Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,294
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 11

Bab 11

Mata Elina terjatuh pada paksi yang sama sejak tadi, menatap wajah Adi yang sedang bersila atas bangku buluh sambil menggenggam tali beg pakaiannya. Adi berkemeja lengan pendek warna hitam dan mengenakan jeans lusuhnya. Ada riak keresahan yang terlukis di wajah Adi. Resah kerna dia terpaksa pergi jauh, meninggalkan kawan baiknya sendirian di saat-saat genting itu.

Rambut Adi dicukur pendek, kira-kira 1 sentimeter panjangnya dari kulit kepala, menampakkan kepalanya yang bulat. Gaya rambutnya tak ubah seperti seorang pelatih di kem tentera. Hidungnya mancung. Mata besarnya dialasi dengan kening tebal, tampak comel dikaut dalam cermin mata yang berbingkai tebal. Tambahan pula apabila dia tersenyum, menampakkan deretan bracesnya.

“Kalau kau nak, aku boleh balik minggu depan. Aku tukar tiket flight. Skip kelas seminggu,” luah Adi.

Jelas dari riak wajah dan nada suara, Adi didodoi rasa bersalah untuk meninggalkan Elina sedangkan perbicaraan Benson belumpun selesai. Waktu itu waktu yang amat genting. Mereka akan ketahui keputusan makhamah hari ini, sama ada Benson didapati bersalah ataupun tidak. Kalau Benson dibebaskan, dia akan tetap perlu menghadap pandangan serong seluruh penghuni estate. Kalau dia dipenjarakan, Elina akan tertinggal sendirian di situ untuk satu tempoh yang panjang. Adi merasakan sepatutnya berada di situ, menemani Elina sewaktu keputusan perbicaraan dibacakan.

“Jangan, Adi. Aku tau kau tak pernah ponteng kelas. Kau baliklah. Aku okay. Dua minggu lagi Uncle Frederick balik ke Malaysia. Aku tau dia akan jenguk aku dan Uncle Benson di sini. Mungkin lepas keputusan perbicaraan dibacakan hari ni, Uncle Benson dah boleh balik,” balas Elina sambil memaksa diri menguntum senyuman, cuba berfikiran positif.

Sungguh, dia sepi tanpa Adi disisinya. Adi sahabat setianya. Adi selalu ada di situ apabila dia memerlukan teman bicara. Adi seorang lelaki yang sanggup memberi tanpa mengharapkan jasanya berbalas. Dia tidak akan menyimpan niat serong atau menyimpang dari maksud asalnya. Mungkin Adi tidak sekaya mana. Tetapi, hatinya tidak berjelaga dengan nawaitu jahat. Dia kaya dengan budi pekerti.

Bicara Adi tulus. Sifatnya telus. Tak pernah dia membiarkan nafsu mengawal pemikiran mindanya. Tindakannya dipagar oleh otak yang waras, yang cerdik menilai. Lelaki sebaik Adi hanya ada satu dalam seribu. Elina tahu dia beruntung kerana mempunyai kawan akrab sebaik Adi.

“Baiklah kalau kau dah cakap macam tu. Tapi, kalau kau perlukan aku, kau telefon ya, El,” pinta Adi.

Elina mengangguk.

Bunyi hon kenderaan pacuan empat roda mengejutkan mereka berdua. Adi bangun dengan beg pakaiannya. Sebelah tangannya menyeluk saku seluar jean longgarnya, mengeluarkan sehelai daun kering.

“Daun ni. Kau beri aku masa aku kena masuk asrama. Kau cakap boleh halau hantu. Kau tipu kan, El?” soal Adi.

Elina ketawa besar. Tak mampu mengawal rasa lucunya. Ingatannya pada Benson hilang sekejap.

“Kau tipu aku kan?” soal Adi sekali lagi.

Elina mengangguk.

“Sebab kau pengecut sangat. Kau tak mahu masuk asrama sebab takut hantu. Jadi, aku beri kau daun tu untuk tenteramkan kau,” luah Elina.

Adi tersenyum sambil menggelengkan kepala.

“Nah, ambillah balik daun kau,” balas Adi.

“Kau dah tak takut?” usik Elina.

Adi tersengih.

“Aku dah hafal Ayatul Kursi. Surah tu lagi power. Tak mainlah daun-daun ni. Ni semua boleh jadi khurafat nanti. Aku bukan budak hingusan lagi nak percaya benda-benda karut. Aku ada ALLAH,” balas Adi, berani.

“Habis, kenapa tak buang?” soal Elina.

“Hadiah kawan baik aku. Mana boleh buang,” balas Adi.

Elina tersenyum simpul. Daun tadi diambilnya dari Adi.

“Tak sangka kau simpan lagi,” ucap Elina.

Daun itu dipegang Elina antara jari ibu dan telunjuk tangan kanan, diperhatikan dari dekat. Sudah kering daun itu, sudah coklat. Ada bahagiannya yang sudah terkoyak atau barangkali mereput sendiri.

Elina tidak tahu di mana Adi menyimpannya selama ini. Sangkanya daun itu sudah lama hilang dari simpanan Adi. Atau mungkin dibuang sahaja selepas membiasakan diri dengan suasana asrama.

“Itu tandanya aku sayang sangat kat kau. Sebab tu aku simpan…” luah Adi, membalas senyuman Elina.

“Jadi, kau tu jangan ingat tak ada orang sayangkan kau lagi, Elina. Aku selalu sayang kau. Dulu, sekarang dan di masa depan nanti.”

Bunyi hon kedengaran lagi. Kedengaran pula suara bapa Adi, Rafiq memanggil sambil melambaikan tangan, takut mereka lewat tiba di airport nanti. Adi menoleh sekejap. Kemudian, dia menoleh semula kepada Elina dengan wajah yang tenang, seakan-akan tidak risau seandainya tertinggal kapal terbang yang sepatutnya dinaikinya nanti.

“Kau sayang aku kan, El?” soal Adi.

Elina mengangguk.

“Jadi, janji dengan aku, jangan sesekali berputus asa dalam hidup. Tak kira apa pun yang jadi, kau mesti terus hidup. Bukan untuk aku atau Benson tapi untuk kau sendiri, El,” pinta Adi.

Elina mengangguk sekali lagi. Air matanya mahu merembes keluar tetapi ditahan. Anak matanya mengekori langkah Adi sampai lelaki itu melangkah masuk ke dalam kereta. Rafiq menekan hon sekali sambil melambai sebagai ucapan selamat tinggal buat Elina.

Sekali lagi, Elina memaksa diri menguntum senyuman.

Kaki Elina melangkah ke depan, menginjak lebih dekat dengan kenderaan yang sedang bergerak itu meskipun dia tahu dia takkan mampu mengejarnya jauh. Semakin lama, ia semakin menghilang. Elina hanya mampu memandang.

Meskipun berat untuk hati merelai pemergian sahabat karibnya itu, langkahnya dihayunkan jua, meninggalkan bangku buluh tempat dia dan Adi duduk berbual tadi. Enjin motorsikal dihidupkan segera. Dia perlu ke Makhamah Tinggi Tawau, menanti makhamah bersidang kembali. Fikiran Elina kembali semula kepada nasib yang bakal menimpa Benson kelak. Semuanya bergantung kepada keputusan yang akan dibacakan sidang juri.

Selamatkah Benson nanti? Elina tidak tahu. Hatinya kecilnya tidak henti-henti berdoa, mengharapkan tuduhan yang dijatuhkan ke atas Benson digugurkan. Tetapi menurut peguam yang mewakili ayah saudaranya, harapan Benson tipis. Dia memandu dengan lesen yang sudah mati, road tax dan insurance yang tidak dihidupkan sejak bertahun-tahun yang lalu. Tambah menyulitkan, dia memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kalaupun Benson terlepas dari hukuman makhamah, adakah dia mampu berhadapan dengan hukuman di luar makhamah. Pasti ramai yang memandang serong padanya. Pasti ramai yang membenci dan marah dengan perbuatannya. Silapnya bukan silap kecil. Dia telah menyebabkan kematian Ustaz Idrus, lelaki yang disegani di kawasan ladang mereka. Lelaki tabligh yang sanggup berpindah ke sana untuk berdakwah.

Elina memilih untuk memakir motorsikalnya di kawasan luar makhamah. Dia berjalan masuk perlahan-lahan, melalui denai lurus yang dipagar dengan bunga jarum merah di kiri dan kanan. Lututnya yang terasa longgar dan mahu tercabut digagahkan jua. Jantung berdegup kencang, sekencang Taufan Sandy yang menyapu bersih bangunan-bangunan di kota New York.

Jam berdetik pukul 8.55 minit pagi sewaktu dia melangkah masuk ke dalam perbicaraan terbuka yang melibatkan lelaki yang sudah banyak melimpahkan jasa ke dalam hidupnya.

Elina duduk di bangku yang kedua. Dia bangun sekejap sewaktu ketibaan hakim dan kemudian duduk semula sehinggalah ke penghujung. Segala yang berlaku di sekitarnya bagaikan berputar pantas. Sebelum sempat dia memahami dan memproses data dan datum yang dilemparkan di depannya satu-persatu, ia sudah hamper ke penghujung. Dia hanya duduk di bangku sejak bermulanya perbicaraan Benson.

“…Di bawah seksyen 44, memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan kematian, makhamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun lapan bulan dan denda RM15,000 ke atas kamu...”

Semua yang berlalu terlalu pantas. Terlalu cepat untuk dicerna Elina. Dia hanya duduk di situ, terkebil-kebil tanpa suara apabila keputusan perbicaraan dibacakan. Tak ada suara yang mampu terlontar dari anak tekaknya.

Penjara? Tujuh tahun lapan bulan?

Tangan Elina terketar. Seluruh tubuhnya bagai direnjat elektrik. Dia menoleh ke tepi, mencari kelibat Adi, mengharapkan Adi akan meluahkan sesuatu untuk menenangkan dirinya. Tetapi, tidak. Dia terlupa. Adi tidak ada bersamanya. Dia buntu, takut dan kalut. Apa yang harus dilakukan sekarang?

Elina terpaksa kembali sendiri, ke rumah mereka yang kosong. Rumah yang tiada penghuni melainkan dia. Tiada bapak, emak dan Uncle Benson. Apa lagi yang tinggal untuknya? Ia perasaan yang sama yang dirasakan suatu ketika dulu, di bawah langit kelam, belaian angin dingin dan suara kecilnya menyanyikan lagu Bunga Matahari. Dia merasa keseorangan seperti sewaktu dia memangku kepala Daeng sewaktu bapanya tak lagi bernyawa.

“Uncle Benson,” teriak Elina sewaktu melari Benson dibawa keluar dari kandang pesalah dengan tangan yang bergari.

Benson diapit dua orang pegawai polis. Namun, dia berdaya jua untuk meloloskan diri untuk memeluk anak buahnya.

“Uncle,” panggil Elina.

Lutut yang lemah digagahi lagi, mengikut langkahan kaki Benson. Seorang lagi pegawai polis maju ke depan, menghalang langkahnya. Dia tidak diizinkan untuk berdiri dekat dengan Benson.

“Aku minta maaf, Elina. Aku minta maaf,” luah Benson.

“Uncle!” panggil Elina sewaktu tubuh Benson ditolak masuk ke dalam ruangan belakang kereta polis. Dia menggelengkan kepalanya, tidak rela mereka menjauhkan dia dari lelaki yang menjaga dan menyayanginya umpama seorang ayah kandung. Benson telah mengorbankan segalanya untuk Elina.

“Aku sayang kau, El. Jaga diri!” pesan Benson sebelum daun pintu belakang kereta polis ditolak.

“Uncle...” tangis Elina.

Kelibat Benson menghilang, membuatkan dia berasa semakin kosong. Dia memandang kiri dan kanan, merasakan bagaikan ada berjuta jari yang dituding kepadanya, menyalahkan dia atas kematian Idrus. Dia punca kemarahan Benson. Dia yang membuatkan Benson tertekan sehingga sanggup meneguk minuman syaitan. Kalau dia tidak menyalahkan Benson, semua itu takkan berlaku.

“Ya Allah,” ucap Elina. Dia berlari keluar, melalui denai tadi, menuju ke motorsikal yang dipakir tadi. Dia terus menghidupkan enjin.

* * * * * *


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.