Gemersik angin pada pagi itu menyamankan tubuh Aryati yang
sedang berbasikal menuju ke pekan. Meskipun hatinya terasa berat hendak pergi
bekerja pada hari itu, digagahkan juga. Sudah seminggu dia tidak pergi bekerja.
Semenjak diberitahu oleh Pak Anjangnya yang dia akan dikahwinkan dengan Aji
Kudus. Selama seminggu itu tidurnya ditemani airmata. Setiap malam dia menangis
mengenang nasib dirinya yang dirundung malang yang tidak pernah berkesudahan.
Sudahlah diri yatim piatu dan menumpang hidup dengan emak saudaranya itu, kini
dia dipaksa pula berkahwin dengan lelaki tua oleh suami emak saudaranya yang
telah dianggap ayah itu. Kontang sudah airmatanya kerana menangis saban malam,
namun keputusan Pak Anjangnya itu tiada siapa yang boleh membangkang. Safwan
sudah puas bertegang leher dengan ayahnya, namun hampa.
Pagi ini selepas solat subuh emaknya pula datang memujuk.
Menyuruh dia pergi bekerja. Bukan kerana apa, di rumah barang-barang keperluan
dapur hampir kontang. Sudah tiga hari emaknya tidak dapat pergi menoreh kerana
tidak sedap badan. Emaknya selalu muntah-muntah. Aryati faham dengan keadaan
emaknya itu. Mungkin sedang berbadan dua lagi. Jika benar telahannya itu, sudah
tentu tidak lama lagi dia akan mendapat adik saudara lagi.
Dengan bekerja di kedai Aji Kudus, dapatlah dia membantu emak
saudaranya walaupun hanya membeli beras dan garam. Gaji yang diberikan oleh Aji
Kudus kepadanya hanyalah enam puluh ringgit sebulan. Syukurlah. Jumlah itu
lebih banyak jika dibandingkan pendapatannya menolong emak saudaranya menoreh
getah dan mengutip getah sekrap. Harga getah sekrap pada waktu itu lebih kurang
dua puluh sen sekilogram.
Hampir lencun bajunya dengan peluh, barulah dia sampai ke
kedai tempat Aji Kudus berniaga. Basikal yang dibawa diparkirkannya di belakang
kedai. Setelah itu dia perlahan-lahan berjalan masuk ke dalam kedai.
“Awal sampai Ati..”tegur Aji Kudus sambil senyum. Aryati buat
muka selamba. Dengan tiba-tiba sahaja pipinya terasa panas. Ekor matanya sempat
menjeling Aji Kudus yang sedang menyusun golok parang di atas rak. Dia cuba
membayangkan dirinya duduk bersanding dengan lelaki itu. Meremang bulu leher
Aryati. Ngeri. Malu. Apatah lagi saat dia membayangkan yang dia akan berjalan
ke sana ke mari dengan lelaki tua itu yang akan menjadi suaminya. Hatinya
luluh. Namun itulah ketentuan Tuhan yang mesti diterima dengan redha.Melihat
riak Aji Kudus, seolah tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Kenapa seminggu tak datang? Emak kamu sakit ke?”tanya Aji
Kudus. Aryati tidak menjawab. Aji Kudus hanya memerhati gadis kurus itu yang
sudah memegang penyapu. Aryati memang pekerja yang rajin. Tanpa disuruh dia
sudah tahu tugas yang harus dilakukan setiap awal pagi.
“Emak kamu tak sehat ke? Kata Pak Anjang kamu, emak kamu
mengandung lagi..”soal lelaki itu lagi. Baru minggu lepas Pak Jaafar
memberitahu kepadanya, yang dia bakal menimang cahaya mata lagi. Bangga benar
kelihatannya sewaktu bercerita tentang Mak cik Zaitun yang muntah-muntah pada
setiap pagi.
Sekali lagi Aryati membisu. Entah, sebenarnya dia sendiri
tidak faham mengapa bibirnya bagaikan terkunci pada pagi itu. Agaknya dia
berasa marah dengan Aji Kudus yang meminangnya tetapi dia tidak dapat meluahkan
kemarahannya dengan kata-kata kerana jarak usia mereka. Bimbang dikatakan
biadap lebih baik mendiamkan diri tanda protes!
“Kamu ni puasa bercakap ke?”tanya orang tua itu. Aji Kudus
yang mula sakit hati apabila segala pertanyaannya tidak berjawab mula menyindir.
Aryati buat tak dengar.
“Dah makan ke belum?”tanya Aji Kudus pula. Kali ini Aryati
mengelengkan kepalanya. Sudah beberapa hari dia tidak lalu makan. Tekaknya
terasa kesat. Anih, perutnya tidak pula terasa lapar. Aji Kudus merenung Aryati
dengan ekor matanya. Wajah gadis itu muram dan sugul. ‘Jangan-jangan Jaafar
sudah memberitahu hal itu kepada dia,’
teka Aji Kudus.
“Kenapa tak makan?”soal Aji Kudus lagi. “Pergi makan dulu,
lepas tu baru boleh buat kerja..”sambungnya sambil menghulurkan not seringgit
sebanyak dua keping. Sekali lagi Aryati mengelengkan kepala. Kesedihan yang
sudah terpahat di hati takkan terhapus dengan pemberian duit sebanyak dua
ringgit itu. Namun siapakah yang mengerti dendangan hiba yang sedang berlagu
sayu di lubuk hatinya.
“Tak mau makan?Erm,kalau begitu, aku nak pergi makan. Kau jaga
kedai seorang..”
Aji Kudus yang perasan Aryati berasa tidak senang pada ketika
itu cuba menghindarkan diri. Mana tahu tanpanya Aryati akan lebih tenang berada
di kedai itu.
“Yalah,”jawab Aryati sepatah tanpa merenung kepada Aji Kudus.
Tangannya terus mencapai barang-barang jualan yang perlu disusun di hadapan
kedai.
“Ada barang-barang yang baru sampai, kau susun sekali di situ.
Kotaknya ada di sana,”beritahu Aji Kudus sambil menunjukkan ke arah kotak yang
bersusun di tepi dinding. Aryati hanya merenung tempat yang ditunjukkan oleh Aji
Kudus tanpa bersuara.
“Kalau ada orang datang nak membeli, kau suruh dia tunggu.” Arahan
demi arahan terlontar dari bibir Aji Kudus. Aryati sudah faham sangat tentang
hal itu. Aji Kudus seolah tidak mempercayainya tentang soal jual beli. Atau
boleh jadi juga kerana Aji Kudus itu bersikap tangkai jering.
“Kau dengar tak Ati?”soal Aji Kudus apabila Aryati mematikan
diri seolah dia sedang bercakap dengan dinding.
“Dengar..”jawab Aryati sepatah. Tidak sanggup dia memikirkan,
jika benar lelaki tua itu yang akan menjadi jodohnya. Begitu buruk takdir
hidupnya. Keluhan demi keluhan yang dilepaskan, tidak mampu menenangkan jiwanya
semakin berkocakan.Dia resah akan keberadaannya kini. Tak
mampu dikuatkan dirinya untuk beranjak pergi meninggalkan segala kepedihan itu.
Sesal. Sedih. Kecewa. Itulah perasaan yang mengasak jiwa Mak
cik Zaitun sejak suaminya merancang hendak menikahkan Aryati dengan Aji Kudus. Pelupuk
mata membengkak. Pedih kolam matanya kerana tangisan yang berpanjangan. Namun
jika dia menangis berairmatakan darah pun, keputusan suaminya tetap tidak boleh
dibantah. Aryati tetap akan dinikahkan dengan Aji Kudus.
“Emak..tak usah menangis lagi emak…”pujuk Aryati yang perasan
emak saudaranya itu terlarut oleh kesedihan sehinggakan airmatanya asyik
bergenangan sepanjang masa. Walaupun sudah seminggu airmata emak saudaranya itu
masih belum kontang.
“Macam mana emak tak sedih Ati..!Emak tak mahu menganiayai
engkau. Ati, amanah arwah…”balas Mak cik Zaitun dengan suara bergetar. Berat
fikirannya mengenangkan nasib anak saudaranya itu. Muram di wajah Aryati tidak
lagi memudar sejak diberitahu oleh Pak Anjangnya yang dia akan dinikahkan
dengan Aji Kudus. Berat mata yang memandang, bahu yang memikul lagi terasa
bebanannya.
“Sepatutnya emak mencari lelaki yang baik untuk menjadi suami
engkau..yang dapat memberi kebahagiaan kepada Ati, di dunia dan akhirat, tapi..”ujar
Mak cik Zaitun.
Sekali lagi airmatanya meleleh dan tidak mampu lagi
mengungkapkan kata-kata kerana tekaknya terasa kesat dan terhimpit.
“Tak apalah emak..jangan kerana Ati emak bergaduh dengan Pak
Anjang..”kata Aryati. Mana tahu dengan kata-katanya, kesedihan yang sedang
mencengkam hati emak saudaranya itu akan terungkai.
“Ati hanya anak saudara..”Bergetar suara Aryati sewaktu
mengungkapkan kalimah itu. Sebagai anak yang menumpang hidup dengan keluarga
itu dia harus sedar diri.
“Jangan cakap begitu! Ati dah macam anak kandung emak sendiri.
Emak mesti pertahankan Ati,nak. Emak tak sanggup nak lepaskan Ati ke tangan
orang tua tu..”tukas Mak cik Zaitun. Kerunsingan yang sedang meratah tangkai
hati sejak suaminya menerima pinangan Aji Kudus, memanggil duka nestapa ke
dasar jiwanya.
“Nanti apa kata jiran-jiran tetangga? Ati pun mesti berasa
malu kepada orang kampung dan kawan-kawan,kan? Mana kita nak sorokkan muka?
Emak maluu!”
Mendengarkan kata-kata itu Aryati terus terdiam. Malu! Memang
benar pasti dia akan berasa malu. Jika diikutkan hatinya yang masih muda remaja,
ingin sahaja dia lari ke bandar meninggalkan kampung halaman dan keluarga itu.
Tapi,pastikah tindakannya itu akan membawa kebaikan kepadanya? Apa pula
perasaan Mak cik Zaitun apabila mendapati dia hilang dari rumah.
Banyak berita yang dibaca di dalam akbar, gadis-gadis yang
lari dari rumah berakhir dengan
peristiwa yang lebih buruk. Dirogol, dibunuh dan berbagai kes lagi. Bukankah
itu lebih tragis jika dibandingkan dengan pernikahannya dengan lelaki tua?
“Tak apa,mak! Apa yang hendak dimalukan. Bukannya menyalahi
hukum pun..”Walaupun ada kebenarannya, jawapan Aryati sekadar hendak memujuk
hati emak saudaranya itu. Janganlah wanita itu merasa bersalah.
“Ati..”
“Saya,mak..”jawab Aryati lembut. Dipandanginya wajah Mak cik
Zaitun yang masih muram dan sugul.Timbul rasa belasnya. Rasa kasihnya juga
bertambah. Dek kerana rasa kasihnya kepada wanita itu dia tidak mahu
menunjukkan kesedihannya. Walaupun Mak cik Zaitun itu hanya emak saudaranya,namun
dia sanggup berkorban apa sahaja demi kegembiraan wanita yang telah banyak
berjasa kepadanya itu.
“Emak nak minta sesuatu dari Ati…”kata Mak cik Zaitun lantas
membisikkan sesuatu di telinga Aryati. Mendengarkan bisikan emak saudaranya itu
tubuh Aryati tiba-tiba bergementar. Nafasnya melaju. Perasaannya menjadi tidak
keruan.
“Tt..ta..tapi mak..”jawabnya tergagap sambil mengerutkan
dahinya kerana tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Ati sayang tak pada emak?”soal Mak cik Zaitun seolah
berbisik. Provokasinya itu pasti akan menewaskan hati anak gadis itu yang
memang sangat sayang kepadanya.
“Bbaiklah emak. Tt..tapi..ka..kalau Pak Anjangg..”jawabnya
tergagap-gagap dalam tubuh bergementar.
Aryati serba salah untuk membuat keputusan. Kecut perut
mengenangkan kebengisan Pak Anjangnya. Kalau kerana tindakannya itu emaknya
yang menjadi mangsa tentu dia akan berasa terkilan.
“Jangan pedulikan dia!Tahulah emak nak uruskannya nanti,” tukas
Mak cik Zaitun sambil memberi isyarat supaya Aryati cepat-cepat beredar dari
situ dan membuat apa yang disuruhnya. “Cepatlah!Sebelum Pak Anjang balikkk!!”gesanya
sambil menepuk peha Aryati.
Kedai kopi Tok Ajil masih dipenuhi dengan pelanggannya
walaupun waktu Maghrib sudah lama masuk. Beberapa orang lelaki masih asyik
dengan permainan dam. Leka mereka mengatur buah ke depan dan ke belakang. Ke
kiri atau ke kanan. “Leha….buatkan kopi o lagi lima cawan…”arah Pak Jaafar yang
nampaknya bakal menjadi juara pada senja itu. Dia sudah mengalahkan Senin,
Tompel dan Mat Tupai. Kalau dia dapat mengalahkan Meon pula,nampaknya dia akan
mempertahankan kejuaraannya untuk minggu itu.
“Leha..bawa laksa sekali. Perut dah lapar ni. Hari ini aku
belanja….”minta Pak Jaafar lagi. Dia menepuk-nepuk poket baju kemejanya yang
lusuh. Baru tengahari tadi Aji Kudus memberinya duit. Jadi apalah sangat untuk
membelanja kawan-kawan yang selalu meraikannya itu. Harga kopi O baru tiga
puluh sen secawan, harga laksa pula enam puluh sen satu pinggan. Jika
dicongak-congak duit yang digunakan untuk belanja makan minum mereka pada
petang itu tidak sampai pun sepuluh ringgit.
“Saya dah nak tutup kedai..”beritahu menantu Tok Ajil yang
sudah berulangkali menjenguk ke depan. Pelik pula rasa hatinya melihat
pelanggannya itu yang tidak mempedulikan suara azan menyeru mereka bersolat
sedangkan masing-masing sudah tua bangka. Hanya menanti saat untuk disimpan di
dalam tanah!
“Buat apa tutup lagi? Kan kami nak minum kopi dan makan laksa
kamu yang sedap tu!Cepatlah buatkan! Hari ni aku nak belanja dia orang semua!!”Kuat
suara Pak Jaafar menbalas kata-kata Leha.
“Amboi,banyak duit kamu Jaafar! Baru jual getah ke?”tanya
Senin. Tangannya mengusap perut yang mula berdendang sejak tadi. Pak Jaafar
hanya menyengih. Dari mana dia memperolehi duit untuk membelanja kawan-kawannya
yang bermain dam di kedai Tok Ajil biarlah menjadi rahsia.
“Jaafar..aku dengar engkau nak berbesan dengan Aji Kudus yang
berniaga golok parang di pekan tu!”sampuk Mat Tupai. Kabar angin sudah bertiup
kencang di dalam kampung itu tentang Pak Jaafar yang akan menerima menantu.
Banyak juga cerita yang didengarnya tentang Aji Kudus itu.
Pak Jaafar tidak segera menjawab kerana kosentrasinya tertumpu
kepada buah-buah dam yang sedang di hadapannya. Lawannya Meon banyak
muslihatnya dalam mengatur buah. Jadi dia perlu berhati-hati.
“Hah!Aji lagi!!”Pak Jaafar terjerit kecil sambil menepuk meja.
Dia begitu teruja kerana sudah memiliki buah bertindan membawa maksud buah aji
yang bebas bergerak ke sana dan ke sini di papan dam.
“Betul ke Jaafar?”ulang Mat Tupai sambil matanya memerhati
buah aji Pak Jaafar yang sedang memakan buah Meon. Meon yang melihat Pak Jaafar
mengutip buah-buahnya di atas papan dam terkebil-kebil matanya. Lincah
tangannya menggaru-garu kurap tapak kucing di belakang telinga.
“Iya. Tapi bukannya berbesan! Aku akan jadi pak mertua dia,”jawab
Pak Jaafar bangga sambil menepuk dadanya. Keningnya dijongket-jongket
berkali-kali.
“Maksudnya kau nak kahwinkan Ati dengan pak Aji tu, lah?’ tanya
Mat Tupai. Terbeliak mata Mat Tupai mendengarkan jawapan ikhlas dari Pak
Jaafar. Pak Jaafar menganggukkan kepalanya berkali-kali mengalahkan burung
belatuk.
“Kau gila apa? Takkan Ati tu kau nak kahwinkan dengan si tua
tu. Kasihanlah kat dia. Carilah lelaki yang lebih muda. Ni, kau cari otai pula
untuk kahwinkan dengan anak dara kau..”tukas Mat Tupai sambil mengelengkan
kepalanya.
“Otai pun masih berbisa..biarlah! Dia dah lama berkenankan Ati
tu. Kan dah lama budak tu kerja di kedai dia..”balas Pak Jaafar tanpa sekelumit
emosi simpati. Baginya keputusan yang dibuat
tepat dan tidak menyalahi hukum atau undang-undang negara dan ugama.
Jadi orang sekeliling tidak perlulah hendak menyibuk!
“Berniaga apa orang tua tu?”tanya Meon. Jarang ada orang
Melayu yang berniaga di pekan berdekatan. Hampir 90% kedai dimiliki oleh orang
Cina.
“Jual golok, parang, cangkul..”
“Kalau begitu banyaklah untungnya. Kedai menjual golok dan parang
hanya sebuah itu sahaja,kan?”sampuk satu suara.
“Tak taulah pula. Tapi pada pendapat aku, parang golok ni
barang yang kurang permintaan. Bukannya hari-hari orang hendak membeli golok
dan parang..”balas Pak Jaafar.
“Nak-naknya orang kita, kalau ada kedai bangsa sendiri, mereka
tetap nak mencari kedai Cina juga. Pasal itulah, bangsa Melayu susah hendak
maju di dalam perniagaan..”kata Mat Tupai.
“Kau ni Mat Tupai..bercakap macam YB pulak!”sindir Pak Jaafar
sambil tangannya sibuk mengatur buah.
“Peniaga Melayu ni tak pandai nak ambil hati pelanggan.
Kadang-kadang lima sen pun mereka berkira. Sebab itulah, orang-orang Melayu ni,
kalau berniaga cepat gulung tikar kerana tak pandai hendak menarik dan menjaga
hati pelanggan..”Mat Tupai mula bersyarah.
“Macam mana nak maju. Baru aje buka kedai dengan modal empat
ratus, orang yang membeli datang dengan
air liur. Duit satu sen tak bawa. Lepas tu suruh tulis dalam buku tiga lima.
Kalau begitu, benggali berniaga lembu pun jual kandang akhirnya..”tempelak satu
suara dari jauh. Mereka yang sedang ralit bermain dam merenung sesama sendiri.
Rasa macam tersindir pula sebab suara yang didengar macam suara Tok Ajil.
“Kalau sesama Melayu tidak membantu melonjakkan bangsa Melayu,
engkau orang ingat bangsa lain hendak tolong ke? Takkan adanya..”sambung suara
itu lagi.
Mat Tupai, Pak Jaafar, Meon dan beberapa orang lagi yang
berada di situ tidak bersuara. Mereka berat hati hendak berdebat dengan Tok
Ajil dalam isu bangsa, bimbang orang tua itu naik syeikh! Tak berhenti pula pidatonya
yang berapi, mengalahkan mantan presiden Indonesia, Presiden Sukarno.
“Jaafar..!Cuba tengok kat jalan tu..bukan anak engkau ke?”kata
Meon. Sebentar tadi sekilas pandang di jalan di hadapan kedainya itu dia
bagaikan terlihat salah seorang anak Jaafar lalu di situ. Perbahasan mereka
berkenaan dengan bangsa Melayu terhenti di situ.
“Kau jangan nak helahkan aku Meon….”jawab Pak Jaafar tanpa
mengendahkan pertanyaan Meon itu. Matanya sudah mengesan buah-buah dam milik
Meon yang akan dibaham oleh buah ajinya sebentar nanti.
“Betullah,Jaafar. Nak kemana Aryati tu berjalan laju-laju
waktu senja-senja ni!Cari bidan ke?Zaitun dah cukup bulan ke?”tanya pula pula
Tompel yang sedang duduk di sebelah Meon. Mendengarkan nama Aryati disebutkan, cepat-cepat Pak Jaafar
bangun dari bangku yang didudukinya sejak berjam tadi.
“Ati?”tanyanya dengan suara kuat. Mustahil Aryati pergi
mencari bidan seperti yang dikatakan oleh Tompel. Isterinya baru sahaja
mengandung empat bulan.
‘Anak kurang ajar!Mesti dia hendak lari dari rumah kerana
tidak mahu berkahwin dengan Aji Kudus!’teka Pak Jaafar. Pantas dia menghayun
langkah ke bahu jalan untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri. Melihat
susuk tubuh seorang gadis dari arah belakang menyebabkan darahnya menyirap ke
kepala.
“Atii!!!”laungnya kuat-kuat. “Ati!Balik!”jerkahnya lantang.