Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
33,690
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

Usai menunaikan solat Maghrib dia terdengar namanya diseru. Tangkas dicabut telekung lalu mengemasnya sebelum menuju ke muka pintu. Mak Teh sedang duduk bersembang di ruang tamu bersama Wan Cu dan Kak Alin. Juga, Mak Midah yang menjual nasi lemak di simpang yang diupah memasak nasi minyak untuk lima dulang makan. Empat pasang mata memerhati tatkala dia muncul. Sambil berdiri di depan muka pintu dia melirik ruang tamu yang sudah berubah wajah. Lantai yang lapang beralas tikar getah telah dihamparkan dengan sebidang karpet yang dipinjam oleh Atuk dari Wan Cu. Sebenarnya Atuk tak meminjam pun tetapi, Wan Cu yang mempelawa. Kata Wan Cu,

"Hiaslah rumah tu biar nampak macam rumah orang kahwin."

"Ju dah makan?" tanya Mak Teh.

Angguk.

"Ini ha... Baju kurung Kak Long masa dia bertunang tak jadi dulu." ujar Mak Teh sambil menunjuk ke arah sehelai persalinan yang siap bersarung plastik yang diletakkan berdekatan.

Dikerling. Kelihatan baru kerana elok terjaga. Enam tahun yang lalu, Mak Teh pernah mengalami episod duka apabila di hari pertunangan Kak Long, pihak lelaki tidak jadi hadir. Bukan main besar aib yang ditanggung oleh Mak Teh waktu itu. Majlis yang dibuat dengan jemputan seramai lima puluh orang itu tiba-tiba terbatal tanpa sebarang alasan yang kukuh yang diberikan oleh pihak lelaki. Akibat malu dengan kejadian itu, Kak Long disuruh memutuskan perhubungan tersebut. Namun, setahun kemudian sekali lagi rumah Mak Teh sesak dikunjungi para tetamu. Kak Long terus dikahwinkan dengan suaminya sekarang tanpa melalui majlis pertunangan seperti sebelum ini. Barangkali Mak Teh enggan pisang berbuah dua kali.

Baju berwarna putih gading itu dilirik lagi.

Perlu ke pakai baju macam tu?

"Ambil bawak masuk bilik. Pakai sekarang." arah Mak Teh.

"Sekarang?" getus Uzma sedikit tercengang.

"Eh, iyelah. Dah pukul berapa ni? Kejap lagi dah nak masuk Isyak. Lepas tu orang surau datang. Lambat-lambat nanti lewat selesai majlis." jelas Wan Cu pula membuatkan dia mula diserang perasaan gementar.

Baru perasan sikit masa lagi detik baru bakal tercipta. Sebenarnya dari pagi tadi dia sibuk menguruskan rumah. Membersih, mengemas dan menyusun atur. Atuk pun dua kali lima. Jikalau dia sibuk di dalam, Atuk pula sibuk di luar. Sapu sampah, bakar sampah, berkemas serba sedikit dan mencuci longkang. Semuanya berpunca dari Wan Cu yang menyuruh mereka dua beranak berkemas. Jikalau tidak, tak terlintas di fikirannya untuk merias bagai. Keadaan yang ada sudah tersedia elok.

Lagipun tetamu mereka boleh dibilang dengan jari. Tengok sajalah kumpulan wanita yang ada ketika ini. Empat orang sahaja. Geng surau Atuk pula mungkin tidak lebih dari sepuluh orang termasuk Pak Teh dan Pak Tam. Terlalu sedikit dan dia bersyukur dengan kehadiran seciput itu. Biarlah tak meriah dan lengang daripada perlu bersusah-payah ditemuduga dengan pelbagai soalan kemudian nanti. Kalau soalan yang mudah-mudah tak apa. Ini, kalau dikeluarnya soalan cepu emas tak ke terkulat-kulat dia nak menjawab.

"Mari, Kak Alin tolong." sampuk Kak Alin cucu Wan Cu yang berusia tiga puluhan dan masih bujang.

Uzma tersenyum kelat lalu mengangguk.

"Hah, Alin! Mekap cantik-cantik. Biar Atuk kau tengok dan menyesal sebab serahkan cucu dia pada si Ahmad yang serabai tu." pesan Mak Teh serta-merta mengakibatkan langkah yang diambil olehnya makin memberat.

Jadi Mak Teh pun tahu akan rupa Ahmad itu. Seingatnya memang serabai walaupun samar dalam ingatannya akan rupa sebenar lelaki itu. Tanpa menjawab sepatah, Kak Alin membawanya kembali ke dalam bilik. Disuruh Uzma menukar baju kurung moden dengan kain duyung itu. Setelah itu disuruh pula dia duduk di hadapan meja solek. Tas tangan Kak Alin yang agak besar saiznya yang di kepit semenjak tadi diletakkan di atas katil. Dua buah bekas alat solek dikeluarkan. Perasaan tidak enak mula menjalar.

"Eei, Kak Alin... Tak payahlah mekap-mekap ni. Lagipun malam-malam macam ni siapalah nak tengok Ju. Bukan tak biasa tengok muka Ju tak mekap. Tiba-tiba nak bermekap, tak selesalah." rungutnya dengan wajah terpamer protes.

Entah apa tujuan nak kena mekap dia sendiri tak pasti. Bukannya majlis itu majlis besar-besaran yang diadakan di tempat yang eksklusif seperti majlis Kak Mas dulu. Jadi tak perlulah dibuang masa dan bahan yang digunakan semata-mata majlis kecilnya itu. Yang tak dinantikan pulak tu.

Kak Alin senyum mendengar omelannya. Tangan wanita itu mula mencalit sesuatu di wajahnya.

"Alah, takpelah Ju. Kak Alin janji tak mekap tebal-tebal. Setakat tempek bedak, celak dan gincu. Betul..." janji Kak Alin sambil tersenyum tipis.

Uzma merenungi ke dalam mata Kak Alin. Mencari kebenaran dan kejujuran.

"Okay. Ringkas je tau. Ringkas sangat-sangat." pintanya setelah kepercayaan bertenggek di ruang hati.

Kak Alin senyum. Menawan sekali. Janji ditepati. Lima belas minit dia sudah siap dirias. Lalu tudung berwarna coklat lembut yang berada di dalam almari dikeluarkan. Ada tiga helai tudung jenis bawal yang memang sentiasa siap digosok lalu digantungkan di dalam almari untuk kegunaannya pada bila-bila masa. Mudah dan senang. Bila mahu digunakan tak perlulah dia mengambil masa untuk bersiap jikalau sudah bergosok. Tunggu dipakaikan sahaja. Sekali lagi Kak Alin bertindak sebagai mak andam. Tekun memakaikannya dengan tudung itu sebelum kumpulan wanita yang rancak bersembang di ruang tamu itu datang menjenguk.

"Amboi! Cantiknya Ju bila kena mekap ni." puji Wan Cu.

Dia tersipu. Mak Teh pula tak berkelip merenung wajahnya. Terlakar raut nan sedih yang tak mampu disorokkan oleh wanita itu tatkala melihat dirinya ketika ini.

"Cantik. Cantik, kan, Cu?.." ucap Mak Teh tersangkut-sangkut.

Tiada sesiapa yang mendengar tatkala hati kecil Noriah menangis tak berlagu mengenangkan anak saudaranya bakal terlepas ke tangan orang lain. Walau tipis mekap yang dikenakan sudah cukup untuk menyerlahkan pesona kecantikan Uzma itu. Lebih-lebih lagi usianya yang sedang muda remaja.

Mendengar pujian itu, serta-merta Uzma menjeling wajahnya di dalam cermin. Taklah ketara mana pun wajahnya setelah dimekapkan. Cuma, nampak licin sahaja kulitnya itu setelah di alas dengan bedak kompak.

Bunyi ngauman enjin kenderaan membuatkan mereka semua terkedu sebentar. Kemudian, Wan Cu berlagak selaku ketua memberi arahan. Kak Alin diminta menemani Uzma di dalam bilik sebelum mereka bertiga bergegas keluar. Kedengaran ucapan salam diberikan oleh Atuk disahut oleh Mak Teh dan lain-lain. Kemudian, suara perbualan yang makin ramai dan rancak. Uzma menoleh. Menjeling Kak Alin yang sedari tadi merenungnya.

"Ju, mari duduk sini,"

Bingkas dia bangun dari bangku kayu depan meja solek itu kemudian melabuhkan punggung bersebelahan Kak Alin yang duduk di birai katil yang sudah cantik dirias. Berwarna coklat keemasan sama ada cadar, sarung bantal mahupun selimut. Kerja siapa lagi jikalau bukan Wan Cu. Dikeluarkan stok cadar yang dipunyainya lalu dihadiahkan terus kepadanya bersempena hari perkahwinannya itu.

"Takut?"

Dia mengangguk tanpa membuka mulut. Walaupun hubungannya dengan Kak Alin tidaklah terlalu rapat tetapi dia tidak malu untuk mempamerkan atau menyatakan perasaannya ketika ini. Gementar punya pasal.

"Jangan layan sangat perasaan takut tu. Tak ada apa-apalah. Kak Alin rasa Atuk tak mungkin salah pilih calon suami untuk Ju. Mana ada orang tua nak biarkan anak cucu dia hidup merana dengan sebarang orang," tutur Kak Alin lembut sambil menepuk lembut pehanya.

Nasihat itu terus tersangkut di benak Uzma.

Sepuluh hari. Selama sepuluh hari itu tiada pula dia diserang rasa takut dan bimbang sebegini hebat. Namun, malam ini ketika detik makin menghampiri, makin menggila debaran yang menggoncangkan dadanya itu. Diukirkan senyuman kelat kepada Kak Alin. Raut seorang guru yang prihatin kepada seorang anak murid jelas terpamer di wajah saudaranya itu.

"Kak Alin mungkin tak sesuai nak bagi nasihat pada Ju. Tapi, apa yang Kak Alin boleh bagitau, hidup berumahtangga ni bukan mudah. Perlu banyak bersabar. Itu je kata kuncinya." sela Kak Alin lagi sambil mengelus pehanya.

Uzma menundukkan wajah. Nasihat itu diambil lalu disimpan dalam sanubari. Biarlah Kak Alin masih bujang pun, wanita itu lebih makan garam darinya.

Suara salam dari Atuk di muka pintu mengejutkan dirinya dan Kak Alin. Atuk masuk ke dalam bilik. Disertai oleh Pak Tam dan salah seorang geng surau yang dikenali olehnya cuma tidak tahu namanya. Orangnya agak muda dari Atuk dan Pak Tam.

"Ju, Atuk nak tanya... Ju rela berkahwin ni?"

Dia terkelu. Mengangkat wajah dan merenung ke dalam mata Atuk. Menatap seraut wajah nan tua yang selama dalam ingatannya orang tua itulah yang paling banyak berjasa dalam mendidik dan membesarkan dirinya hingga dia mampu melakukan sebarang pekerjaan sama ada di dalam rumah mahu pun luar rumah. Maukah dia menjawab sebaliknya? Menentang Atuk? Kemudian, apa? Meraikan kemenangannya dengan menghadap wajah kelam orang tua itu yang berkecil hati kerana bukan sekali maruahnya dipermainkan tetapi dua! Tak mungkin. Budi Atuk mekar dalam akar jiwanya. Tak kan sekali-kali dia menjadi derhaka lagi kerana keinginan dan kemahuan sendiri.

"Iye, Atuk. Ju rela."

Akur. Jalan yang terbaik. Telah banyak hari dia bermunajat demi hal yang satu ini. Memohon diberikan petunjuk dan pimpinan dari Ilahi. Dia percaya seandainya tiada jodoh antara dirinya dan Ahmad maka tak akan bersatulah mereka berdua. Andai sudah jodoh, larilah menembusi sebarang gunung, pasti, menyatu jua.

Kemudian, Atuk beredar. Begitu juga dua orang saksi itu. Kak Alin menangkap tangannya sambil menggoncangkan sedikit.

"Tahniah, Ju. Selamat pengantin baru. Doakan Kak Alin bertemu jodoh jugak, tau."

Uzma senyum. Tetapi, tiada seri. Kak Alin bangun. Meninggalkan dia bersendirian di dalam bilik tidur. Hati terasa ingin menjenguk keluar namun, segan. Akhirnya dia duduk sahaja di birai katil. Terdengar suara Imam Kamal membacakan sepotong doa kemudian berucap dan lafaz 'sah' yang tenggelam timbul disebut beberapa suara.

'Sah? Dah sah ke? Dah selesai ke?'

Hati bermonolog sendirian. Diangkat sebelah tangan dan diletakkan di dada. Debaran yang menggila sudah tiada.

Aik! Macam tu je hilang?

Tadi kemain gemuruhnya. Dia melirik kanan dan kiri pula. Dan ke sekeliling ruang. Tiada apa yang mengganggu fikiran. Biasa saja perasaan bila dah jadi isteri orang. Takde pun rasa pelik-pelik.

Hisy! Mungkin dia dah terlebih fikir sebelum ini. Alih-alih menakutkan diri dan mulalah membayangkan bermacam perkara.

"Ju, mari keluar."

Dia tersentak mendengar panggilan Kak Alin yang sedang memanggil di muka pintu. Lambat-lambat dia bangun dengan wajah menunduk memandang lantai. Langsung tak berani mengangkat muka kerana dia sedar semua mata sedang memandangnya ketika ini. Disuruh duduk dia duduk. Disuruh pula membacakan sesuatu pada kertas putih yang dihulurkan ke arahnya dia pun baca. Seperti budak Tahun Satu yang baru pandai mengeja lagaknya. Satu habuk kata tidak lekat di benaknya ketika ini. Hanya baca sehinggalah bertemu titik nokhtah terakhir. Lalu, dia diam. Kemudian disuruh tandatangan dia ikut. Apabila satu sampul surat dihulurkan dia ambil. Selesai, dia disuruh masuk kembali ke dalam bilik oleh Atuk.

Puas duduk di birai katil dia duduk bersandar di kepala katil pula. Memikir tentang mereka yang berada di luar. Tengah buat apa lagi? Menjamu selera ke? Boleh jadi. Acara ijab dan qabul telah lama selesai. Yang kedengaran ketika ini cuma suara perbualan sambil kelentang kelentung bunyi pinggan dan sudu berlaga. Rancak sekali. Mujurlah dia mengikuti pesan Wan Cu untuk makan terlebih dahulu. Enak juga nasi minyak air tangan Mak Midah itu. Tak tersedar bertambah-tambah dia makan sebelum bersolat Maghrib tadi.

Bosan, dia bangun mendekati meja solek. Menarik laci dan sampul surat yang ditenteng sejak tadi dilepaskan sebelum sebuah komik manga yang dipinjam daripada Muna ditarik keluar. Terkenangkan Muna tak jadi dia mahu membaca. Disimpan komik itu lalu dikeluarkan telefon yang turut disimpan di situ. Dibelek-belek buat seketika. Manalah tahu kalau-kalau Muna ada menelefon. Hampa.

Dilirik jam pada skrin kecil telefon di tangan. Sudah melewati 9.30 malam. Menurut Puan Solehah, Muna akan balik kerja tepat pada jam 7.00 malam apabila berkerja syif normal. Dia tidak tahu sama ada Muna berkerja atau tidak pada hari itu namun, bisikan hati mahu berhubung dengan Muna. Dicari peti mesej. Kemudian satu mesej ringkas memaklumkan berita perkahwinannya itu dihantar kepada nombor Muna sebelum disimpan kembali telefon tersebut dan ditutup rapat laci itu.

Dia berdiri di depan meja solek dengan satu perasaan sebal yang mencengkam. Turun naik dadanya menahan sebak memikirkan perbuatan Muna yang menyepi sehingga ke saat ini. Dipejamkan kelopak mata. Cuba melupuskan air jernih yang bergenang di tubir. Tetapi, tidak berhasil. Titisan itu berdegil juga untuk luruh. Dia tersedu sebentar sebelum beberapa helai tisu yang berada di dalam kotak tisu di atas meja solek ditarik. Lama dia melayan jeritan jiwa yang merapuhkan emosi. Dia tak mampu melawan perasaan rindu terhadap Muna. Juga keinginan untuk berbual dan berbicara seperti lazimnya. Tiada gelak tawa, usikan dan rajuk Muna. Seandainya Muna ada pada malam ini di sisinya tentu banyak sekali celoteh gadis itu kedengaran. Tentu banyak sekali sungutan, bantahan dan kecaman yang diberikan oleh gadis yang lantang bersuara itu.

Uzma menggigit kuat bibirnya. Menahan pamitan sebak yang enggan menyisih. Ditarik nafas yang dalam kemudian langkah yang lemah diambil kembali ke birai katil. Hanya nama Muna bermain di dalam fikiran. Jari jemarinya bermain dengan hujung baju. Tidak tersedar bila dia merebahkan tubuh dan akhirnya gelap gelita menjadi peneman.

Dicelikkan mata. Bersisa mengantuk tetapi dia harus bangun. Baru teringat solat Isyak belum ditunaikan lagi. Pandangannya berbalam. Gelap gelita. Dia terus terduduk di birai katil. Meraba kepala yang masih mengenakan tudung. Patutlah berpeluh sakan tidurnya meskipun kipas siling berputar pada tahap paling maksimal. Satu per satu kerongsang yang melekat di tudung dicabut kemudian, tudung itu dibuang dan dibiarkan di atas tilam.

Fuh!

Barulah boleh bernafas dengan nyaman. Tiba-tiba, minda teringatkan sesuatu. Alamak! Dia tidur mati rupanya! Hisy, buat malu aje. Entah apa agaknya yang difikirkan oleh saudara maranya melihat dia terlentang tidur selepas majlis akad itu ye. Aduh, malunya. Malu dengan saudara mara, malu juga kepada suaminya. Habis tu, kenapa tak dikejutkan?

Eh! Bukan ke dia dah kahwin? Mana suaminya? Diraba tempat tidur di sebelahnya. Lapang tidak berpenghuni. Kosong? Entah di mana lelaki itu tidur agaknya. Lantas dia bangun untuk menekan suis lampu supaya dapat dicari keberadaan suaminya itu. Dan apa yang dilihat di hadapannya ketika ini membuatkan mulutnya lantas terbuka untuk menjerit.

"Arr-.."

Mulutnya pantas ditekup oleh seorang lelaki yang tidak dikenali yang sedang tercegat di balik daun pintu yang tertutup rapat itu. Kedua belah mata dikatup rapat. Cemas dan bimbang. Apa yang didengari cumalah debaran yang kuat yang datang dari dirinya sendiri.

"Atuk tengah tidur... Ju janganlah menjerit."

Lembut.

Suara lelaki itu menyenangkan lowongan telinganya. Perlahan-lahan dia membukakan kelopak mata. Dalam keadaan mendongakkan kepala dilihat lelaki itu sedang merenung wajahnya. Agak lama hinggakan dia berasa segan. Satu anggukan diberi lalu tangan yang berada di mulutnya itu menjauh.

"Awak... siapa?" soalnya.

Tiada lagi amukan debaran. Dadanya berombak landai.

"Suami kepada Uzma Binti Umair."

Nafas yang dihela tertahan buat seketika. Dia kembali melirik tepat ke arah lelaki di hadapannya. Ini Ahmad? Kenapa lain rupanya dengan Ahmad yang ditangkap bersama di bengkel dahulu. Dari mana disebut Ahmad itu anak cina? Wajahnya tak serupa orang cina pun. Kulitnya pula sawo matang. Mata yang dalam itu tidaklah sepet mana. Dia gagal mengesan di mana identiti cina yang serabai itu. Serabai? Tidaklah. Cuma misai dan jambang itu sedikit mengganggu pemandangan.

"Err... Siapa nama awak?" soalnya lagi.

Dah beberapa jam berlalu dan dia belum tahu apa nama penuh suaminya.

"Alexander Alvian Desmond."

Mulutnya melopong. Biar betul? Habis tu tang mana datangnya Ahmad? Dia kahwin dengan orang lain pulak ke?

"T-tapi, Atuk kata nama suami Ju... Ah- Ahmad." getusnya.

Lelaki bernama Alexander itu tenang merenungnya.

"Ahmad tu nama panggilan Atuk pada saya. Atuk tak mau panggil Alex jadi Atuk tukar pada Ahmad." terang lelaki itu.

Dikerling lagi lalu pandangan dijatuhkan. Oh, orang yang sama.

"Err, berapa umur awak?" soalnya sebelum menundukkan wajah.

Soalan yang normal tetapi entah kenapa mampu mengundang perasaan segan pada dirinya. Macam mana tak segan. Kerana lelaki asing itu tiba-tiba menjadi suami kepadanya. Dan, kerana itulah kali pertama dia berdua-duaan dengan seorang lelaki di dalam sebuah ruang segi empat yang terhad.

"Dua puluh lapan."

Mulutnya sedikit terbuka. Sekelip dia mencongak. Besar perbezaan umur mereka berdua. Hujung baju kurung yang dikenakan digenggam kejap, lalu lepas. Kejap pegang, kemudian lepas lagi.

"Erm, abang... Ju nak masuk bilik air dulu. Nak solat. Terlupa nak solat Isyak terus tertidur." tuturnya masih dengan perasaan segan.

Tanpa berlengah dicapai tuala mandi kemudian buru-buru keluar dari bilik tidurnya sendiri. Berada jauh dari bilik itu barulah dia menarik lega.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.