MALAM
itu Zahra menghabiskan masa di dalam bilik hotel tersebut seorang diri. Dia
telah pun menyarung kimono yang diberikan oleh lelaki itu. Siapa sangka
nasibnya baik. Tadi, sewaktu dia solat dan pada sujud terakhir dia sujud lebih
lama. Dia sangat bersyukur malam itu tiada
apa yang berlaku terhadapnya.
Dia bersyukur kerana Allah Taala telah
mengalihkan hati lelaki itu dari membuat sesuatu yang tak sepatutnya
terhadapnya. Allah sahaja yang tahu betapa paniknya dia tadi bila lelaki itu
membawanya ke bilik hotel itu. Dalam hati dia asyik beristighfar di samping
meminta bantuan dari Allah. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku. Jelas lelaki
itu terus hilang keinginan melihat parut di belakang badannya. Sudah tentu
hodoh lantas memadamkan niatnya.
Namun,
dia resah. Malam ini dia lepas tapi bagaimanakah dengan malam-malam seterusnya?
Bagaimanakah dia akan hadapi kehidupan seperti itu lagi berada dalam ketakutan
cuba untuk mempertahankan kesucian dirinya. Siapalah yang boleh diharapkan?
Bapanya jelas-jelas tidak pedulikan dia lagi. Entah di mana kasih dan sayang
lelaki itu pada anak perempuannya?
Pedih
perasaan itu apabila seorang ayah mengkhianati kasih sayang seorang anak.
Penderaan fizikal yang sering dia hadapi tidak seteruk menyedari yang ayahnya
tiada langsung rasa untuk mempertahankan dirinya menyebabkan dia terfikir
adakah dia anak kandung lelaki itu? Entah-entah dia hanyalah seorang anak
angkat. Itulah sebabnya Rais langsung tidak menyayanginya.
Zahra
terasa sebak. Air mata mengalir di pipinya yang mulus. Dia merasa kecewa.
Mungkin juga dia anak angkat kerana selama 19 tahun itu dia tidak pernah merasa
kasih sayangnya ayahnya itu. Selalunya hanya ibunya sahaja yang menumpahkan
sepenuh kasih sayang terhadapnya dan adiknya. Oh ibu….air mata Zahra tumpah
makin lebat. Rindunya pada kasih sayang arwah ibunya itu. Teringat momen-momen
terakhir bersama ibunya dahulu. Masih terngiang-ngiang kata-kata ibunya yang
terakhir.
“Zahra,
jaga adik kamu dan nenek kamu baik-baik. Ibu minta maaf kerana tak dapat
menjaga kamu dan adik sebaiknya.” kata ibunya sewaktu di katil hospital. Dia
baru sahaja menjalani kemoterapi dan kelihatan sangat lemah dan pucat.
“Ibu,
jangan cakap macam tu. InsyaAllah ibu akan sihat kembali dan akan jaga kami
seperti dulu.” balas Zahra dengan air mata berjujuran.
“Tidak
sayang…ibu dah tak banyak masa….ibu minta maaf sayang…minta maaf
sangat-sangat…” ujar ibunya dengan kata-kata terputus-putus tidak cukup nafas.
Setelah melalui prosedur kemo yang melelahkan.
“Dahlah
ibu…jangan banyak bercakap…nanti ibu letih,” ujar Zahra lembut. Simpati melihat
ibunya yang tercungap-cungap itu.
“Dengar
sayang….ibu nak minta maaf kerana….ibu tak mungkin dapat menyaksikan kamu masuk
universiti dan terima ijazah…ibu tahu itu cita-cita kamu…dan maafkan ibu juga
kerana tidak mungkin bersama kamu mengambil foto bersama-sama semasa kamu
menerima ijazah dan juga sewaktu kamu bernikah dan seterusnya menimang cahaya
mata nanti. Keadaan ibu tak mungkin mengizinkan ibu bersama kamu dan adik lagi.
Ibu minta maaf sayang. Maafkan ibu kerana menyusahkan kamu. Jaga adik kamu dan
nenek baik-baik,” ujar ibunya sambil mengelus-ngelus wajah Zahra yang basah
dengan air mata.
Zahra mengangguk-angguk sambil merenung wajah pucat dan
cengkung ibunya itu dengan hati sangat sebak. Dia mencium wajah pucat itu.
Mahu
saja dia mengongoi di situ menjerit mengatakan bahawa ibunya akan pulih semula.
Dia mahu katakan ibunya akan sihat seperti selepas kemoterapinya. Semuanya akan
balik seperti biasa. Sudah tentu ada berita gembira setelah mereka berusaha
berbulan-bulan. Macam-macam telah dicuba.
Ibunya telah berusaha, doktor juga
telah berusaha. Dia tahu Allah SWT akan menyembuhkan ibunya. Setiap hari setiap
solat dia berdoa supaya ibunya sihat kembali. Dia percaya dengan keajaiban
kerana dia seorang yang sentiasa positif. Ada harapan menggunung di hatinya
yang ibunya akan sihat semula. Malahan beberapa hari sebelum kemo ibunya
kelihatan sangat ceria dan nampak sihat. Mula lalu makan lauk kegemarannya sup
ayam bersambal kicap memberikan harapan pada yang melihat perkembangan positif
itu.
Namun,
Allah SWT tahu apa yang terbaik. Ibunya dipanggil pergi jua setelah
kemoterapinya. Hancur luluh hati Zahra tetapi dia sedar dia tidak boleh
menyalahkan Allah SWT. Dia hanya makhluk daif berdoa memohon pada Sang Pencipta
yang sebaik-baik Perancang dan yang Maha Berkuasa. Sudah tentu Dia Maha Tahu
apa yang terbaik untuk dirinya dan adiknya.
Pemergian
ibunya mungkin ada banyak hikmahnya namun pada saat dia menyaksikan ibunya
meninggal dunia dia mahu menjerit tapi dia tahu dia perlu kuat untuk adik dan
neneknya. Justeru itu tiada kata-kata yang keluar dari bibirnya apatah lagi
jeritan hanya air mata sahaja bercucuran meski pun hatinya menjerit luka.
Seribu
satu kerisauan menerjah dirinya terasa seperti anak ayam kehilangan ibu. Dia
seolah hilang arah dan rasa seketika. Mujurlah dia masih ada seorang nenek.
Nenek Bibahlah yang memujuknya. Memeluknya di kala dia perlukan pelukan dan
kata-kata semangat. Kalau mahu mengharapkan ayahnya memanglah tidak. Dia
menyalahkan mereka pula atas kematian isterinya.
Nampaknya
malam itu Zahra akan sendiri sahaja di bilik itu. Lagipun untuk lebih selamat, tadi dia telahpun menyelak pintu bilik itu dan
meletakkan sebuah kerusi di depan pintu itu. Manalah tahu lelaki itu ubah
fikiran pula. Selepas solat Isyak dia
membaringkan diri cuba melelapkan mata supaya malam itu cepat berlalu.
Dalam
hatinya dia teringat-ingat adik dan neneknya. Dia berharap mereka tidak
diapakan-apakan oleh ayahnya itu yang kadang-kadang moodnya tidak menentu. Zahra
menghela nafas seketika. Entah bilalah ayahnya akan berubah dan entah bilalah
ayahnya akan sedar dan mula menyayangi mereka semua sebagai anak-anaknya dan
tidak hanya memikirkan dirinya sahaja.
“Tapi
yang paling penting…aku perlu fikir cara untuk lepaskan diri dari ayah. Hari
ini aku lepas tapi esok lusa belum tentu lagi. Ya Allah apa yang harus aku
lakukan? Aku tak sanggup kotorkan diri ku ya Allah. Ya Allah bantu lah aku,”
bisik Zahra sendiri lirih dan air matanya mengalir lagi.
HASEF
baru sahaja tiba di rumahnya. Sampai-sampai sahaja dia terus ke bilik. Sewaktu
dia berbaring untuk tidur dia teringat gadis tadi dan peristiwa tadi. Wajah
gadis itu terbayang-bayang di matanya. Dia mula perasan wajah gadis itu yang
makin lama makin familiar pada
pandangan matanya. Kenapa gadis itu seperti pernah dilihatnya? Kenapa ada rasa dejavu pula? Siapakah gadis itu
sebenarnya? Pernahkah dia berjumpa gadis itu sebelum itu?
Hasef
meraup wajah. Apa dah jadi dengan aku ni? Pertama, aku telah membawa perempuan
escort ke hotel dan kedua aku tak boleh lupakan pula wajah perempuan itu? soal Hasef
pada dirinya sendiri. Wajah itu seperti degil terus melekat di ruang mindanya.
Episod-episod dia berjumpa gadis itu seperti terimbau-imbau termasuk melihat
belakang gadis itu yang nanar dengan parut. Hodohnya melihat parut itu.
Bayangkan semua itu ditahan oleh tubuh gadis itu yang kurus. Dia simpati tapi
bukan hanya simpati sahaja yang dia rasa. Ada perasaan lain yang dia sendiri
tidak mengerti.
Argghh!! Hasef meraup wajahnya lagi. Sudah Hasef,
kau dah ada Zeti. Jangan kusutkan apa yang sudah kusut. Kalau Zeti tahu apa
yang sudah berlaku dan dia telah membawa seorang gadis escort ke hotel sudah
tentu mengamuk tunangnya itu. Silap haribulan putus pula pertunangan mereka.
Zeti pula memang kaki cemburu. Kau jangan buat pening Hasef! bisik Hasef memarahi
diri sendiri.
Dia bangun lantas ke bilik air lantas mengambil wudhu. Dia mahu
solat taubat kerana terjebak sehingga hampir mencemari kehornatan seorang gadis
malam itu. Dia orang baik-baik dan keluarganya juga baik-baik. Tindakan seperti
itu memang sepatutnya tiada dalam kamusnya!.