Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 2

MASA HADAPAN YANG KELAM

"Ini surat tawaran ke Universiti Eurasia Kampus Nusantara yang aku dapat. Korang dapat juga tak?"

Marisa dan Raimi berpandangan serentak lalu bersuara, "Ha?"

"Apa kau cakap? Surat tawaran ke Universiti Eurasia Kampus Nusantara? Kau ni biar betul?" soal Marisa semula tidak percaya. Mulutnya sudah melopong luas. Matanya terbeliak.

"Err... entahlah," balas Syafiyah tidak tahu bagaimana dia harus memberi reaksi.

"Kejap! Kejap! Kejap! Universiti tu... bukan ke universiti untuk budak-budak genius? Wah, tahniah Fiya!" ucap Marisa turut berasa teruja. Dia memegang kedua-dua tangan sahabat karibnya itu untuk mengucapkan tahniah.

"Kau dapat tawaran course apa?" Raimi mengajukan soalan.

"Errr...." Syafiyah melihat semula surat tawaran di tangannya. "Medic?"

"Ah, yalah. Sebab sebelum ni memang kau ambil Medic kan?" balas Raimi dalam bentuk pertanyaan. Syafiyah hanya mengangguk perlahan sebagai jawapan.

Raimi, Marisa dan Syafiyah ketiga-tiga mereka asalnya melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di sebuah universiti di wilayah yang mereka duduki. Disebabkan ketidak stabilan yang melanda wilayah mereka yang duduki, ekonomi terjejas sedikit sebanyak sekaligus memberi kesan kepada institusi kerajaan. Institusi pengajian tinggi turut tidak terkecuali menerima nasib yang sama.

Syafiyah mengukirkan senyuman sebagai balasan ucapan tahniah daripada sepupunya dan sahabat karibnya. Akan tetapi, senyumannya hanya seketika sebelum bibirnya kendur semula lalu mempamerkan wajah sedikit muram. Dia kemudian menekur memandang lantai, termenung memikirkan sesuatu.

"Kenapa Fiya?" Raimi yang perasan akan perubahan tingkah Syafiyah terus mengajukan soalan.

"Fiya, kau risaukan pasal kewangan?" soal Marisa walaupun dia sudah mengetahuinya melalui kebolehannya membaca fikiran orang lain.

Syafiyah hanya mampu mengangguk lemah. Sejujurnya dia teringin benar untuk menerima tawaran itu, tetapi apakan daya, keluarganya sendiri tidak akan mampu untuk menampung kos perbelanjaan untuk membiayai pengajiannya. Sebelum ini, mereka sekeluarga telah bergolok bergadai demi menampung kos pengajiannya. Dia fikir, dia ada masa hadapan yang cerah. Sekalipun dia tidak pernah terfikir akan penutupan institusi pengajian tinggi itu. Oleh sebab itulah keluarganya sanggup berkorban.

Semasa di universiti, dia, Marisa dan Raimi melakukan hampir apa sahaja pekerjaan demi menampung kos sara hidup sepanjang dia berada di universiti. Hidup mereka tidaklah senang sepanjang berada di universiti. Golongan mahasiswa antara yang paling terkesan dengan keadaan ekonomi dunia yang terumbang-ambing. Sudahlah mereka memerlukan duit yang banyak, keadaan ekonomi yang semakin mendesak pula semakin menghimpit kehidupan mereka dengan kenaikan harga barang dan kenaikan yuran pengajian.

Langsung tidak terlintas di fikirannya yang masa hadapannya akan direnggut begitu sahaja di hadapan matanya.

"Fiya?" Panggilan Marisa itu mengembalikan Syafiyah ke alam realiti. Dia sudah tenggelam jauh dalam lautan memorinya.

Syafiyah mengangkat wajahnya, memandang Marisa dan Raimi semula. Kedua-dunya mempamerkan kerisauan di wajah. Senyuman cuba diukir di bibir Syafiyah, demi meredakan keresahan yang bersarang di hatinya.

Syafiyah melepaskan keluhan berat. "Aku rasa aku tak patut terima tawaran ni. Aku bukannya ada duit sangat pun nak sambung pengajian lagi," luah Syafiyah dengan hati yang berat.

Tanpa dipelawa, Syafiyah melabuhkan punggungnya di atas sebuah sofa lusuh di ruang tamu tersebut. Marisa duduk melutut di hadapannya sambil menatap wajah Syafiyah. Raimi pula hanya berdiri di sebelah.

"Ya, kami faham perasaan tu. Tapi takkan kau nak tolak peluang ni. Bukan calang-calang orang dapat masuk universiti ni," bantah Marisa tidak bersetuju.

"Tapi...." Syafiyah mahu membalas tetapi telah dipintas Raimi, "Takpa Fiya. Fiya jangan risau. Kitorang akan tolong bantu Fiya dari segi kewangan. Tahulah aku apa nak buat nanti."

"Terima kasih, Marisa, Raimi. Fiya terharu sangat-sangat. Korang berdua dah banyak sangat tolong Fiya, selama ni." Syafiyah menggenggam erat tangan Marisa sambil menatap wajah sahabat baiknya penuh makna.

"Takda hallah. Kita kan dah lama berkawan kan?" balas Marisa seraya mengukirkan senyuman. Raimi yang hanya memerhati sejak dari tadi turut mengukirkan senyuman.

"Fiya, dah lama aku nak tanya soalan ni kat kau. Kenapa kau berminat nak ambil Medic? Kitorang ingatkan dulu, Fiya nak ikut kitorang ambil course Engineering." Marisa mengalih topik perbualan untuk mengubah mood.

"Kau berminat sebab kau nak ikut jejak abang kau ke?" Raimi mengajukan soalan.

Syafiyah menggeleng pantas.

"Habis tu?" soal Marisa dan Raimi serentak, menagih jawapan.

Syafiyah hanya membalas soalan itu dengan senyuman. Sengaja dia tidak mahu memberitahu mereka. Dia pasti, mereka berdua pasti tidak akan mempercayai kata-katanya jika dia memberitahu. Marisa menyedari Syafiyah menyorokkan sesuatu lalu cuba membaca fikirannya. Bukannya dia tidak mahu mempercayai sahabatnya itu, tetapi dia dijentik rasa ingin tahu sejak dari mula-mula lagi Syafiyah bertandang ke rumah Raimi.

"Kenapa korang berdua?" soal Raimi setelah menyedari kedua-dua gadis itu mendiamkan diri seketika.

"Errr... takda apa-apa," balas Marisa dan Syafiyah serentak lalu menayangkan seringai masing-masing. Raimi hanya mampu mengerutkan dahi dengan jawapan yang diterimanya.

***

Wilayah Eurasia Cawangan Nusantara

Teet! Teet! Teet!

Penggera telefon pintar milik Ilham Hakimi berbunyi menandakan sudah tiba waktu untuk dia bangkit daripada lenanya demi memulakan hari baru. Mata dibuka perlahan-lahan, dengan cermin mata yang masih dipakai. Dia tidak sempat menanggalkan cermin matanya sebelum dia tertidur.

Ilham bangun dari pembaringannya dengan perasaan malas lalu duduk tertunduk. Keadaan rambutnya kusut-masai dek tidak disikat selama berhari-hari. Sengaja dia membiarkan dirinya dalam keadaan sebegitu. Dia sudah malas untuk menguruskan dirinya lagi seperti manusia normal yang lain. Usah dikata keadaan di dalam biliknya, berselerakan ibarat tongkang pecah.

Selama berhari-hari itu jugalah dia tidak hadir ke kuliah. Keadaan ini tidak pula merisaukan rakan-rakan sekuliahnya yang lain. Hal ini disebabkan mereka semua sama juga seperti Ilham, telah putus semangat untuk terus menghadirkan diri ke kuliah. Jika ada pun yang mahu datang ke kuliah, bilangannya boleh dikira dengan jari. Sungguh, keadaan ini memang amat menyedihkan.

Di atas katilnya turut sama diletakkan sekeping tablet. Tablet itu masih terbuka sejak malam tadi, tidak sempat ditutup sebelum Ilham terlelap di atas katilnya. Tablet itu memaparkan sebuah artikel di Internet yang menceritakan perihal peristiwa yang memulakan Perang Dunia Ketiga yang sedang berlaku sekarang.

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini Ilham berminat untuk mengambil tahu tentang isu yang berlaku di serata dunia. Walhal sebelum ini dia langsung tidak mengambil peduli mengenainya kerana memikirkan semua itu tiada kena-mengena dengan kehidupannya sebagai seorang graduan. Apa yang dia tahu selama ini, cumalah melalui kehidupannya sebagai pelajar universiti dan fokus kepada akademik.

Namun begitu, keadaan dunia yang tidak berpihak kepadanya memaksa Ilham untuk mengambil tahu mengenai isu semasa. Barangkali dia telah menyedari betapa apa yang berlaku di seluruh dunia memainkan peranan penting dalam menentukan masa hadapannya.

Ilham mengambil tablet itu lalu ditatapnya. Artikel itu dibacanya semula. Dia ingin menghabiskan pembacaannya semula yang tergendala malam tadi.

"Fourth Political Theory eh? Beyond the left and right but against the center." Ayat itu menarik perhatian Ilham.

"Tatkala seluruh dunia menjadi multipolar, maka huru-hara pun berlaku. Masa Cold War, dunia ni menyaksikan pertembungan antara dua doktrin politik, liberalisme dan komunis. Masa World War II, dunia ni menyaksikan pertembungan antara tiga doktrin politik iaitu liberalisme, komunis dan nazi. Tapi, sekarang...," lafaz Ilham menerangkan tentang apa yang dia mampu faham setakat ini. Satu keluhan berat dilepaskan.

Ilham bersandar sambil merenung siling. Ulasan yang tergendala tadi disambung semula, "Multipolar World. Segala jenis ideologi tak kira sama ada far-left atau far-right bertembung dalam dogma politik yang baru, Fourth Political Theory." Lemah sahaja lontaran suaranya. Dadanya terasa sesak tatkala menyampaikan kata-kata itu.

Fourth Political Theory menginginkan sebuah dunia yang multipolar, di mana tiada mana-mana ideologi pun yang dominan dan bertindak untuk menstabilkan dunia daripada kekacauan seperti mana apa yang berlaku pada Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin.

Setelah menghabiskan ayat terakhir artikel tersebut, dia termenung sejenak di atas katil dalam keadaan duduk tertunduk. Mukanya diraup kasar. Dia merenung masa hadapannya yang kini kelam. Otaknya ligat memikirkan berbagai-bagai masalah yang bertandang dalam hidupnya tanpa amaran, tanpa dijangka. Semuanya berpunca daripada keputusan akademiknya yang merosot. Tidak cukup dengan itu, masalah ekonomi global dan ketidak stabilan yang melanda dunia menambahkan lagi kekusutan masalahnya.

Tangan Ilham mencapai telefon pintar yang tidak henti-henti berbunyi sejak dari tadi. Sengaja dibiarkannya. Sungguh, dia benar-benar sudah hilang semangat untuk terus memulakan hari baru. Matanya melirik ke arah jam yang dipaparkan di skrin telefon pintar miliknya.

"Pukul 6.15 pagi," gumam Ilham lemah dan tidak bersemangat. Air liurnya ditelan kelat.

Jarinya dilarikan ke atas perkataan 'STOP' yang tertera di atas skrin itu. Serentak dengan itu, telefon pintar itu terus berhenti daripada mengeluarkan bunyi yang membingitkan telinga lagi. Seraya itu, tangannya yang memegang lemah telefon pintar terus melepaskannya begitu sahaja.

Telefon pintar itu terus terjatuh ke atas lantai lalu dibiarkannya sahaja. Sedikitpun Ilham tidak mengambil kisah jikalau tindakannya akan menyebabkan telefon pintar itu rosak. Malah, skrinnya sudah penuh dengan kesan calar-balar di sana-sini. Semuanya gara-gara dihempas berkali-kali oleh Ilham. Telefon pintar yang malang lagi tidak bersalah itu menjadi tempat Ilham untuk melepaskan geram.

Ilham menyandar ke dinding. Matanya merenung kipas siling yang berputar ligat. Satu keluhan berat dilepaskan.

"Malasnya nak pergi kelas hari ni. Tapi hari ni ada kuiz pula. Apa lagilah yang lecturer tak guna tu nak? Bukannya ada makna lagi pun kalau aku terus belajar," rungut Ilham.

Pandangannya dikalihkan ke meja belajar yang terletak di sebelah katil. Di atas meja itu penuh dengan buku-buku teks yang terbuka. Beberapa alat tulis berselerak di atas meja bersama-sama dengan kalkulator saintifik yang dibiarkan terbuka tanpa penutup. Dia bingkas bangun lalu berjalan menuju ke meja belajarnya. Buku-buku itu direnung sejenak. Dia melihat halaman buku-buku yang terbuka di hadapannya. Halaman itu penuh dengan kesan contengan mengenai persamaan Matematik dan formula Fizik yang cuba diterbitkan Ilham.

Ilham merenung semula jam telefon pintarnya.

"Kelas pukul 8.00. Dah tak sempat dah kalau aku nak sambung baca lagi ni," lafaz Ilham dengan nada mendatar. Satu lagi keluhan berat dilepaskan.

Ilham terus berjalan ke arah pintu biliknya untuk menuju ke bilik air. Dia mahu bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh sebelum pergi ke kelas. Kakinya hanya memijak kertas-kertas yang berhamburan di atas lantai dengan selamba. Kertas-kertas itu merupakan kertas ujian dan kuiznya sebelum ini bersama-sama dengan beberapa helai kertas contengannya.

Setiap helaian kertas itu penuh dengan segala jenis persamaan Matematik, persamaan Fizik, formula-formula yang cuba diterbitkan, beberapa lakaran gambar rajah berserta beberapa simbol Matematik. Kertas-kertas itu merupakan bukti Ilham cuba menerbitkan dan memahami beberapa persamaan Fizik.

Usai solat subuh, Ilham terus bingkas bangun dan menyidai sajadah ke penyidai. Dia tidak berlama-lamaan untuk berwirid selepas solat, cukuplah hanya dengan membaca doa ringkas sahaja sudah memadai baginya. Dia seperti sudah putus harap kepada Ilahi pada saat ini.

***

Kaki Ilham melangkah perlahan menuju ke dewan kuliah. Langkahan kakinya dihayun penuh longlai menuju ke dewan kuliah. Keadaannya sekarang saling tidak tumpah seperti zombi. Di bawah matanya ada garis hitam jelas kelihatan menunjukkan lelaki itu tidak cukup tidur. Sepanjang malam dia berjaga untuk menelaah matapelajaran demi menghadapi kuiz pada hari ini. Sepanjang malam dia bersengkang mata sehinggalah dia tertidur dalam keadaan biliknya berselerak.

Pintu dewan kuliah dikuak perlahan. Kelihatan beberapa orang pelajar lain sudah pun mengambil tempat masing-masing di dalam dewan itu. Walau bagaimanapun, masih terlampau banyak kerusi yang kosong walaupun tinggal beberapa minit lagi jam akan menunjukkan pukul 8.00 pagi. Betapa para pelajar lain sudah malas untuk terus menghadirkan diri mereka ke kuliah. Bahkan Ilham sendiri sudah jarang menunjukkan dirinya ke kelas melainkan ada hal penting seperti kuiz dan ujian sahaja.

Ilham mengambil tempatnya di bahagian hadapan dan tepi kelas. Kawasan yang jarang diperhatikan orang. Ilham tidak sukakan perhatian. Sejak keputusan akademiknya merosot, dia bertambah-tambah tidak sukakan perhatian.

Sejurus duduk, Ilham terus meletakkan kepalanya di atas meja dengan malas. Dia bercadang untuk berterusan sebegitu sampailah pensyarah sampai.

"Weyh, kau dah prepare belum untuk kuiz hari ni?" Sayup-sayup sahaja kedengaran suara seorang pelajar yang duduk berhampiran Ilham.

"Entahlah, aku pasrah dan reda ajelah," balas seorang lagi dengan nada putus asa.

"Eh, bukan ke hari ni open book quiz je ke?" Kedengaran seorang lagi datang menyampuk perbualan mereka.

"Banyaklah kau punya open book, open book tu lagi susah tahu tak? Tu yang sampai lecturer benarkan kita untuk rujuk buku sekali," jelas rakannya pula.

"Ya tak ya eh. Apalah aku ni," kata si penanya tadi sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.

Perbualan mereka terhenti apabila pensyarah yang ditunggu-tunggu sampai ke kelas mereka. Prof. Zahran masuk dengan langkah bersahaja. Sedikit pun dia tidak mengambil peduli akan keadaan pelajar-pelajarnya yang kelihatan sugul dan pasrah akan masa hadapan mereka.

"Okey, semua dah ready untuk kuiz hari ni?" tanya Prof. Zahran dengan selamba.

Pelajar-pelajar di kelas itu termasuk Ilham yang ibarat mayat hidup tidak memberi sebarang respons kepada pertanyaan Prof. Zahran. Mereka betul-betul kehilangan tenaga hatta untuk memberi respons sedikit pun. Sementara itu, Prof. Zahran tidak mempedulikannya. Tanpa membuang masa, dia terus memulakan kuiznya pada hari itu. Kertas soalan kuiz diedarkannya kepada para pelajar.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.