STESEN bas Shahab Perdana,
Alor Star sesak malam itu. Emili, Mak Diah dan Kak Murni duduk di bangku sambil
menunggu Maira membuat pengesahan tiket bas di kaunter.
“Papa kamu tahu tak kamu ke sini, Mili?”
Penuh prihatin Mak Diah bertanya.
Emili mengangguk laju. “Tahu! Tahu!
Lagipun papa memang tahu anak perempuan kedua dia balik ke sini. Papa suruh
balik naik kapal terbang esok pagi, dia tak nak...” adu Emili dengan rajuk
kecilnya. Rasa sayang pula hendak melepaskan Maira balik ke kampus. Masih
banyak benda yang dingin dikongsi dengan temannya itu.
Mak Diah dan Kak Murni saling
berpandangan. “Alahai... hangpa dua ni... buat Alor Setar dengan Shah Alam tu
macam jiran aje. Bulan ni aje dah berapa kali si montel tu balik. Banyak duit
habis tu. Janganlah manjakan dia sangat, Mili. Nanti bertambah-tambah lemak
pulak dia... dah tak fokus pada studi,” bebel Kak Murni pada Emili. Dia tahu,
itu semua kerja Emili yang menyogok adiknya supaya pulang. Malah, semua
perbelanjaan itu ditanggung oleh Emili. Puas dilarang, gadis itu tetap sama.
Sehari dua menurut, hari ketiga dah lupa!
Emili mengedip-ngedipkan mata sepetnya
yang tidak lekang dengan bulu mata palsu. Kanta lengkap ala-ala gadis Korea
juga sentiasa melekap di kornea matanya. Jari-jemari Emili sudah membuat
isyarat ‘Gyiyomi’.
“Tak payah nak Gyiyomi sangat! Menyampah
aku... bila kita marah buat tak tahu aje... mak tengoklah anak dara mak yang
sorang ni!” bentak Kak Murni geram. Tubuhnya segera dipalingkan. Merajuk!
Mak Diah hanya ketawa sambil menggelengkan
kepala. Keletah Emili ada saja yang mencuit hati. Jika dimarah atau dibebel,
itu sajalah modal dia untuk menyejukkan hati orang. “Yalah... mak sokong kata
Kak Murni kamu tu, Mili. Sudah-sudahlah tu kamu membela si Maira. Biar dia
fokus pada pelajaran pulak. Ni kalau tiap-tiap minggu balik, bila nak belajar?
Duduk di rumah pun asyik berborak aje...”
“Pergh! Pertama kali ‘bola boling’ makstrike! Tepat! Padu! Bluek! Padan muka kau kena marah...” Kak Murni
menjelirkan lidah pada Emili yang masih tayang muka comel.
“Eleh, kalau dia tak balik... Mili pergi
sana! Habis cerita!” Emili tak mahu mengalah. Dengan perasaan geram, tudung
bawal Aidijuma yang terlilit kemas di kepala Kak Murni ditarik hingga senget.
Muncung tudung yang gagah mendongak langit tadi sudah hilang. Senget seperti
gaya tudung yang sering dipakai oleh Mak Ton ketika menyampaikan cerita-cerita
panas di kampung.
“Mak!”
Emili segera menyembunyikan diri di
belakang tubuh Mak Diah. Bibirnya tersenyum lebar. Puas! Selalu sangat Kak
Murni membebel pada mereka berdua. Kali ni, wajah cengil itu bertukar masam
mengalahkan cuka!
“Ni apa hal pulak muka macam tempoyak basi
ni? Adik nak balik kampus aje pun... bukannya nak pergi menetap di UK macam
abang. Yang kakak nak cemberut beria ni dah kenapa? Karang elok-elok ada pakwe
kat sini dok usha baik punya... terus tak jadi nak buat bini!” Maira yang
muncul tiba-tiba terus membuat ‘servis’ yang tak dirancang!
“Yahoo! Ini baru betul-betul kembar lain
mak, lain bapak. Padu kau paku Kak Murni weh! Baru dia tahu penangan kita.Nak
tambah sikit aje lagi... jangan jadi andartu terlajak macam Mak Ton, ya kakakku
yang cantik jelita... macam Mak Ton!” tanpa belas, Emili terus memaku rapat Kak
Murni yang gigih meniup muncung tudungnya supaya tegak seperti mula-mula
datang.
Mata Kak Murni mencerlung ke arah mereka
berdua. Belum sempat dia membalas kata-kata pedas Emili dan Maira, Mak Diah
terlebih dahulu masuk campur.
“Sudahlah tu... malu aje orang tengok. Dah
besar-besar pun nak bergaduh. Macam budak-budak!”
Makin masam muka Kak Murni. Kali ini, asam
kecut pun kalah! “Mak asyikback-up budak dua orang
ni, sebab tu makin menjadi! Eeii... sakitnya hati!”
“Sabar, kak! Nah, makan Chewable Vitamin C
ni dulu. Eh, kejap-kejap... untuk belajar membalas servis tahapstrike
kami berdua ni... akak kena makan Omega Guard. Ini bagus untuk
pembentukan DHA supaya saraf-saraf otak akak tu dapat berhubung dengan baik. Barulah
boleh membina daya pemikiran yang kreatif dan kiritis macamteddy
bear saya ni!” bahu Maira, Emili tepuk-tepuk dengan manja. Beria-ia dia
mempromosikan suplemen yang dijualnya. Beg tangan jenama Gucci yang sebesar
akhbar Sinar Harian itu rupa-rupanya menyimpan banyak khazanah perniagaan
MLMnya.
Maira tepuk dahi. Mak Diah ternganga. Kak
Murni pula melopong bila melihat Emili mengeluarkan beberapa botol produk
suplemen dari beg tangannya.
“Kau ni, Mili! Tak boleh ke cuti kejap
daripada berniaga MLM kau ni? Hisy!” rungut Maira. Pagi tadi, Emili menggesa
dia supaya menemaninya ke rumah Ustazah Arbaiyah. Dia bermati-matian fikirkan
Emili mempunyai soalan yang penting untuk diajukan pada ustazah,
rupa-rupanya... nak bagi suplemen pada ustazah hanya kerana ustazah pernah
mengadu sakit-sakit lutut dan tak berapa cergas.
“Hah... nilah bisnes! Mana boleh
tunggu-tunggu. Kalau ada peluang, jangan lepaskan. Alah... ni kau punya! Itu
yang aku usung penuh beg ni. Nah, ni alfalfa untuk nyah-toksin dalam badan kau
yang dah macam bini Shrek ni. Omega Guard ni untuk otak. Nanti senang kau nak
studi. Lagi satu, Omega Guard ni juga bertindak sebagai pemecah lemak. Makan
sama-sama dengan Lecithin ni untuk bakar lemak kau dan kawal kolesterol. Tak
kurus macam aku pun takpelah asalkan kolesterol dalam badan kau terkawal.
Lagi satu, kau tu kalau tengah studi nanti
confirm mulut tak berhenti mengunyah punya. Jadi, kalau kau makan makanan
berat-berat dah tak risau sangat dah pasal kolesterol kalau... kau telan Omega
Guard dengan Lecithin ni. Lemak-lemak berlebihan tu nanti akan terus dibakar.
Dan jangan lupa! Sila bersenam ya? Tak payah naik bas... jalan kaki aje pergi
kelas! ESP ada lagi, kan? Kalau dah habis, bagitahu nanti aku pos aje...”
Ceramah kesihatan Emili mati di situ apabila ketiga-tiga wanita di hadapannya
memandang tanpa berkedip mata.
Emili pandang kiri dan kanannya. Kemudian,
dia menoleh ke belakang pulak. Pelik... apa yang dia orang tengok?
“Helo? Nampak hantu ke?” tanya Emili.
“Dahsyatnya dia buat MLM, mak... adik
pulak jadi bahan ujikaji dia semata-mata nak dapatkan testimoni untuk
pelanggan...” bisik Maira pada Mak Diah dan Kak Murni yang terkelu lidah
mereka.
“Amboi-amboi! Mengata akulah tu, kan?
Tengoklah nanti kalau aku dah naikranking jadi Top Master!
Baru terbeliak mata kau, Maira! Masa tu, baru kau dapat sinar hidayah nak makan
suplemen aku ni.” Emili mula merajuk. Botol-botol suplemen tadi diikat kemas
untuk disumbat ke dalam beg galas Maira.Tingkahnya terhenti bila bahunya
tiba-tiba dicuit.
“Eh, adik ni ejen suplemen ke?”
“Ya saya. Kakak pun pengguna suplemen ni
ke?” Mata Emili bersinar-sinar. Teruja!
“Alhamdulillah! Sukanya! Akak memang
pengguna produk ni. Kebetulan akak memang tengah cari suplemen Omega Guard. Adik
ada stok lagi tak? Akak sebenarnya nak travel ke Hatyai ni. Bas sampai kejap
lagi. Tapi tulah, Omega Guard akak tertinggal pulak. Ada lagi takready stok adik?” Wanita itu pandang Emili dengan wajah mengharap.
Cara wanita itu dan Emili berbual mengenai
produk suplemen mereka makin membuatkan tiga orang wanita itu ternganga. Mana
tidaknya, pasal suplemen saja boleh borak macam sudah kenal bertahun-tahun.
Emili pula dengan senang hati melayan.
Semua suplemen yang sepatunya dibekalkan untuk Maira, kini bertukar tangan
kepada pembeli baru. Dalam sepuluh minit berceloteh itu ini, dan promosi yang
cukup mengujakan hati wanita yang baru dikenalinya, Emili berjaya memperoleh
pelanggan baru. Kad bisnes bertukar tangan. Beberapa keping not 50 dilayangkan
ke muka Maira, Mak Diah dan Kak Murni.
“Senang macam tu aje kau buat duit?”
Terpacul soalan daripada bibir Kak Murni yang sejak tadi melopong.
Emili hanya mengangkat kening. Berlagak!
Emili terus membetulkan postur badannya supaya tegak. Dia berdeham beberapa kali
untuk membetulkan suaranya supaya kedengaran meyakinkan. Maira pula pandang
tajam riak wajah Emili. Dia tahu apa yang sahabatnya ingin lakukan.
“Tuan-tuan dan puan-puan ya... insan yang
cemerlang datangnya dari akal, hatinya tenang, jiwanya bersih! Kejayaan takkan
datang bergolek ya, puan-puan... Usaha tangga kejayaan. Tak usaha, tak ada
duit. Bila tak ada duit, jangan dengki dengan orang yang ada duit sebab mereka
yang berduit berusaha keras untuk memperoleh duit... Aaa... doi! sakitlah!”
Puas hati Maira dan Kak Murni dapat
mencubit pipi gebu Emili. Jari montel Maira mencubit pipi kanan Emili manakala
jari runcing Kak Murni mencubit pipi kirinya pula.
“Nak sangat ikut Johan ajuk cakap Dr.
Fadzilah Kamsah kan? Mulut ni... kalau dapat rezeki tu jangan riak. Jangan
menunjuk-nunjuk...” bebel Maira sebelum melepaskan cubitan di pipi Emili.
Kak Murni pula mengangguk laju. Kali
pertama untuk hari ini, dia bersetuju dengan cakap adiknya tanpa waswas. Mak
Diah sudah malas hendak masuk campur. Biarlah... gurau senda itu yang
merapatkan mereka sekeluarga.
Emili mengurut-urut pipinya yang berasa
sengal. “Sakit tau tak! Sorang tangan macam raksasa! Sorang lagi macam mak
tiri! Habis pipi I yang gebu ni... nak kena sapu kolagen bagi tegang balik.
Inilah orang yang dengki. Baru aje bagi ceramah...” Mulut becok Emili terus
terkunci rapat bila Maira menunjukkan tanda-tanda mahu mencubitnya lagi.
“Tau takut...”
“Bukan takut... risau. Nanti pipi aku
cacat Abang Fa...” Bagaikan tersedar bibirnya hampir terlanjur berkata-kata
mulut itu membisu kembali.
Maira jegil matanya. Mak Diah dan Kak
Murni pandang pelik. Belum sempat dia disoal siasat, keadaan diselamatkan oleh
pengumuman yang dibuat oleh kaunter bas yang akan dinaiki oleh Maira.
Emili tarik nafas lega. Wajahnya dimaniskan.
Mujurlah perhatian Kak Murni dan Mak Diah kini beralih pada Maira. Wajah Maira
nampak sugul tiba-tiba. Kampus masih menanti. Keluarga mula dirindui. Emili
berpelukan dengan Maira. Lama. Sempat Maira berbisik pada telinga Emili.
“Jangan lupa... aku letak CD al-Quran dan
tafsir dekat dalam laci almari baju kau. Mulai malam ni, dengarlah CD tu. Moga
kau temui jawapan yang kau cari. Jangan asyik nak berniaga aje, misi dan visi
kau terus terlupa pulak.”
“Okey. Aku ingat...” balas Emili dalam
nada berbisik juga.
“Minggu depan adik balik lagi. Mak
janganlah sedih, ya?”
“Tak sedih pun... mak lagi suka kau tak
ada di rumah. Jenuh asyik nak kena masak makananfavourite kau aje,” bidas Kak Murni.
Emili dan Maira mencebik. “Jeles!”
Serentak juga sepatah kata itu terbit daripada bibir mereka berdua.
“Sudahlah tu! Asyik nak bertekak. Jangan
lupa pulak balik minggu depan. Karang terlepas kenduri doa selamat untuk abang
kamu nak ke UK,” pesan Mak Diah lagi.
“Yalah mak... adik ingat! Alah, kalau tak
balik pun, adik boleh aje tunggu di KLIA hari abang berlepas nanti.”
Mak Diah menggeleng. Tangannya laju
mencubit pipi montel Maira. “Ada saja jawapan dia. Dah, pergi naik bas tu.
Orang semua dah naik tu. Nanti terlepas bas pulak!”
Maira mencicit lari ke arah bas yang sudah
membunyikan hon beberapa kali sebagai isyarat untuk bergerak.