SIMPUL
BIAWAK SIMPUL KASIH
Lepas
makan malam, Nek Ros segera masuk ke bilik. Sudah lama tidak bergerak lasak
seperti petang tadi. Walaupun hanya berlari di halaman dan bukan di padang,
namun keletihan tetap terasa.
“Awak...
awak dah nak tidur?” tanya Atuk Jay
dengan gaya remaja.
“Kita
penatlah wak...” balas Nek Ros pula, juga dengan gaya muda. Tanpa menunggu
lama, dia terus menarik bantal dan berbaring.
Atuk
Jay ketawa perlahan.
“Kenapa
awak ketawakan kita ni?”
“Sebab
kita suka tengok dia dalam gaya penat. Selalu kita tengok dia dalam keadaan
cergas, macam lipas kudung.”
Nek Ros
mencubit lengan Atuk Jay. Manja.
“Bang,
esok pagi-pagi Ros nak keluar sekejap boleh?” Nek Ros kembali kepada situasi
biasa, serius.
“Aik?
Bukan ke setiap pagi kita keluar?” Atuk Jay merenung wajah Nek Ros dengan rasa
hairan.
“Kali
ni lain. Pagi esok Ros nak keluar berdating,” jawab Nek Ros selamba.
“Hah?
Dengan siapa?”
“Dengan
madu kita...”
Atuk
Jay ketawa. Santai dan segar.
“Siapa?”
tanya Atuk Jay.
“Pati.
Esok hari nenek dan pati nak bergelandangan,” jawab Nek Ros sambil menguap.
“Hah?
Lakhsmi? Ros ni mengigau ke betul ni?”
“Wa
cakap betul la bro! Apa? Tak percaya?” Nek Ros merenung wajah Atuk Jay sambil
mengenyitkan mata.
“Boleh
ke Lakhsmi tu nak meronda dengan Ros yang ligat ni. Kaki dia tu...”
“Abang...
dia yang ajak Ros. Dia yang minta Ros bawa dia keluar berjalan-jalan. Mungkin
dia dah bosan dengan sari putihnya tu. Atau dia dah penat berkurung dalam bilik
kenangannya tu,” potong Nek Ros sebelum ayat Atuk Jay dihabiskan.
“Anak-anaknya
boleh benarkan ke?”
“Entahlah.
Kita tengok esok macam mana.”
Atuk
Jay termenung seketika. Rasa belasnya kepada Pati Lakhsmi mula muncul.
“Ros,
abang kesian dengan dia tu. Esok, Ros bawa dia pergi farmasi dan belikan apa-apa
pil suppliment untuk dia. Dia mengadu lutut dan kakinya sakit. Belikan dia
vitamin yang ada glukosamine. Belikan juga susu yang kaya kalsium. Ambil duit
abang dalam dompet tu,” kata Atuk Jay.
Nek Ros
angguk perlahan. Matanya semakin kuyu. Dia hampir terlelap. Namun, tiba-tiba
dia teringat sesuatu.
“Abang!
Ros lupa nak cakap dengan abang satu perkara.”
“Apa
dia?”
“Lakhsmi
ada berikan kotak kecil berisi barang-barang kemas peninggalan Murthy untuk Ros
simpan.”
Atuk
Jay terkejut. Dia segera berpaling dan membetulkan duduknya. Dia menatap wajah
isterinya dan mencari kepastian.
“Apa
muslihatnya?”
“Muslihat
apa? Ini bukan cerita Siti Muslihat!” jawab Nek Ros dengan gurauan untuk
mengendurkan rasa terkejut Atuk Jay.
Atuk
Jay tunduk. Gurauan itu tidak mampu membuat dia tersenyum, apa lagi ketawa.
“Ros,
ini kes berat. Kita boleh dituduh melakukan jenayah.”
“Jenayah
apanya. Bukannya Ros yang minta dan tipu daya dia. Dia yang minta tolong Ros
simpankan. Katanya, kalau dia mati tolong jualkan barang-barang itu untuk biaya
urusan pengkebumiannya. Dia tak percaya anak menantunya. Abang tahulah keadaan
anak-anaknya tu. Sejak Murthy tak ada, semakin menjadi-jadi perangai mereka.
Kalau boleh rumah itu pun nak dijual mereka,” terang Nek Ros panjang lebar.
Atuk
Jay mengeluh. Hatinya masih kurang
senang.
“Abang
bimbang kalau anak-anaknya yang tuduh kita nanti.”
“Ros
pun fikir begitu. Tapi, Lakhsmi kata dia tak ada sesiapa yang nak diamanahkan
barang tu. Hanya Ros yang dia percaya.”
Suasana
sepi. Mereka berdua termenung melayan fikiran sendiri.
“Apa
kata kalau kita suruh dia buat surat akuan,” kata Atuk Jay.
“Perlukah
bang?”
“Rasanya
sangat perlu Ros. Sebab kalau apa-apa terjadi, kita boleh tunjukkan surat tu.
Masa depan kita tak boleh nak jangka. Ini untuk perlindungan diri kita, Ros.”
Atuk Jay berkata bersungguh-sungguh. Dia mahu Nek Ros faham tujuan surat itu.
“Baiklah,
esok Ros cuba ajak Lakhsmi ke ofis Ali.”
“Ali
mana pulak ni?” Atuk Jay beliakkan mata.
“Ali,
yang kerja di Suruhanjaya Sumpah tu. Mungkin dia boleh taipkan surat resmi yang
laku untuk dibawa ke mahkamah. Kalau setakat surat biasa, tak bermakna apa-apa.
Tak laku.”
Atuk
Jay termenung. Tidak lama dia tersenyum-senyum.
“Ni
kenapa pula senyum-senyum ni?” tanya Nek Ros, hairan.
“Abang
tak sangka, Ros lebih cekap undang-undang dari abang. Abang ingat, abang ni dah
pandai. Rupanya Ros lagi pandai!”
Nek
Ros ketawa kecil. Mengantuknya hilang.
“Ha!
Baru lu tahu ya! Wa saja je tak nak tunjuk hebat!” gurau Nek Ros, menyeringai.
“Eksyen
pulak tu!” Atuk Jay menggeletek pinggang Nek Ros. Ketawa Nek Ros bergema kuat.
Dia kegelian. Namun tiba-tiba ketawa itu bertukar menjadi satu jeritan kesakitan.
“Aduh!
Sakitnya bang! Aduh!”
“Kenapa
Ros?”
“Betis
Ros ni... aduh...” Nek Ros menggeliat kesakitan. Atuk Jay cuba menolong dengan
cara mengurut dan menekan-nekan tapak kakinya.
“Sakitnya
bang... ” Nek Ros mengerang. Air matanya tiba-tiba mengalir tanpa diminta. Dia
menarik kakinya yang sedang diurut dan ditekan oleh Atuk Jay.
“Diamlah,
abang tengah urut ni!”
“Nek, boleh baca buku cerita ni tak?”
tiba-tiba Ainun Najwa masuk ke bilik. Di tangannya sebuah buku cerita
bertajuk Puteri Ikan Emas. Namun ketika
melihat Nek Ros sedang menangis dan Atuk Jay sedang menolongnya, dia tergaman.
“Atuk,
kenapa dengan nenek?” tanya Ainun Najwa sedikit cemas. Dia nampak sangat gerun
ketika melihat Nek Ros menggeliat kesakitan.
“Atuk,
nenek sakit apa?” tanya Ainun Najwa sekali lagi.
“Simpul
biawak,” jawab Atuk Jay tanpa menoleh. Perhatiannya tertumpu sepenuhnya kepada
betis dan kaki Nek Ros yang keras kejang.
Ainun
Najwa berlari keluar dari bilik itu. Dia terpekik-pekik memanggil mama dan
papanya. Wajahnya cemas. Dia ketakutan.
“Kenapa
ni Najwa?” Marni mendekati anaknya dan memeluk erat. Ketakutannya cuba
dikongsi.
“Nenek...”
Suaranya bergetar. Dia seperti ingin
menangis.
“Kenapa
dengan nenek?” Darwis pula meluru keluar dari bilik ketika terdengar perbualan
anak isterinya. Matanya melorot ke arah Ainun Najwa.
“N...
n...nenek kena gigit biawak!” jawab Ainun Najwa, tergagap. Dia
“Biawak!
Mana ada biawak dalam rumah ni?” Darwis terus berlari ke bilik ibunya dengan
hati curiga. Marni juga mengekorinya.
“Mak
long! Mak long! Nenek sakit. Nenek kena gigit biawak!” Ainun Najwa mengetuk
pintu bilik Nurlisa dengan suara nyaring. Nurlisa keluar. Dia merenung tajam ke
arah Ainun Najwa. Namun dia tidak mahu bertanya lagi. Dia terus berlari ke
bilik Nek Ros.
Ketika
pintu bilik ditolak, kedengaran suara ketawa memenuhi bilik. Nurlisa hairan.
“Mak,
mak tak apa-apa? Kaki mak kenapa?” tanya Nurlisa, cemas. Matanya terpandang
tangan ayahnya yang masih memicit-micit
kaki Nek Ros.
“Kaki
mak kau simpul biawak. Kejang dan tegang semua uratnya,” jawab Atuk Jay dengan
ketawa kecil. Ainun Najwa sudah membuat semua orang rasa bimbang.
“Kak
long pun terkena juga dengan Najwa ya?” tanya Marni tersenyum-senyum. Nurlisa
angguk sambil ketawa.
Tidak
lama, mereka keluar dari bilik itu.
“Terima
kasih, awak. Saya ni menyusahkan awak saja kan? Dari dulu, asyik simpul biawak
saja.” Nek Ros kerdipkan mata dengan manja.
“Saya
sayang awak! Simpul biawak ni adalah simpulan hati saya. Bila awak kena simpul
biawak, saat itu saya tahu awak perlukan tangan saya untuk memicit. Kan?” balas
Atuk Jay.
Nek Ros
tersenyum malu. Memang lelaki itu amat berjasa kepadanya sejak berpuluh tahun. Ketika
dia diserang simpul biawak, dia selalu ada untuk meleraikan simpul biawak itu!