Home Novel Keluarga Tenggelam Dalam Cinta
Tenggelam Dalam Cinta
30/4/2015 13:04:09
47,264
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2

Titisan hujan dari langit semakin melebat. Bunyi derunya yang kuat sesekali menenggelamkan suara Pak Jaafar dan Mak cik Zaitun yang bertegang leher semenjak tadi.

“Tergamak awak hendak mengahwinkan Ati dengan lelaki tua? Dia tu anak saudara aku, bukannya anak saudara awak!”tempik Mak cik Zaitun yang hilang sabar. Hari ini bukan kali pertama mereka bertengkar dan bergaduh atas hal yang serupa. Hati Mak cik Zaitun tidak akan berasa puas selagi suaminya itu tidak membatalkan niat jahatnya itu untuk mengahwinkan anak saudaranya dengan lelaki tua ganyut itu.

“Biarlah dia kahwin dengan pilihan hatinya sendiri! Yang lebih kurang sebaya dengan dia! Bukannya dengan lelaki yang boleh dipanggil atuk!”

“Eh, Tun! Ati tak menolakkan? Lagipun Aji Kudus banyak harta. Dia pun sudah bersetuju untuk membawa hantaran lima ribu ringgit! Safwan anak kita tu perlukan duit untuk belanja pengajiannya!”balas Pak Jaafar dengan suara kuat sehingga tegang urat-urat di lehernya. Safwan, anak lelaki tunggal mereka.

“Apa kena mengenanya antara perkahwinan Aji Kudus dan Aryati dengan pengajian Safwan?”soal Mak cik Zaitun sambil merenung tajam. Kecurigaan yang membenih kian menyubur. Suaminya itu bukannya boleh dipercayai sangat dalam hal duit!

“Safwan nak pergi belajar di Sabah,kan?”tanya Pak Jaafar pula. Sabah itu di negeri yang jauh. Bukannya sedikit wang yang diperlukan sebagai tambang dan perbelanjaan.

“Iya, Safwan nak ke Sabah,tapi kenapa pula Ati yang kena jadi taruhan?”bidas Mak cik Zaitun yang tidak mampu lagi bersabar. Fikirannya mula meneka apa yang sedang bertunas di fikiran suaminya itu. Memang ada sesetengah manusia yang rajin menggunakan akal untuk mengambil kesempatan atas sesuatu tetapi malas menggunakan akal dan tulang empat kerat untuk mengusahakan sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan buat keperluan keluarga.

“Ati mesti kahwin dengan Aji Kudus! Tak dapat tidak!”tegas Pak Jaafar. Walau apapun yang terjadi dia mesti kahwinkan Aryati dengan Aji Kudus. Aji Kudus sudah berulang kali memberitahu kepadanya yang dia begitu berkenan kepada Aryati yang memang menjadi pembantu di kedainya di pekan. Tambahan pula dia tidak mempunyai anak perempuan.

“Duit untuk Safwan tu biar aku yang mencarinya. Selama ini pun aku yang terbongkok-bongkok setiap pagi menyembah pokok getah untuk cari duit, beri anak-anak makan dan sekolah!”bidas Mak cik Zaitun. Peluang yang datang untuk dia menghamburkan kemarahannya kepada suaminya itu digunakan secukupnya.

“Awak hanya tahu mengahwinkan anak! Lepas mereka habis sekolah sahaja awak kahwinkan! Awak tak bagi langsung mereka mencapai cita-cita!”tempik Mak cik Zaitun melepaskan geram yang selama ini terpendam.

Sikap Pak Jaafar yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak membuatkan dia merana. Anak-anak perempuannya merana. Lima orang anak perempuannya berkahwin kerana dipaksa oleh ayah mereka.

“Kau jangan nak mengungkit!”tempelak Pak Jaafar sambil menudingkan jari telunjuknya kepada Mak cik Zaitun. Tercabar kelelakiannya jika isterinya itu memperlekehkannya.

“Mengungkit apanya? Tak betul ke selama ini aku yang terbongkok-bongkok pergi mencakar pokok getah tu pada setiap hari! Awak ni taunya duduk di kedai kopi. Main terup..main dam! Main terup..main dam! Macam inilah lelaki! Jangan-jangan Aji Kudus tu sama macam awak! Nanti Ati yang akan merana!”

“Tun! Berapa kali aku nak cakap? Dari semalam lagi aku dah bagitau, Ati mesti kahwin dengan Aji Kudus itu juga. Aku tidak peduli…”tempik Pak Jaafar lagi.

“Ati tu muda sangat lagi!”sanggah Mak cik Zaitun. Sanggul yang terlerai cepat-cepat dikemaskannya kembali. “Muda apa? Umur 22 tu bukannya muda lagi. Dah kira anak dara tua dah tu!”pintas Pak Jaafar.

“Anak-anak perempuan kita yang lain, laris sahaja. Umur tujuh belas, lapan belas tahun dah dipinang orang. Anak saudara awak tu tak laku-laku walaupun umur dah lanjut. Biarlah dia kahwin dengan Aji Kudus tu..”Kalimah-kalimah yang diungkapkan oleh Pak Jaafar bagaikan menoreh-noreh hati Mak cik Zaitun. Jika tidak memikirkan rasa hormatnya kepada lelaki itu yang berstatus suaminya, mahu sahaja dia menerkam!

“Anak-anak kita yang lain, kahwin dengan orang yang sepadan umur dengan mereka! Tapi Ati..awak tak kasihan ke hendak memadankan dia dengan lelaki yang dah tua merenta tu? Bak kata orang, rumah kata pergi, kubur kata mari. Ada hati hendak meminang anak dara orang! Dah tak ada perempuan lain lagi ke? Carilah yang seumur dengan dia!”tingkah Mak cik Zaitun. Rasa geramnya masih belum pudar. Sakit hatinya semakin berbisa. Apa guna berkahwin jka tidak dapat menikmati kebahagiaan dan mutiara dari perkahwinan itu.

“Kalau kahwin dengan perempuan tua nak buat apa? Aku pun kalau ada peluang kahwin lagi satu, nak cari anak dara yang masih muda!”

Balasan kata-kata daripada Pak Jaafar semakin menyemarakkan perasaan marah di hati Mak cik Zaitun. Memanglah suaminya itu tidak ada hati dan perasaan. Diri sendiri tak tertanggung masih ada hati hendak beristeri lagi.

“Aji Kudus kata dia kasihan melihat Ati. Sudahlah yatim piatu, hidup pula susah. Kata Aji Kudus dia hendak membantu Ati..”tambah Pak Jaafar terus memujuk Mak cik Zaitun.

“Nak membantu? Dengan cara menikahi anak saudara aku? Budak itu hendak dibuat bini? Itu bukan membantu namanya. Itu mengikut telunjuk nafsu!”sanggah Mak cik Zaitun. “Saya tak benarkan dia kahwin…”ujar Mak cik Zaitun. Walau apa pun sebabnya dia takkan membenarkan perkara itu berlaku. Untuk apa berkahwin jika sekadar untuk menempah kesengsaraan?

“Tak boleh! Tun,kau jangan degil cakap aku. Ati tak menolak, kamu pulak yang membantah!”marah Pak Jaafar yang selalu hilang sabar.

“Apa kurangnya Aji Kudus tu. Ilmu ugama banyak. Harta pun banyak…Hidup Ati akan senang nanti. Aji Kudus tu akan memberi kesenangan kepada dia di dunia dan akhirat!”

“Ati tu tak faham tentang kehidupan lagi. Dia masih mentah..”bidas Mak cik Zaitun dengan nada marah. “Mentah? Awak dulu, umur dua puluh dah mengandungkan anak ke empat..”ungkap Pak Jaafar dengan wajah serius.

Matanya sempat menjeling perut Mak cik Zaitun. Seminggu dua ini dia sempat melihat isterinya itu muntah-muntah pada setiap pagi. Entah-entah lepas sembilan bulan nanti, dia akan jadi tukang bakar tungku untuk isterinya itu. Ahli keluarga akan bertambah lagi. Kesusahan hidup mereka juga akan bertambah.

Jika Aryati berkahwin, mungkin kehidupan mereka akan lega sedikit. Dia boleh meminta bantuan daripada menantunya, Aji Kudus. Jika tidak, sekiranya Mak cik Zaitun sudah sarat atau di dalam pantang nanti, dialah yang susah. Terpaksa bekerja untuk mencari duit buat menyara keluarga.

“Awak jangan nak bandingkan waktu dulu dengan sekarang! Dulu-dulu aku tidak pernah bercampur gaul dengan orang. Apabila dipinang orang, walaupun umur baru empat belas tahun, emak bapak terus terima dan nikahkan! Orang dulu-dulu tidak ada pilihan. Kalau yang datang meminang tu lelaki tua bongkok tiga pun, pinangannya diterima,”balas Mak cik Zaitun dengan panjang lebar.

“Apa masalahnya kalau berkahwin dengan lelaki tua? Siti Aishah isteri nabi tu berkahwin dengan nabi yang jarak usianya lebih 50 tahun!”

“Itu saja yang awak tahu! Kalau bab kahwin nikah, mudah sahaja hendak mengikut Nabi. Soal tanggung jawab terhadap anak bini kenapa tak nak ikut Nabi?”Sanggah Mak cik Zaitun yang mula naik angin. Sempat dia menyindir suaminya itu.

“Yang awak tu, membantah cakap suami, Nabi suruh buat macam itu ke?”balas Pak Jaafar yang mulai berang. Sakit hatinya apabila isterinya meninggikan suara kepadanya.

“Susah nak berunding dengan awak ni!”keluh Mak cik Zaitun yang hampa dengan sikap keras kepala suaminya itu. Terasa sesak dadanya menahan rasa marah.

“Tak payah nak runding-runding lagi. Aku suami. Kata pemutus di tangan aku!”jawab Pak Jaafar dengan bongkak. Walau apapun terjadi, dia tidak akan tunduk kepada kehendak isterinya itu. Isteri kena patuh dan taat kepada perintah suami!

“Cepat masak nasi! Aku dah kebulur nak makan!” perintahnya pula tanpa mempedulikan Safwan yang baru naik ke rumah.

“Dari mana,Safwan?”tanya Mak cik Zaitun kepada anak terunanya itu. Meskipun dia sudah dapat meneka berdasarkan baju yang membaluti tubuh anaknya itu. Safwan berbaju Melayu dan bersongkok. Pasti dia baru balik solat berjemaah di surau kampung itu.

“Safwan baru balik dari surau,emak. Erm, emak nak siapkan makan malam ya. Biar Safwan tolong emak,”kata Safwan lantas mengekori emaknya. Damai kembali hati Mak cik Zaitun apabila mendengar kata-kata anaknya itu.

“Safwan tolong cedok dan hidangkan. Nasi, emak dah masak tadi..”balas Mak cik Zaitun. Pak Jaafar pada waktu itu sudah turun ke tanah. Agaknya melarikan diri daripada Mak cik Zaitun untuk mengelakkan perbalahan. Dia naik kembali ke rumah apabila dipanggil oleh Safwan yang memberitahunya makanan malam sudah siap dihidangkan tidak lama selepas itu.

Suasana dapur pada waktu makan malam sepi dari suara penghuni rumah itu. Bibir Mak cik Zaitun dan Pak Jaafar seakan terkunci. Kelibat Aryati pula tidak kelihatan. Safwan yang ada bersama turut membisu.

Muram wajah Mak cik Zaitun menyebabkan anaknya takut hendak bertanya. Namun Safwan dapat meneka keributan yang sedang melanda keluarga itu. Segalanya disebabkan ayahnya yang telah menerima pinangan Aji Kudus untuk dikahwinkan dengan sepupunya Aryati. Walaupun Aryati itu hanya sepupu tetapi telah dianggap sebagai kakaknya sendiri. Keputusan ayahnya yang hendak mengahwinkan Aryati dalam usia muda dengan lelaki tua itu dirasakan sebagai satu kezaliman pula. Memang tidak patut!

“Emak, Ati pergi mana?”soal Safwan. Dari petang tadi dia tidak nampak kelibat Aryati. Hairan juga. Rumah itu bukannya besar jika Aryati hendak menyembunyikan dirinya pun!

“Safwan, jangan pedulikan dia. Cepat makan. Kalau hendak berbual tunggu selesai makan dulu..”tegur Pak Jaafar dengan suara tegang. Perutnya sudah berdendang sejak dari tadi lantas pinggan yang sudah dilambakkan nasi dipermukaannya cepat-cepat ditarik merapatinya. Gulai pucuk labu menjadi habuan tangannya selepas itu.

Safwan dan Mak cik Zaitun hanya memerhati sahaja pinggan nasi masing-masing. Tidak ada selera mereka hendak makan pada malam itu. Yalah, bak kata pepatah, ‘Cubit peha kanan, peha kiri pun akan terasa sakit juga.’

“Emak..ayah, Safwan rasa ayah tak patut buat kepada Ati begitu.”Safwan memberanikan diri untuk bersuara, meskipun faham yang dia akan dimarahi kerana keceloparannya itu.

“Safwan, kau jangan cuba mengajar aku! Aku tahu apa yang patut aku buat untuk kebaikan keluarga ini!”balas Pak Jaafar dengan nada marah. Mencerlung matanya memandang Safwan yang berlagak tenang.

“Kebaikan apanya jika ayah hendak kahwinkan Ati dengan lelaki yang dah tua ganyut tu. Ayah telah melakukan kezaliman kepada Kak Ati..”sambung Safwan sambil mengawal nada suaranya. Maklumlah yang dilawan bercakap ialah ayah kandungnya sendiri.

“Safwan, jangan biadap dengan aku! Keputusan telahku buat! Tidak ada siapa pun yang boleh menahan atau menghalangnya!”tegas Pak Jaafar lantas membasuh tangannya. Terbantut seleranya.

“Ayah,tak patut ayah mengahwinkan Ati dengan Aji Kudus itu! Kasihanilah Ati, ayah…”pintas Safwan dengan suara sebak. Kesakitan yang dirasai oleh Aryati pada waktu itu bagaikan sedang menjalar di jiwanya juga.

“Safwan, engkau orang semua tak faham tentang hidup. Tentang kesusahan hidup. Tentang kesulitan untuk mencari wang buat menyara makan minum dan persekolahan kamu semua…”

“Apa kena mengena kesusahan hidup kita dalam hal ini? Selama ini kami yang hidup susah. Emak yang tiap hari menoreh getah untuk makan minum kita sekeluarga, tapi ayah…”bidas Safwan. Sesungguhnya dia menjadi keliru dengan kenyataan ayahnya sebentar tadi sedangkan dia tahu yang ayahnya itu jarang mengambil tanggungjawab terhadap keluarga mereka. Emaklah yang bersusah payah. Emaklah yang bekerja dan berhutang di sana sini.

“Safwan! Sudahlah tu..jangan bertengkar dengan ayah. Jangan menjadi anak derhaka..”marah Mak cik Zaitun yang membisu sejak tadi.

“Bukan nak menderhaka…tapi…”

“Cukup Safwan..!”Kemarahan Pak Jaafar berlarutan. Safwan benar-benar mencabar maruahnya sebagai seorang bapa. “Kau hendak teruskan persekolahan atau pun tidak?”tanya Pak Jaafar sambil menudingkan jari telunjuknya ke muka Safwan.

“Kau tu anak lelaki!”tegasnya. Seolah mengingatkan Safwan tentang tanggungjawab yang akan terpikul di pundaknya pada masa akan datang, sebagai lelaki. Anggukan Safwan menyebabkan Pak Jaafar senyum sinis.

“Kalau begitu, dari mana aku nak dapat duit? Harapkan getah yang emak kau toreh, untuk makan keluarga ini pun tak cukup..”hambur Pak Jaafar.

Ingin sahaja Safwan melampiaskan rasa marah kepada ayahnya yang hanya mengharapkan isteri mencari pendapatan untuk keluarga. Namun lidah yang ingin meliar ditambat rapi, emosi berapi disisih ke tepi. Ayah tetap ayah walau buruk bagaimanapun sikapnya!

“Nak harapkan kakak-kakak kau? Huh!Tak usah mimpilah. Semuanya jadi enau di dalam belukar. Langsung tak ingat emak, bapak dan adik beradik bila dah keluar dari kampung ni!”balas pak Jaafar sempat mengutuk anak-anaknya yang seolah lupa kepada budi serta jasa emak dan ayah. Mak cik Zaitun menjeling.

“Tak usahlah awak hendak memburukkan anak-anak. Mereka tu bukannya berlakikan orang senang lenang. Sebabnya awak yang paksa mereka kahwin dengan lelaki-lelaki yang bersikap macam awak juga..”sindir Mak cik Zaitun.

“Lepas tamat sekolah, asal ada orang bertanyakan mereka, terus awak terima dan kahwinkan. Kalau awak tak kahwinkan mereka, dan beri mereka peluang untuk meneruskan pelajaran atau bekerja, sudah tentu corak kehidupan mereka berbeza. Sekarang ini mereka pun hidup susah dan miskin macam kita juga..”

“Tun, awak tak ingat ke kata orang tua-tua. Menjaga seorang anak perempuan ni,lebih menyusahkan dari menjaga lembu sekandang!”sanggah Pak Jaafar yang tidak pernah mengalah dalam pertengkaran.

“Ati tu, apa yang menyusahkan kita?”balas Mak cik Zaitun yang kemarahannya belum reda.

“Sekarang ni kita perlu duit!!”tegas Pak Jaafar. Melengking suaranya. Memang Aryati banyak membantu mereka apabila bekerja di kedai Aji Kudus.

“Kalau ayah nak minta sedekah kepada Aji Kudus itu dan jadikan Aryati sebagai taruhan,tak payahlah saya terima tawaran ke maktab tu. Lagipun jauh sangat...”celah pula Safwan. Sesak dadanya mengenangkan kemelut yang berlaku di dalam keluarga kerana tawaran yang diterimanya.

“Safwan!”jerit Mak cik Zaitun memanggil Safwan yang meninggalkan pinggan nasinya. Safwan satu-satunya anak lelaki yang ada dan diharapkan untuk mengubah kehidupan keluarga. Kini Safwan pula merajuk dan terluka kerana sikap ayahnya. Mak cik Zaitun mengeluh dalam. Dadanya diusap perlahan mengharapkan kesabaran datang bertandang.

3

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.