Home Novel Keluarga Tenggelam Dalam Cinta
Tenggelam Dalam Cinta
30/4/2015 13:04:09
47,263
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

Senja semakin menghilang. Langkahan kaki Aryati semakin longlai. Namun detakan jantungnya masih laju temponya. Debaran di hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tidak dapat ditahan airmatanya gugur juga sewaktu dia mengikut langkah kakinya. Begitu juga dengan keringatnya. Memercik di seluruh wajah dan mengalir di lehernya.

Sesekali dia menoleh ke belakang. Perasaannya cemas. Bimbang Pak Anjang mengejarnya. Kalaulah Pak Anjang berjaya mendapatkannya tadi, pasti dia akan diheret balik ke rumah. Setelah itu wajiblah dia kena belasah dengan penyapu kalau Pak Anjangnya naik minyak.

“Ya Allah, dah malam. Kemana aku nak pergi ni?”soalnya sendiri. Dia mula kecut perut. Maklumlah suasana kampung yang di penuhi dengan pokok-pokok besar dan terbiar, mulai gelap apabila sang mentari menyembunyikan diri.

Aryati terengah-engah berjalan di tepi kebun getah tempat emaknya menoreh. Jika diikutkan rasa takut yang sedang membelitnya pada saat itu, ingin sahaja dia berpatah balik ke rumah.

‘Tak sepatutnya aku keluar dari rumah pada waktu ini!’rungut Aryati yang mula kesal dengan tindakannya itu. Namun desakan emak saudaranya tidak patut dibantah. Pandangan sayu wanita yang banyak berbudi kepadanya itu menyebabkan dia patuh. Hati kecilnya faham apa yang tersembunyi di lubuk hati wanita itu. Segalanya kerana tidak mahu dia berkahwin dengan Aji Kudus yang tua bangka. Emak saudaranya ingin dia mengecap kebahagiaan di dalam hidupnya pada masa akan datang.

Kini dia teringat pondok kecil yang berada di dalam kebun getah itu. Pondok itu menjadi tempat dia dan emak saudaranya berehat sebaik selesai menoreh getah sementara hendak mengutip susu getah. Mungkin malam itu dia boleh menyembunyikan diri di situ sementara menanti hari esok. Aryati terus berjalan sambil menunduk melihat denai yang dilaluinya.

Suasana hening dan menyepi. Hanya sesekali terdengar bunyi ranting-ranting halus dan daun kering yang dipijaknya. Dalam jarak lebih kurang dua puluh kaki dari pondok, pandangan mata Aryati terarah kepada kepada satu cahaya yang menuju ke pondok itu juga. Langkah kaki Aryati terhenti. Dup-dap. Dup-dap. Detakan jantungnya seolah meleburkan seluruh jiwa raganya. Nafasnya melaju. Kini dia serba salah. Tidak tahu samada hendak meneruskan niatnya menuju ke pondok itu atau pun mencari tempat lain untuk bersembunyi. Namun pada waktu itu malam semakin menghimpit.

‘Jangan-jangan budak-budak penagih dadah berhimpun di situ malam-malam begini,’bisik hatinya yang mula diratah ketakutan. Aryati memusingkan tubuhnya ke belakang dan melihat sekeliling. Muktamad! Dia mesti tinggalkan tempat itu dengan segera. Rembulan mula menunjukkan wajahnya pada waktu itu. Cahayanya yang putih sedikit sebanyak dapat memberi sinar ke kawasan kebun getah itu yang kegelapan.

Baru lima langkah dia berjalan Aryati mendengar tapak-tapak kaki yang laju di belakangnya. Gemeratap bunyi daun dan ranting kering yang dipijak. Entah haiwan,entah manusia. Aryati semakin takut untuk menduga. Cemas hatinya hampir dia tidak mampu untuk melangkah ke hadapan. Namun rasa takut yang mencengkam memaksa kakinya untuk berlari. Aryati berlari lintang pukang meredah pokok-pokok renek dan rumput lalang.

“Oii!Jangan lari!!”tempik suara lelaki. Aryati sempat menoleh. Dalam cahaya suram Aryati lihat lelaki itu mengejarnya.

Basikal tua yang menjadi tunggangannya ke kedai Tok Ajil terus disandarkan ke tiang rumah sebaik sahaja dia turun dari basikal. Pak Jaafar tergesa-gesa naik ke rumah melalui pintu dapur. Suasana dapur ditambat kesepian dan kesunyian. Agaknya semua orang sedang bersolat Isya. Begitulah kata hati Pak Jaafar.

“Ati pergi ke mana?”tempik Pak Jaafar sebaik sahaja melihat wajah isterinya. Mak cik Zaitun yang buat-buat tidak dengar. Pak Jaafar merapati Mak cik Zaitun yang tidak mengendahkan pertanyaannya. Isterinya itu sedang membelah buah pinang. Buah pinang yang sudah dibelah-belah itu akan dijemur dan dijual setelah kering. Harganya pada waktu itu 20 sen sekilogram.

“Tun!Ati pergi mana?Hah?”tengkingnya kuat. Hatinya bagai dicucuh api apabila melihat isterinya itu tidak mempedulikan pertanyaannya. Seolah telinganya telah pekak.

“Ati pergi mana?”ulangnya lagi dengan suara yang lebih kuat menandakan darahnya mulai mendidih.

“Fatimah!!”Nama Fatimah pula yang dilaungkan. Baran Pak Jaafar bertambah apabila Fatimah tidak menyahut panggilannya.

“Kemana budak-budak ni semua pergi!”rungutnya kuat. “Fatimah!!”laungnya sekali lagi. Kuat suaranya membingitkan telinga Mak cik Zaitun yang ada berdekatan.

“Fatimah pergi mengaji…”beritahu Mak cik Zaitun. Tinggi suaranya kerana kesabaranya juga mulai tercarik.

“Fatimah pergi mengaji. Ati? Ati pergi ke mana?”soal Pak Jaafar dengan gelojoh.

“Mana aku tahu! Dari senja tadi aku tak nampak dia..”jawab Mak cik Zaitun melereh. Berpura tenang menyembunyikan resah di jiwa. Dadanya berdebar-debar apatah lagi apabila melihat alam yang diselubungi kegelapan malam.

“Aku nampak dia lalu di depan kedai Tok Ajil tadi. Bawa beg berbundut-bundut. Dia nak ke mana?”soal Pak Jaafar sambil menekan suaranya.

“Entah anak siapa yang awak nampak senja-senja tadi. Kan seharian ni mata awak asyik tengok buah dam?”tanya Mak cik Zaitun sambil menyindir tajam. Pertanyaan dari suaminya itu menyebabkan dia kecut perut. Segunung doa dipanjatkan, agar anak saudaranya itu berjaya melarikan dirinya dari kampung itu. Dapat memerdekakan dirinya daripada hajat Aji Kudus yang ingin memperisterikannya.

“Safwan, panggil Ati!”jerit Pak Jaafar tanpa mempedulikan sindiran isterinya itu. Walau apa yang terjadi Aryati mesti dicari. Dia pasti sangat gadis yang dilihatnya tadi ialah Aryati!Mustahil dia tidak mengenali gadis yang sudah dipelihara lebih sepuluh tahun?

“Safwan tak ada. Dia dah ke surau…”beritahu Mak cik Zaitun. Mendengarkan ungkapan kata-kata daripada isterinya itu, Pak Jaafar cepat-cepat menuju ke bilik. Langkahnya panjang-panjang dan sengaja dihentak-hentakkan kakinya menunjukkan rasa marahnya. Pintu almari kayu buruk di dalam bilik terus dibuka dengan rakus. Walau pun dia tidak pernah tahu kain baju yang dimiliki oleh Aryati namun pasti kain baju anak gadis itu sudah tiada di dalam almari. Ini adalah kerana, ada tetingkat di dalam almari yang telah kosong tanpa sehelai pakaian pun. Mungkin tetingkat itu hak Aryati kerana almari itu diguna berkongsi dengan anak-anaknya yang lain.

“Tun!Ati dah lari dari rumah!! Habis kain bajunya dia bawa!!”jerit Pak Jaafar sambil merapati Mak cik Zaitun semula. Perkara itu menyebabkan dia naik darah dengan tiba-tiba.

“Kenapa awak biarkan dia lari,hah?”marahnya kuat. Mencerlung matanya melihat Mak cik Zaitun. “Anak gadis seorang pun tak boleh nak jaga?”Sekali lagi Pak Jaafar menghamburkan pertanyaan dalam kemarahan.

“Aku yang suruh dia lari…Aku yang suruh!”jawab Mak cik Zaitun berani. Biar apa pun yang terjadi dia takkan membenarkan Aryati bernikah dengan lelaki yang sudah tua ganyut itu.

“Kau yang suruh?”soal Pak Jaafar yang naik hantu. Tak tersedar kakinya diangkat lalu menendang perut isterinya itu. Mak cik Zaitun terperosok di sudut dinding. Menahan rasa sakitnya,bibirnya diketap kuat.

“Aku dah ambil duit dari Aji Kudus!!!”tempik Pak Jaafar lantas menendang Mak cik Zaitun sekali lagi. Baru semalam Aji Kudus memberinya 200 ringgit. Kalau Aryati lari dan tidak dapat dinikahkan dengan orang tua itu,duit 200 kena bayar balik kepada Aji Kudus! Di mana hendak dicekaunya duit?

“Awak pergi cari dia balik!”tempiknya lantas menampar kepala isterinya itu. Kali ini Mak cik Zaitun meraung kesakitan. “Awak ni!Lebih baik ambil parang dan bunuh sahaja aku!! Bunuh sahaja aku dan anak yang dalam perut ni!!”

Dalam tangisan yang tertahan Mak cik Zaitun cuba melawan. Pak Jaafar terkedu sejenak. Sewaktu perasaan marah menguasai hati dan akal,langsung dia tidak ingat yang isterinya itu sedang mengandung.

“Awak ingat aku tak siuman ke?”soal Pak Jaafar dengan suara kuat. Walau kesal dengan tindakannya itu dia tidak mahu menunjukkan rasa bersalah. Akan tercemarlah maruahnya sebagai seorang suami jika dia tunduk kepada kata-kata isterinya itu.

“Memang awak dah tak siuman!”jerit Mak cik Zaitun yang naik angin. Kesakitan yang dirasa terus ditelan. Bibit-bibit pertengkaran yang mulai membara antara dia dan suaminya itu menyebabkan dia panas hati.

“Orang tak siuman saja yang nak kahwinkan anak dengan lelaki tua! Orang tak siuman saja yang sanggup tendang bini yang sedang mengandung!”tukasnya kuat.

“Diam!Jangan nak cabar aku, Tun! Jangan kerana Ati, awak jadi isteri durhaka! Aku ketua keluarga ini!”sanggah Pak Jaafar. Nafasnya naik turun dengan cepat sehingga dadanya nampak beralun-alun.

“Ohh,jadi kalau awak ketua keluarga awak bolehlah menindas isteri dan anak-anak?”soal Mak cik Zaitun. Sakit hatinya bukan kepalang apabila suaminya itu kerap sangat membangkitkan hal yang sama berulangkali. Bangga menjadi ketua keluarga yang menguasai seluruh isi keluarga itu, tetapi tanggungjawab yang sepatutnya dipikul dihumban entah ke mana!

“Kalau Ati tak kahwin dengan Aji Kudus tu,siaplah …”Pak Jaafar cuba mengugut. “Awak nak buat apa?”soal Mak cik Zaitun. Mustahil suaminya itu akan menceraikannya kerana hanya dia sahaja yang sanggup berkongsi hidup dengan lelaki itu. Jika perempuan lain yang menjadi isterinya, sudah lama dia ditinggalkan.

“Engkau akan terima akibatnya nanti…”ancam Pak Jaafar dengan nafas deras. Sengaja hendak menakutkan isterinya itu. Orang perempuan ini begitu takut jika ditinggalkan oleh seorang suami. Teramat takut menjadi janda. Itulah yang terfikir oleh otaknya yang tak begitu jernih.

“Akibat apa?”soal Mak cik Zaitun sengaja hendak mengapi. Jika suaminya itu berani mengancam dengan hal yang tidak-tidak, dia juga tidak berasa takut untuk membuat ugutan. Selama hidup bersama lelaki itu, dia tidak pernah mengecap rasa kesenangan pun!

“Tun…aku..aku..”

“Jaafar!!”laung satu suara. Ungkapan Pak Jaafar terputus. Namanya dipanggil berulang kali dari bawah rumah.

Kuat dan cemas nada suara itu. Pak Jaafar menguatkan ikatan kain pelikatnya lantas turun ke tanah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.