Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,273
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8
HAMPIR seminggu Emili mengikuti kelas bimbingan agama dan kauseling dengan Ustazah Arbaiyah. Itu pun atas usaha gigih Maira mencari Ustazah yang pernah mengajarnya ketika di bangku sekolah dulu. Melalui ustazah itu, Emili belajar banyak perkara sebagai persediaan sebelum memeluk Islam. Tentang hakikat, tanggungjawab dan persediaan ke gerbang perkahwinan. Rupa-rupanya, banyak benda yang dia belum bersedia. Malah, kelas bimbingan yang diikuti itu pun tanpa pengetahuan sesiapa kecuali Maira.

Setiap apa yang diajari oleh Ustazah Arbaiyah seperti pengertian Rukun Iman, dan Rukun Islam Emili faham. Kerana sudah lama dia didedahkan tentang itu. Malah, sejak berkenalan rapat dengan Fahim, dia sudah mula menghafal Rukun Iman dan Rukun Islam. Cuma... hatinya tiba-tiba keliru bila diajukan satu soalan oleh Ustazah.

“Apa niat kamu nak memeluk Islam? Adakah sebab kamu cintakan Fahim, atau kamu benar-benar terbuka hati untuk mendalami agama suci ini?” Soalannya ringkas. Tapi, lidah Emili kelu untuk menjawab.

Sungguh! Emili benar-benar terkedu. Saat itu, dia rasa hidup bagaikan kosong. Jiwanya terasa dahagakan sesuatu. Tetapi, dia sendiri tidak pasti apa yang dia perlukan. Antara agama suci dan cinta yang berputik pada Fahim, mana satu yang lebih dominan?

Melihat Emili yang mula hilang kata, Ustazah Arbaiyah memberikan masa untuk Emili berfikir sedalam-dalamnya. Dia mahu Emili menilai dengan hati yang tulus. Dan bukannya dengan nafsu yang membelenggu sekeping hati.

“Jika agama yang awak pilih, nescaya berbahagialah awak.”

Sebaris ayat itu cukup mendalam maksudnya. Hati Emili kecut. ‘Apakah pilihan aku yang sebenar-benarnya?’


“DAH jumpa apa yang kau cari?”

Emili menggeleng. Wajah Maira dipandang dengan rasa sayu. “Bila aku fikir soalan ustazah tu... aku rasa kosong. Perasaan cinta pun tiba-tiba macam lenyap. Fahim yang membisu seribu bahasa. Hati aku pulak... macam... macam ada sesuatu yang lompong. Tapi, aku tak tahu apa benda.”

Maira usap perlahan belakang tubuh Emili. Wajah sahabatnya nampak keliru Demi Emili, dia sanggup pulang setiap hujung minggu. Masuk minggu ini, sudah tiga minggu berturut-turut dia pulang ke kampung. Mujurlah dia tiada kelas pada hari Isnin pagi untuk semester itu. Jadi, tidaklah dia tergesa-gesa sangat.

“Okey... cadangan aku kan... apa kata kita tangguh dulu rancangan kau nak kahwin dalam masa dua bulan tu. Lagipun masa dua bulan tu dah nak tamat. Tinggal tiga minggu lagi sebelum abang aku berangkat. Mana sempat nak buat apa-apa. Ini dah tolak soal adatlah. Maksud aku, prosesconvert juga makan masa.Convertdalam erti kata sebenar. Aku nak kau jiwai dengan hati yang tulus. Hati yang suci. Bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Aku nak kau ada persediaan yang rapi sebelum bergelar isteri. Banyak benda kau belum faham. Boleh tak kali ni, kau ikut nasihat aku?”

“Maksud kau?”

“Maksud aku mudah aje. Aku nak kau betul-betul bersedia. Jangan buat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa. Kau orang dah pun berkongsi perasaan yang sama. Rasa cinta. Rasa sayang. Tak salah kalau kau tahan kejap perasaan tu, dengan melakukan persediaan lain yang lebih besar erti dan pahalanya. Bila dah lafaz syahadah nanti, kau kena ikut semua program untuk mualaf. Kau kena ikut kelas fardu ain, kelas agama dan macam-macam program asas untuk mualaf. Lagi satu... benda-benda ni semua perlukan semangat yang kuat. Kalaulah... kau berangkat ke UK terus lepas kau convert, kau tak sempat nak belajar semua tu. Alangkah ruginya...”

Emili cuba mencerna maksud yang cuba disampaikan oleh Maira. “Tapi... pusat untuk mualaf kan ada jugak dekat UK? Boleh aje aku nak belajar kat sana.”

“Hmm... boleh tu, boleh... tapi aku takut kau tak selesa.”

“Kenapa?” Emili makin bingung. Jawapan-jawapan Maira seolah-olah tidak menggalakkan dia berkahwin.

“Dekat sana kan... kau akan belajar agama... dalam English. Boleh ke?”

Gulp! Emili telan air liur.

Maira tahan ketawa. Bibirnya diketap kuat. Dia tahu Emili mula menimbangkan cadangannya semula. Bukan dia tak tahu, Emili cukup muak untuk berbahasa Inggeris. Lidahnya pelat untuk bertutur dalam bahasa antarabangsa itu.

“O... key... aku ikut nasihat kau. Tapi kalau kat sini, kau tak tinggal aku, kan? Kau akan tolong aku yakinkan papa dengan Mak Diah, kan?”

“Ya. Aku kanpartner-in-crime kau!Best-friend-forever no matter what! Mestilah aku ada bila kau perlukan aku!”

“Cakap Melayu boleh tak? Tak payah nak poyo sangat cakap bahasa Inggeris dengan slang-slang Mat Saleh tu.” Muka Emili tiada riak. Marah pun tak, senyum pun tidak. Tapi, cukup mencuit hati Maira.

Kali ini, Maira benar-benar tak dapat nak menahan ketawa. Nampak gayanya, memang Emili betul-betul anti dengan bahasa Inggeris!

“Kau ni kalau dah boleh gelak... tak ingat dunia,” rungut Emili, geram. Wajahnya mula mencuka. Sudah tahu dia ada sejarah silam dengan cikgu bahasa Inggeris dulu hingga dia benci subjek itu, pura-pura pula tak tahu. Nak jugak tunjuk pandai cakap dengan slang berhabuk.

“Okey, okey! Aku mintak maaf!”

Emili angkat kening. “Satu lagi...”

“Apa?”

“Kalau dalam masa dua tahun ni, hati Fahim terpaut dengan awek Scottish macam mana?”

Polos soalan Emili membuatkan Maira tersengih. “Kau betul-betul cintakan dia, kan?”

Emili mengangguk laju. “Mestilah! Muka dahlah macam hero Malaya! Gila tak jatuh cinta?”

“Sabar. Kita usaha, doa dan tawakal. Tapi untuksteppertama, belajarlah cintakan ALLAH Yang Satu dulu. Sebab cinta DIA pada hambanya takkan mati, takkan berubah. Cinta manusia sesama manusia biasanya ada pasang surut. Tapi kalau kau kukuhkan tiang, insya-allah... rumah yang bakal kau bina akan kukuh. Tapi kalau tiangnya goyah, mustahil rumah itu akan berdiri teguh. Faham maksud aku?”

Lambat-lambat Emili mengangguk. Kata-kata Maira ada benarnya daripada segi logik. Meskipun dia tidak dapat menangkap maksud itu dengan jelas 100%, tapi analogi yang diberikan oleh Maira sedikit sebanyak membantu dia untuk memahami satu konsep mudah dalam hidup. Erti sabar. Erti kepercayaan kepada TUHAN.

“Okey, yang ni yang terakhir untuk hari ni dan untuk minggu ni sebelum kau balik kampus.”

Maira tersengih sambil geleng kepala dengan keletah Emili. “Ya... apa dia, Cik Mili sayang?”

“Kau agak-agak... Ustazah Arbaiyah ada ambil suplemen tak? Aku tengok dia macam semput-semput aje. Jalan pun tak berapa nak larat. Kalau aku promosikan suplemen yang aku jual ni dekat dia, okey tak?” Emili bertanya tanpa perasaan.

“Kau ni!”

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.