir kecilnya. Hehe.

Tak sempat Arif nak tegah. Dibiarkan sahaja.

Terpinga-pinga Zahra dibuatnya. Anak atuk Rahman? Aku ke tu? Zahra pandang Aleeya yang seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Kepala digelengkan. Nak tergelak juga tengok gelagat Aleeya. Macam-macam hal la budak ni. Sebelum ni punyalah payah nak dengar suara. Hanya sekali sahaja aku dengar suara Aleeya. Kini mesranya melambung-lambung tinggi. Peluk pun tak nak lepas.

“Aleeya, salam kakak dulu,” tegur Arif. Aleeya menyeringai.

“Lamanya tak jumpa Aleeya,” Zahra memeluk dan mencium pipi Aleeya. Asyraf turut tidak ketinggalan menyalami tangan Zahra.

“Maaf. Harap kami tak mengganggu. Sebenarnya Aleeya nak sangat-sangat berjumpa dengan Zahra. Dah banyak kali saya janji nak bawa. Tapi takde kelapangan. Zahra tak kisah kan?” kata Arif.

“Takpe saya tak kisah. Tak mengganggu pun. Tapi...” Suara Zahra agak gelisah sedikit. Dia sebenarnya agak keberatan nak jemput Arif masuk. Walaupun ada Aleeya dan Asyraf.

“Saya tahu parents Zahra tak ada. Apa kata kita keluar? Boleh lunch sekali dengan budak-budak ni,” cadang Arif. Agak lama juga dia berfikir sebelum dia membuat keputusan untuk mengajak Zahra keluar. Dari semalam dia memikirkannya.

“Macam mana Encik Arif tahu?” tanya Zahra dengan rasa hairan.

“Mestilah saya tahu. Zahra dah lupa parents saya dan parents Zahra satu sekolah dulu. Jadi macam mana? Nak keluar?” tanya Arif lagi.

“Err... boleh bagi a few minutes tak?” Zahra mahu bersiap dengan mengenakan pakaian yang lebih kasual sikit.

“Boleh. Kami tunggu dekat pangkin tu,” Arif menunjukkan pangkin yang berada di perkarangan rumah Zahra. Pangkin yang beratap itu dibina sendiri oleh Encik Rahman. Sebagai tempat bersantai mereka sekeluarga. Memang sedap bersantai pada waktu petang sambil minum kopi atau membaca.

Sure, sure.”

“Mari Asyraf, Aleeya. Kita duduk sana dulu,” ajak Arif.

“Aleeya nak ikut kak Zahra boleh?” pinta Aleeya dengan penuh mengharap. Seraya itu, Arif memandang Zahra.

Zahra yang faham dengan pandangan itu, mengajak Aleeya, “Boleh aje. Jom Aleeya,” Dia menghulurkan tangan kepada Aleeya. Bertambah-tambah seronok Aleeya. Cepat-cepat dia menyambutnya.

Arif hanya menggeleng melihat gelagat anak saudaranya itu. Yang peliknya, tak pernah-pernah dia melihat Aleeya begitu. Selama ini Aleeya tak pernah mesra dengan orang luar. Apatah lagi bercakap. Walhal baru dua kali sahaja mereka berjumpa.

Sementara Zahra bersiap, Aleeya pula sedang berteleku di atas katil. Mana Zahra pergi, mata dia turut sama ikut. Tersenyum simpul dia melihat kakak kesayangannya itu. Zahra yang sedang menyikat rambutnya yang semakin panjang melepasi bahu melihat Aleeya melalui cermin. Lantas dia pusing dan menghadap Aleeya.

“Kak Zahra comel. Suka Aleeya tengok,” puji Aleeya penuh makna. Sengihan pun makin melebar.

Macam ada sesuatu je yang hendak disampaikan budak kecik ni? “Aleeya macam ada sesuatu nak cakap dengan kak Zahra je ni?”

“Kak Zahra suka tak dengan pak usu Aleeya?” Tanpa memberikan sebarang persiapan kepada Zahra, Aleeya bertanya.

Terjatuh sikat yang dipegang Zahra. “Kenapa Aleeya tanya kak Zahra macam tu?” Tergamam dia dengan soalan Aleeya yang direct giler tu.

“Sebab pak usu suka kak Zahra,” jawab Aleeya dengan senyuman yang semakin lebar terukir di wajah mulusnya.

Terlopong, terkejut, tergamam, terpaku, terkesima. Semua pun ada. Zahra tak menyangka budak sekecil ini akan mengeluarkan pernyataan yang tak diduganya langsung.

“Tapi pak usu cakap pak usu terpaksa sukakan kak Zahra sebab Aleeya sukakan kak Zahra. Maknanya pak usu tak suka dengan kak Zahra ke? Aleeya tak faham. Pak usu cakap kahwin ni kena suka sama suka. Macam papa dan mama Aleeya.” Aleeya menyambung lagi dengan riak wajah yang sedikit muram.

Zahra semakin bingung. Habisss... Apa aku nak cakap dengan budak ni? Zahra mengambil tempat di sebelah Aleeya. Diribanya Aleeya. “Aleeya...sebenarnya pak usu bukan terpaksa.”

“Habis tu?” Aleeya pandang Zahra tak berkelip.

“Pak usu Aleeya suka kak Zahra sebagai kawan Aleeya. Kak Zahra kan kawan Aleeya? Kalau dia tak suka kak Zahra, dia takkan bawa Aleeya jumpa kak Zahra. Betul tak?”

Aleeya mengiakan. “Maknanya kak Zahra pun suka pak usu la?”

Errr... “Suka sebab dia pak usu Aleeya. Jadi kak Zahra kena suka.”

“Jadi boleh la kak Zahra kahwin dengan pak usu. Jadi mak usu Aleeya.” Kata-kata Aleeya penuh dengan makna.

Terkesima lagi dibuatnya. Sudah, masuk bab kahwin pulak dah. Pening-pening. “Aleeya, tak semestinya suka ni kena kahwin. Yang itu semua kerja ALLAH. ALLAH yang akan bagi kahwin atau pun tak. Kita sebagai hamba-NYA kena akur. Faham?”

Aleeya mengangguk. Dia sudah tahu apa yang harus dia lakukan. Tunggu dan lihat.

“Kak Zahra kena pakai tudung. Kesian kat pak usu Aleeya dengan Asyraf. Dah lama dia orang tunggu.”

Secepat mungkin Zahra melilit selendangnya. Puas dengan penampilan ringkasnya, Zahra dan Aleeya bingkas turun ke bawah. Blaus kosong berwarna ungu labuh hingga paras lutut dan seluar slack hitam menjadi pilihan. Tak perlu lebih-lebih. Mekap pun tak perlu. Hanya compact powder sikit dan lip balm sebagai UV protection.

“Maaf lambat sikit,” kata Zahra yang menunduk sedikit. Malu untuk menatap wajah Arif, sementelah perbualan antara dia dengan Aleeya tadi. Kalaulah Arif tahu apa yang mereka bualkan di bilik sebentar tadi. Malu-malu.

“Takpe. Okey, let’s go,” ujar Arif dengan senyuman. Dalam hati hanya TUHAN saja yang tahu. Betapa bergetarnya hati saat melihat Zahra dengan penampilannya. Walaupun ringkas tapi cukup menawan. Patut la Johan terhegeh-hegeh nak kembali pada Zahra semula. Oh TUHAN.


ps: buat yang tertunggu, maaf ya sebab lama tak update. terima kasih kerana sudi singgah dan baca ^_^b

pps: ada yang bertanya saya ada blog/tak. maaf ya saya takde blog, cuma ada page itu pun baru buat, jemputlah singgah yer https://www.facebook.com/pistachio.writer TQ=)

hint seterusnya: pak guard tak bergaji...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera