Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
33,710
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 12

Juma

Mengapa panggilan manja itu seperti dekat di hati apabila diseru oleh lelaki itu? Kerana nama itu merupakan panggilan manja arwah ayah kepadanya suatu masa dahulu. Tetapi, bagaimana Alex tahu? Mungkinkah Atuk telah menceritakan segala butiran dirinya kepada suaminya itu. Hmm... Boleh jadi.

Arghhh!!..

Diangkat kedua tangan ke atas. Menggeliat sambil melepaskan rasa bosan yang melanda. Lima hari rutin berseorangan itu dijalani. Paginya pasti dikejutkan dengan kuisan di kaki. Lazimnya ketika dia bangun jam yang diintai pasti menunjuk lima belas minit sebelum waktu Subuh. Tepat jam 7.30 pagi suaminya muncul menghantar sarapan. Jam 11.00 pula dia akan membancuh minuman untuk suaminya. Kira-kira satu jam kemudian suaminya menghantarkan pula makanan tengah hari. Lima hari berturut-turut menu yang sama. Nasi putih, ayam goreng berempah, sup kosong dan ulaman. Pada waktu petang pula sama ada kuih-muih atau goreng pisang. Kemudian, menu nasi goreng menjadi santapan malam.

Bosan. Hambar. Lesu.

Menjalani kehidupan sebegitu.

Semalam, Atuk datang berziarah. Sepanjang orang tua itu berada di bengkel Uzma memaniskan wajah. Mengelabui mata orang tua itu dengan senyuman dan kata-kata yang petah seperti hidupnya tenang-tenang sahaja di situ.

Dia duduk berteleku lagi di kerusi tinggi itu. Mengelamun dan merenung masa depan yang tak pasti. Sesekali perasaan sebak datang. Sesekali perasaan tidak berpuas hati. Sudah lima hari juga dia duduk bersendirian di tingkat atas itu. Suami dan isteri namun, bukan begitu realiti kehidupan yang sedang dilewati. Seorang di atas seorang di bawah. Dia pasti. Suaminya itu tidur di tingkat bawah. Di bengkel itu. Bukan setakat tidur malah, menjalani hari-hari di situ. Makan, pakai semuanya dilakukan di situ juga.

Memang lelaki itu melayannya dengan baik namun melihat tingkahnya itu dia sedar sebenarnya, lelaki itu sedang menjarakkan diri darinya. Mungkin bahasa yang tepat sedang menjauhkan diri darinya. Iyelah. Siapa yang mahu berkahwin secara paksa sebegini. Betapa dia sendiri pun enggan apatah lagi lelaki itu. Entah-entah tengah berdongkol geram padanya. Tetapi, tak boleh ke berterus-terang? Tak boleh ke membangkang? Ah, hipokrit! Depan pijak semut tak mati, belakang entah apa agaknya yang difikirkan oleh lelaki itu.

"Juma..."

Bibirnya terjungkit menarik senyuman yang sinis. Dikerling jam. Tepat ke angka 6.00 petang. Tentu bungkusan nasi goreng ada bersamanya. Uzma berpaling. Senak dadanya menahan perasaan. Dengan mata yang merenung tajam lelaki yang sedang tercegat di muka pintu itu dia turun dari kerusi tinggi itu dan menapak dekat. Agak dekat berbanding sebelum ini. Dia dah nekad. Huluran dari lelaki itu tidak bersambut. Lelaki itu pula memandangnya kehairanan.

"Abang bencikan Ju, kan?" soalnya berani.

Diam.

Naik turun dadanya mengikut rentak nafas yang mula tidak teratur itu.

"Biar Ju berterus-terang! Sewaktu kita ditangkap tu, Ju bukan nak kenakan abang. Ju tak kenal pun siapa abang. Yang Ju kenal Isyraf seorang. Ju cuma rancang supaya Atuk tengok Ju berdating dengan Isyraf, itu aje... Takde sampai kena tangkap basah. Yang tu memang bukan rancangan Ju dan Ju sendiri terkejut," jelasnya panjang lebar.

Dadanya masih ketat dengan tekanan. Bergenang air mata menceritakan kembali rancangan bodohnya itu kepada suami sendiri.

Alex diam membisu. Tidak berganjak. Hanya tenang merenung ke arah isterinya. Dia tidak terkejut mendengar penjelasan itu. Dia tahu apa yang gadis itu tidak tahu. Cuma, biarlah masa yang tentukan kemunculan kebenaran itu.

"Kalau abang bencikan Ju, cakap! Jangan diam macam ni. Ju sedar semua ni berpunca dari Ju sendiri," tuturnya lagi sebelum diam sejenak.

Menarik nafas yang dalam mencari sedikit kekuatan. Seandainya hari itu merupakan detik yang ditunggu oleh lelaki itu untuk berpisah, dia rela. Rela untuk dilepaskan setelah lima hari bergelar isteri orang!

"Ju...mintak maaf."

Akhirnya. Lafaz kemaafan yang ingin diluahkan itu tertunai. Mengalir air matanya tidak mampu menahan perasaan sebak dan bersalah itu. Ditundukkan wajah yang bersisa malu lalu mata dipejamkan. Tebal dengan penyesalan dan juga rasa aib memikirkan rancangan tidak bermaruah yang telah berlalu itu.

"Saya tak bencikan Juma... Tak marahkan Juma. Jangan lupa makan." ujar lelaki itu dengan lembut lantas sepi bermaharajalela.

Setelah dirasakan dirinya mempunyai keberanian untuk bertentang mata, barulah Uzma membukakan kelopak mata. Diangkat wajah dan dilirik ke sekeliling. Kosong. Suaminya tiada di mana-mana. Bungkusan makanan berada di atas meja kopi manakala pintu hadapan terbuka luas. Hanya sandal miliknya seorang yang kelihatan.

Pipi yang kebasahan disapu. Dengan perasaan geram dia masuk ke bilik. Mencapai tudung sarungnya lalu buru-buru turun ke bawah. Dia mahu berhadapan dengan lelaki itu sehingga hatinya puas. Satu keputusan belum pun dicapai mudah-mudah sahaja lelaki itu berlalu.

Ketika berada di tingkat bawah, dilihat lelaki itu tiada di mana-mana di dalam bengkel. Dibawa diri berjalan ke arah bilik kecil di bahagian belakang yang bertutup rapat. Tanpa teragak-agak terus ditolak pintu tersebut. Alangkah terperanjat dirinya ketika melihat sekujur tubuh tidak berbaju dengan hanya mengenakan sepasang jeans sedang berbaring di atas sebuah katil bujang. Egonya menahan dari melarikan diri. Didekati suaminya yang sedang berbaring dengan mata terpejam itu.

"Kalau abang tak marah Ju kenapa abang duduk dekat bawah? Lima hari Ju duduk atas sorang-sorang... Lima hari Ju bersendirian! Kalau abang tak marah Ju, kenapa abang buat Ju macam ni? Kenapa??" tuturnya dengan lantang.

Kedua belah tangan yang jatuh ke sisi menggenggam buku lima. Puas hatinya setelah dapat meluahkan isi hatinya itu. Jikalau benci atau tidak suka terus-terang sajalah. Perbuatan lebih jujur dari perkataan. Dan dia menyaksikan betapa tindak-tanduk lelaki itu yang terlalu jujur mencerminkan isi hatinya. Cakap pun boleh dibilang berapa patah inikan pula perasaan. Entah-entah makin hari makin meluat dan jijik memandangnya.

Tanpa dapat menjangkakan tindakan lelaki itu, sebelah tangan Uzma terasa ditarik lalu sedar-sedar sahaja dia sudah berada di atas katil. Terbaring dengan kedua belah tangannya menekan perutnya sendiri. Bulat matanya memandang ke arah Alex yang sudah berubah posisi. Duduk di birai katil dengan menahan kuat tangannya itu. Dan dia, betul-betul disapa kehairanan. Bagaimana lelaki itu boleh mengubah posisi sepantas ini? Kasar dadanya bergelombang naik dan turun. Baru teringat akan sikap agresif lelaki itu sebelum ini. Apakah pertanyaannya itu telah mencabar keegoan lelaki itu lantas layanan yang selama ini lembut bertukar dalam sekelip mata. Oh, jadi beginilah sikap lelaki itu? Panas baran?

"Jadi, Juma nak jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri? Baik. Sekarang, Juma layan saya!"

Tegang suara lelaki itu seperti sedang menahan marah. Bergetar tubuh Uzma sebaik bicara itu tamat. Langsung terlupa akan hakikat perhubungan mereka. Wajah Alex dirasakan makin mendekat. Uzma memandang dengan riak cemas. Dia tidak bersedia! Langsung tidak sedia! Kerana terlalu takut, renungan tajam lelaki itu dibalas. Sikit pun tidak berkelip. Bimbang seandainya dikelipkan mata terlepas mengagak tindakan lelaki itu seterusnya. Namun, tidak lama dia mampu bertahan. Pandangan mata mula kabur dengan genangan air mata.

"Jangan menangis! Juma yang minta tadi, kan? Kenapa nak menangis?" seru Alex masih dengan nada yang sama.

Uzma menggelengkan kepala. Memang tak dapat dinafikan lagi betapa dangkalnya akalnya itu. Sering bertindak melewati fikiran. Tetapi, kalau tengah marah sarang tebuan pun berani dijolok.

Tanpa berfikir panjang spontan dia mengangkat tubuhnya dengan mata yang terpejam. Gasaklah! Apa cara sekalipun dia mahu melarikan diri dari situasi yang menakutkan itu. Tatkala bibirnya dirasai mengenai sesuatu dia tergamam kerana cengkaman dan tekanan sebentar tadi tiba-tiba ghaib. Tiada lagi himpitan. Ringan dan kosong. Dengan mudah dia dapat bangkit lantas kelopak mata dibukakan. Terus terpaku ke arah kedudukan lelaki itu yang sedang berdiri membelakanginya dengan kedua tangan bercekak pinggang.

Satu keluhan berat kedengaran sebelum Alex mencapai sehelai baju berlengan panjang yang tergantung di belakang pintu lalu menyarungnya ke tubuh yang terdedah itu.

"Jom." ujar Alex dengan renungan tertuju ke arahnya.

Seakan memahami niat lelaki itu tubuhnya membeku. Kecut. Sebentar tadi bagai seorang perwira dia datang mahu melempiaskan perasaan tidak puas hatinya itu. Kini, setelah sedar kedudukan dia menikus. Takut dan malu. Melihat dirinya masih kaku, Alex terus menarik tangannya. Dalam keadaan terpaksa dia akur. Menurut dengan perasaan kacau-bilau, bimbang dan gentar. Mereka menuju ke tingkat atas dengan langkah yang buru-buru. Tiba di tingkat atas dia terus dibawa ke bilik tidur sebelum didudukkan di birai katil. Begitu juga dengan Alex yang duduk di sampingnya. Tubuhnya terasa sedikit menggigil ketika melihat lelaki itu meraup wajah dengan kedua belah tangan. Satu lagi keluhan kasar kedengaran dilepaskan.

"Tingkat atas ni tempat paling selamat untuk Juma."

Sepi. Lelaki itu diam. Begitu juga Uzma.

"S-selamat dari apa?" tanyanya sedikit gugup.

Masih tersisa keberanian dan keinginan untuk tahu.

"Sayalah!" tutur Alex dengan tegas.

Uzma mengemaskan pelukan di tubuh. Rasanya separuh sahaja yang difahami akan kata-kata lelaki itu namun berat mulutnya untuk bertanya dengan lebih lanjut. Bimbang jawapan yang dimahukan berlawanan dengan apa yang mahu didengari.

Sejenak, mereka sama-sama mendiamkan diri sebelum Uzma menarik nafas yang dalam beberapa kali lalu,

"Ju... Ju minta maaf cakap macam tu tadi." tuturnya perlahan.

Diam.

"Apa yang Juma nak sebenarnya?" soal Alex dalam intonasi yang sama setelah lama sepi menemani.

Dia tidak marahkan Uzma atas tindakan memarahinya sebentar tadi. Gadis itu sedang tertekan dan dialah penyebabnya. Cara terbaik adalah berbincang secara diplomasi agar perasaan gadis itu tenang juga dirinya sendiri.

"Ju... Ju bosan duduk macam ni. Tak buat apa-apa. Kalau dekat rumah Atuk, ada jugak kerja Ju boleh buat. Bukan duduk goyang kaki macam ni." sahutnya sedikit teragak-agak.

"Maksud Juma?"

Alex tidak lagi memandang ke depan. Sebaliknya menoleh melihat wajah isterinya. Berbalas tatapan seketika sebelum Uzma menjatuhkan padangan yang segan itu. Alex melayan perasaan terpesona yang singkat. Dalam keadaan marah terlihat cantik. Dalam bersedih juga begitu. Apatah lagi ketika tenang.

"Kalau abang tak izinkan Ju pergi kerja, bagilah Ju buat kerja dalam rumah ni. Memasak, mencuci dan mengemas. Ju tak kisah sebab Ju dah biasa."

"Juma nak kerja?"

Uzma terdiam. Perkara itu lebih menarik perhatian lelaki itu dari yang lain. Dan dia sendiri pun sedang menunggu waktu yang sesuai untuk menyampaikan hasrat yang satu itu.

"Erm... Ju nak kumpul duit nak sambung belajar."

"Tak perlu."

Mulut Uzma sedikit terbuka. Adakah dia tidak diizinkan untuk menyambung pelajaran? Perasaannya tercuit.

"Err, maksud saya Juma tak perlu berkerja untuk kumpul duit. Saya akan tanggung Juma belajar." jelas Alex. Dia tahu tentu isterinya itu terkejut melihatkan Uzma serta-merta mengangkat pandangannya.

"Kenapa abang layan Ju macam ni? Abang tak kenal Ju dan Ju pun tak kenal abang. Kita kahwin sebab terpaksa..," Uzma diam sejenak.

"Tak. Abang yang terpaksa kahwin dengan Ju. Dan, tiba-tiba bila Ju nak sambung belajar abang sanggup keluarkan belanja. Kenapa?" tambahnya kemudian dengan perasaan kebingungan.

"Salah ke?"

"Ya."

Alex pula merenungnya hairan. Uzma terkelip-kelip sebentar.

"Maksud Ju, kenapa nak tanggung hidup Ju? Entah-entah perkahwinan kita ni cuma bertahan beberapa bulan aje." getusnya lantas kerlingannya disambar oleh satu renungan yang dalam dari lelaki itu.

Sebelum ini memang Alex bersedia untuk melepaskan gadis itu pada bila-bila masa namun, apabila dengan bersahaja kata-kata itu melantun dari bibir Uzma keputusannya goyah. Maukah dia melepaskan gadis itu tanpa meninggalkan bekas di hati?

"Kalau jadi betul pun saya tetap akan tanggung." sahut Alex pura-pura tenang. Soal perpisahan ditolak tepi. Apa sahaja kemahuan gadis itu mahu dilaksanakan.

Uzma makin diserang rasa hairan. Betul-betul hairan. Agaknya sebab harta kot yang menjadi penyebab Atuk sanggup menikahkan mereka. Isy, tak baik main tuduh-tuduh. Cepat-cepat dikutuk dirinya sendiri di dalam hati. Apa pun alasan Atuk tak elok untuknya terus menduga sebegitu.

"Err, abang buat kerja apa sebenarnya?" tanya Uzma.

Ditamatkan sahaja perbualan tentang pembelajarannya. Dia sendiri buntu dengan niat suci murni lelaki itu yang tiba-tiba bermurah hati mahu menanggung pelajarannya. Oleh itu lebih baik perkara itu didiamkan dari diperkatakan. Terlalu awal untuk dibincangkan dengan panjang lebar mengenangkan tempoh perkahwinan mereka itu pun belum sampai satu minggu dan keputusan peperiksaan pula masih jauh untuk dinanti.

"Tukang kayu."

"Buat apa? Perabot?" tekanya sambil melirik wajah berkumis dan berjambang yang agak tebal itu. Alex menoleh dan membalas tatapannya. Seperti tadi Uzma melarikan lirikan ke lantai.

"Kerja dengan saya."

"Maksud abang? Kerja potong kayu tu? Hisy, mana Ju pandai... Potong ikan dan sayur Ju tahulah."

Dengan selamba Uzma menjawab.

Alex pula masih kekal tenang dan bersabar melayan. Ditenung wajah yang indah di sisi.

"Esok Juma nak buat-..."

"Sebelum abang tanya, boleh Ju tahu sama ada abang izinkan atau tak Ju pergi kerja?" sahutnya sebelum sempat lelaki itu habis bercakap.

Alex angguk.

"Izin."

Dituturkan dengan jelas agar keizinan yang dipinta didengari oleh Uzma. Isterinya membulatkan mata bundarnya itu. Reaksinya jelas gembira. Hilang biasan kebimbangan dan gundah yang melekap di wajah itu sebentar tadi.

"Esok Ju nak ke Tampin. Nak mintak kerja dekat kilang di sana." Laju Uzma berkata.

"Kerja kilang?" tanya Alex seperti tidak percaya. Uzma mengangguk.

"Pukul berapa?"

"Erm... Pagi."

Alex mengambil sedikit masa memikir sebelum satu anggukkan kecil diberi.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.