Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
49,690
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

SETENGAH jam sebelum tamat waktu persekolahan, Remy mendekati Diza. Gadis itu sedang sibuk memasukkan buku persediaan mengajar ke dalam beg. Nampak kelam kabut saja.

“You dah nak balik ke?” Remy berdiri di tepi meja Diza. Matanya ralit merauti wajah pujaan hatinya.

“Ha’ah... I ada meeting kejap lagi,” jawab Diza tanpa memandang Remy. Pencil case disumbat ke dalam beg. Hari ini dia sudah meminta kebenaran daripada guru besar untuk pulang awal kerana mahu menghadiri mesyuarat di Pejabat Pelajaran Daerah yang terletak di Kajang.

Meeting kat mana?” Remy buat-buat tanya. Dia sudah tahu Diza ada mesyuarat di Pejabat Pelajaran Daerah. Semua butiran tentang guru-guru yang perlu menghadiri mesyuarat di luar sekolah ada tertulis di papan kenyataan di dalam pejabat. Dia sengaja bertanya begitu untuk membuka peluang berbicara dengan Diza.

“Kat PPD.” Diza memandang sekilas wajah kacak yang berdiri tidak jauh darinya. Bergetar rasa jantungnya menatap wajah bersih Remy.

Memang betul cakap Daim. Cikgu Remynya itu memang ada iras-iras Remy Ishak, pelakon popular drama Nur Kasih. Namanya pun sama.

Meeting pasal apa tu?” tanya Remy lagi.

“Program untuk murid-murid Tahun 6 yang gagal Matematik,” terang Diza sambil lewa. Dia tidak punya banyak masa untuk bersembang lama-lama dengan Remy. Dia kena bergerak segera jika tidak mahu terlewat menghadiri mesyuarat yang akan bermula pukul 2.00 petang. Balik nanti dia terpaksa menghantar Daim pulang ke rumah. Selepas bersolat zuhur baru dia bergerak ke PPD.

Nampaknya hari ini Daim terpaksa ponteng sekolah agama kerana tidak ada sesiapa yang boleh diharapkan untuk menghantar dan mengambil Daim pulang. Waktu persekolahan sekolah agama untuk murid-murid Tahun 6 bermula pada pukul 3.30 petang. Selalunya kalau Diza ada mesyuarat, Daim akan ponteng sekolah agama.

“Daim macam mana? You nak hantar Daim balik dulu?” Ramah mulut Remy bertanyakan Diza.

“Yalah... Takkan dia nak ikut I pergi meeting.” Diza ketawa kecil. Manja saja bunyinya.

Bergetar jantung Remy mendengarnya. “Tak lewat ke kalau you hantar dia balik rumah dulu?” tanya Remy dengan degupan jantung yang masih bergerak sepantas roket.

“Terpaksalah, Remy. Siapa nak hantar dia? Sekolah agama pun dia kena ponteng hari ni,” keluh Diza sambil mengangkat beg.

Diza sebenarnya tidak suka Daim ponteng sekolah agama. Baginya, bersekolah agama sama pentingnya dengan bersekolah kebangsaan. Tetapi, hendak buat macam mana? Daim hanya ada dirinya untuk bergantung hidup.

“Kenapa pulak kena ponteng sekolah agama?” Remy tidak faham.

“I tak boleh hantar dia. Meeting I pukul 2.00. Dia mula sekolah agama pukul 3.30 petang. Macam mana I nak hantar?”

“Kalau macam tu, biar dia balik dengan I ajelah. Nanti I hantar dia pergi sekolah agama.” Remy menawarkan diri.

Terkejut sedikit Diza mendengarnya. Tidak percaya Remy sanggup bersusah-payah untuknya.

“You nak hantar? Eh, tak payahlah. Susahkan you aje,” tolak Diza Tidak mahu menyusahkan Remy. Lagi pun dia tidak mahu Remy singgah dan melihat keadaan rumahnya. Jika Remy sekadar duduk di ruang tamu, tidak mengapa lagi. Ruang tamu rumahnya sentiasa dalam keadaan kemas. Cuba kalau Remy jengah ke bilik Daim yang macam tongkang pecah. Agaknya pengsan Remy nanti!

“Apa salahnya, Diz? Tak elok kalau Daim ponteng. Sekolah agama tu pun penting, malah lebih penting sebenarnya. Lagipun, balik nanti I tak ada buat apa pun. Apa salahnya I cari pahala dengan menolong you?” Suara Remy lembut memujuk Diza menerima pertolongannya.

“Dia dah selalu ponteng sekolah agama. Bila I ada meeting kat luar macam ni, dia selalu ponteng.”

“Hmm… tak elok tu. You nak suruh Daim cari ilmu dunia aje ke? Habis macam mana dengan ilmu akhirat?” Remy tersenyum mengusik Diza. Sempat lagi dia kenakan Diza dengan pertanyaan tidak bertapisnya. Bila melihat muka Diza memerah, senyuman Remy kian melebar.

“I bukannya sengaja. Dah terpaksa. I tak ada pilihan.” Suara Diza bagaikan berat mahu keluar. Malu dia dengan Remy. Bimbang disangka tidak menitik beratkan nilai-nilai agama dalam diri adiknya sendiri. Walhal bukan begitu sebenarnya. Selama ini dia cukup ketat mengawasi Daim dalam hal-hal agama terutama dalam bab sembahyang dan puasa. Siapa lagi yang patut menegur dan menasihati Daim kalau bukan dia?

Dia masih ingat pesanan emak. Emak selalu berpesan agar menjaga Daim betul-betul. Tengokkan solat dan puasanya. Jangan biarkan Daim tersesat tanpa arah tujuan. Kawal dengan siapa Daim berkawan. Emak tidak mahu Daim hilang arah hidup kerana tersilap memilih kawan. Beri Daim ilmu secukupnya, ilmu dunia dan akhirat agar seimbang hidupnya. Agar bila dewasa kelak, Daim bijak memilih apa yang terbaik untuk dirinya sendiri. Begitulah pesanan emak.

“Sekarang you ada pilihankan, Diz? Biar I hantar dia balik, ya? You jangan risaulah. I tak akan buat apa-apa yang tak elok pada adik kesayangan you tu. Malah I akan jaga dia macam adik I sendiri.” Lembut benar suara Remy. Selembut renungannya yang memanah tepat ke wajah Diza. Mengepung anak mata Diza sehinggakan gadis itu berasa serba tidak kena dibuatnya.

“Kalau macam tu, okeylah. Nanti sebelum balik, I beritahu Daim suruh balik dengan you,” putus Diza sambil melarikan mata daripada wajah Remy. Bimbang jika terlalu lama pandangan mereka terikat, dia akan terjatuh hati pada guru muda yang punya ramai peminat di sekolah.

“Okey,” jawab Remy. Dia mengangguk.

“I pergi dulu.” Diza terus angkat beg tanpa memandang lagi muka Remy.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.