CINTA KAMILIA DAN DANI.
PERTEMUAN itu tidak
berakhir di situ. Hubungan mereka terus bersambung. Setiap minggu dia menerima
surat daripada Dani. Ternyata Dani begitu rajin mengirim surat. Dalam
surat-suratnya, Dani banyak memberikan nasihat agar Kamilia belajar
bersungguh-sungguh.
Dani suruh Kamilia
jadi anak yang baik dan berbakti kepada ibu bapa. Dani suruh Kamilia jadi
muslimah sejati. Macam-macam yang Dani tulis sebagai kata nasihat. Dan yang
paling banyak Dani tulis dalam surat-suratnya ialah: DANI RINDUKAN LIA.
“Lia juga rindukan
Dani,” bisik Kamilia setiap kali melipat surat daripada Dani.
Kemudian surat itu
akan dikucup dan dipeluknya. Kadang-kadang surat itu akan diletakkan di bawah
bantal dengan harapan dia akan tidur bermimpikan Dani.
Masa terus berlalu dan
Kamilia amat berbahagia bersama cinta Dani. Pada satu hari yang kering dan
walang, dia menerima sepucuk surat daripada Remi melalui seorang kawan. Surat
itu membuatkan hati Kamilia rasa berdebar dan sangat sengsara. Maklumlah, Remi
adalah cinta pertamanya.
Lia,
beberapa purnama aku menangisi pemergianmu. Sampai hatimu. Dikau tinggalkan
daku begitu saja. Mana janjimu? Mana kata-kata cinta yang pernah kau sebutkan
dulu? Mana pula kau buang semua kenangan manis selama kita bersama. Aku amat
kecewa Lia. Kau kekasih pertamaku. Kau juga perosak impianku. Kau yang
menghancurkan hatiku.
Tolong
ingat betul-betul Lia, sebagaimana kau telah mengecewakan hati dan perasaanku,
satu hari ALLAH pasti akan membalasnya. Satu hari, kau akan rasa apa yang aku
rasa sekarang. Kau akan tahu sakitnya hati yang kecewa. Kau akan rasa gelapnya
hidup tanpa sinar cinta. Aku tidak mendoakan kehancuranmu, Lia. Tapi itulah
hukum karma. Setiap perkara yang baik akan dibalas baik. Setiap yang jahat akan
dibalas juga.
SELAMAT
BERBAHAGIA... Sampai ke hujung nyawa aku
tidak akan melupakan apa yang kau buat padaku, Lia.
Air mata Kamalia
berhamburan keluar sebaik selesai membaca surat itu. Semua tuduhan itu
dirasakan seperti pisau yang tajam menghiris hati. Dia ingin membetulkan
semuanya. Dia ingin mengatakan kepada Remi bahawa dia tidak berniat melukakan
hati Remi sebaliknya cuba memberi laluan bahagia kepada Remi.
Untuk itu, dia rasa
perlu bersemuka dengan Remi. Biar Remi tahu isi hatinya. Keesokan harinya, dia
mengirimkan sepucuk surat kepada Remi. Dia minta untuk bertemu di kantin
selepas waktu sekolah.Dia
berharap sangat agar semua kekusutan antara mereka dapat diselesaikan. Agar
masalah dan salah faham akan terlerai.
Namun, apa yang
diharapkan tidak berlaku. Kamilia menunggu Remi di kantin hingga pukul 3.00
petang. Bayang Remi tidak kelihatan langsung. Akhirnya dia mengayuh basikal dan
pulang dengan hati kecewa.
Sejak itu, mereka
tidak pernah bertegur sapa lagi. Remi sentiasa mengelak daripada bertembung
dengan Kamilia. Pernah Kamilia mendekatinya untuk meminta maaf. Namun, Remi
segera melarikan diri. Seolah-olah Remi sangat benci untuk bersua muka dengan
Kamilia lagi.
Kamilia tidak marah. Remi wajar bersikap begitu. Dia sudah
menghancurkan hati Remi. Dia yang ikut kata hati dan kuat cemburu. Dia yang
kuat merajuk dan berfikiran singkat.
Kamilia cuba menerima
kenyataan bahawa antara mereka memang telah putus. Dia menumpukan sepenuh
perhatian kepada pelajaran. Dia juga memberikan perhatian kepada aktiviti
sekolahnya. Semuanya demi melupakan apa yang berlaku antara dia dan Remi.
Dalam masa yang sama,
hubungan Kamilia dengan Dani bertambah erat. Dani sudah mula berani meluahkan
kata-kata cinta dalam setiap surat-suratnya. Dan Kamilia mula rasa terbuai!
Hari demi hari, rindu
Kamilia beralih arah. Kekecewaan dan rajuknya terhadap cinta pertamanya terubat
juga. Tiba-tiba dia menjadi kuat untuk menempuh dugaan ‘putus cinta’ yang
ditanggungnya itu.
Akhirnya perasaan
cintanya terhadap Remi mula hilang dihanyut musim. Kamilia bahagia dengan perasaan barunya. Dia mula
kembali menanggung rindu. Kali ini kepada Dani. Setiap minggu dia menunggu
posmen membawa surat-surat dari Dani. Setiap minggu dia membeli kertas ‘writing
pad’ yang berbau wangi dan berbunga-bunga untuk membalas surat-surat Dani.
Cinta Dani sedang
memenuhi seluruh ruang hati dan jiwanya. Bunga-bunga cinta mula berputik segar.
Kuntum-kuntum kasih pula berkembang wangi. Aduhai...
Kamilia melangkah ke
tingkatan lima dengan penuh azam. Surat-surat daripada Dani adalah obor
semangatnya. Dalam surat-suratnya, Dani mahu Kamilia berjaya. Katanya dengan
keputusan Sijil Rendah Pelajaran yang lepas, Kamilia mampu lebih cemerlang.
Lalu Kamilia meletakkan
sasaran untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM). Dia mula kurangkan semua aktiviti luar. Banyak masa dihabiskan di
perpustakaan untuk menelaah pelajaran dengan kawan-kawan. Semasa di
perpustakaan, dia sering terserempak dengan Remi. Kadangkala bersendirian.
Adakalanya pula dengan gadis pengawas itu.
Kalau Remi
berdua-duaan, dia sengaja bergurau mesra. Seperti dia sengaja membuat Kamilia
cemburu! Bohonglah kalau Kamilia tidak sakit hati. Bohong juga kalau dia tidak
cemburu. Memang dia cemburu sangat-sangat. Kemesraan Remi dan gadis itu
seolah-olah disengajakan. Ia amat menyakitkan hatinya. Dia berusaha melawan
semua perasaan itu. Dia cuba ubati semua rasa sakit itu dengan sabar.
“Kau marah?” tanya
Nurlela, sahabat baiknya.
Kamilia menggeleng.
“Kau jangan bohong.
Aku tahu kau cemburu. Aku tahu kau sakit hati dan marah pada mereka. Kau tahu
apa maknanya?”provok Nurlela.
Kamilia menggeleng
lagi.
“Maknanya kau masih
cintakan dia.”
“Tak. Aku langsung dah
tak ada hati pada dia,” tepis Kamilia dengan cepat.
“Kalau begitu, kau
kena buang semua rasa cemburu dan marah kau tu. Kita nak periksa tahun ni. Kau
jangan asyik dok ingat bercinta aje! Kalau nak bercinta, pergi kahwin!” kata
Nurlela, mengajuk cakap guru disiplin dalam setiap kali perhimpunan sekolah.
Sejak itu, Kamilia
cuba membuang rasa sakit hati dan cemburunya kepada Remi.
Sementara itu,
hubungan Kamilia dan Dani sudah tidak tidak mampu disorokkan lagi. Pada hari
raya Aidilfitri yang kedua, Dani tidak
segan-segan membawa Kamilia bertemu keluarganya secara rasmi.
“Kenapa cepat sangat
Dani? Lia belum bersedia,” protes Kamilia ketika Dani menyatakan hajatnya itu.
“Dani nak semua
keluarga Dani tahu yang kali ini Dani tak main-main. Dani cintakan Lia sepenuh
hati. Dani nak kahwin dengan Lia. Lepas Lia selesai periksa SPM, kita
bertunang!”
“Tapi, Lia masih nak
sambung belajar. Dani juga yang selalu kata, manusia tanpa ilmu adalah manusia
yang rugi. Lia tak nak rugi,” balas Kamilia pula.
“Lia, Lia boleh
belajar setinggi mana pun. Tapi Lia mesti jadi isteri Dani dulu. Dani tak nak
kehilangan Lia dalam hidup Dani.”
“Biarkan Lia habiskan
SPM dulu sebelum Lia dibawa berjumpa
keluarga Dani,” pinta Kamilia, penuh harapan.
“Dani dah beritahu
mak. Dia dah setuju nak jumpa Lia. Jangan tolak, Lia. Kesian Dani...” rayu Dani
pula.
Akhirnya Kamilia
mengalah. Dia ikut juga Dani ke rumahnya. Ternyata benar. Keluarga Dani memang
sedang menunggu kehadiran Kamilia.
“Inilah rupanya bakal
menantu mak,” kata Hajah Gayah, ibu Dani.
Kamilia tersipu malu. Dia tidak menyangka Dani begitu
nekad, walhal mereka belum kenal lama.
Sejak pertemuan
pertama itu, hubungan Kamilia dengan keluarga Dani menjadi amat rapat. Kakak
dan ibu Dani amat memanjakan Kamilia hingga tidak malu mengaku dia sebagai
menantu mereka setiap kali ditanya jiran atau rakan taulan.
Hal ini membuatkan
Kamilia semakin dibuai asmara. Dia rasa dia bukan sahaja sedang berkasih dengan
Dani, malah juga dengan keluarganya.
Selain dibuai cinta,
Kamilia juga semakin gigih dalam pelajaran. Dalam setiap ujian bulanan,
peratusan peperiksaannya semakin meningkat. Dani adalah tunggak kekuatannya.
Pada masa itu, dia hidup hanya untuk Dani. Apa saja yang Dani suruh, dia akan
buat. Apa saja yang Dani sarankan, dia akan ikut.
Namun, nasib tidak
menyebelahi Kamilia. Dalam peperiksaan percubaan, dia mendapat kelulusan yang
baik dan cemerlang.Tetapi dalam peperiksaan
sebenar, dia kandas satu subjek. Lalu dia gagal ke tingkatan enam di sekolah
kerajaan. Atas nasihat guru-guru, dia tidak perlu mengulangi SPM sebab dia bukannya gagal sepenuhnya.
Akhirnya dia terpaksa masuk ke tingkatan enam di sekolah swasta.
Ketika itu tekanan
mula terasa kerana Dani mula mendesak agar mereka segera berkahwin tanpa perlu
bertunang.
“Jangan jadikan
pelajaran itu satu alasan untuk menolak usul ini. Kita kahwin, kemudian Lia
sambung belajar di Kuala Lumpur.”
“Tidak. Lia nak terus
belajar di sini!” tegas Kamilia pula.
“Kenapa Lia suka
bantah cakap Dani?” marah Dani.
Akhirnya Dani
berangkat pulang ke Kuala Lumpur tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada
Kamilia. Dia pergi begitu sahaja. Hal itu menyebabkan Kamilia serba salah dan
sedih. Dia hilang pertimbangan seketika. Dia kesal kerana Dani begitu mudah
membuat keputusan tanpa memikirkan perasaannya.