Home Novel Cinta Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:13:23
583
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

FAEEQ berasa serba salah sama ada hendak berkayuh pulang atau menziarahi Umairah di rumah neneknya. Apabila mengingatkan kenakalan yang pernah dilakukan kepada Wan Senah, Faeeq menjadi kecut perut. Menyesal pula kerana menjadi budak nakal satu masa dulu. Alangkah bagus jika dia rajin membantu Wan Senah di kebun pisang, tentu Wan Senah tak keberatan membiarkan dia berkawan dengan Nadyne Umairah sekarang. 

Malangnya, dia pernah melancarkan mercun buatan sendiri. Niatnya hendak menyambut Aidilfitri, tetapi tersalah sasaran dan hampir mengenai Wan Senah. Semenjak peristiwa itu, Wan Senah marah betul dengan Faeeq.

"Assalamualaikum," sapa satu suara dari belakang.

Faeeq yang masih menongkat basikal dengan kaki, menoleh ke arah pemilik suara itu. Toki Rahim memberhentikan motor di sebelah basikalnya. Bunyi enjin motor yang semput-semput melatari pendengaran mereka.

"Waalaikumussalam warahmatullah. Toki Rahim!" jawab Faeeq, lantas berjabat tangan dengan datuk Umairah. 

"Awat hang duk sini? Penat mengayuh ka? Habaq mai lah kat Toki Rahim ni."

"Dak aih... Sebenaqnya...." Faeeq cuba berterus terang tetapi akhirnya dia menelan liur saja.

Mindanya ligat mencerna kebaikan bertanya kepada Toki Rahim tentang keadaan Umairah. Namun, dia berkira dua kali pula apabila terfikir kemungkinan Toki Rahim bercerita kepada Wan Senah dan seterusnya sampai kepada emak pula tentang dirinya yang bertanya tentang Umairah. Paling haru jika dia dituduh gatal oleh emak. Alahai!

"Umairah ada kat rumah tu. Dia demam kepialu lepaih jatuh dalam tali ayaq tu. Toki ingat dia pi minum ayaq kotoq, tu pasai dia demam. Hang tau dak, Paeeq?"

Faeeq menggeleng laju.

"Empat malam Umairah duk dalam wad," cerita Toki Rahim, bagai mengerti apa yang dicari Faeeq. Tentu Faeeq tertanya-tanya tentang Umairah, sementelah mereka berdua belajar di kelas yang sama. 

"Oh... lagu tu ka? Semoga Umai cepat sembuh.

Toki, kirim salam... err... ceq balik dulu na," kata Faeeq, meminta diri apabila tersedar yang dia hampir terlepas kata.

Sopannya dengan orang tua memang gred A. Itu gara-gara mercun buatan sendiri enam tahun lalu. Natijahnya, Faeeq sopan dengan orang tua di Kampung Kubang Jawi. Barangkali itu hikmah tersembunyi di sebalik tragedi malam raya.

"Yalah... kayuh gerek tu pelan-pelan na." Sayup-sayup pesanan itu tertangkap dek salur pendengarannya. Diikuti deruan bunyi enjin motor, barangkali menghala ke destinasi. 

Faeeq perlahan-lahan mengayuh basikal. Mengimbas memori lalu. Menyesal pula dia menyakat Umairah hingga menyebabkan gadis itu terjatuh ke dalam parit air. Sudahlah peperiksaan SPM tinggal sebulan saja lagi. Waktu-waktu genting begini, Umairah jatuh sakit pula. Jika apa-apa terjadi kepada Umairah, siapa hendak bertanggungjawab?

"Aku? SPM pun tak tau apa cerita lagi. Lagu mana nak bertanggungjawab pada anak dara orang? Muda lagi."

"Kalau sepuluh tahun lagi, beranilah aku." Dia bermonolog sendiri hingga akhirnya tongkat basikal mencecah tanah.

Dia nekad tidak mahu menyakat Umairah lagi. Apa pun terjadi, biar Umairah datang ke sekolah dan selesaikan perjuangannya. 

"Aku pun begitu."

"Hah, dah balik pun. Hang tak dak kelas tambahan ka, Paeeq?" Suara Mak Yah terdengar menyapa. Dia sedang mengangkat kain dari jemuran ketika melihat kelibat Faeeq di halaman rumah.

"Ceq dari kelas tambahanlah ni."

"Along balik tu," beritahu Mak Yah, menanti reaksi anak bongsunya.

Seperti yang dijangka, senyuman berbunga mekar di wajah Faeeq. Dia berlari-lari menuju ke arah dapur. Abangnya sudah pun menanti di muka pintu.

"Along!" panggil Faeeq, teruja.

"Oi!" sahut Firdaus, tersengih-sengih.

Lama dia tidak bertemu Faeeq. Selama dua tahun di Jerman, menyambung pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Awam. Akhirnya, dia pulang juga tetapi tidak lama. Rasanya, dia hendak mengajak Faeeq pula dalam perantauan kali ini.

"Tak habaq pun nak balik."

"Tak penting... yang penting along dah sampai rumah mak. Tu... panjang leher tu, hang cari apa?"

"Cari bini."

"Cari bini? Aik, hang berbini dulu sebelum along, Paeeq?" tanya Firdaus, hairan. Dia belum mengerti usikan Faeeq sehinggalah suara emak terdengar di antara mereka.

"Hang duk Jerman baru dua tahun along oi, bahasa kampung ni puluhan tahun hang guna, tak faham jugak? Adik tu tanya pasai hang, dah kahwin ka?"

"Hahaha! Adoi, mak oi! Ceq baru sampai ni. Nak alih bahasa tu makan masa 24 jam. Sabaq na... nanti ceq jadi orang pertama yang faham mak, bukan takat isi hati, bahasa isyarat mak pun ceq boleh faham."

"Dah tu, bila lagi?" tanya Mak Yah sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan anak-anak terunanya. 

Faeeq tidak menunggu Firdaus. Dia terus menyuap nasi semulut-semulut sehingga ditegur pelahap oleh Firdaus.

"Aku lapaq la. Pukui 3.00 baru sampai rumah. Hang apa tau!"

"Habis, aku tak lapaq ka? Dua tahun duk Jerman... tak makan ayaq tangan mak. Hang makan nasi hari-hari pun tak buleh tunggu aku baca doa sat, na?" bebel Firdaus, panjang berjela.

Faeeq buat tidak dengar saja. Bagus juga along membebel. Dapatlah dia mendengar suara abangnya, sementelah dua tahun mereka tidak berjumpa. 

"Kalau bab makan, hang tok sah duk hingaq la, along. Adik hang ni tak makan saman."

"Gulai keli cicah sambal belacan. Mai nak tambah lagi," jawab Faeeq lantas menghulur pinggannya kepada Mak Yah.

Senyuman janda beranak tiga itu mekar bila anak-anak cukup berselera menikmati air tangannya. Tiada yang lebih membahagiakan selain melihat anak-anak membesar sempurna di depan mata. 

"Mak ai... lajunya hang makan. Aku baru suap lima mulut."

"Hang makan sambil kira... memang lambat," bidas Faeeq, selamba.

Beberapa minit selepas itu, dia menyudahkan santapan tengah hari dengan hati yang senang.

SANG bulan bersinar terang di dada langit. Cahayanya menyimbah segenap pelosok alam. Nun, sayup-sayup, bayang selautan sawah padi terbentang di hadapan mata. Itu sajalah harta pusaka peninggalan arwah ayah yang ada buat mereka sekeluarga. Pusaka itulah yang diusahakan Mak Yah dan dibantu Faeeq saban masa. 

Dua beradik yang lama tidak bertemu mata itu duduk bersidai di beranda. Sesekali terdengar perbualan santai mereka. Banyaknya pengalaman Firdaus menimba ilmu di Jerman.

"Along balik tak lama." Suara Firdaus terdengar tidak lama kemudian.

Faeeq mengerutkan kening, cuba untuk mengerti maknanya. 

"Along ingat nak ajak hang pulak kali ni." 

"Pi mana?"

"Belajaq," jawab Firdaus ringkas.

Dia senyum melihat telatah si adik yang sedang bingung. Biar dia bingung dulu, sekejap lagi akan jernihlah semuanya. 

"SPM pun aku belum ambik lagi. Nak ikut hang pi mana, along?"

"Sebab hang belum ambiklah aku nak ajak ni. Kita pi UK. Aku ingat nak pi sana, kerja kat sana. Cari duit berguni sebelum balik kampung. Hang boleh belajaq kat sana. Ada masa sebulan ni, hang prepare la elok-elok," cadang Firdaus.

Faeeq hanya mendengar. Lama juga dia mendiamkan diri, menapis segala maklumat yang disampaikan oleh Firdaus untuk dimurnikan sebaiknya. Jika setuju, itu bermakna Mak Yah akan ditinggalkan berseorangan. Jika tidak bersetuju, dia masih perlu berjuang untuk membela nasib keluarga.

"Aku tak tau la. Kalau aku ikut hang, mak pulak lagu mana? Siapa nak jaga mak? Aku pula, nak cari duit celah mana? Mata wang depa British Pound Sterling tu. Lebih kurang darab enam dengan duit kita. Aku sekupang pun tak dak," adu Faeeq akan masalah yang membelit fikirannya.

Tawaran Firdaus sedikit sebanyak memikat hatinya, namun perihal Mak Yah menjadi keutamaan. Selebihnya, hal duit yang menjadi pengusut fikiran.

"Alah, bukan lama pun. Setakat empat tahun duk perantauan. Kak hang, Aina pun ada. Dia buleh teman mak. Jiran-jiran pun ada, Mak Piah, Mak Siti," sampuk Mak Yah yang mendengar perbualan anak-anaknya. Dia membawa sedulang kopi ke beranda.

Faeeq berpaling ke arah Mak Yah sambil tersengih.

"Wan Senah..." Faeeq cuba menduga.

"Wan Senah apa pulak? Tak mau aku berbaik dengan Wan Senah. Hang tak ingat, dia mai serang aku kat rumah sebab hang?"

"Kisah lama, mak! Tok sah duk ingatlah hat sedih-sedih. Lagipun tu kan memang salah ceq." Faeeq cuba menenangkan kembali emosi Mak Yah yang goyah, gara-gara nama Wan Senah disebut.

Ternyata, Mak Yah masih belum melupakan insiden itu walaupun lima tahun telah berlalu. Aduhai Umairah! Bagaimana diri ini hendak menyunting dirimu kelak? Seperti ada onak yang bakal menghalang laluan ini.

"Hang memang salah. Padan muka hang, tapi yang aku tak suka, dia libatkan arwah pak hang yang dah meninggal. Dia dah penampaq hang sebijik cukuplah, yang dia mai serang aku kat rumah, pasaipa? Malam raya pulak tu. Hat tu aku memang tak buleh lupalah, Faeeq." 

Mak Yah kembali membuka kisah lama. Faeeq tidak menyahut, sebaliknya dia tekun melihat liuk lentok dedaun pokok yang ditiup bayu malam. Dan di sebalik dedaun pokok yang meliuk lentok, Faeeq bagai ternampak peristiwa lima tahun lalu. Dari jauh, dia melihat dirinya dipulas telinga sepanjang perjalanan balik ke rumah Mak Yah.

Wan Senah mengamuk sakan selepas dirinya nyaris menjadi sasaran mercun buatan sendiri. Kawan-kawan lain sempat melarikan diri, tinggal dia yang tak sempat berlari. Amukan Wan Senah bukan boleh dihentikan serta-merta. Selepas menghadiahkan penampar di depan Mak Yah, tiba giliran Mak Yah disembur berdas-das  oleh Wan Senah.

"Hang ajaq anak lagu mana ni, Yah? Malam raya ni, patut hang ajak depa bertakbir, sebut nama ALLAH banyak-banyak. Ini hang sibuk kat dapuq... anak, hang pi biaq cucuh meriam."

Mak Yah hanya membatukan diri. Barangkali tahu yang dirinya cuai, tetapi kesabaran dia ada batasnya. Apabila perihal arwah suami menjadi mainan, Mak Yah mula naik minyak.

"Nama arwah suami Yah, Mak Senah jangan buat main. Salah Yah, biarkan anak main kat luar rumah. Salah Faeeq, keluar main tanpa izin Yah. Mak Senah dah hukum, Yah terima. Mak Senah sembur Yah, pun Yah terima. Terima kasih banyak na. Tapi Mak Senah berlebih pula, kaitkan nama arwah suami Yah. Eloklah Mak Senah balik sebelum Yah pulak sembur Mak Senah malam raya ni." Suara garang Mak Yah masih terngiang-ngiang, malah jelas di telinganya.

Faeeq serik hendak bertindak nakal lagi. Di sekolah pun, nakalnya tidaklah sampai didenda guru. Paling kuat, dia menyakat pelajar perempuan terutamanya Umairah yang memikat hati. Sebarang perlanggaran disiplin, dia belum sudi hendak mencubanya kerana nama Mak Yah cukup dijaga.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.