Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
33,697
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

Selesai slot bersama Dr. Nabila di bawah tajuk

Pengurusan Kesihatan Keluarga yang banyak membangkitkan isu-isu penjagaan kesihatan diri dan keluarga. Dia dan sebilangan perserta yang berada di dalam dewan beredar ke sebuah restoran di dalam bangunan itu juga yang bertanggungjawab untuk menyediakan makanan sepanjang program berlangsung.

"Err, ada orang duduk dekat sini?"

Uzma mendongak. Sapaan gadis yang agak sebaya dengannya disambut dengan satu senyuman yang manis. Kepala menggeleng. Lantas gadis itu duduk bertentangan dengannya di meja panjang itu.

Kebanyakan peserta yang lain lebih gemar memilih untuk duduk bersama pasangan kecuali beberapa orang yang kelihatan menyendiri seperti dirinya. Sebenarnya hati kecil tertanya-tanya juga. Adakah dia bersendirian ke tempat itu? Ahmad yang disebut oleh Atuk itu hadir atau tidak ke situ? Nak memerhati segan pula. Sejak dari pagi dia memencilkan diri sebaik mungkin. Teguran dari peserta yang lain dibalas ala kadar. Bukan menyombong. Tetapi kadar yang sesuai dengan ringkasnya teguran yang diterima.

"Sorang?"

Nasi putih berlaukkan ayam masak kurma itu diperhati. Belum satu suap berjaya masuk ke mulut. Selera agak terbatas. Sebab itulah sedikit sahaja kuantiti yang diambil. Enggan membazir.

"Erm..."

Terkial-kial dia menjawab.

"Awak?"

Cepat-cepat dia membuat U turn. Bimbang lebih banyak soalan bonus yang dituju kepadanya. Gadis bermata galak dan mempunyai bulu mata yang panjang dan lentik itu tersenyum tipis.

"Dengan bakal suami." sahutnya malu-malu.

"Tapi, kenapa tak duduk berdua?"

Dengan berani dia menyoal.

"Maksud saya, tengok yang lain-lain tu... Masing-masing asyik nak berkepit dengan pasangan masing-masing aje." Dia menambah.

Bimbang pertanyaan sebentar tadi disalah erti. Gadis di hadapannya mengangguk sedikit sambil tersengih.

"Siapa nama awak?" soal gadis itu.

"Uzma. Awak?"

"Lydia." katanya sambil senyum.

Lalu, dibalas senyuman manis itu kembali.

"Saya bukan tak nak duduk dengan bakal suami. Tapi, segan." ujar Lydia sebelum menyuap makanan ke mulut.

Menu pilihan mereka sama meskipun terdapat tiga jenis lauk-pauk yang lain yang disediakan selain sayur dan pencuci mulut.

"Baguslah. Lagipun kita belum berkahwin lagi, kan? Jadi, batasan kena jaga." tutur Uzma berisi teguran.

Sekali lagi Lydia senyum malu.

"Tak lah. Saya segan dekat orang sebab bakal suami saya orang tua."

Uzma menelan air liur. Renungan diangkat memandang Lydia yang berwajah selamba membuka kisah peribadi.

"Awak kena kahwin paksa jugak ke?"

Entah bagaimana soalan itu terpacul. Lydia membalas renungannya. Reaksi terkejut jelas terpamer namun sebentar sebelum diganti dengan satu senyuman yang meleret.

"Jugak? Apa maksud awak? Awak kena kahwin paksa ke?"

Alamak. Gadis bernama Lydia ini agak tajam perhatiannya. Dan macam manalah dia boleh terlepas cakap tadi. Tulah... Bila banyak bercakap kan banyak tersilap.

"Erm, bukan. Saya teka aje. Baru lepas tengok drama dekat TV tentang kahwin paksa." bohongnya lancar.

Air muka selamba dipertontonkan. Maaf, saya terpaksa menipu, bisik hati kecilnya.

"Oh," sahut Lydia ringkas.

"Rasanya awak juga seperti orang lain yang salah menilai bila dapat tahu tentang bakal suami saya." tambahnya kemudian.

"Maksud awak?"

"Bakal suami saya tu satu-satunya saudara jauh saya. Saya ni hidup sebatang kara dan yatim piatu. Dari kecil bakal suami saya yang tanggung hidup saya. Mungkin sebab dah terlalu kerap makan budi, saya jadi sayang pada dia. Dan, nak kahwin dengan dia walaupun jadi isteri yang kedua." cerita Lydia tanpa segan silu.

Melopong mulut Uzma mendengar. Latar kehidupan sebegini pun wujud?

"Lydia umur berapa?" soal Uzma ingin tahu.

"Lapan belas."

Terkedu. Sebaya dengannya tetapi sudah matang dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab.

"Saya doakan Lydia berbahagia dengan bakal suami."

"Inshaallah. Terima kasih... Untuk awak juga, Uzma."

Tiada apa lagi yang mampu dibicarakan. Dia diam. Memikir betapa soal jodoh dan ketentuan itu merupakan satu perkara yang ajaib dan bukan di dalam tangan manusia untuk mengolahnya.

"Saya nak kongsikan satu doa dengan kamu semua,"

Ucapan daripada penceramah yang mengenakan kaca mata itu menghapus lamunan pendeknya yang menyelinap ketika dia terleka memandang ke arah papan putih yang sedang menayangkan slide show yang bertajuk Hubungan Dalam Keluarga. Dia sedikit tersentak sebelum menjeling seorang perserta perempuan di sebelahnya yang sedang membelek lampiran kertas di tangan.

"Ikut dulu apa yang saya bacakan. Dalam muka surat akhir nota yang saya bagi ada doa tu."

Ustaz Jamaal terus menokok pada sesi terakhir kursus kahwin itu.

Lampiran nota yang diperoleh kira-kira satu jam yang lalu diselak. Uzma meneliti sepotong doa di dalam dwi bahasa yang dicetak di muka surat akhir seperti yang diarahkan oleh penceramah tersebut. Satu berbahasa Arab dan satu lagi terjemahan di dalam Bahasa Melayu.

Sungguh dia tak sangka. Atuk benar-benar serius! Pagi lagi setelah selesai bersarapan dia disuruh bersiap dengan mengenakan sepasang baju kurung. Malah, diingatkan juga supaya membawa sekali telekung solat. Bila ditanya hendak ke mana Atuk cuma mengunci mulut. Hati kecil bertambah musykil melihat gelagat Atuk yang setia menunggu di atas motosikal siap memakai topi keledar di kepala. Sebaik tiba di bangunan milik Majlis Perbandaran Rembau itulah baru Atuk memecahkan rahsia. Namanya telah didaftarkan untuk menghadiri sebuah kursus perkahwinan yang akan diadakan selama dua hari berturut-turut.

Amboi!

Dia dipatuk rasa pelik. Cepat betul Atuk buat kerja. Macam tak sabar pula melihatnya berkahwin. Agaknya siapalah yang membantu Atuk ye? Bagi Uzma, siapa lagi yang patut menjadi suspek utama jikalau bukan Lebai Sidek.

Ketika doa di dalam bahasa Arab itu dibacakan, terkebil-kebil dia mengikuti. Bersama lebih kurang dua puluh orang perserta kursus itu bacaan daripada Ustaz Jamaal diikuti. Sedap benar suara Ustaz Jamaal itu. Setelah tiga kali dibaca barulah penceramah itu berhenti.

Sedar tak sedar, meski dia tidak berapa mengendahkan setiap tajuk pada setiap sesi ceramah yang disediakan, berjaya juga dia tetap berada di dalam dewan mini itu dari pagi hingga ke petang. Dilirik kembali kertas di tangan. Petikan doa itu menarik perhatiannya.

Meminang?

Tetapi, kes yang dialaminya sudah terbalik. Lelaki itu tidak meminangnya. Malah kedua-duanya langsung tidak mengenali antara satu sama lain. Tiba-tiba nak berkahwin? Biar betul Atuk ni. Dia mencongak. Seakan congakannya akan berubah andai dihitung saban waktu. Lebih kurang lapan hari lagi tempoh untuknya membatalkan rancangan Atuk itu. Tetapi, kalau batal pun bukan ke Atuk dah ada pilihannya sendiri untuk dijodohkan dengannya? Belum lagi dicampur dengan hasrat Mak Teh itu. Bukan di persimpangan lagi dilemanya ketika ini. Dia sedang tersepit di tengah-tengah bucu tiga. Malah kesemuanya pula menunjukkan jalan yang mati.

Berkahwin muda dalam sejarah keluarga Atuk bukan suatu perkara yang ganjil. Sebelum ini sudah ada beberapa orang sepupunya yang berkahwin ketika berumur masih belasan. Teringat kedua orang sepupunya iaitu anak kepada Pak Ngah yang menetap di Johor Bharu. Kedua-duanya ditunangkan ketika berada di tingkatan lima. Lalu, tamat sahaja peperiksaan, terus dinikahkan sebelum terbang ke bumi Arab mengikuti suami yang juga sebaya umurnya melanjutkan pelajaran di sana. Majlis nikah yang ringkas cukup mengikut syariat agama. Hanya Atuk, Mak Teh dan Pak Teh sahaja yang menghadiri majlis yang dibuat ketika dia sedang berada dalam peperiksaan di tahun enam ketika itu.

Kak Mas, anak Mak Long itu pun apa kurangnya walaupun usianya ketika bernikah bukanlah belasan. Sedang belajar di tahun akhir ketika perkahwinan itu dilangsungkan. Bagai bulan jatuh ke riba, Abang Ikram yang merupakan seorang pensyarah yang juga anak orang berada jatuh hati kepada Kak Mas. Kak Mas menolak dengan alasan mahu menamatkan pelajaran terlebih dahulu. Tetapi dipujuk oleh Mak Long dan bakal mertuanya hinggalah kakak sepupunya berlembut hati dan akur. Namun, satu perkara yang buatkan dia kagum dengan sepupu-sepupunya yang sudah berkahwin itu ialah, mereka semua berjaya menamatkan pelajaran dan mempunyai kerjaya meskipun kehidupan sebagai seorang pelajar dan isteri berjalan seiring. Aina dan Aufa, anak kepada Pak Ngah, kedua-duanya bertugas di sebuah sekolah agama persendirian. Seorang di Seremban manakala seorang lagi di Selangor. Kak Mas pula berkerja di sebuah syarikat kontraktor pembinaan di Pulau Pinang. Mungkin setelah melihat beberapa episod kehidupan cucu-cucunya itu membuatkan Atuk tidak ragu-ragu untuk mengahwinkan dia pula.

Tetapi, kenapa tak dibincangkan dulu dengan dirinya? Atuk ni macam tak sabar pula nak lihatnya keluar dari rumah itu. Cepat-cepat Uzma Istighfar. Menepis sangkaan buruk terhadap Atuk yang dikasihi itu. Dia merenung dalam. Memikir antara pilihan Atuk, Angah dan juga Ahmad yang tiba-tiba menjadi juara kepada calon-calon suami yang bakal dikahwininya sikit masa lagi. Fikirannya tak lari dari memikirkan pilihan Atuk itu tentulah seseorang yang sudah berusia. Siapa ye? Abang Bidin ke? Duda beranak dua yang gemar menemani Atuk ketika menjaga lembu. Orangnya sudah mencecah empat puluhan ketika isterinya meninggal dunia. Anak-anaknya pula masih bersekolah. Dulu-dulu, pernah dia mendengar Abang Bidin bergurau meminta Atuk mencarikan calon isteri baru. Mungkinkah Atuk berkenan untuk menjadikan Abang Bidin itu cucu menantu? Hisy, tak kanlah.

Ahmad pula, dia langsung tidak kenal. Malah kewujudannya pun tak pernah diketahui. Berkahwin dengan lelaki itu? Kasar sekali perangainya. Malah masih terasa akan bekas-bekas perit di bahunya apabila dia menggeliat ketika bangun tidur pada waktu pagi tadi. Pelik. Tak kan mudah-mudah aje Atuk nak lepaskan dirinya kepada Ahmad itu. Atuk kenal ke dengan lelaki itu? Siapa keluarganya? Orang kampung sini, kah? Kalau begitu, kenapa ahli keluarganya langsung tidak datang ke rumah bertemu Atuk untuk membincangkan urusan pernikahan mereka. Atuk seorang sahaja yang nampak bersungguh-sungguh untuk melihat mereka berdua bersatu. Betul-betul ada yang tidak kena ni... Tapi, apa?

"Ju..."

Suara Atuk mencantas lamunan. Tidak tersedar langkah yang diambil semenjak keluar daripada pintu dewan tadi telah sampai ke tempat yang sama dia diturunkan ketika tiba pada sebelah pagi tadi.

"Dah lama Atuk tunggu?" soalnya ketika menghampiri Atuk yang sedang duduk di atas motosikal.

Atuk tidak menjawab. Malah langsung tidak memandang ke arahnya. Tertinjau-tinjau ke belakang. Entah apa yang dicari oleh orang tua itu. Mutakhir ini, serba sedikit tindak-tanduk Atuk yang dingin itu menghiris perasaannya. Apa boleh buat. Terpaksalah dia menelan dan memendam.

Tiba-tiba, Atuk turun dari tunggangannya. Menonong menjauh lalu mendekati seorang lelaki yang sedang berjalan bersendirian. Lelaki itu kelihatan baru keluar daripada bangunan yang baru sebentar ditinggalkan olehnya tadi. Dia menjadi pemerhati sambil tercegat di sisi motosikal Atuk. Lelaki itu berpakaian serba hitam dan bertopi. Juga berwarna hitam. Wajahnya tidak dapat dilihat kerana kepalanya sentiasa menunduk ke bawah. Huluran salam terlebih dahulu dihulurkan oleh lelaki itu lalu disambut oleh Atuk dengan senang hati. Jelas kelihatan satu senyuman terukir di wajah Atuk sebelum bahu lelaki itu ditepuk beberapa kali. Mesra. Kemudian Atuk kembali mendekatinya. Lelaki itu pula meneruskan perjalanannya.

"Err, siapa tu Atuk?" soalnya ingin tahu.

Misteri pula kenalan Atuk yang seorang ni. Sudahlah penampilannya agak mencurigakan.

"Orang kampung." sahut Atuk lalu naik ke atas motosikal.

"Ye ke?" sahutnya seakan mencurigai jawapan Atuk itu.

Atuk mendiamkan diri. Memulas kunci lalu setelah tiga kali kick starter dihenyak barulah ngauman enjin kedengaran.

"Atuk hati-hati. Zaman sekarang ni banyak penipu." tambahnya sekadar mengingatkan.

"Hisy, Atuk kenallah orang tu. Nanti Ju pun akan kenal jugak." kata Atuk berbunyi tidak senang.

Dia tertunduk seketika menyedari niat baiknya sebentar tadi telah disalah erti oleh Atuk. Tanpa berlengah, kain kurung yang dipakai disingkap sedikit untuk memanjat tempat duduk belakang. Mujurlah ketika bersiap tadi dia tidak lupa untuk mengenakan sepasang tracksuit. Dia memang begitu. Menjadi kelazimannya untuk memakai seluar daripada kain dalam ketika berbaju kurung. Lebih mudah ketika bergerak dan lebih sopan jikalau auratnya terbuka.

Perjalanan dari Pekan Rembau menuju ke rumah Atuk mengambil masa kira-kira setengah jam menunggangi motosikal. Ketika melewati rumah Muna yang terletak di persimpangan yang membelok ke rumah Atuk, dia meminta izin dari Atuk untuk singgah sebentar di rumah sahabat baiknya itu. Hairan sungguh dibuatnya. Sudah dua hari temannya itu menyepikan diri. Sepi sesepinya. Macam penghutang yang lari daripada ceti haram pula tingkah Muna itu.

"Jangan lama-lama." pesan Atuk ketika dia turun dari kenderaan itu.

Uzma mengangguk sedikit. Meninggalkan Atuk yang menjadi pemerhati dari atas motosikal. Dia bergegas ke anjung rumah batu bercat biru itu lalu ucapan salam diberikan beberapa kali sebelum pintu depan yang bertutup rapat itu terbuka. Kelihatan emak Muna, Puan Solehah muncul dengan kerudung labuhnya separas peha serta berkain batik.

"Mama, Una ada? Ju telefon tak angkat pun." tuturnya ketika salam dihulurkan kepada guru mengaji wanita dewasa di kampung itu.

Dengan Puan Solehah begitulah panggilannya. Malah, Puan Solehah sendiri yang mahu dipanggil dengan panggilan tersebut. Seingat Uzma, sejak dia berumur lapan tahun panggilan itu tidak lekang dari bibirnya.

"Eh, Una tak bagitau Ju ke?" soal Puan Solehah kembali dengan raut wajah tercengang-cengang.

"Bagitau apa?"

"Laa... Una ke Kuala Lumpur. Dia nak berkerja di sana. Duduk dengan mak saudara dialah di sana tu." cerita Puan Solehah sekaligus membuatkan dia pula ternganga.

"Tak, mama. Ju tak tahu apa-apa pun." ujarnya perlahan dengan riak wajah yang jelas berubah.

Perasaan Puan Solehah juga terkesan melihatkan wajah yang tiba-tiba merundum.

"Ya ampun!.. Apa kenalah dengan budak Munawwarah ni. Nanti, mama telefon dan marah dekat dia ye, Ju. Dah... Jangan sedih-sedih." kata Puan Solehah bagi meringankan sedikit perasaan sedih yang dirasai kini.

Bahunya terasa dielus mesra beberapa kali. Uzma memaniskan wajah. Memberi sebuah senyuman meskipun terpaksa. Kemudian, dia meminta izin untuk pulang.

Dalam perjalanan singkat ke rumah Atuk itu, mindanya tidak henti memikirkan sikap Muna yang tiba-tiba berubah. Kenapa Muna pergi tanpa memaklumkan kepadanya? Atau, Muna sengaja beralasan demi mengelakkan diri daripadanya?

Muna malu ke ada teman macam aku ni? Yang perlu kahwin kerana ditangkap basah?

Namun begitu, dia tetap bersyukur kerana berita dirinya ditangkap berdua-duaan tidak pula sampai ke pengetahuan Puan Solehah. Walaupun luaran Puan Solehah seperti tidak mengendahkan hal sekeliling namun, setiap hal ehwal yang terjadi pada dirinya sering juga menjadi perhatian wanita itu. Nampaknya berita gempar itu masih kekal sebagai rahsia. Tetapi, sekurang-kurangnya Muna patut tinggalkan secebis pesanan daripada pergi begitu sahaja. Lontarkanlah ketidakpuasan yang bersarang, dia terima. Jangan pergi tanpa sebarang kata seperti ini. Sudahlah situasinya ketika ini agak porak-peranda. Kini, Muna pula tiada.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.