ASAP
berkepul-kepul keluar dari cerek besi yang dipanaskan di atas dapur. Bunyi
desingannya yang membingitkan telinga membuatkan Zara Aisya berkejaran lari
dari kamarnya turun ke dapur rumah kayu yang terceruk di tingkat bawah.
Api dapur dipadamkan pantas dan
tangannya yang dibaluti kain buruk tebal mengangkat cerek tersebut dari atas
dapur. Air dari cerek itu dituang masuk ke dalam teko putih yang berisi
campuran dua sudu kopi, empat sudu gula dan tiga sudu krimer. Campuran kopi,
gula dan krimer yang sudah digenangi air itu dikacau lembut. Seterusnya, Zara
membawa teko panas itu naik ke ruang makan.
“Anas! Cepat bersiap. Dah dekat
pukul tujuh ni!” jerit wanita yang berusia akhir 30-an ini. Wajahnya dibasahi
keringat dan dahinya berkerut seribu.
Seawal 5.30 pagi lagi Zara Aisya sudah
bangun dari tidur. Selesai saja menunaikan solat Subuh, dia akan ke dapur untuk
menyiapkan sarapan dan bekal buat anaknya, Anas dan kedua ibu bapanya yang
bakal keluar bekerja. Pagi ini dia hanya menyiapkan sarapan ala kadar. Cukup
sekadar karipap beberapa biji dan roti bakar yang dicalit sekaya.
“Ya ibu!” Anas keluar dari kamarnya
bersama beg sekolah yang tersauk di lengan. Dia kemudian duduk di kerusi dengan
keadaan tergopoh-gapah.
Cawan berisi air kopi yang masih
meruap panas itu ditembabkan bibir tanpa berjaga-jaga. “Ouch!” Melompat Anas
dari kerusinya. Darjah kepanasan air kopi itu menyengat bibir merahnya. Habis
tercurah air kopi tadi ke atas meja.
“Astaghfirullah… Anas! Kenapa gopoh
sangat ni?” Zara tergeleng-geleng. Nasib baiklah tidak mengenai kemeja sekolah
yang berwarna putih itu. Kalau tidak, satu hal pula nak menukar pakaian.
Sudahlah masa suntuk untuk ke sekolah.
Anas tergaru-garu kepalanya. Dia
bingkas bangun dari kerusi dan turun ke dapur. Tak sampai beberapa saat dia
naik kembali bersama kain buruk di tangan. Meja kayu empat segi yang dibasahi
air itu dilap dengan cermat.
“Tak apa biar ibu yang buatkan…” Zara
Aisya merampas kain buruk itu dari tangan Anas. Dia perlahan-lahan mengelap
meja kayu itu sehingga berkilat.
“Ibu… Anas minta maaf,” bicara Anas
tergagap-gagap. Wajahnya menunduk memandang lantai. Kasihan ibu! Dahlah bangun
awal, lepas tu aku susahkan dia pula nak mengemas tumpahan air kopi ni.
“Tak apalah. Sikit je ni. Dahlah,
Anas kena pergi sekolah dah ni. Nanti lambat pulak.” Zara tersengih. Anak
terunanya ini memang sensitif kalau pagi-pagi begini.
“Emm, iyalah. Anas pergi dulu.” A nas menghulurkan tangan kanannya menyalami
Zara Aisya. Dia kemudian mengangkat beg sandang dan mula berjalan ke arah muka
pintu. Namun baru saja sebelah kakinya turun menjejak tangga rumah, badannya
kembali berpusing ke belakang.
“Ibu!” jerit Anas.
“Ada
apa lagi anak ibu ni?” bicara Zara sambil tersenyum. Tangannya sempat mencapai
sebiji karipap dari atas meja dan disuapkan ke mulut Anas.
Anas
mengunyah karipap yang disuap ke mulutnya sehingga habis. Setelah sisa-sisa
karipap itu hancur, dia seterusnya bersuara. “Nak minta duit boleh? Anas lupa
nak cakap kat ibu yang cikgu minta RM20 untuk beli buku fizik.”
Nafas
Zara tiba-tiba tersekat di dada apabila mendengar permintaan Anas. Ya ALLAH,
duit lagi. Minggu lepas baru saja habis RM50 untuk tuisyen. Minggu ini RM20
pula untuk buku. Macam manalah aku nak tampung duit untuk cukupkan perbelanjaan
sehingga hujung bulan ni?
“Ibu
ada RM10 je, Anas. Kalau hutang lagi RM10 tak apa ke?”
Anas
mengetap bibirnya kuat. Dia mengeluh kecil. “Minta kat atuk tak boleh ke bu?”
“Anas…
ibu tak nak nenek bising. Anas pun tahukan…” Zara merendahkan suaranya apabila
perkataan nenek disebut. Dia tidak mahu emaknya mencemuh mereka lagi mengenai
soal duit. Telinganya sudah cukup mendidih mendengar kata nista emaknya yang
tak henti-henti mengenai nasib malang mereka.
“Alah
bu… kalau ibu tak boleh nak minta… Biar Anas yang minta sendiri kat atuk!” Anas
nekad. Sikap lembut hati ibunya itu tidak boleh diterima lagi. Sampai bila
nenek nak melayan mereka seperti orang luar? Takkanlah kerana satu kesalahan di
masa lampau, nenek sanggup menghukum dia dan ibunya sehingga begini. Lagi pula
ia bukan salah dia dan ibu. Ia salah ayah!
“Anas!” Zara Aisya mencengkam lengan anaknya dari
melangkah naik ke atas rumah semula. Matanya menjegil supaya Anas tidak melawan
kata-katanya.
Namun
Anas tidak mengendahkannya. Sebaik saja melihat kelibat atuknya, Pak Mustapha
duduk di meja makan, Anas melangkah naik ke atas rumah semula dan menolak
lengan ibunya ke tepi.
“Tuk!
Anas nak minta duit sikit boleh?” tanya Anas berani namun dengan nada yang
berhemah.
Pak
Mustapha mendongak kepalanya ke arah Anas yang sedang berdiri di hadapan pintu.
Dia tersenyum. “Berapa?”
“RM20
je tuk,” jawab Anas.
“Kejap
ya…” Pak Mustapha menundukkan matanya ke poket baju kemeja yang berpetak-petak
di sebelah kiri. Tangannya mengeluarkan duit not RM 20 dari poket tersebut dan
menghulurkan ia kepada Anas.
Namun
belum sempat Anas mengambil duit kertas itu daripada tangan Pak Mustapha, Mak
Zaiton terlebih dahulu merampasnya. Duit tersebut dimasukkan ke dalam poket
baju kurung kuningnya.
“Kenapa
awak bagi duit kat dia?” tengking Mak Zaiton. Matanya menjeling tajam ke arah Zara
Aisya yang bersandar di tepi pintu dan seterusnya menjegil pula pada Pak
Mustapha.
“Dia…
minta… untuk ke sekolah,” jawab Pak Mustapha teragak-agak.
“Hey,
sampai RM20! Kau makan ke kau belanja anak dara orang?” hamun Mak Zaiton
terhadap Anas.
Hidung
Anas kembang kempis menahan amarah. Hatinya terbakar. Nenek hanya reti menyinga.
Sampaikan atuk pun takut padanya!
“Macam
mana kau ajar anak kau ni ha, Zara? Reti menghabiskan duit aje! Mendatangkan
hasilnya tidak!” marah Mak Zaiton. Tangannya laju menampar lengan Zara. Wajah
Zara yang putih kemerah-merahan itu dipandang dengan penuh kebencian. Kalau
diikutkan hati, mahu saja ditarik-tarik rambut anak perempuannya itu.
Mendatangkan masalah!
Zara
Aisya pula hanya mampu membiarkan dirinya dipukul. Badannya sudah tidak alah
dengan semua ini. Ini baru sedikit kalau nak dibandingkan dengan dulu.
“Mak…
Anas nak duit untuk beli buku. Mak pinjamkanlah kat Zara. Nanti Zara bayar
hujung bulan ni bila dapat gaji,” bicara Zara lembut. Lengannya yang ditampar
itu digosok perlahan.
Mak
Zaiton mendengus kencang. Matanya menjeling lagi pada Zara dan cucunya, Anas.
“Dah berapa kali kau janji dengan aku? Kau ni kan… menyusahkan! Kenapalah masa
laki kau kena tangkap dulu kau tak ikut sekali haa?”
Zara
menundukkan kepalanya. Air mata mulai mengalir di lurah pipi. Mak selalu ungkit
hal dulu. Kenapa mak tak boleh lupakan saja? Lupakan soal suaminya! Dia dah
lama tidak wujud di dalam hidup kita semua.
“Nek!
Kalau nenek tak nak beri duit tu tak apa. Tapi jangan sakitkan hati ibu boleh
tak?” Anas sudah tidak dapat menahan hatinya yang kian pedih. Ibunya didakap
erat. Biarlah apa yang nenek nak kata. Derhaka atau tak sedar diuntung hidup
menumpang di rumah ini. Tetapi jangan sesekali hati ibunya diguris!
“Eh?
Melawan kau ya!”
Badan
Anas pula ditabuh kuat. Mak Zaiton bagai orang naik hantu. Pak Mustapha pun
ditolaknya ke tepi apabila lelaki tua itu cuba mengawal perangai gila isterinya
dari menjadi lebih teruk.
Tidak
tahan melihat Anas dipukul, Zara akhirnya menolak badan anaknya ke belakang dan
membiarkan dirinya menjadi mangsa tabuhan Mak Zaiton. Air matanya kian melebat.
Pukulan dari tangan Mak Zaiton yang mengenai bahu dan tulang belakangnya itu
seperti tidak terasa kesakitannya lagi. Hatinya lebih pedih. Hatinya lebih
terasa sengalnya. Biarlah dia menjadi pelindung Anas. Memang itupun yang telah
dia ikrarkan di hati sejak dari hari pertama Anas dilahirkan lagi.
“Ton!”
Pak Mustapha menyergah akhirnya. Tangan isterinya ditarik ke belakang. “Kau dah
gila ke? Ini anak kau ni yang kau pukul! Zara bawa Anas keluar. Dah lambat nak
ke sekolah dah ni,” arah Pak Mustapha tegas.
Zara
menarik lengan Anas turun dari rumah kayu tersebut dengan paksaan. Dia tahu
Anas bakal naik angin. Wajah anak lelaki yang berusia 17 tahun ini sudah
memerah. Telinganya juga ikut memerah sama seperti ada asap yang bakal keluar
dari corong telinga itu.
“Ibu!
Ibu!” Anas cuba memberhentikan langkah ibunya yang laju keluar dari halaman
rumah dan melintasi jalan kecil yang menuju ke jalan besar di hadapan bendang.
Zara
tidak mengendahkan bicara Anas. Pegangan tangannya terhadap lengan Anas
diperkemaskan dan kakinya terus melangkah ke arah jalan yang membawa mereka ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah.
“Ibu!”
Anas meloloskan tangannya dari pegangan Zara. Nafasnya dihela kasar. Sikap ibu
yang tidak mengendahkan bicaranya itu membuatkan Anas berang. Darah mudanya
cepat mendidih.
“Anas!
Jangan degil cakap ibu. Berapa kali ibu nak cakap, Anas?” Zara memberhentikan
langkahnya dan berpaling ke arah Anas yang sudah lima tapak di belakang.
“Ibu…
Anas tak degil ibu! Anas cuma tak suka dengan apa yang nenek buat dengan ibu. Nenek tak adil. Dia menghukum
kita dengan kesalahan yang kita sendiri tak buat, bu!” bicara Anas lantang.
Zara
menggeleng-geleng. Matanya dipejam dan kemudian dibuka. “Anas, kalau Anas
sayangkan ibu… tolong jangan bertekak dengan nenek. Tentang duit tu ibu akan
usahakan sayang. Anas jangan masuk campur soal ibu dan nenek.”
Anas
mengambil nafas tinggi. Kemudian ia dilepaskan perlahan-lahan. Amarahnya cuba
dikawal walaupun dia kurang bersetuju dengan pendirian ibunya.
“Anas
pergi sekolah ya sayang… belajar rajin-rajin. Insya-Allah, kalau Anas berjaya
nanti… hidup kita tak susah macam ni lagi sayang…” pujuk Zara. Rambut Anas
dibelai-belai lembut. Dahi anaknya dicium.
Hati
Anas terasa tenang semula walaupun persoalan yang bermain di benaknya masih
bergolak. Dia merenung wajah lembut ibunya yang sungguh jelita. Tak pernah
menua walaupun usia ibunya sudah mencecah hampir 39 tahun. Jalur-jalur kedut
yang ada di hujung mata dan bibir tidak menjejaskan langsung kecantikan ibunya.
Anas berbangga mempunyai seorang ibu seperti Zara. Cantik dan baik hati,
sungguhpun ibunya sering menjadi umpatan dan kejian orang kampung.
“Anas
pergi dulu bu.” Tangan kurus Zara dicium perlahan. Anas kemudiannya berjalan ke
hadapan meninggalkan Zara yang menatap kepergian anaknya ke sekolah dengan hati
yang hiba.