Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
33,706
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 14

Pasaraya Tunas tidak terlalu sesak atau lengang. Dia sedang berjalan di salah satu lorong di bahagian makanan kering untuk mencari jenama bihun pilihan. Sebaik terpandangkan jenama yang dikenali ramai itu sebungkus bihun kering itu diambil lalu dimasukkan ke dalam troli.

"Satu je? Cukup?"

Uzma berpaling ke belakang. Satu anggukan diberikan kepada Alex yang sentiasa mengenakan topi hitam itu apabila keluar dari rumah. Troli yang ditolak oleh suaminya itu sudah berisi separuh. Petang itu, Alex mempelawanya ke pasaraya untuk membeli barangan dapur setelah diluahkan keinginan untuk menyediakan sendiri makanan daripada terus membeli dari luar. Senang hatinya apabila permintaan itu dipenuhi. Sebenarnya, dia bukanlah pandai sangat memasak. Cukup sekadar lauk pauk biasa yang sering menjadi menu di setiap rumah seperti asam pedas, masak lemak, tumis, goreng atau pun sup. Selain daripada itu dia tidak berapa mahir. Tetapi dia sedar dengan peredaran zaman yang pantas ini. Semua perkara berada di hujung jari. Yang tak pandai pun boleh jadi pandai dengan syarat ada usaha dan kemahuan.

"Abang makan ikan tak?" soalnya ingin tahu.

Ketika ini mereka berada di bahagian bahan mentah pula. Dia belum mengerti akan tabiat makan lelaki itu. Selama satu minggu menetap bersama hanya dua perkara tentang lelaki itu yang diketahuinya. Seorang yang fokus bila berkerja dan, tidak banyak bercakap.

Namun selain dari itu diperhati juga tabiat lainnya seperti seorang yang pengemas dan rajin. Kain bajunya yang kadangkala berendam di dalam bilik air sudah siap dibasuh oleh lelaki itu. Bukan main malu Uzma apabila melihat pakaian dalamnya tergantung di dalam bilik air. Semenjak itu, dia tidak berani hendak merendam kain baju semalaman. Apabila pagi direndam, petang sudah dicuci. Di rumah Alex tiada kemudahan mesin basuh tetapi, dia tidak kisah. Sebelum rumah Atuk punyai mesin basuh semi automatik itu pun, dia sudah terbiasa membasuh baju menggunakan tangan.

"Erm." sahut lelaki itu ringkas.

Uzma tersenyum tipis sambil menganguk kecil.

"Abang suka makan apa? Nanti Ju masakkan." soalnya lagi dengan niat menyelidiki informasi suaminya sendiri.

Lorong yang dilewati bersebelahan dengan sebuah peti sejuk beku menarik perhatiannya. Uzma berhenti melangkah dan berpaling melihat lelaki itu yang sentiasa tunduk merendahkan pandangan. Tanpa memandang ke arahnya Alex menggeleng. Uzma mengetap bibir menutupi rasa kecewa kerana niat untuk merisik perihal lelaki itu mudah saja dipatahkan. Sebenarnya, walau tidak terjelas pada mata kasar, dia terlalu gembira kerana dapat keluar dari kediaman itu dan pergi membeli-belah. Ingin sekali dia memasakkan sesuatu untuk lelaki itu sebagai tanda berterima kasih.

Setelah berjaya mengabaikan perasaan terkilan itu Uzma lantas menjarakkan diri. Memilih beberapa ekor ikan lalu ditimbang dan mengarahkan lelaki itu untuk kembali ke rak makanan kering. Dicapai sebungkus mee spaghetti kering, satu tin cendawan butang dan setin sos carbonara. Jikalau lelaki itu enggan beri kerjasama dia tetap mahu memasakkan sesuatu yang istimewa buat santapan malam nanti. Sebelum menuju ke arah kaunter pembayaran, Alex singgah di bahagian peralatan elektrik. Terus dipanggil seorang pembantu jualan dan belum sempat Uzma bertanya lanjut dia melihat sebuah kotak peti televisyen dibawa oleh pembantu jualan itu ke kaunter pembayaran.

"Abang beli TV?" soalnya sedangkan dia melihat dengan mata kepalanya.

"Hmm..." sahut Alex ringkas ketika dia menghalangi lelaki itu daripada meneruskan pergerakan.

"Kenapa?" tanyanya lagi dengan memandang tepat ke arah wajah yang serius itu.

"Hadiah untuk Juma." maklum Alex selamba lalu menolak sedikit troli mengenai tubuhnya.

Uzma memberi jarak sebelum lelaki itu bergerak ke arah kaunter. Dalam keadaan tercengang dan mulut yang melopong dikejar langkah suaminya itu. Pertama kali dalam hidup dia terima hadiah berupa peti televisyen. Biar betul!

"Abang..." serunya.

Alex pura-pura tak mendengar. Sibuk mengeluarkan barangan yang berada di dalam troli untuk diletakkan di atas kaunter pembayaran.

"Abang, tak perlulah... Ju tak kisah takde TV dekat rumah tu." katanya perlahan berserta perasaan serba salah untuk menerima hadiah tersebut.

Namun, tiada apa yang boleh dibuat olehnya apabila televisyen jenis flat screen itu dibayar terlebih dahulu menggunakan kad debit sebelum barangan di dalam troli pula dibayar. Akhirnya dia mendiamkan diri menjadi pemerhati sehinggalah langkah keluar dari pasaraya itu diambil.

"Eh, Ju!" tegur satu suara.

Uzma menoleh. Berbalas pandang dengan Mak Ani, pekerja kantin di sekolah menengah yang tinggal tidak jauh dari rumah Atuk. Uzma menghampiri wanita separuh abad itu. Bersalaman dan bertanya khabar.

"Siapa tu?" soalan dari Mak Ani memaksanya menoleh ke belakang padahal dia tahu yang ditanya itu tiada lain melainkan suaminya sendiri.

"Suami Ju." jawabnya separuh segan.

Mulut Mak Ani melopong. Terkejut benar rupanya.

"Eh, Pak Malik takde cakap pun Ju nak kahwin. Bila kahwinnya?" risik Mak Ani lagi.

Uzma tersipu.

"Minggu lepas."

"Oo... Buat dekat rumah?"

"Ha'ah." jawabnya sepatah.

"Orang mana? Kerja apa? Umur berapa? Mak Ani tak pernah tengok pun."

Dia mula berasa tidak senang dengan soalan demi soalan yang dilontar bagai peluru berpandu itu. Serasa ingin melarikan diri aje.

"Tu... Bengkel kayu dekat kedai Ah Seng tu."

"Oh. Asal mana? Umur berapa?" ulang Mak Ani lagi.

Pulak. Puaslah nak menjawab. Mak Ani ni tak nak masuk dalam membeli ke? Anaknya, Seman yang tercegat di depan pintu masuk pasaraya dah macam cacing kepanasan menunggu ibunya itu. Uzma senyum kelat. Inilah yang dia tak suka bila ditebak bermacam soalan. Dan dia tahu ke mana hala tuju soalan itu nanti. Iyelah. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja berita cucu Pak Malik berkahwin timbul. Dijemput segelintir orang pulak tu. Kalau tak silap tekaannya, sedikit masa lagi hebohlah berita tentang perkahwinannya itu di serata kampung. Dia menggigit bibir merenung Mak Ani sambil mencari akal untuk melarikan diri.

"Juma, jom. Dah lewat ni."

Pucat lesi mukanya bila mana tangannya digapai dari belakang oleh seseorang. Siapa lagi jikalau bukan Alex.

"Err... Mak Ani, Ju balik dulu." ujarnya sebelum membiarkan lelaki itu menariknya pergi lantas membukakan pintu kereta dan disuruh masuk.

Langsung dia tidak menoleh ke arah Mak Ani lagi ketika enjin kenderaan dihidupkan dan kereta itu bergerak perlahan meninggalkan pasaraya itu.

Sepanjang perjalanan Uzma mendiamkan diri. Sehinggalah tiba di bengkel dan memunggah barangan, masing-masing masih mengunci mulut. Dia menjinjit dua beg plastik yang agak ringan lalu beredar naik ke tingkat atas. Langkahnya terus ke dapur. Barangan yang dibelikan mahu dikemas dan disimpan. Peti yang kosong mula dipenuhi dengan pelbagai simpanan. Bakul bawang tidak lagi kosong. Botol-botol sos kemas bersusun di dalam kabinet atas.

Apabila Alex merapati untuk meletakkan seplastik barangan basah, dia membatukan diri. Tidak berganjak dari kedudukannya. Sebentar, lelaki itu beredar dan muncul kembali dengan kotak televisyen dalam pelukan. Kotak itu dibiarkan sahaja di tepi dinding bertentangan dengan sofa.

"Juma..." seru Alex sekaligus mematikan perbuatannya yang sedang menyimpan stok makanan kering.

Dia bangun dari duduk bercangkung di depan kabinet bawah itu. Dipandang suami yang berdiri di bucu meja.

"Saya nak ke surau dulu." tutur Alex perlahan.

Uzma senyum. Kemudian, menganggukkan kepala. Walaupun sudah beberapa malam lelaki itu tidur sekatil dengannya namun, jarak selamat masih diambil oleh lelaki itu. Mandi dan bertukar pakaian tetap dilakukan di tingkat bawah. Hanya pada waktu malam kira-kira jam sebelas barulah lelaki itu muncul untuk menemaninya seperti yang dipinta sebelum ini.

"Err... Abang!"

Langkah Alex terhenti lalu berpaling.

"Makan malam Ju masak." maklumnya.

Alex mengangguk lalu beredar dan menarik pintu rapat. Uzma menilik jam di tangan. Sudah pukul 7.00 petang. Dia ingin membersihkan diri dan bersiap untuk bersolat sebelum masuk ke dapur. Malam itu menu istimewa bakal dimasak khas untuk lelaki yang dirasakan baik hati dan penyabar itu.

Tepat jam 9.00 malam dia terdengar bunyi ketukan di pintu. Seringkali diingatkan oleh Alex agar mengunci pintu kayu itu walaupun pada siang hari. Kadangkala, apabila terlupa memang pintu kayu itu akan dibiarkan terbuka dengan luas. Nak buat macam mana. Memang dia terlupa. Dengan senyuman yang ditarik hingga ke telinga dibukakan pintu kayu itu.

"Abang nak makan?" sapa Uzma sebaik pintu itu dibuka.

Riak Alex jelas terkejut namun dibayangi tingkahnya itu dengan terus melangkah ke dapur dan membuka paip air di sinki. Uzma membiarkan pintu kayu itu ternganga. Nyaman apabila angin malam mencuri masuk dan menyejukkan ruang atas itu. Lantas, dia berdiri di meja kopi dengan senyuman masih menempel di wajah. Makanan yang telah dihidangkan setengah jam sebelum lelaki itu tiba diletakkan di dalam bekas makanan bertutup. Pinggan, sudu dan garpu turut tersedia. Hanya air kosong menjadi minuman setelah menyedari tabiat minum lelaki itu sebelum ini yang gemar meneguk air itu berbanding air manis.

Alex melabuhkan duduk di sofa diikuti olehnya. Dibuka penutup bekas dan aroma spaghetti carbonara tercium di hidung. Dengan menggunakan dua batang garpu dia menceduk mee itu ke dalam pinggan dan menolak ke arah suaminya. Kemudian, diisikan pula ke dalam pinggannya.

Menu yang dipelajari daripada Puan Solehah itu diperolehi selepas Muna membawa sebekas besar juadah itu pada majlis perpisahan di sekolah sebelum ini. Sebaik merasainya dia terus gemarkan rasanya. Sebab itulah setelah pulang dari sekolah diminta Muna untuk singgah ke rumahnya dahulu buat Uzma bertemu Puan Solehah untuk mencatit resepi. Resepi mudah itu terus melekat di benaknya namun belum berkesempatan untuk dicuba. Lalu, alang-alang mahu memasakkan sesuatu yang istimewa dan lain dari kelaziman dia mencuba resepi itu buat pertama kali.

"Makanlah, abang." pelawanya dengan ceria setelah dilihat suaminya cuma merenung makanan itu.

"Abang tak biasa makan ke?" katanya lagi dengan dada sedikit berdebar.

Wajah mulai berubah mendung. Ah, sudah. Tak terfikir pula andai makanan itu digemari atau tidak oleh suaminya. Tetapi, sebaik gelengan diberikan oleh Alex dia menarik lega. Dibiarkan suaminya makan terlebih dahulu. Ingin dilihat reaksi lelaki itu mencuba hasil air tangannya. Perlahan saja gerak Alex ketika makan. Diam tak terkata. Namun selepas satu suapan dimasuk lagi satu suapan, membuatnya terfikir ianya tentu enak. Tersenyum sedikit bibir Uzma ketika makanan itu masuk ke mulut. Tidaklah seratus peratus sama dengan Puan Solehah masak tetapi, rasanya tidak lari. Enak berkrim dan secukup rasa. Ketika menyedari pinggan suaminya hampir licin dia memberhentikan makan.

"Abang nak tambah?" soalnya.

Alex mengangguk. Kembang hidung Uzma walaupun tiada kata pujian yang keluar. Dia pasti suaminya itu menyukai masakannya. Cukup dua pinggan Alex tidak lagi menambah. Hanya duduk bersandar sambil memerhatikannya menghabiskan makanan. Uzma menjeling bekas makanan yang masih banyak berbaki.

"Simpan dalam peti. Boleh panaskan waktu sarapan esok."

Seperti mengerti apa yang bermain di fikirannya lelaki itu memberi arahan. Dianggukkan kepala. Usai makan Alex terus bangun mengutip pinggan dan membawa ke sinki tanpa sempat dia menahan. Lantas dikemaskan meja sebeum menyimpan bekas makanan itu ke dalam peti sejuk lalu kembali ke ruang tamu. Dia duduk bersandar dengan gelas minuman masih belum disentuh. Alex turut melabuhkan punggung di hujung sofa kulit itu lalu mencapai gelas dan meneguk perlahan minumannya.

"Juma nak cari kerja lagi?"

Alex menjadi yang pertama memulakan perbualan. Uzma menoleh. Suaminya tidak memandang ke arahnya. Sedang merenung kotak televisyen yang belum dibuka.

"Abang izinkan?" soalnya pula.

Sekilas dia mendapat kerlingan daripada suaminya. Lelaki itu mengangguk.

"Tapi, Ju tak tahu nak cuba dekat mana." ujarnya separuh menyerah.

Kelmarin bukan main berkobar-kobar semangat untuk berkerja. Bila dah merasa susahnya nak membelit wayar halus itu dengan mudah dia berputus asa pula. Pelik. Seperti peluang pekerjaan dalam kilang elektronik sahaja yang ada di atas dunia ini.

"Kerja dengan saya."

Sekali lagi lelaki itu mempelawa untuk berkerja dengannya. Uzma menjadi hairan. Kerja apa yang ada? Bertukang memang taklah. Tukang sapu? Alahai, itu bukan kerja. Tak perlu disuruh pun dia boleh membantu menyapu habuk kayu setebal tiga inci itu. Percuma lagi.

"Tapi kerja apa?" soalnya kemudian.

"Esok pagi pukul sembilan turun. Nanti saya tunjukkan." kata lelaki itu.

Dia diam. Memikir sebentar.

"Okay." sahutnya.

Baginya tak salah kalau dia melihat dahulu kerja yang disebut-sebut itu. Kalau tak serasi pun lelaki itu suaminya. Jadi mudahlah untuknya berterus-terang jikalau dia tidak mampu melakukannya. Perbincangan tamat dan dia melihat Alex bangun merapati dinding di hadapan mereka. Lelaki itu sedang mengukur agaknya melihatkan tangannya yang didepakan ke dinding. Mungkin mengira ukuran untuk meletakkan peti televisyen itu.

Hampir jam sepuluh Uzma melangkah masuk ke dalam bilik. Seperti belum terbiasa dengan fasa baharu kehidupan, dia masih kekal berada di atas katil pada jam 10.30 malam mengikuti kelaziman pada hari-hari persekolahan. Dikemaskan tempat beradu lalu dia ke bilik air. Selesai hajatnya dia ke dapur. Satu per satu suis lampu dan kipas ditutup.

Ketika melintasi ruang tamu, Alex tidak kelihatan di mana-mana. Mungkin turun ke bawah melihatkan sepasang sandal milik lelaki itu yang tiada bersebelahan sandal miliknya. Dibiarkan sahaja pintu depan itu terbuka lantas masuk ke bilik tidur dan suis lampu dimatikan sebelum direbahkan tubuh ke atas katil.

Lega.

Hampir sahaja terlena dirasakan berlaku pergerakan di atas tilam itu. Kedudukannya yang membelakangi Alex dipusingkan. Lelaki itu sedang berbaring dengan sebelah tangan diletakkan ke atas dahi seperti biasa. Jarak satu bantal kepala tidak pernah dilangkaui oleh suaminya itu. Malah, dia juga.

"Abang..."

Dalam kesamaran malam dia menyeru suaminya. Uzma tahu lelaki itu belum tidur.

"Boleh Ju tanya sesuatu?" katanya.

Diam. Uzma menggigit-gigit bibirnya.

"Abang, ada mak dan ayah, tak?"

Diam lagi. Dia pasti lelaki itu mendengarnya. Cuma, enggan menjawab.

"Ju minta maaf kalau salah tanya."

Sepi. Keinginan untuk tahu dilontar ke dasar hati. Mungkin masanya belum tiba, pujuk hati kecilnya.

"Hmm... Ju rindu arwah ayah. Ju... tidur du-.."

Dengan itu dipejamkan matanya sebelum kegelapan yang hitam dan likat membenamkan segala memori yang ingin diputar mengingati arwah ayah tersayang.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.