HUBUNGAN Kamilia
dengan Nik Arif akhirnya menjadi semakin rapat.Walaupun begitu, dia masih menjaga batas bahasa
dan tutur kata. Dia amat bimbang kalau hubungan itu akan disalah-ertikan.
Sementara itu, keadaan
rumah tangga mereka semakin tidak tentu arah. Zamri masih dengan sikapnya. Cuba
mencari peluang mengawal pergerakan Kamilia. Kadang-kadang dia terlupa untuk
menjaga kebajikan dirinya sendiri.
Pada satu malam, Zamri
naik angin. Entah siapa yang menghasutnya hingga dia pulang ke rumah dengan
marah-marah.
“Abang dah tahu apa
yang Lia buat setiap petang waktu pulang dari kerja.”
“Buat apa?”
“Abang tak suka Lia
rapat dengan bos Lia tu!”
“Abang syak Lia ada
hubungan dengan dia ke?” tanya Kamilia penuh sangsi.
“Ya, memang Lia ada
hubungan dia! Kalau tidak, kenapa Lia mesti berkepit dengan dia setiap petang?”
Zamri menengking Kamilia dengan kuat.
“Siapa yang beritahu
abang cerita palsu ni? Mana ada Lia berkepit. Kami cuma bermain badminton dan
tenis aje. Bukan hanya kami berdua. Semua staf yang lain ada. Balik Lia tumpang
kereta dia bersama-sama isteri dia sekali. Mana datangnya berkepit dan
berdua-duaan?” Kamilia cuba menolak tuduhan liar Zamri itu.
“Abang tak peduli! Abang tak nak Lia campur dengan mereka lagi.
Tak payah main badminton! Tak payah main apa-apa. Habis kerja, terus balik ke
rumah!” tegas Zamri.
“Kenapa susah sangat abang nak faham keadaan dan kehendak Lia?
Tolonglah jangan cemburu buta. Tolonglah jangan berfikiran begitu singkat,
bang!”
“Abang tak cemburu!”
“Kalau tak cemburu, abang tak akan bertindak macam ni? Lia malu
pada kawan-kawan. Abang buat Lia macam Lia ni orang jahat. Kalau abang curiga
dan anggap Lia ni jahat sangat hingga nak kena sentiasa diawasi, abang pergilah
cari yang lebih baik daripada Lia,” kata Kamilia dengan nada kesal dan marah.
“Jangan cabar aku. Kau ingat kau kerja bagus, aku heran sangat!
Kalau aku nak, macam muka kau berlambak aku boleh dapat di tepi Sungai Segget!”
Tiba-tiba Zamri menjerit kuat.
Kamilia bungkam. Dia tidak menyangka ayat itu yang akan keluar
dari bibir yang sentiasa berkata,“Abang sayang Lia
sepenuh jiwa.”
Mata Kamilia segera meratah wajah Zamri yang merah padam itu.
Zamri juga merenungnya tajam. Mata mereka bertentang dalam rasa marah yang
meluap-luap!
“Lia tahu, Lia bukan
isteri yang cantik dan menarik. Abang pula seorang suami yang kacak dan
bergaya. Namun, Lia tak akan paksa abang terus menjerut diri abang dalam ikatan
perkahwinan ini. Abang buatlah keputusan apa pun. Lia akan terima,” kata
Kamilia sambil mengulum sebak. Air mata tidak malu lagi untuk keluar. Sungguh,
dia rasa sengsara dan terhina ketika itu. Sungguh, tidak disangka semuanya akan
berlaku begini.
Hina sangatkah dirinya
hingga senang didapati di Sungai Segget yang penuh sampah itu?
Zamri terdiam lama.
Kemudian, dia mencapai kunci kereta dan berlalu meninggalkan rumah. Kamilia
menjeling ke arah jam di dinding. Jam 3.00 pagi. Ke manakah Zamri akan pergi
dalam waktu hampir menjelang dinihari itu?
Seperti telur di hujung
tanduk, begitulah keadaan mereka pada hari-hari seterusnya. Mereka tinggal
dalam keadaan sepi dan bisu. Makan dan tidur bersama tetapi bibir bisu untuk
berkata-kata. Hanya bercakap pada perkara yang amat penting. Sehari boleh
dikira berapa patah sahaja mereka berbicara.
Sungguh sepi hingga
membuatkan jiwa Kamilia semakin resah gelisah.
“Abang, Lia minta maaf
kalau Lia yang salah. Kalau abang nak, Lia boleh berhenti kerja. Biar Lia duduk
di rumah sahaja. Pakai apa yang mampu. Makan apa yang ada,” kata Kamilia pada
satu hari, selepas tidak tahan hidup dalam keadaan itu.
“Suka hati kaulah! Aku
tak nak campur lagi urusan kau!” jawab Zamri dengan kasar.
“Apa maksud abang ni?”
Kamilia terpinga-pinga hairan. Dia meneliti wajah Zamri untuk mencari apa yang
ada di sebalik kata-kata itu.
“Maksud aku, kau nak
pergi ke mana dan dengan siapa terserah pada kau. Aku malas nak fikirkan hal
kau lagi,” kata Zamri tanpa menoleh.
Kamilia menelan liur
yang semakin pahit. Dia semakin keliru dengan sikap Zamri yang berubah secara
tiba-tiba itu.
Keesokan harinya, Kamilia
cuba untuk menduga perubahan sikap Zamri itu. Dia ikut rakan sekerjanya keluar
membeli belah tanpa memberitahu Zamri. Dari pusat beli belah, mereka melepak di
kedai mamak. Makan, minum dan bersembang.
Dia sampai di rumah,
jam 10.00 malam. Rumahnya gelap. Teksi Zamri juga tidak ada. Setelah diperiksa,
memang dia belum pulang sejak pagi. Dada Kamilia lapang. Sekurang-kurangnya,
dia tidak perlu berdepan dengan muka masam Zamri.
Selepas mandi, dia
tertidur di ruang tamu. Sungguh lena hingga dia langsung tidak sedar, hari
sudah menjelang subuh. Dia bergegas bangun dan terus ke bilik. Dilihat tempat
tidur kosong. Maknanya Zamri tidak balik. Kamilia mula risau. Rasa cemas dan
bimbang mula bergayutan di hatinya. Mungkinkah suaminya itu ditimpa petaka?
Pagi itu, Kamilia tidak
menumpang kereta Nik Arif ke pejabat. Sebaliknya, dia naik bas. Zamri tidak ada
di rumah. Dia tidak mahu muncul fitnah yang bukan-bukan mengenai dirinya.
“Awak naik apa?” tanya
Nik Arif, ketika Kamilia sampai di pejabat.
“Naik bas.”
“Kenapa tak tunggu.
Saya lalu dan berhenti lama di hadapan rumah awak. Isteri saya sampai pergi
ketuk pintu rumah awak,” kata Nik Arif.
“Maafkan saya. Saya
ada hal. Saya keluar awal tadi.” Kamilia mencipta alasan.
“Kalau keluar awal,
kenapa baru sampai? Hampir ajepunch card awak merah,” balas Nik Arif
semakin ragu-ragu.
“Saya ada hal.”
Jawapan Kamilia
membuatkan Nik Arif berlalu meninggalkan mejanya. Kamilia menarik nafas lega.
Namun, kelegaan itu tidak lama. Dia mula terfikir apakah pula alasan yang akan
diberikan esok, lusa dan seterusnya.
‘Berterus terang aje,’ bisik hati kecilnya.
Hari itu, sepanjang hari Kamilia rasa tidak selesa untuk
melakukan kerja. Dia ingin segera pulang dan mengetahui apa yang berlaku kepada
Zamri.
‘Apakah dia juga sedang cuba mendugaku? Mungkin dia sedang
bersembunyi di mana-mana dan mengintai aku setiap pagi dan petang. Atau dia
pulang ke kampung dan mengadu kepada emak serta keluarganya. Atau... Atau...’
Kamilia terus membuat andaian.
Akhirnya tanpa disedari, masa bekerja tamat. Dengan cepat, dia
mengemas meja dan segera menyandang beg tangannya. Dia perlu cepat keluar dari
pejabat agar tidak bertembung dengan Nik Arif.
“Saya tunggu awak di kereta,” kata Nik Arif ketika melintasi meja
Kamilia.
“Encik...” Kamilia cuba
memanggil dan menolak pelawaan Nik Arif kali ini. Namun, lelaki itu sudah
hilang di sebalik dinding lif. Kamilia begitu panik, tergamam dan serba salah.Akhirnya
dengan berat dia berjalan menuju ke lif untuk ke tempat parkir kereta. Ketika
dia sampai, enjin kereta sudah dihidupkan dan pintu kereta juga sudah dibuka.
“Kenapa saya kena
duduk depan?” tanya Kamilia dengan hairan. Biasanya dia akan duduk di belakang
dan Puan Hamidah duduk di depan.
“Isteri saya tak balik hari ni. Diaoutstation.”
Tubuh Kamilia menggeletar. Seluruh denyut nadinya seperti
berhenti. Sungguh, teragak-agak kakinya untuk melangkah masuk. Dia ingin
menutup semula pintu itu dan memohon maaf.
“Jangan bimbang, saya akan terus hantar awak balik ke rumah. Saya
tak ada niat nak ambil kesempatan pun atas awak,” kata Nik Arif seperti faham
apa yang sedang berperang dalam hati Kamilia.
Kamilia tidak mampu berfikir panjang lagi. Dengan berat, dia
melangkah masuk ke dalam kereta. Sepanjang perjalanan, mereka hanya membisu.
Nik Arif menumpukan perhatian kepada jalan raya dan Kamilia pula terus melayan
debaran dan kebimbangan. Ada bermacam-macam persoalan yang timbul di
fikirannya.
Semakin dekat dengan rumah, dada Kamilia semakin berdebar.Dia tunduk, cuba memberi ketenangan pada
hati dan kedamaian pada jiwa.
Kereta yang dipandu
oleh Nik Arif berhenti betul-betul di hadapan pagar rumah Kamilia. Tanpa
berlengah, dia segera membuka pintu.
“Terima kasih, encik.”
“Pagi esok tunggu
macam biasa,” kata Nik Arif tanpa menoleh.
“Hmm... Saya rasa tak payahlah. Saya akan naik bas.”
“Kenapa?”Nik Arif
menoleh. Matanya meneliti wajah Kamilia dengan hairan.
Kamilia tidak
menjawab. Dengan cepat dia melangkah masuk ke rumah. Deruman enjin kereta Nik
Arif dihantarnya dengan dada yang
lapang.
“Bagus perangai kau ya!”
sergah Zamri ketika Kamilia membuka pintu.
Kamilia terkejut
dengan sergahan itu.
“Baru aku tinggalkan
kau sehari, bukan main bebas kau bertemu dengan dia. Kalau aku tak ada sebulan,
agaknya kau terus sekatil dengan dia!”
“Apa abang cakap ni?
Jangan nak tuduh yang bukan-bukan! Janganlah pandang Lia serendah itu!” jawab
Kamilia separuh menjerit. Hatinya amat sakit mendengar kata-kata Zamri itu.
Berdarah jiwanya dengan tuduhan itu.
“Memang kau perempuan
keji! Perempuan mandul! Menyesal aku kahwin dengan kau!” jerit Zamri.
Kamilia terpana.
Tiba-tiba matanya berkunang-kunang dan dia rasa seperti akan pitam. Dia segera
duduk dan mencari kekuatan. Perkataan ‘mandul’ itu amat menyesakkan nafasnya.Untuk pertama kali dia mendengar tuduhan
itu. Ia sungguh menyakitkan hati. Semua wanita tidak suka untuk mendengar
kata-kata seperti itu. Apa lagi daripada suami sendiri.
Semalaman Kamilia
menangis.Bengkak matanya. Kering air matanya. Sekali sekala dia
menjeling ke arah Zamri yang tidur
berdengkur dengan senang hati. Seolah-olah dia langsung tidak rasa bersalah
selepas melukakan hati Kamilia.
‘Ya ALLAH! Berikan aku
kekuatan dan petunjuk-MU.’Itu
saja doanya sepanjang malam itu. Dia tidak sabar menunggu hari siang. Akan
diperhitungkan nasibnya yang malang di bawah telapak kaki seorang lelaki!
Keesokannya, pagi-pagi
lagi Kamilia sudah keluar rumah. Dia langsung tidak mengejutkan Zamri. Apa lagi
untuk bersalaman dengan suaminya itu seperti biasa. Hatinya sungguh sakit.
Jiwanya sungguh parah. Jadi dia bertindak mengikut kehendak hati yang ditawan
nafsu amarah.
Dia sampai di pejabat
lebih awal daripada biasa. Jadi dia ada masa untuk bertenang sambil
membelek-belek surat khabar hari itu. Sedang dia leka membaca, bosnya berdiri
di hadapannya.
“Awak naik apa?” tanya
Nik Arif.
“Bas,” jawab Kamilia
sepatah tanpa menoleh.
Mungkin dek kerana
hairan, Nik Arif berdiri tercegat di hadapan Kamilia sambil merenung ke
arahnya. Ketika dia mengangkat kepala, mata mereka bertembung. Dia larikan
pandangan. Dia cuba sembunyikan matanya yang bengkak dan merah itu.
“Awak memang ada
masalah.Dan masalah awak dah
terlalu serius. Jangan berselindung lagi. Tengok mata awak, lebam dan bengkak.
Mungkin awak menangis sepanjang malam,” kata Nik Arif selepas lama meneliti
wajah Kamilia.