EMILI termenung di ruang tamu rumahnya yang
besar. Sepi. Wajahnya sudah seminggu tidak ceria. Jarinya dari tadi asyik
menekan-nekan punatremote TV. Dah berbelas
saluran TV dibuka, tapi semuanya tidak menarik perhatian.
“Kalaulahremote tu meletup...”
Emili terus menoleh. “Papa!”
Tauke Liew tergelak kecil. Wajah terkejut
Emili menggelikan hatinya. Lambat-lambat dia berjalan ke sofa di sebelah Emili.
“Bila papa balik? Tak dengar pun bunyi
kereta?” tanya Emili sambil menenyeh mata. Rambut pendeknya yang kusut-masai
gara-gara tidak disikat, dirapikan dengan jari.
“Baru aje. Papa naik teksi tadi sebab tu
kamu tak dengar bunyi kereta,” jelas Tauke Liew sambil menghulur tangan pada
Emili. Fokus matanya padaremote di tangan Emili.
Faham dengan isyarat itu, Emili segera
menghulurkanremote TV. Wajahnya
masihblur dengan tanda tanya. Tak pernah papanya
naik teksi tiba-tiba hari ni naik teksi pulak.
“Kenapa pulak papa naik teksi? Kereta papa
mana? Abang Seman hantar ke bengkel ke?”
Tauke Liew pelik dengan soalan
bertalu-talu anaknya itu. “Laaa... salah ke papa naik teksi?”
Emili mencebik. Geram bila soalannya tidak
dijawab sebaliknya dibalas dengan soalan semula. “Salah tu, tidak... tapi macam
tak percayalah pulak. Papa mana pernah naik teksi sebelum ni? Kereta papa
mana?”
“Adalah...”
“Ada tu kat mana?”
“Mana-mana aje...” Tauke Liew tahan
perutnya yang gendut itu. Sengaja hendak mengusik anak gadisnya yang sudah
terlupa cara-cara hendak senyum.
Mata Emili yang sepet itu makin mengecil.
“Elok sangatlah buat muka herot-herot macam tu. Kalau nak gelak tu... gelak
ajelah... buruk tau pa, perut yang gendut tu bergetar-getar!”
Meletus ketawa Tauke Liew. Tak jadi nak
kontrolmacho. “Eleh... muka dia tu lagilah teruk.
Mengalahkan jeruk masam aje. Kalau papa iklankan muka kamu sekarang ni...
dijamin tak laku punya! Tak ada orang nak ambik buat bini!”
Emili laju-laju menjengah cermin besar di
ruang tamu itu. Ditilik wajahnya rapat-rapat ke cermin itu. “Besarnya lingkaran
gelap bawah mata! Rambut macam hantu Kak Limah! Jerawat ni bila naik?! Satu...
dua... tiga... hah?! Lima biji! Arghh! Macam mana aku boleh tak perasan ni?”
jerit Emili bagaikan orang tersampuk jin melihat muka sendiri. Wajah yang telah
diabaikan gara-gara hati yang penasaran memikirkan masalah ‘jiwa’.
Tauke Liew tayang muka selamba. Jeritan
Emili tidak diendahkan meskipun anak gadisnya memberontak di hadapan cermin
besar itu. Dibiarkan sahaja Emili melayan perasaan sorang diri. Matanya difokuskan
pada filem lakonan Jackie Chan di kaca TV.Volume TV itu juga turut dikuatkan untuk melenyapkan suara nyaring Emili.
“Papa!”
Tauke Liew mengekek ketawa melihat adegan
lucu Jackie Chan dan Chris Tucker dalam filem Rush Hour 3. Panggilan Emili
tidak diendahkan.
Emili hentak kaki kuat-kuat. Protes!
‘Hisy! Sajalah tu nak cari gaduh!’ rungut hati Emili. Laju langkahnya menuju ke
plug TV.
Pap! Serta-merta TV LED 52’ itu gelap.
“Ini sabotaj! Mana aci kacau papa tengok
TV!” marah Tauke Liew. Wajah cemberut anaknya tidak dilayan.
“Papa lagi sayangkan Jackie daripada Mili
ke? Mili panggil dari tadi papa buat tak tahu aje...” muncung Emili panjang
sedepa. Merajuk!
Tauke Liew tergelak kecil. Ditepuk-tepuk
sofa berangkai tiga yang empuk itu. Bahasa tubuhnya memanggil Emili supaya
duduk di sebelahnya.
Emili akur. Tetapi muncung itiknya masih
kekal begitu.
“Papa mintak maaf. Sengaja papa buat tak
reti...” Jujur Tauke Liew mengaku salah.
Buntang mata sepet Emili.
“Bukan apa... meluat pulak papa tiap-tiap
hari balik tengok muka Mili macam cekodok basi aje. Ajak borak, Mili tiba-tiba
tak reti bercakap. Ajak keluar makan, tiba-tiba aje Mili jadi orang kebal yang
memang tak makan apa-apa. Ajakshopping pun, Mili buat
tak tahu. Jadi, salah ke papa buat-buat pekak bila Mili panggil?” sambung Tauke
Liew lagi. Keningnya diangkat-angkat.
“Papa!”
“Eh, tiba-tiba Mili dah boleh bercakap!”
“Eeii... papa ni!”
Tauke Liew ketawa kuat. Baru terasa
kehadiran anak kesayangnnya di rumah besar itu. Rumah yang hanya dihuni mereka
berdua makin sunyi bila Emili tiba-tiba melancarkan mogok bercakap. Entah sebab
apa anaknya berubah laku. Itu yang membuatkan dia pelik.
Emili menongkat dagu. ‘Nak marah... bapak!
Tak marah... sakit hati! Hisy!’ Hatinya merungut tak puas hati. Papanya yang
masih ketawa hingga berair matanya dijeling sekilas.
“Okey! Papa dah habis ketawa,” ujar Tauke
Liew dengan ketawa yang masih bersisa.
“Tu ada lagi sikit-sikit... habiskan
dulu...”
Tauke Liew terus pekup mulutnya.
“Hmm... tau pun...” Tersengih Emili.
Kemenangan kembali berpihak padanya. Papanya memang seorang yang kelakar dan
pandai mengambil hati. Jarang sekali papa memarahi mereka adik-beradik. Malah,
didikan yang diberikan oleh papa penuh dengan kasih sayang. Tegas dalam sayang.
Itu yang diamalkan oleh papanya. Meskipun kadang-kadang sikapnya boleh mencabar
kesabaran papanya, tetapi lelaki yang banyak berjasa itu masih melayannya
dengan baik.
“Saja bagi peluang. Nanti kalau papa tak
bagi peluang Mili menang, merajuk pulak. Dahlah tak lawa... buat muka itik
tu... lagi tak lawa...” giat Taule Liew menyakat anak gadisnya.
“Tak lawa pun sebab papa tak hensem...
perut pun boroi... ada hati minat dekat Beyonce... sekali Beyonce buat perut
papa jadi gendang aje...”
“Ah... sudah-sudah! Apa kena papa pulak?
Kita ni punyalah ramai peminat, dia boleh kutuk macam tu pulak. Dahlah tak ada
boyfriend, lepas tu tak nak jaga kecantikan diri pulak. Tengok muka dengan
rambut serabut macam ni... hisy! Hantu Cina pun malu nak mengaku Mili tu hantu
tau tak?”
Emili buat-buat bodoh. Tak lut langsung
dengan kritikan tidak membina papanya. Bukan apa, dia sudah terbiasa begitu.
Siapa lagi yang nak dibawa bergurau kalau bukan papanya sendiri? Maira? Dah
jauh melangkau negeri. Malah, gadis itu juga sedang sibuk dengan tugasan. Hati
pula sedang merana menanggung rindu...
“Mili...”
Emili menoleh. Papanya tersenyum. Dia pula
bagaikan tidak reti untuk tersenyum. Hatinya kini... keluhan berat terbit di
bibir nipis itu.
“Ceritalah... papa sudi dengar.”
“Mili sayang papa...” tubuh papanya segera
diraih ke dalam pelukannya. Tiba-tiba dia rasa beruntung mempunyai papa yang
sungguh penyayang dan mengambil berat. Papanya cepat menangkap setiap perubahan
pada dirinya.
“Okey... okey! Papa tahu Mili sayang papa.
Papa tahu papa hero nombor 1 Mili. Cepatlah cerita! Papa dah tak sabar nak tahu
apa punca anak papa tiba-tiba menjelma macam hantu ni... hantu apa dalam cerita
Melayu tu?”
“Hantu Kak Limah...”
“Hah! Hantu tulah! Cuma comel sikit
ajelah... sikit aje, tak banyak.”
Emili mencebik. “Papa nak dengar cerita
Mili ke... papa nak kutuk Mili?”
Menyeringai senyuman Tauke Liew. Rajuk
anaknya cukup menghiburkan hati. Comel! “Okey... papa dah sedia! Ceritalah...”
“Tapi, papa janji... papa tak kutuk atau
gelakkan Mili?” Berdebar-debar hati Emili. Sudah lama dia pendam. Hari ini, dia
sudah tidak mampu memendam lagi. Sebelum ini, tiada rahsia antara dia dengan
papanya. Cuma yang satu itu... Mata Emili dipejam seketika. Nafas ditarik
dalam-dalam.
“Macam serius aje? Okey, cepatlah cakap!
Papa akan tadah telinga macam selalu.”
“Papa janji tak marah Mili?”
“Okey, papa janji.”
“Papa janji tak pukul Mili?”
“Apa ni... mukadimah meleret-leret.
Cepatlah cerita!”
“Mili...”
“Apa?”
“Dengarlah! Jangan menyampuk, pa...”
“Opss! Okey, okey... Mili apa? Teruskan.
Papa tahu anak papa normal. Tak gagap-gagap.” Tauke Liew terus membetulkan
duduknya. Kaca mata tebal yang hampir melorot pun dibetulkan agar terletak elok
di batang hidungnya.
Emili tarik nafas panjang-panjang.
Dihembuskan pula dengan tenang. “Mili nak masuk Islam...”