ALAHAI,
CIK MINAH SAYANG
Selepas
bersarapan, Nek Ros bersiap-siap untuk keluar. Janjinya dengan Pati Lakhsmi
akan ditunaikan. Dia akan cuba
gembirakan hati sahabatnya itu. Kesepian yang sekian lama bersarang di hati
wanita itu akan cuba diubati.
“Abang nak keluar dengan Darwis dan Arman,” beritahu
Atuk Jay ketika sedang bersarapan.
“Nak
ke mana?” tanya Nek Ros.
“Anja
jelous?” Atuk Jay cuba bergurau. Soalan Nek Ros tidak dijawab
“Mak
jangan bimbang, kami berdua ada untuk jaga ayah,” sampuk Darwis sambil
mengunyah nasi lemak.
“Mak
nak cemburu? Tak ada maknanya Wis. Kalau ayah dah mengenyit ke, nak menyengih
ke, mak tak kisah. Kalau ayah nak kahwin pun, mak akan tandatangan borang.
Malah mak akan pinang dan sandingkan ayah. Mak kan ak ambil payung emas di
syurga,” jawab Nek Ros dengan ketawa, galak.
“Amboi!
Cabar abang ke ni?” Atuk Jay ikut ketawa, segar.
“Mak
jangan sebut mak. Kalau masin mulut mak, macam mana?” Arman pula cuba bergurau.
“Arman,
mulut mak memang masin sebab mak makan garam kasar. Hmm... Kalau masin mulut
mak, alamatnya kamu berdua akan beribu tiri!”
Nek
Ros tersenyum-senyum mengenangkan dialog di meja makan itu. Sebenarnya, gurauan
itu pernah berlaku semasa dia muda. Atuk Jay tiba-tiba diminati oleh seorang
gadis. Sebagai lelaki, suaminya itu ikut gila bayang. Tidur tak lena. Mandi tak
basah. Makan tak kenyang. Siang malam asyik menyebut nama gadis pujaannya.
Nek
Ros tidak melenting. Dia memilih jalan perang dalam tenang. Dalam diam dia
menyusun strategi. Dia pergi mencari gadis itu. Pada masa itu Darwis masih
kecil dan Ezani belum lahir. Nurlisa pula sudah masuk tadika.
Lalu
dikeleknya Darwis, dibawa mencari bukti. Akhirnya dia sampai ke rumah gadis
itu. Dengan senyum selamba dan tidak menggelabah dia berdepan dengan kekasih
suaminya.
“Awak
ni mak we suami saya?” tanyanya kepada gadis itu.
“Siapa
suami akak?” tanya gadis itu dengan wajah gugup, hairan.
“Jais
bin Tukiman.”
Serta
merta wajah gadis itu berubah. Pucat lesi keadaannya. Namun Nek Ros hanya
tersenyum-senyum.
“Bila
nak kahwin?”
“Ermm...
saya ikut saja. Abang Jay kata tunggu masa yang sesuai.”
Wajah
gadis itu diteliti lagi.
“Awak
tahu ke dia ada anak bini?”
Gadis
itu angguk perlahan.
“Lalu,
kenapa awak masih nak kahwin dengan dia?”
Gadis
itu tunduk ketakutan.
“Awak jatuh cinta dengan dia? Awak nak kahwin
dengan dia? Dan awak nak jadi mak tiri kepada anak-anak saya?”
Kali
ini wajah gadis itu semakin berubah.
“Saya
tak kisah kalau awak nak kahwin dengan dia. Tapi mahukah awak berkongsi
segala-galanya dengan saya? Termasuk menjaga anak-anak saya?”
Gadis
itu semakin terkebil-kebil.
“Kalau
awak dah sudi nak kongsi suami dengan saya, maknanya awak pun kena sanggup
kongsi susah senang dengan saya. Sebab isteri itu milik suami. Kalau awak sudi,
saya kan masuk meminang dan kahwinkan awak dalam majlis yang gilang gemilang.”
“Kak,
saya minta maaf,” kata gadis itu dengan bibir yang semakin bergetar.
“Minta
maaf kenapa? Saya tak marah pun. Awak nak jadi madu saya kan?” Nek Ros
menepuk-nepuk mesra bahu gadis itu.
“Kalau
nak jadi madu saya, awak kena kuat untuk bermadu juga dengan anak-anak saya,
keluarga saya dan kesusahan saya. Itu baru dinamakan berkongsi. Kalau setakat
berkongsi tubuh badan suami, itu tidak jujur dan tidak adil,” kata Nek Ros
dengan senyum yang memang disengajakan.
Tiba-tiba
gadis itu menangis tersedu-sedu.
“Kenapa
pula awak menangis? Sepatutnya awak gembira kerana saya sudi nak jadi madu
awak.”
“Kak,
saya minta maaf. Tolong jangan teruskan
lagi. Akak terlalu baik. Saya tak sanggup nak lukai hati akak.”
“Taklah.
Awak tak melukakan saya pun. Cuma saya bimbang awak yang akan terluka nanti.
Saya yakin dengan janji ALLAH. Kalau ini bahagian saya, saya akan terima. Suami
hanya pinjaman ALLAH. Kalau saya mati, saya tak bawa suami sampai ke kubur.
Tapi awak? Bolehkah awak berperasaan macam saya? Awak masih muda. Awak tak akan
kuat nak berkongsi suami dengan saya!” kata Nek Ros dengan suara tegas.
“Tidak
kak. Saya tak nak kahwin dengan Abang Jay. Saya akan putuskan. Saya tak akan
jumpa dia lagi. Maafkan saya kak...” Gadis itu menarik tangan Nek Ros dan
menciumnya.
Nek
Ros tersenyum menang. Kemenangan tanpa perlu berperang!
“Ros,
kenapa tersenyum-senyum ni?” sergah Pati Lakhsmi.
Nek
Ros terpinga-pinga. Rupanya dia sudah berada di hadapan rumah Pati Lakhsmi. Dia
melangkah sambil mengira kenangan lalu.
“Saya
seronok sebab kita nak keluar berjalan-jalan. Dah lama kita tak keluar berdua
kan?” Nek Ros ketawa kecil.
Pati
Lakhsmi angguk. Ditelan semua kata-kata itu tanpa curiga.
“Jomlah
pati...” Nek Ros menarik tangan Pati Lakshmi dengan rengekan manja.
“Kita
nak naik apa?”
“Mr.
Harley.”
“Apa?”
Pati Laksmi terkejut. Langkahnya terhenti. Wajahnya pucat, ketakutan.
Nek
Ros melihat perubahan itu dengan ketawa panjang.
“Ros,
saya tak jadilah nak pergi. Saya takut nak naik motor. Tengok motor tu saja
saya dah menggigil,” kata Pati Lakhsmi.
“Penakut
juga awak ni ya?”
“Memang
saya takut. Saya pun heran tengok awak boleh naik motor sebesar itu dengan
senyum. Adui, kalau saya mahu saya pengsan nanti.”
“Lakhsmi,
saya pun tak akan pengsankan awak. Takkanlah saya nak bawa awak naik motor.
Tengok kain sari awak ni, meleret. Mr. Harley pun tak nak bawa awak. Dia kata,
tak rugged!” kata Nek Ros. Dia menarik sekali lagi tangan sahabatnya.
Langkah
mereka terhenti di hadapan sebuah kereta Produa Kancil 660cc yang tersadai di
tepi rumah.
“Awak
lupa pada Cik Minah saya ni? Inikan teman setia kita sejak dulu,” kata Nek Ros
sambil menggosok kereta yang dipanggil Cik Minah itu.
“Ayoyo!
Saya lupalah. Boleh naik lagi ke Cik Minah ni?” Pati Lakshmi menepuk dahi.
Ketawanya menyeringai segar. Dia tidak lupa pada jasa kereta kancil yang mesra
dengan gelaran Cik Minah itu.
“Apa
pulak tak boleh. Walaupun saya jarang naik tapi saya selalu hantar dia pergi
klinik dan rumah urut. Tengok, tubuhnya yang putih kuning ni sentiasa bersih
berkilat. Semalam baru Darwis hantar pergi salon dan mandi sauna. Awak jangan
bimbang. Dia seperti janda yang masih tip top punya. Jom!” Nek Ros membukakan
pintu. Pati Lakhsmi naik dengan senang hati.
Nek
Ros menghidupkan enjin.
“Sejarah
hidup Cik Minah ni pun berliku, Lakshmi. Kalau ia pandai berkata-kata, dah lama
dia minta ampun dari saya,” kata Nek Ros ketika enjin akan dihidupkan.
“Maksud
awak?” tanya Pati Lakhsmi, hairan.
“Awak
tahu masa ia dibeli, anak-anak saya masih bersekolah. Inilah bas sekolah
anak-anak saya.”
“Itu
saya tahu sebab anak-anak saya pun pernah tumpang Cik Minah ni untuk ke sekolah
kalau hari hujan,” balas Pati Lakhsmi pula.
“Masa
tu kehidupan saya selalu sempit. Maklumlah gaji Jay masa tu tak sebesar mana.
Gaji seorang pegawai rendah. Saya pula terpaksa berhenti kerja kerana anak-anak
tak ada yang nak jaga. Mana nak bayar rumah. Nak bayar duit sekolah anak-anak.
Nak makan lagi. Pernah dua kali Cik Minah ni kena tarik oleh pihak bank,” kata
Nek Ros sambil matanya tertumpu ke jalan raya.
“Ya
ke Ros? Macam mana saya tak tahu? Rasanya semua rahsia pasal awak saya tahu.
Begitu juga rahsia saya, semua awak tahu.” Pati Lakhsmi menoleh. Wajah
sahabatnya direnung.
“Macam
mana awak nak tahu, sebab ini memang rahsia kami dengan Murthy.”
“Dengan
Murthy? Kenapa?” Pati Lakshmi semakin diserbu keliru.
Nek
Ros tidak segera menjawab. Matanya masih tertumpu ke arah jalan. Dia serba salah. Hal itu sudah lama berlaku.
Yang bernama Murthy itupun sudah pergi.
“Ros,
tolong terangkan. Jangan buat saya syak yang bukan-bukan,” desak Pati Lakhsmi.
“Murthy
yang pinjamkan kami duit untuk keluarkan Cik Minah dari stor. Kalau dia tak
tolong, Cik Minah ni dah memang tak jadi milik kami lagi. Jangan marah dia.
Murthy memang sahabat kami yang sangat baik.” Akhirnya semua rahsia terluah. Ia
sudah tidak menjadi rahsia lagi.
“Murthy...
Cik Minah...” bisik Pati Lakshmi. Kemudian dia tersenyum, senang.
Giliran
Nek Ros rasa pelik dengan senyuman wanita itu. Matanya bersilih ganti antara
jalan raya dan wajah Pati Lakshmi.
“Ni,
yang awak tersenyum-senyum ni kenapa?”
“Saya
baru teringat. Murthy ada minta buku bank dengan saya. Dia kata nak keluarkan
duit. Bila saya tanya, dia tak nak jawap. Saya sakit hati. Berhari-hari saya
masam muka dengan dia. Akhirnya dia cakap dengan saya dia nak tolong orang
tengah susah. Bila saya tanya, siapa? Dia jawab, Cik Minah!” jawab Pati Lakhsmi
dengan ketawa.
Ketawa
Nek Ros juga pecah berderai.
“Alahai
Cik Minah sayang... ada juga orang cemburukan kau Cik Minah!” Nek Ros menepuk-nepuk
stering kereta sambil ketawa.
(IKUTI SAMBUNGANYA DALAM BAB : PUTU MAYAM MUTHU)