Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,305
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 15

Bab 15

Lima belas minit kemudian...


“Kau pergi buang dia. Aku tak mahu jadi kes polis kat sini. Kau tikam lepas tu kau buang kat mana-mana,” suruh Irman.

“Bawa sekali beg dia ni. Buang dalam hutan,” tambah Aneeta.

“Okay, bos,” balas salah seorang konco Irman, Rusdi.

Rusdi mengangkat Elina masuk ke dalam ruangan belakang Perodua Kembara hijau yang penuh calar-balar.

Rakannya, Mat, masuk ke ruangan pemandu. Dengan darah yang gemuruh, Mat menghidupkan enjin kereta dan membelok keluar dari perkarangan banglo yang terletak di atas bukit di kawasan Ampang.

“Kau okay?” soal Rusdi sewaktu melihat peluh memercik turun dari dahi Mat meskipun dia sudah menghidupkan aircond.

“Aku tak gamak, Di. Aku kesian. Budak ni muda lagi. Aku tak sanggup nak bunuh. Dia bukan orang jahat,” ungkit Mat.

“Tak payah bunuh pun mati jugak dia nanti,” balas Rusdi.

“Mana kau tau... Mungkin nyawa dia panjang,” ucap Mat. Tiba-tiba saja dia berfikiran positif. Tidak seperti kebiasaannya. Selalunya dia melakukan apa saja yang diperintah Irman tanpa sebarang kata dua.

“Aku yang bukan doktor ni pun taulah, Mat. Kau tengok berapa banyak darah dia dah habis. Aku rasa tak lama ni. Tulang pun confirm ada yang patah tu. Kita tinggal aje kat mana-mana jalan gelap yang orang tak lalu. Esok confirm habislah dia ni,” komen Rusdi tanpa memandang Elina di belakang.

“Tak payah tikam?” soal Mat.

Rusdi menggelengkan kepala.

“Kalau bawa ke hospital?” soal Mat.

“Kerja gila!” balas Rusdi.

Rusdi cuba mengeraskan hatinya untuk melaksanakan suruhan Irman. Sungguhpun dia ahli kongsi gelap, Rusdi tak dapat menafikan, ada secebis simpati yang mengocak ruangan hatinya terhadap gadis bernama Elina itu.

Selama Elina ada di situ, kerjanya hanya menangis, merayu minta dilepaskan. Katanya, dia mahu berjumpa dengan emaknya, Mirah. Dia tidak seperti ayam-ayam Irman yang lain yang tamakkan duit ringgit. Elina hanya mahukan kebebasan. Dia dipaksa masuk ke lembah hina itu tanpa kerelaan hatinya.

“Kita hantar ke hospital. Mana tau dia boleh hidup,” tambah Mat, mengharapkan Rusdi akan bersetuju dengan saranannya. Dia tak mahu Elina mati.

“Gila kau? Nak masuk lokap? Aku tak sanggup!” balas Rusdi.

“Habis, kau gamak nak biarkan dia mati katak macam ni aje? Kesian dia, Di,” soal Mat, mengharap.

“Mat, kalau kau tak sayang nyawa kau buatlah. Kalau tak ke lokap, silap-silap Irman parang kau dulu, masuk lubang kubur. Sebelum dia parang kepala kau dan aku, baik kita parangkan kepala perempuan ni,” balas Rusdi, menidakkan rasa simpati yang semakin membanjiri ruangan hatinya.

Rusdi memandang ke depan semula.

“Kita bakar nak?” soal Rusdi.

“Lepas tu apa? Kau nak tabur abu dia kat Sungai Gangga. Cubalah fikir pakai otak. Ni bukan India. Kau ingat orang tak sedar kalau kita bakar? Nanti tak pasal-pasal ada orang call bomba,” balas Mat.

Mat mengeluh sebelum menekan brek.

“Kau betul nak perempuan ni mati?” soal Mat.

Rusdi menjungkit kening. “Habis?”

“Kesian dia...” luah Mat.

Rusdi mengeluh sambil menampar dashboard kereta. Dia bersandar ke belakang semula, menongkat kepala dengan tangan kiri. Kemudian, dia menoleh, memandang Mat yang masih mengharap.

“Kita tak ada pilihan, Mat,” ucapnya.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.