Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,305
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 2

Bab 2


“Kalau dah bodoh tu, bodoh jugak! Tak payah nak membelek, bukannya otak dungu kau boleh faham,” sindir Mirah sewaktu melihat Daeng menyelak helaian muka surat buku sekolah Elina yang ternganga atas tikar.

Daeng tidak membalas. Wajahnya kusam. Matanya kemerahan, bertakungan dengan air mata yang ditahan dari tertumpah ke pipi. Dadanya sebak, pedih menanggung bicara kasar Mirah yang langsung tidak mahu memandangnya ketika bercakap.

Dia umpama tunggul. Atau barangkali dinding. Kemahuannya tak pernah diambil kisah. Permintaannya selalu diperlekehkan. Mirah terlupa di mana kedudukannya sebagai seorang isteri. Tak tercium bau syurga bagi seorang isteri durhaka.

Tetapi Daeng masih mahu melupakan, memaafkan. Baginya, Mirah cinta pertama dan yang terakhir. Biarkan orang terus mengata. Hanya itu satu-satunya isterinya, wanita yang menyambung keturunannya. Dia tidak akan sesekali menaruh benci pada Mirah. Apa lagi untuk mendoakan balasan buruk buat isterinya itu.

Walau seburuk manapun Mirah, dia tetap ibu Elina, tetap isteri Daeng. Kerana Mirah, Daeng dapat merasa hidup berkeluarga. Dia dapat merasa ada anak kecil yang memanggilnya bapak, memimpin tangannya sewaktu berjalan. Bagi Daeng, Mirah manusia yang paling berjasa dalam hidupnya.

“Bapak,” panggil Elina yang memanjat naik ke atas rumah dengan kepala yang masih tersarung telekung.

“Ni lagi satu. Kecik-kecik dah tak reti nak duduk rumah. Bukannya nak menolong, menyusahkan orang lagi ada. Kau ke mana, Elina? Kau tau tak hari dah malam ni? Kalau apa-apa jadi pada kau, macam mana? Nak suruh aku terkejar ke sana sini cari kau?” soal Mirah.

Elina terdiam sekejap.

“Dah tak ada mulut nak jawab?” soal Mirah.

“Rumah Mak cik Suhaili, belajar mengaji,” jawab Elina sambil meletakkan mukadamnya atas susunan buku sekolah.

Muka Elina masam. Dia melabuhkan punggung di sebelah Daeng. Kepalanya dilabuhkan di atas riba Daeng.

“Bapak dah makan?” soal Elina.

Daeng tidak menjawab. Hanya tangannya yang mengusap ubun-ubun Elina. Mata Daeng tidak pernah jemu memandang wajah comel itu. Wajah yang membuatkan dia hilang penat selepas pulang dari ladang.

Elina memang mirip wajah arwah ibu Daeng, Nira. Wajahnya bujur dengan mata yang sedikit sepet. Rambutnya lurus tetapi melengkung sedikit di hujung. Bibirnya nipis. Kulitnya kuning langsat.

“Bapak tak lapar?” soal Elina lagi.

“Yang kau tanya dia kenapa? Kau ingat bapak kau tu boleh dengar? Boleh faham bahasa manusia? Dia tu bukannya cerdik! Tak pergi sekolah!” tempelak Mirah yang sedang duduk bersila sambil memunggah kain baju yang diangkat Daeng dari ampaian lewat petang tadi.

Pantas tangan Mirah menarik baju yang bertimbun yang belum dilipat Daeng ke tepi satu per satu. Dia mencari t-shirt merah kegemarannya.

“Mana pulak ni? Susah betul nak cari baju kalau dah bercampur macam ni,” bebel Mirah.

Daeng hanya memandang dengan pandangan sedih, kecewa. Hatinya menangis dalam diam.

Mirah bertubuh genit, berkulit cerah. Rambutnya beralun lembut, separas pinggang. Bibirnya merah merekah tanpa bersalut lipstick. Alis matanya lentik, menghias bentuk matanya yang bulat.

Memang tidak dinafikan, Mirah memang manis orangnya. Cuma mulutnya itu kekadang terlebih pedas, mengalahkan cili padi. Kalau dia menyindir, bahangnya semacam aliran lava.

“Nak marah pun tak guna. Bukan boleh dengar. Pekak!” ngomel Mirah.

“Siapa cakap bapak tak boleh dengar? Bapak dengar dengan ni, dengan hati,” jawab Elina sambil tersengih.

Tapak tangannya ditempatkan atas dada Daeng, pada kedudukan jantung bapanya. Dia mengira degup jantung bapanya yang laju, seakan-akan sedang berbicara dengannya. Kemudian, dia menguntum senyuman.

Daeng meletakkan tangan atas tapak tangan Elina. Kalau tadi dia terkilan dengan si isteri, kini dia kembang dada dengan kata-kata anaknya. Dia tahu Elina menyayanginya. Elina tak pernah membezakannya dengan ayah-ayah yang lain. Elina tak pernah mengungkit kekurangannya.

Mirah merengus geram.

“Kenapa bodoh sangat kau ni? Otak tu letak kat mana? Sia-sia aku sekolahkan kau! Mana jantung bapak kau tu boleh bercakap. Dah bapak kau tu bodoh, jangan kau nak jadi bodoh sekali,” sindir Mirah.

“Bapak tak bodoh!” bangkang Elina.

Mirah melemparkan jelingan, geram bercampur terkilan.

“Suka hati kaulah!” marah Mirah sambil melangkah ke dalam bilik dengan t-shirt merah yang baru dijumpainya.

Selang beberapa minit Mirah keluar semula.

“Mak nak pergi mana?” soal Elina. Dia memuncungkan bibir.

Mirah tidak menjawab.

“Mak nak keluar dengan pak cik yang bawa jip tu lagi ya?”

“Jangan sibuk!” tengking Mirah.

“Nanti mak pulang lewat lagi?” soal Elina.

“Aku cakap jangan menyibuk! Aku hantar pergi sekolah, bukan suruh kau belajar melawan cakap orang tua. Jangan sibuk urusan aku!” balas Mirah.

Elina terdiam.

“Mak suka marah,” cetus Elina.

Elina memandang raut wajah resah bapanya.

“Apalah mak ni...” keluhnya.

Elina tahu Daeng risau. Emaknya kerap benar keluar sejak kedatangan lelaki bandar itu ke sana. Ada saja alasannya. Elina tahu bapanya tidak suka emak keluar dengan lelaki itu. Lelaki mana yang suka kalau isterinya keluar dengan lelaki lain?

Sungguhpun bapa tak dapat mendengar umpatan orang, tetapi dia masih mempunyai maruah sebagai lelaki. Isterinya adalah maruahnya. Elina sendiri tak tahu apa yang dipandang sangat emak pada lelaki bandar itu.

Wajah lelaki bandar yang digilakan ibunya tidaklah sekacak mana. Rambutnya tercacak-cacak macam durian. Kasar pula lagaknya. Sekali pandang, Elina terus menyampah. Dia tahu lelaki memasang niat yang tidak baik. Lelaki itu langsung tidak bercakap dengannya sewaktu menjemput emaknya keluar pagi tadi.

“Mak tak sayang El. Mak tak nak El dah. Mak suka marah-marah kita,” cetus Elina sambil memuncungkan bibir.

Daeng menepuk-nepuk dadanya, memberi isyarat yang dia masih ada. Dia menyayangi Elina sepenuh hatinya. Sungguhpun tak ada yang mengeluarkan kenyataan ‘kasih bapa sampai ke syurga’ ataupun ‘syurga terletak di bawah kaki bapa’, kasih Daeng pada Elina bagaikan lautan yang tidak bertepi.

“Elina pun sayang bapak,” luah Elina. Dia menggosok matanya yang sudah mulai berair.

“Mak dah tak sayang kita, pak. Mak nak tinggal kita.”

Daeng menggelengkan kepala. Elina diangkat, didekatkan ke dadanya. Tubuh kecil anaknya dipeluk rapat-rapat. Air matanya gugur sama, menangisi nasib diri. Ya Tuhan, hanya doa yang mampu dipanjatkan. Dia tak punya suara untuk menasihati, menegur perbuatan isterinya. Seboleh-bolehnya Daeng tidak mahu berkasar. Dia tidak mahu mengangkat tangan, menghukum Mirah.

“Bapak janganlah nangis. Kalau bapak nangis nanti Elina nangis juga,” luah Elina sambil mengesak.

Daeng menahan sebak. Dia menelangkup tapak tangan ke mulutnya. Air matanya terus-terusan meleleh.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.