HIP! Hip!"
"Hooray!" sahut rakan-rakan sekelas yang lain.
Mereka saling meluahkan perasaan lega sambil berpelukan sesama sendiri. Barangkali itu hari terakhir mereka bertemu dan entah bila lagi pertemuan seterusnya. Mereka berbual sehingga tidak sedar salah seorang daripada rakan mereka terlebih dahulu meninggalkan pekarangan dewan.
"Kawan-kawan!" panggil Izzati agak kuat.
Rakan-rakan sekelas yang sedang bersembang secara berkumpulan masing-masing menoleh ke arahnya.
"Spoillah hang ni, Zati. Orang tengah rancak bersembang." Suara Lan terdengar memangkah lebih awal.
Izzati serba salah. Jika tidak menyampaikan amanah itu, entah bila lagi dia boleh menyampaikannya.
"Sorry, aku cuma nak sampaikan pesanan Umai. Dia kirim salam pada semua dan mintak maaf jika ada kesilapan yang dia pernah buat pada hangpa semua. Mak dia dah tunggu dan nak bawa dia balik ke KL."
"Uiks! Kenapa dia tak cakap sendiri? Tak acilah pergi senyap-senyap." Apek menjawab. Dia perasan riak wajah Faeeq yang berubah sebaik dikhabarkan berita itu.
"Mak dia nak cepat. Lagipun jauh, KL dan Kedah," jawab Izzati bagi pihak Umairah.
Faeeq terkedu. Dia sama sekali tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya. Lebih sebulan dia menahan hati dan diri, cuba menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Bukan itu sahaja, dia menahan hati dan diri daripada memandang Umairah. Terlambatkah dia kerana tidak meluahkan apa yang terbuku di hati? Tetapi, jika dia meluahkan perasaannya, adakah berbaloi pada usia yang sebegitu muda?
"Paeeq..." Lan menepuk bahunya.
Rakan-rakan terdekat faham isi hati Faeeq walaupun dia tidak pernah mengakuinya. Bukan mereka tak perasan, saban masa Faeeq mencari peluang untuk mengusik Umairah. Tidakkah itu bukti yang sangat jelas akan perasaan Faeeq?
"Lan... hang kata nak kerja part time, jadi dak?" soal Faeeq, mengalih perhatian kawan-kawannya daripada kisah Umairah.
Pada saat itu, hatinya remuk dan berkecai. Entah mengapa, dia rasa kehilangan dan ditinggalkan sendirian.
"Jadi. Esok aku nak usha line."
"Aku ikut hang," putus Faeeq serta-merta.
Dia berbual sebentar tentang rancangan mencari kerja separuh masa sebelum meminta diri untuk pulang ke rumah. Lan, Apek dan Bob membuat keputusan untuk menemui Izzati yang masih berbual dengan rakan sekelas mereka.
"Kenapa hang lambat sangat bagitau pasal Umairah?"
"Dia dah pesan, jangan bagitau sesiapa melainkan dia dah pergi," jawab Izzati, masih menyimpan amanah Umairah.
Begitulah kata Umairah, beberapa hari sebelum peperiksaaan SPM bermula. Tempoh perkenalan mereka cukup singkat. Tidak cukup setahun pun dan dia terpaksa akur dengan keputusan keluarga Umairah.
"Mana nak cari Umai?" tanya Lan, mendahului rakan-rakan yang lain.
Izzati menjongket bahu.
"Hang nak cari Umai buat apa?"
"Aduhai! Banyak tanyalah hang ni. Aku kan kawan Umai jugak. Takkan tak boleh cari Umai?" bidas Lan.
Padanya, Izzati terlalu melindungi hinggakan perkara yang dia tak patut lindung pun, dia buat begitu juga.
"Umai tak tinggalkan apa-apa. Dia ambil nombor telefon aku, tapi tak pulak tinggalkan nombor telefonnya."
"Lah... boleh tahan bendul jugak hang ni, ya? Dahlah hang sorang saja yang paling rapat dengan dia. Bila dia pi, satu apa pun hang tak ambil?" sembur Apek pula.
Tadi, dia masih bersabar dan cukuplah Lan seorang yang memberi buah keras. Namun, kesabarannya menipis apabila Izzati tidak memainkan peranannya sebagai seorang rakan.
"Aku tak ingat..." jawab Izzati, perlahan.
Menyesal pun ada apabila dipersalahkan begitu. Tentu rakan-rakan sekelas juga tidak mahu terputus hubungan. Tambahan masing-masing bakal membawa haluan sendiri selepas tamat persekolahan.
"Kesian, Faeeq."
"Eh, Faeeq mana?" tanya Izzati.
Dia tercari-cari wajah Faeeq di sebalik kumpulan rakan baiknya. Dia rasa kecewa pula apabila Faeeq tiada bersama-sama teman baiknya.
"Mana lagi? Balik rumahlah. Frust!"
"Entahlah, orang lain semua happy habis periksa, Faeeq pulak balik rumah frust menonggeng." Lan meluahkan perasaan sebalnya.
Jika dia di tempat Faeeq, dia juga akan merasai hal yang sama. Tetapi, sedikit sebanyak dia bersyukur kerana berita itu diketahui mereka selepas tamat peperiksaan. Bayangkan jika Umairah mengucapkan selamat tinggal sebelum peperiksaan bermula? Tentu Faeeq luka parah.
Diam-diam dia memuji Umairah yang prihatin atau barangkali Umairah sedar yang dirinya diminati oleh Faeeq?
Perbualan mereka tamat di situ. Masing-masing pulang ke rumah dengan persepsi berbeza.