Home Novel Cinta Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:13:23
579
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

HARI-HARI berlalu, sedang Umairah semakin hairan. Manakan tidak, Faeeq yang dahulunya cukup suka menyakat dan mencari pasal, tidak lagi menyakitkan hati seperti dulu. 

Setiap masa, dia tekun mengulang kaji pelajaran, sedangkan rakan-rakannya masih nakal seperti dulu. Umairah rasa kekurangan pada hari-hari akhir yang dilaluinya. Dia rasa kurang kerana tidak dapat marah-marah lagi seperti dulu, terutamanya kepada Faeeq. 

"Ada yang aku tak tahu berlaku ke masa aku tak ada seminggu, Zati?" tanya Umairah, ingin tahu.

"Apa yang berlaku? Tak ada apa-apa," tanya Izzati kembali.

Dia berasa aneh pula pada soalan teman baiknya itu, malah tidak dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Umairah. Namun, dia sempat menangkap lirikan seseorang. Tahulah Izzati, apa yang dimaksudkan Umairah. Dia bertanya akan perubahan sikap Faeeq yang serius.

"Maaflah Umai. Aku tak tahu pasal Paeeq. Maklumlah, asyik bertekak aje sebelum ni. Jadi, kalau ada hal aneh-aneh tu, aku diamkan aje. Malas nak bertanya."

"Selalu kan dia juara," tokok Umairah lagi. 

Izzati hanya menjongket bahu. Tidak tahu bagaimana lagi hendak memuaskan hati Umairah yang panasaran ingin tahu tentang Faeeq. Apakah mungkin Umairah menyukai Faeeq? Argh! Semoga tidaklah sampai ke situ.

"Apa kata kau tanya aje pada kawan-kawan dia."

"Hisy! Takkan aku nak tanya pada Apek pulak?"

"Tanya pada Bob," balas Izzati, tersengih.

Mereka berdua terus berbisik, tak sedar yang mata guru Bahasa Melayu, Puan Mawaddah melekat pada mereka. Bagi guru Bahasa Melayu merangkap guru Kelas 5 Gamma itu, saat-saat akhir sebelum peperiksaan bermula awal bulan depan seharusnya dimanfaatkan sebaiknya oleh para pelajar.

Dia melihat Izzati dan Umairah masih tidak fokus pada pelajaran. Hendak berleter, tak sampai hati kerana masing-masing meningkat usia remaja. Jika dibiarkan, kelas yang sunyi dengan aktiviti penulisan menjadi hingar dengan gelagat Umairah dan Izzati, tak kurang juga telatah dua tiga orang pelajar lain.

"Barangkali Umairah boleh berkongsi pendapat dengan rakan-rakan tentang perubatan tradisional seperti herba yang masih diamalkan oleh masyarakat kini." 

"Aaa... hmm..." Umairah kaget sebaik namanya disebut Puan Mawaddah.

Terasa darah merah membakar muka. Dia tahu, dia menjadi sasaran guru Bahasa Melayu kerana kelekaannya berbual dengan Izzati sebentar tadi. Rakan-rakan lain di belakang masing-masing sedang memberi perhatian. Mereka maklum akan sikap Puan Mawaddah yang tidak gemar para pelajarnya hilang fokus di dalam kelas. Adalah yang akan menjadi sasaran untuk berkongsi jawapan.

Faeeq tidak ketinggalan memberi perhatian. Dia sudah bersedia menyemak jawapannya. Manalah tahu, jawapan Umairah lebih bernas daripada jawapannya.

Apek yang duduk di meja hadapan berpaling ke arahnya.

"Pandang aku lama-lama, satgi hang pulak kena jawab soalan ketiga," ulas Faeeq, selamba. Dia tidak lagi memandang Apek.

"Umairah..." Nama Umairah disebut sekali lagi oleh Puan Mawaddah.

Umairah sudah berdiri, tetapi masih belum kedengaran sebarang bunyi daripada mulutnya. Sesungguhnya, Umairah berasa gugup menjawab soalan itu.

"Umairah ada sebarang pendapat?" tanya Puan Mawaddah, tidak sabar.

Jika diikutkan hati, mahu saja dibebeli Umairah sepuas hati. Namun, akal warasnya melarang dia melayan pelajar yang hampir menduduki peperiksaan dengan bebelan.

"Cikgu..." panggil Faeeq, mengangkat tangannya. Dia jatuh kasihan dan hendak membantu Umairah.

"Ya."

"Boleh saya kongsi pendapat saya tentang perubatan tradisional ni?"

"Ehem... ehem." Deheman nakal rakan-rakan baiknya kedengaran sebaik dia menyatakan usulnya.

"Silakan, Faeeq. Yang lain tolong beri perhatian, ya?"

"Terima kasih, cikgu. Saya berpendapat, perubatan herba masih diamalkan oleh masyarakat kerana kosnya yang lebih murah berbanding perubatan moden."

"Setuju." Suara Lan kedengaran mencelah.

"Ada pendapat lain?" tanya Puan Mawaddah lagi. 

Faeeq mengangguk dan mula mengangkat skrip jawapannya.

"Pengalaman sedia ada. Maksud saya, pengguna ada testimoni perubatan herba kerana pernah menggunakannya dan ia memberi kesan. Jadi, ia masih menjadi amalan."

"Setuju..." Apek pula menambah.

"Awak pula Muaz... takkan setuju saja? Tentu ada pendapat lain yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan.

Terima kasih, Faeeq," ujar Puan Mawaddah pula. 

Faeeq mengangguk sebelum duduk. Sebelum itu, sempat juga dia menghantar pandangan pada Umairah yang masih berdiri di barisan hujung sana.

"Saya ada satu, cikgu," jawab Apek atau nama sebenarnya Muhammad Muazzudin.

"Sila kongsikan."

"Perubatan herba mudah dicari. Kalau mengikut cerita Tuk Wali ni, cara mengenal jenis herba ada diajar. Individu hanya perlu masuk ke dalam hutan untuk mencarinya. Asalkan jangan sentuh pucuk muda, cukuplah. Sebab itu, ia masih diamalkan masyarakat sekarang," terang Apek akan pendapatnya. 

Selepas dia dibenarkan duduk, rakan-rakan bertepuk tangan, mengusiknya.

"Umairah, duduklah."

"Terima kasih, cikgu," ucap Umairah, malu-malu.

"Saya menyokong semua pendapat yang Faeeq dan Apek berikan sebab jawapannya relevan. Kenapa perubatan herba masih menjadi amalan, sedangkan perubatan moden ada, keluar saja duit dan bayar harganya, kita akan dapat perkhidmatan perubatan yang diperlukan. Tetapi..." komen Cikgu Mawaddah terhenti di situ. Dia cuba memberi penegasan tentang perubatan herba.

"Perubatan tradisional atau perubatan herba ni masih diusahakan bersebab. Tenaga pakarnya masih ada, malah ada yang mengusahakannya secara turun-temurun. Kedua, ia mudah didapati, bak kata Muaz. Kebanyakan pokok herba dikenali dari segi bentuk fizikalnya dan ia boleh didapati di hutan.

Selain memiliki kepakaran, individu yang mengusahakan perubatan tradisional sangat mengenali pokok-pokok herba ini dan mereka tahu di mana hendak mendapatkannya. Sebab itu, ia masih menjadi amalan. Yang ketiga, kos yang rendah. Faeeq juga betul. Individu yang mengusahakan perubatan herba ini tak perlukan modal banyak. Ramuan utamanya, pokok  herba yang boleh dipetik di dalam hutan. Berapa banyak kos yang boleh dijimatkan dengan perubatan tradisional ni, betul tak?"

"Betul," jawab seisi kelas.

Sebaik sahaja Puan Mawaddah menamatkan hujahnya, loceng berbunyi, menandakan waktu persekolahan telah pun tamat. Para pelajar berkemas untuk pulang ke rumah masing-masing.

"HANG jadi nak ikut along pi UK?" Suara Mak Yah terdengar memecah sepi.

Malam itu Faeeq masih berjaga. Dia mahu meneruskan ulang kaji memandangkan esok merupakan kertas terakhir bagi mata pelajaran English for Science and Technology. Selepas peperiksaaan ini tamat, maka berakhirlah kisahnya sebagai seorang pelajar. Kembaranya telah bermula dan perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan.

"Ceq tak taulah, mak. Separuh hati nak, separuh lagi duk ingat mak. Bimbang ceq nak tinggalkan mak."

"Tu dia... hang nak duk bawah ketiak mak sampai tua ka, Faeeq?" seloroh Mak Yah, dengan riak seriusnya.

Mereka bertiga telah bersembang panjang tentang hal ini. Keputusannya sahaja belum dimuktamadkan oleh Faeeq. Jika hal dirinya yang dikhuatirkan oleh Faeeq, maka dia akan membantu anak bongsunya membuat keputusan. 

"Dak la... Makan minum mak lagu mana kalau ceq ikut along. Sapa nak beli ikan kat mak? Mak nak semai benih padi, sapa nak tolong?"

"Aku sekeh hang satgi baru hang tau. Ingat hang tu pak aku ka, Faeeq?" marah Mak Yah.

Faeeq ketawa mengekeh. Dia tahu segala alasan diberi tidak boleh diterima oleh Mak Yah. Bermacam pelawaan telah diterima daripada rakan-rakan sekelas. Ada yang mengajaknya menjadi guru. Fuh... takkan jadi cikgu pulak? Dapat anak murid yang dua kali nakal daripada diri sendiri, haru! Tak kurang juga yang mengajaknya menjadi polis. Hahaha! Itu pelawaan paling kelakar pernah diterima. Semuanya telah dipertimbangkan dan ditolak mentah-mentah.

"Aku cakap hang gelak."

"Ya, mak! Bagi ceq habis SPM dulu."

"Esok kertas last hang, kan?"

"Uish mak... sejak along balik ni, mak cakap pun dah campuq. Orang putih dengan loghat utara. Kelas Kak Yah!" sakat Faeeq.

Dia melopong sebentar tadi. Sekelip mata, kosa kata bahasa Inggeris Mak Yah bertambah semenjak Firdaus pulang ke kampung bulan lepas. 

"Jangan hang berani nak mengumpat mak dengan along."

"Hahaha! Dak la, ceq tak berani mengumpat mak," balas Faeeq sehabis ketawa.

Mereka bersembang sekejap sebelum Mak Yah mengundur diri. Malam sebelum peperiksaan akhir. Bagaimana agaknya dirinya sepuluh tahun lagi? Di mana dia berada? Adakah dia sudah menyumbang bakti kepada Mak Yah yang telah banyak berkorban selepas arwah ayah meninggal dunia sepuluh tahun lalu?

Untuk tempoh terakhir ini, dia sudah berjuang untuk mendapatkan tiket terbaik bagi menyambung pelajaran. Namun, kesudahannya belum dapat dijangka. 

"Tiduqlah... cukup dah bekalan tu." Terdengar laungan di luar sebelum lampu dipadam.

Faeeq tersenyum sendiri. Dia menutup buku seperti yang dicadangkan along. Laju saja dia membaringkan tubuhnya ke atas tilam usang. 

"Sepuluh tahun lagi, jika aku berjaya menggapai awan, mampu membahagiakan emak, akan kupinang Umairah dengan bismillah," angannya sebelum menutup mata.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.