Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 10 : Dup dap dup dap! Cintakah ini?

Kala mata bertemu mata... hati mula berbicara...♥

DAH hampir sejam Ida menunggu Zahra di hadapan Johnny’s Restaurants di Queensbay Mall. Kata Zahra, ada kejutan yang hendak ditunjukkan kepadanya. Tidak betah menunggu lagi, Ida terus mencapai telefon bimbitnya di dalam beg dan mendail nombor sepupunya itu.

“Kau ada di mana ni? Dah naik lenguh kaki aku berdiri dekat sini.” Ida terus bertanya setelah memberi salam.

“Aku dah sampai. Aku nampak kau. Kau tak nampak aku ke?” tanya Zahra sambil ketawa perlahan. Suaranya juga kedengaran ceria pada gegendang telinga Ida.

“Tak nampak pun. Jangan la main-main. Kau ni nak main chak chak dengan aku ke?” marah Ida apabila dia merasakan Zahra sedang cuba bergurau dengannya. Ada juga kena sekeh dengan aku. Boleh main-main pula sepupu aku ni. Tercari-cari di mana sepupunya itu. Bebola matanya meliar ke kiri dan kanan. Masih tak nampak juga.

“Ya ampun, aku tak main-main pun. Cuba kau buka mata kau luas-luas. Aku ada depan mata kau je. Tak sampai lima puluh meter pun.” Zahra terasa nak ketawa dengan sepupunya itu. Pasti Ida akan terkejut besar melihatnya.

Serious aku tak nampak kelibat kau pun. Apatah lagi bayang-bayang kau pun. Kau dekat ma...” Kata-kata Ida mati di situ. Zahra betul-betul sedang berdiri di hadapannya. Tergamam Ida melihat kejutan yang ditunjukkan oleh Zahra. Mata tak berkelip-kelip. Mulut ternganga. Betul ke apa yang aku tengok ni?

Perubahan... Perubahan yang indah. Zahra sedang melambai ke arahnya.

“Wei, kau ni kenapa? Macam tengok alien. Tutup mulut tu. Lalat terbang masuk karang baru tahu.” Zahra tersengih-sengih sambil menggawangkan tangan di depan muka Ida.

“Kau ke ni Zahra?” Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tika itu. No more tight jeans, no shorter blouse and no more free hair kalau mereka outing bersama.

“Hehe ayu tak?” Zahra siap tunjuk dua jari lagi. Tanda peace.

“Lebih dari ayu. Sukanya aku dengan perubahan kau ni,” balas Ida. Terus dia memeluk Zahra. Gembira tak terkata melihat Zahra memakai baju cotton berwarna peach jenis punjabi yang labuh melepasi paras lutut. Dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam. Pashmina yang sedondon dengan warna baju pula dililit dan labuh menutupi dada. Kaki siap berstoking. Tangan disarung dengan hand sock lagi. 

Walaupun para ulama bersepakat bahawa kaki tidak termasuk dalam aurat yang wajib ditutupi, di mana pergelangan kaki merupakan anggota yang paling bawah, anggota sentiasa terdedah, makanya ada rukhsah ke atasnya dalam menutupinya. Namun Zahra lebih selesa menutupinya.

“Kau ni peluk aku macam dah lama tak jumpa pula.”

“Mana kau dapat baju ni?” Dalam keterujaan Ida bertanya.

“Ibu bagi. Dah lama dia beli. Rupa-rupanya ibu dah sediakan banyak baju macam ni untuk aku. Siap ada jubah lagi.”

“Macam mana tergerak hati nak pakai macam ni?” Ida bertanya lagi.

“Apa kata kita dapatkan tempat duduk dulu. Alang-alang dah ada depan restoran ni kita makan sambil borak-borak, kay? Aku lapar ni.” Zahra meletakkan tangan atas perutnya.

“Kau kena cerita detail tau. Tak boleh tinggal-tinggal.”

Sambil menikmati makan tengah hari, Zahra menceritakan mengenai perubahannya. Semuanya bermula sejak dia membaca e-mel yang diterimanya tempoh hari.

“Kau rasa orang tu memang sengaja hantar dekat kau ke?” Ida mengambil gelas yang berisi teh o ais limau dan menyisip sedikit. Terasa kepedasan Hot & Spicy Rice yang dipesannya.

“Entahlah Ida. Mungkin dia nak hantar pada orang lain tapi tersilap hantar.” Sesuap nasi disuap ke dalam mulutnya. Nikmatnya Thai Belacan Rice ni. Terserlah benar kesedapannya.

“Tapi nama kau Humaira juga. Mungkin betul-betul untuk kau. Kau ada reply tak?” Ida tak rasa orang itu tersalah hantar. Entah kenapa dia rasa amat-amat yakin e-mel tersebut dihantar khas buat Zahra.

“Tak pun. Bukan aku sorang je yang ada nama Humaira. Ramai lagi la Ida.” Betul ke untuk aku? Sukar untuk mengiakan dan sukar juga untuk menafikan. Lebih baik dibiarkan sahaja.

Ida hanya mengangguk aja. “Apapun alhamdulillah kau berubah bersempena dengan Maal Hijrah. Allah sayangkan kau sebab tu kau boleh berubah.”

“Betul cakap kau. Selama ini aku lalai. Tapi Allah masih menerima aku dan memberikan aku petunjuk.” Riak wajah Zahra berubah sedikit. Ada rasa sedih di hati.

“Yang lepas tu biar jelah. Sekarang kau mulakan hidup yang baru ya.” Ida memberikan semangat.

Thanks Ida,” balas Zahra dengan senyuman.

Ya Allah, terima kasih kerana Kau telah memberi petunjuk kepada sepupuku. Ida bersyukur dalam hati.


“PAK USU, nak makan, lapar.” Arif spontan kalih pandang ke arah Aleeya yang sedang mendongakkan kepala untuk memandang Arif dengan mata bundarnya yang kelihatan innocent itu. Aleeya mengembungkan pipinya. Arif terus mendukung Aleeya.

“Aleeya lapar eyh.” Comelnya anak saudara aku ni. Rasa nak cubit-cubit je pipi gebu dan putih melepak dia ni. Suka hati aku je nak cubit anak orang. Mahu bising Kak Ros tengok nanti.

“Asyraf pun nak makan juga.” Seluar Arif ditariknya sedikit. Seperti adiknya, Asyraf turut mahukan perhatian daripada Arif. Arif menurunkan Aleeya. Arif tunduk seraya melutut sebelah kaki di hadapan kedua-dua anak saudaranya itu.

“Asyraf dan Aleeya nak makan apa?” Dengan penuh kelembutan Arif bertanya.

“Aiskrim!” Serentak Asyraf dan Aleeya menjawabnya sambil tersenyum sumbing.

“Aiskrim? Pandainya anak-anak pak usu ni.” Budak-budak ni nak aiskrim rupa-rupanya. Arif berasa terhibur dengan telatah anak buahnya yang sering mencuit hatinya. Sekiranya ada masa lapang, Arif akan membawa Asyraf dan Aleeya pergi berjalan-jalan. Memandangkan alongnya, Ikram dan kakak iparnya Roslinda sentiasa sibuk dengan kerja masing-masing, Arif menawarkan dirinya untuk menjaga anak-anak saudaranya itu. 

Abangnya sentiasa outstation ke luar negara. Manakala kakak iparnya pula sibuk menguruskan kedai bunga yang baru dibuka pertengahan tahun yang lalu. Semakin hari semakin maju perniagaannya. Pelanggannya tidak henti-henti membeli dan membuat pesanan. Ditambah pula dengan era globalisasi, perniagaan secara online semakin diminati para usahawan. Klik saja pada facebook sudah boleh buat pesanan.

Memandangkan mereka bertiga sedang berdiri di hadapan Johnny’s Restaurant, Arif mengajak Asyraf dan Aleeya untuk makan tengah hari di situ. 

“Kita makan di sini eyh. Dekat sini ada aiskrim.”

“Yay! Aiskrim, aiskrim.” Seronok Asyraf dan Aleeya. Siap bertepuk-tepuk tangan.

“Tapi Asyraf dengan Aleeya kena janji dengan pak usu tak boleh nakal-nakal tau.”

“Ok, janji.” Sepantas kilat mereka mengangguk dan mengangkat tangan kanan sambil tersenyum-senyum. Tanda promise.

Arif pun membawa mereka masuk ke dalam restoran tersebut. Seorang pelayan membawa mereka ke meja yang telah dikosongkan. Mujur ada tempat lagi walaupun tengah lunch hour

Saat Arif tiba dan mengambil tempat duduknya, dia ternampak kelibat seseorang. Betul-betul bersebelahan dengan mejanya. Zahra! Tapi ni Zahra yang baru. Buat pertama kali dia terpegun melihat kewujudan Zahra di hadapan matanya. Zahra... tak terkeluar suaranya untuk memanggil. Hanya diucapkan dalam hati.

Seperti Arif, Zahra juga terkejut melihat dirinya. Ustaz Pink! Itu yang terdetik di hatinya. Saat itu juga mata jernihnya bertemu dengan mata redup Arif. Namun, cepat-cepat dia mengalihkan pandangan matanya. Tak pasti sama ada Arif masih lagi memandangnya ataupun tidak.

Melihat kedua-duanya membisu secara tiba-tiba, Ida mula menegur Arif. “Assalamualaikum Encik Arif. Makan dekat sini juga?” Dah terpikat ke pensyarah aku ni tengok Zahra? Sampai tak terkeluar suara langsung. Seronok ni. Eh? Encik Arif ada anak ke? Setahu aku dia belum kahwin.

“Wa.. Wa’alaikumsalam. Haah, makan dekat sini juga. Tak sangka boleh jumpa dekat sini.” Hampir tergugup Arif membalas namun ditutup kegugupannya itu. 

“Asyraf, Aleeya, salam dengan kakak-kakak ni.” Asyraf dan Aleeya yang hanya memerhati dari tadi, menyalami dan mencium tangan Zahra dan Ida. Kemudian mereka terus kembali semula kepada Arif. Maklumlah tak biasa dengan orang yang mereka tidak kenali.

“Comelnya. Anak Encik Arif ke? Umur berapa? Setahu saya Encik Arif ni single,” tanya Ida. Sepasang matanya dilirik kepada Zahra. Zahra hanya tunduk merenung pineapple jusnya. Sesekali tangannya akan bermain dengan straw minumannya.

“Anak saudara. Saya tolong jaga sekejap. Dua-dua empat tahun,” balas Arif dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibir.

“Kembar ke?” Ida bertanya lagi.

“Haah, kembar. Asyraf yang sulung.” Arif mengusap-usap kepala anak-anak saudaranya itu.

“Oh...” Mati-mati aku ingat anak Encik Arif. Ida memandang lagi ke arah Zahra. Ada chance untuk Zahra ni. Hehe...

Zahra pula sejak dari tadi hanya memilih untuk mendiamkan dirinya. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Hanya bibirnya sahaja yang mengukir senyuman manis kepada Asyraf dan Aleeya. Dia sendiri tak mengerti apa yang sedang berlaku kepada dirinya. Apa yang dia tahu jantungnya berdegup pantas saat bertentang mata dengan Arif. Cintakah ini?


p/s: Bila la Johan boleh muncul? Nampaknya bertambah la pesaing Arif kalau Johan muncul semula dalam hidup Zahra.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera