Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,303
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 21

Bab 21

“Macam tu ceritanya,” cetus Adi setelah mendengar cerita yang baru disampaikan Zuhayr.

Lelaki itu memang teliti. Segala ceritanya disampaikan dengan terperinci termasuklah kehilangan kucing mamanya, kucing parsi montok yang bermata hijau bernama Dahlia. Adi dan rakan-rakannya mendengar dengan penuh minat.

Adi dan rakan-rakannya seakan-akan sedang menonton drama televisyen, membayangkan satu demi satu scene dalam fikiran masing-masing. Zuhayr punya intonasi yang menarik ketika bercerita. Dia pencerita yang baik.

“Jadi, sekarang aku pun tak tau macam mana. Pihak polis tengah tunggu laporan penuh dari pihak hospital. Pihak hospital ingat aku suami si Elina. Silap-silap hari bulan, aku boleh kena dakwa,” jelas Zuhayr, diakhiri dengan keluhan.

Mungkin dia patut mula merisaukan masa depannya pula sekarang. Di mana pula dia hendak mencari wang kalau dia disaman pihak hospital? Pasti masa depannya akan musnah. Barangkali dia takkan dapat meneruskan pengajian.

“Terima kasih, Hayr. Kalau kau tak buat macam tu, aku tak tau apa nasib Elina sekarang,” ucap Adi.

“Sebetulnya, aku buat macam tu sebab keadaan memaksa. Kalau tidak, aku dah chow,” luah Zuhayr.

“Nasib baik kau ikut jalan tu, Zuhayr. Kalau tidak, tak taulah apa akan jadi kat Elina,” sampuk Erol.

Ameer yang sejak tadi mendengar menganggukkan kepala, mengiyakan kata-kata temannya.

“Kau sendiri dah masuk tengok Elina tadi kan? Keadaan dia teruk. Mulut aje yang boleh bercakap. Nak gerakkan kepala pun tak boleh. Tangan berbalut. Kaki berbalut. Aku tak tahu macam mana nak jelaskan perkara sebenar pada dia. Walaupun aku tak kenal, tapi aku kesian,” luah Zuhayr, buntu.

Adi mengangguk.

“Terima kasih atas bantuan kau, Hayr. Tapi, cukuplah setakat ni. Aku dan kawan-kawan aku ada. Kami akan jaga Elina mulai sekarang. Kau baliklah berehat,” luah Adi, menyuarakan kesanggupannya untuk menjaga Elina.

Biar apapun yang terjadi, dia tidak akan sesekali meminggirkan gadis itu. Dia akan mengotakan janji yang dibuatnya dulu.

“Okay. Ni card mama aku,” luah Zuhayr sambil menghulurkan kad nama mamanya kepada Adi.

“Mama aku ada kawan yang uruskan badan amal untuk tolong orang susah. Kalau kau ada masalah untuk jelaskan bayaran hospital, kau boleh berhubung dengan dia. Pasal Elina yang ingat aku ni suami dia, boleh tak kau jelaskan keadaan sebenar selepas keadaan dia beransur pulih nanti?”

Adi mengangguk lagi.

“Terima kasih,” ucap Adi.

Dengan bertemankan sedikit rasa berat hati, Zuhayr melangkah meninggalkan hospital. Meninggalkan isteri palsunya dengan lelaki yang bernama Adi itu. Suami jenis apa dia? Entahlah.

Pokok pangkalnya sekarang, dia memang bukan suami Elina. Itu hakikatnya. Kalaupun dia mahu, kenyataan takkan berubah. Dia hanya lelaki yang berada pada tempat yang salah di masa yang salah.

Mungkin segalanya patut diakhiri di situ. Untuk apa dia berkorban untuk seseorang yang bukan darah dagingnya?

“Aku masuk tengok dia kejap. Tadi lepas Hayr keluar, doktor bagi dia ubat penenang. Dah lama ni, mungkin dia dah sedar,” luah Adi.

Daun pintu bilik yang menempatkan Elina dikuaknya. Dia melangkah masuk ke dalam, melihat Elina yang masih tertidur.

“Kesian kau, El. Lepas satu, satu masalah yang datang. Sejak kecil kau hidup susah. Dah besar pun, tak jua senang,” luah Adi.

Lama dia duduk di situ, menanti Elina sedar semula. Dek kerana terlalu letih, dia sendiri terlelap. Kepala Adi terlentok di sebelah bantal Elina dan berdengkur kuat. Selepas lebih 48 jam terjaga, baru kini dia dapat tidur dengan tenang. Alhamdulillah, Elina sudah berada di sampingnya.

“Aaaaa! Tolong! Tolong!” jerit Elina.

Tangan Elina yang masih berbalut diangkat. Dia menggunakannya untuk menolak kepala Adi ke tepi.

Adi yang terkejut terus terbangun dari kerusi. Dia yang masih mamai, terkaku di situ, memandang Elina.

“Tenang, El! Tenang!” pujuk Adi.

“Kau ni siapa? Macam mana kau boleh masuk dalam bilik aku, hah? Mana suami aku?” luah Elina.

Beberapa orang jururawat berlari masuk ke dalam setelah mendengar jeritan Elina. Salah seorang dari mereka menarik Adi keluar sementara yang lain cuba mententeramkan Elina.

* * * * * *

Setelah lama berjaga, Zuhayr terus tidur lena sebaik sahaja merebahkan kepala atas bantal busuknya. Dia tidur mengerekot macam tenggiling sambil memeluk selimut bercorak Doraemon. Jari ibunya dikulum ke dalam mulut bagaikan anak kecil.

Bunyi dengkurannya bergema di dalam bilik yang bersepah itu. Kain bajunya dilemparkan merata-rata atas lantai. Buku-bukunya ada yang ternganga atas lantai. Ada yang berselerak atas meja. Ada yang sedang menyorok di bawah baju-baju yang dicampaknya. Gitar elektriknya disandarkan dekat dinding.

“Hayr, Moon call!” jerit Sofia sambil memegang ganggang telefon.

Tapak tangan Sofia ditelengkup ke corongnya, takut kalau suara jeritannya didengari Munawarah. Nanti bingit pula telinga gadis itu.

“I’m not at home,” balas Zuhayr tanpa membuka matanya.

Sofia menggelengkan kepala.

“Sorry, dear. Aunty dah try kejutkan dia. Tapi, Zuhayr cakap dia tak ada kat rumah. Apa kata Moon call balik nanti. Lewat sikit ya,” balas Sofia kuat-kuat sehingga sampai ke gegendang telinga Zuhayr.

Mata Zuhayr terjegil. Dia terus melompat dari katil, berlari ke pintu. Daun pintunya dikuak dari dalam.

“Kenapa mama cakap kat Moon macam tu?” soal Zuhayr.

“Senang kan? Mama ada banyak lagi kerja lain dari jawab telefon untuk Hayr. Kejap Moon, kejap Haiza, kejap Sara. Pening tau tak? Tak boleh ke Hayr pilih seorang dan lepas tu kahwin terus, senang hidup mama. Keluarga kita ni bukan senang sangat, Hayr. Kita orang sederhana. Cuba jangan berlagak macam anak orang kaya, cari pasal sana sini. Mampu ke nak kahwin dengan semua sekali?”

“I’m eighteen, ma. Muda lagi. Takkanlah mama nak suruh Hayr kahwin sekarang?” soal Zuhayr.

“Orang dulu-dulu, 16 tahun dah kahwin tau?” ungkit Sofia.

“Iyalah. Hayr kan dah kahwin,” luah Zuhayr acuh tak acuh. Bebelan mamanya masuk ke telinga kanan, keluar semula melalui telinga kiri.

Dahi Sofia berkerut.

“Dah kahwin?” soal Sofia.

“A’ah. Dengan Elina kan? Budak kampung tu,” gurau Zuhayr sambil melangkah menuruni anak tangga.

“Kan lepas Hayr balik rumah tadi, Hayr cakap perkara tu dah selesai. Hayr cakap tadi, Hayr dah tak nak ada kena-mengena lagi dengan Elina. Hayr cakap dia menyusahkan hidup Hayr,” ungkit Sofia, mengungkit semula percakapan Zuhayr semasa pulang ke rumah dalam keadaan letih tadi.

Zuhayr terus naik tidur di biliknya selepas membebel pada Sofia. Makan pun tidak. Dia terus lena sehinggalah sekarang.

“Hayr gurau aje. Sejak bila pulak Hayr kahwin dengan dia. Memang Hayr dah tak nak ada kena-mengena lagi dengan kes dia tu. Menyusahkan. Kalau nak tolong pun, mungkin hubungkan dengan kawan mama yang uruskan dana bantu orang susah tu,” balas Zuhayr sebelum menguap.

Zuhayr mematikan langkah sekejap, berdiri atas anak tangga sambil memandang mamanya yang masih berada di atas.

“Hmm… mama dah agak dah. Mama tau anak mama ni kalau tolong orang pun hangat-hangat tahik ayam,” sindir Sofia.

Sofia menarik tirai tingkap berdekatan tangga.

“Sebab tu tadi masa si Adi tu call suruh Hayr ke sana, mama cakap Hayr dah tak nak ada kena mengena dengan kes tu.”

“What? Adi telefon? Kenapa? Bila? Ada yang tak kena dengan Elina ke?” soal Zuhayr, risau.

Zuhayr berlari naik ke atas semula, memandang mamanya.

“Kenapa mama tak beritahu Hayr?”

“Entah, mama tak tau apa dia nak. Lagipun, Hayr yang cakap tak nak tolong kan,” jawab Sofia sambil menuruni anak tangga lambat-lambat, sengaja membuatkan Zuhayr tak keruan.

Sofia tahu Zuhayr risaukan Elina. Kalau tidak tak mungkin dia berjaga di hospital kerana gadis yang tidak dikenalinya itu.

“Ma, I bergurau aje. Of course I care. Ni soal nyawa orang.”

Zuhayr berlari masuk ke dalam biliknya semula, mencapai kunci kereta dan kemudian berlari semula turun ke bawah, memintas ibunya yang belum sampai ke anak tangga paling bawah.

Sofia menggelengkan kepala apabila melihat anaknya yang terkocoh-kocoh meloloskan diri dari pintu depan.

“Take care, nak,” ucap Sofia.

Zuhayr masih terlalu muda. Darahnya mudah menggelegak. Masih banyak yang perlu dipelajari dalam hidup. Sofia hanya berdiri di takuk itu, melihat kereta anaknya lolos dari perkarangan rumah. Dia tahu Zuhayr akan belajar dari tiap pengalaman dan dia percaya mungkin pengalaman yang satu ini akan mematangkan Zuhayr.

Mungkin ini akan mengajar Zuhayr untuk melupakan pengalaman pahitnya yang dulu. Dengan melindungi Elina, mungkin Zuhayr akan memaafkan diri kerana tak mampu melindungi Suri. Barangkali ini peluangnya untuk menebus silap yang disangkakan berpunca darinya dulu. Pengalaman akan mengajar Zuhayr untuk menerima qada dan qadar TUHAN, dan mensyukuri segala yang pernah berlaku dalam hidupnya.

Pengalaman tak boleh diperoleh dengan cerita-cerita orang. Pengalaman seharusnya dicedok sendiri dalam hidup. Baik dan buruk punya rahmat sendiri. Bak kata orang, yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sofia risaukan Zuhayr tetapi dalam masa yang sama dia tahu dia sepatutnya membiarkan Zuhayr mencipta kematangan dari pengalaman sendiri.

Sofia akui, kehidupan yang diberikan kepada anak-anaknya tidak sempurna. Tetapi, mana ada hidup manusia yang sempurna. Kerana ketidaksempurnaan itu, dia belajar untuk menghargai hidup, belajar memandang jauh ke dasar dari permukaannya sahaja. Sofia berharap Zuhayr akan mengerti satu hari nanti, hidupnya tidak akan terhenti hanya kerna satu pengalaman pahit. What doesn’t kill you, always make you stronger.

Daun pintu depan terkuak lagi.

“Dah balik, Dan,” tegur Sofia.

Danial senyum. Matanya hanya memandang Sofia sekejap. Pandangan yang selalu dibanjiri dengan rasa bersalah. Dia melangkah masuk ke dalam bilik kecil di tingkat bawah, meninggalkan Sofia sendirian.

Hati Sofia kacau sekejap. Jauh dia berfikir. Ya, dia risau. Risau kalau Zuhayr tahu tentang ikatan antara dia dan Danial. Dia tak tahu apa reaksi Zuhayr nanti. Sofia duduk di sofa, termenung jauh. Dia harap rahsia itu takkan terbongkar sehinggalah Zuhayr benar-benar sudah bersedia untuk mengetahuinya.

* * * * * *


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.