Keringat yang mengalir di tepi telinga meleleh sehingga ke
lehernya. Safwan berhenti sejenak sambil meletakkan kapak yang di tangan di
atas longgokan kayu api yang sedang dibelahnya. Nafas yang dihela agak laju
menandakan dia sudah kepenatan kerana membanting kudrat hampir dua jam untuk
membelah kayu api. Sejenak pandangan matanya dilontar ke bawah pokok manggis
berhampiran rumah. Masih ada selonggok kayu api yang menanti hentakan kapaknya.
Safwan mengeluh dalam. Mahu tak mahu dia wajib menyelesaikan tugasnya pada hari
itu juga.
“Safwan, berhentilah dulu. Dari pagi tadi, Safwan tak berhenti
membelah kayu api. Dah banyak dah tu..”tegur Aryati yang datang membawa sejag
air kosong dan sesisir pisang emas yang sudah masak ranum. Hanya juadah itu
sahaja yang mampu disajikan untuk adik sepupunya itu.
“Tak banyak. Dalam lima ketul sahaja lagi. Aku nak habiskan,
lepas tu boleh menolong emak membuat kerja lain pulak..”jawab Safwan terus
mengambil seketul kayu sebesar pehanya lantas dikapak menjadi belahan-belahan
kecil.
“Bak sini kapak tu. Biar Ati buat..”ujar Aryati lantas
merapati Safwan lalu cuba mengambil kapak dari tangan Safwan.
“Tak usah, Ati. Kau tu nak jadi pengantin baru. Nanti luka
tangan macamana nak jadi pengantin?”kata Safwan sambil menghalang tangan Aryati
dari menyentuh kapak yang di tangannya.
“Alah, luka di tangan boleh dirawat…”jawab Aryati tak mahu
mengalah terus berebut kapak dengan Safwan. Luka di hati, diri sendirilah yang
menanggung kepedihannya.
“Tak usah, Ati. Biar aku buat. Kalau kau nak tolong, pergi
susun kayu-kayu yang aku dah belah itu supaya cepat kering..”suruh Safwan.
“Baiklah. Minun air tu dulu. Air masak aje. Nak buat teh O,
gula dah habis..”adu Aryati lalu menundukkan kepalanya. Kemiskinan yang
membelengu kehidupan mereka menyebabkan dia rela mengorbankan dirinya untuk bernikah
dengan Aji Kudus.
“Ati, aku tanya kau jangan menangis ya..”ungkap Safwan sambil
mengacu-acu kapak di atas ketulan kayu. Dua tiga kali mengacu barulah kapak
diangkat tinggi-tinggi lantas dihentamnya di atas ketulan kayu itu. Bukannya
terus terbelah pun! Kayu pokok getah, urat-uratnya memang liat.
“Safwan nak tanya apa?”soal Aryati sambil menyusun belahan
kayu api secara bertingkat berselang-seli.
“Kau dah fikir masak-masak ke nak kahwin dengan orang tua tu? Kau tak
sayang masa depan kau ke?Tak menyesal nanti?”soal Safwan bertubi-tubi. Empat
lima hari ini fikirannya lelah memikirkan tentang Aryati yang merelakan dirinya
untuk bernikah dengan lelaki tua bertaraf ayah. Kalau ia pun hendak melakukan
ihsan kepada keluarga, diri sendiri hendaklah diberi keutamaan.
“Dah jodoh, Ati..nak buat macam mana?”jawab Aryati perlahan
sambil menelan airliur pada tekak yang terasa kesat tiba-tiba. Amat sulit
perasaannya kerana berada dalam posisi yang terjepit.
“Ati, jodoh itu boleh dipilih. Nak buat apa nak kahwin dengan
orang tua?Di luar sana ramai lelaki lagi. Dunia ini masih luas..”syarah Safwan.
Hari ini dia nekad untuk mencelikkan mata hati sepupunya itu yang tiba-tiba
menjadi buta dan tidak tahu memilih antara pasir atau butiran permata! Lantas
lelaki tua itu dilihatnya sebagai putera raja yang kacak tampan dan dianggap
dapat memberi kebahagiaan kepadanya.
“Safwan, pilihan Ati ialah kebahagiaan emak, Pak Anjang dan
keluarga kita..” pintas Aryati lalu menoleh melihat Safwan yang sedang
membongkok membetulkan ketulan kayu yang tumbang di tanah.
“Emak tak bersetuju, Ati. Hari-hari aku nampak emak
menangis..”beritahu Safwan sambil menyeka peluh yang mengalir di hidungnya
dengan belakang tangan.
“Emak setuju dah..”balas Aryati. Perlahan suaranya seolah
sedang bercakap dengan dirinya sendiri. Untuk mengelakkan fikirannya berserabut
tentang hal yang mengusutkan hati Safwan dan emak saudaranya dia menyerahkan
dirinya bulat-bulat kepada ALLAH.
“Safwan, tak usah fikirkan tentang Ati lagi…”rayu Aryati
dengan suara tertahan. Membincangkan hal perkahwinannya menyebabkan hatinya
perit dan pedih. Sudah lama dia bekerja dengan Aji Kudus. Sudah masak dia
dengan perangai lelaki tua itu.
“Ati, aku tak nak kau korbankan diri untuk aku, kerana aku.
Ikutkan hati, aku tak nak pergi ke Sabah tu. Biarlah aku duduk di kampung ni
dan lakukan kerja kampung sahaja sementara mendapat kerja dengan kerajaan.
Panjat pokok kelapa pun tak apa..”celah Safwan. Kebelakangan ini dia ada
mengambil upah memanjat pokok kelapa dan menjolok buah kelapa sawit.
“Kenapa kau hendak mencampakkan diri di dalam kebinasaan? Nabi
larang. Allah juga larang..”Tiada istilah putus asa dalam hati Safwan demi
memujuk Aryati. Mendengarkan kata-kata itu, Aryati terdiam sejenak. Perasaannya
jadi lemas. Benarkah dia telah mencampakkan dirinya di dalam kebinasaan dengan
merelakan dirinya bernikah dengan Aji Kudus?
“Safwan,tolonglah. Jangan fikirkan tentang Ati. InsyaAllah,
Tuhan tahu apa yang terbaik untuk Ati. Bukankah kita ini, orang Islam..kena
percaya kepada qadak dan qadar..?”
“Aku..tak naklah pergi ke Sabah..”Terpacul ungkapan itu dari
bibir Safwan.
“Peluang yang datang hanya sekali, Safwan. Jika ditolak tidak
mungkin ia akan berulang kembali. Anak-anak emak yang lain tidak sempat
menyambung cita-cita kerana berkahwin muda. Hanya Safwan sahaja yang mendapat
peluang ini. Mungkin Allah telah menjanjikan sebutir bintang untuk Safwan
dengan tawaran itu.” Kalimah yang diungkapkan oleh Aryati terputus sejenak
kerana dadanya sebak. Disebabkan kemiskinan dia tidak berpeluang untuk mendapat
pendidikan lebih tinggi.
“Dengan bintang itulah, dengan izin Allah, Safwan mampu
menerangi keluarga kita pada suatu hari nanti..”sambungnya apabila sebak yang
melanda dada mulai memudar.
“Ati, untuk itu kau sanggup mengorbankan diri? Korbankan masa
depan? Korbankan kebahagiaan?”soal Safwan yang masih belum dapat menerima
keputusan sepupunya itu.
“Pengorbanan itu hanya secebis jika dibandingkan dengan kasih
sayang yang emak telah curahkan kepada Ati sejak emak Ati mati. Safwan, masa
depan kita di dalam genggaman Allah. Kita tidak mampu meneka hal-hal yang
mendatang..”jawab Aryati yang tetap mempertahankan keputusan yang telah
dibuatnya.
“Alangkan lilin pun merelakan dirinya dibakar untuk menerangi
kegelapan orang lain, Safwan..”
“Ati, lilin tu tidak mempunyai akal fikiran. Ia bukan benda
hidup yang mempunyai hati dan perasaan..tapi kau..Allah dah bagi akal,kan?”soal
Safwan bersungguh-sungguh. Pelik hatinya apabila manusia sering menyamakan diri
mereka dengan sebatang lilin!
Aryati kehilangan kata-kata untuk beberapa ketika. Pandangan
Safwan itu memang tidak mampu disanggah. Namun sebagai manusia yang lemah, dia
harus menerima ketentuan Allah.
“Safwan, Ati terima ketentuan Allah..”balas Aryati akhirnya.
Giliran Safwan pula mengunci bibirnya.
“Hanya satu yang Ati pinta…”Kata-kata Aryati terputus di situ
kerana asakan sebak seolah menyekat peti suaranya. Safwan kehilangan kata-kata.
“Apabila Safwan sudah
berjaya nanti, janganlah abaikan emak dan Pak Anjang. Berilah mereka merasa
nikmat hidup senang di atas dunia ini. Ati tak berdaya untuk memberi kesenangan
kepada mereka sebagai membalas jasa..hanya ini sahaja yang Ati dapat lakukan..”sambung
Aryati dengan suara bergetar. Airmata yang berlandung di kolam mata,
dikekangnya kuat-kuat. Hari ini, airmata itu janganlah tertumpah lagi, bimbang
semangatnya akan berderai umpama embun di pagi hari.
Safwan terdiam mendengar jawapan sepupunya itu. Sungguh mulia
hati gadis itu. Sanggup mengorbankan dirinya demi kebahagiaan orang lain.
‘Mudahan Allah merahmatimu, kakak sepupuku,’doanya di dalam
hati sambil merenung Aryati yang terus menyusun bilah-bilah kayu api dengan
sabar. Lagi tiga hari, Aryati akan bernikah dengan Aji Kudus. Aryati akan
menjadi isteri seorang lelaki tua. Safwan terus merenung kakak sepupunya itu dengan
mata yang tidak berkedip.