SETENGAH jam kemudian, Remy tiba di apartmen kos rendah tempat
Diza tinggal. Terus dia menapak menaiki anak-anak tangga ke tingkat tiga.
Terdengar suara lelaki memberi salam, Diza yang sedang sibuk di
dapur pantas mengarahkan Daim membuka pintu.
Tersenyum manis Daim bila terpandangkan Remy di muka pintu.
“Masuklah, cikgu,” pelawanya seraya membuka daun pintu lebar-lebar.
“Tak apalah, Daim. Saya tunggu kat luar aje,” tolak Remy. Biarpun
begitu, sempat lagi matanya melilau ke dalam mencari kelibat seseorang.
“Along ada kat dapur, tengah mengemas. Cikgu dah sarapan? Kalau
belum masuklah, sarapan dulu. Pagi ni along masak mihun goreng. Sedap. Rugi tau
kalau cikgu tak rasa,” goda Daim. Dia tersenyum-senyum di muka pintu memandang
Remy. Macam tahu-tahu saja siapa yang ditinjau cikgunya itu.
“Tak apa ke kalau saya masuk?” Remy rasa serba salah. Risau pula
dia kalau Diza tidak sudi mengajaknya masuk. Datangnya ke sini pun tidak
disambut Diza.
“Eh, apa salahnya, cikgu? Masuklah. Nanti saya panggil along.”
Daim ke dapur mendapatkan Diza. Sejurus kemudian, Diza muncul bersama Daim di
belakangnya.
“Masuklah dulu, Remy. Maafkan I tak jemput you masuk tadi. I
sibuk kat dapur,” kata Diza sambil memandang wajah Remy. ‘Tampan sangat dia
hari ini,’ bisik hatinya. Dengan berseluar jeans hitam dan berkemeja
biru muda yang dilipat lengannya hingga ke siku, Remy kelihatan jauh berbeza
daripada penampilan biasanya sewaktu di sekolah.
Biarpun hati masih dihambat rasa serba-salah, Remy melangkah juga
ke dalam kerana tidak mahu mengecewakan tuan rumah.
“You dah sarapan?” Diza mengulang pertanyaan Daim tadi. Sekadar
berbasa-basi. Tidak sedap hati jika tidak bermanis mulut dengan tetamu yang
bertandang ke rumah.
“Err... belum.” Teragak-agak Remy menjawab. Malu tetapi mahu
sebenarnya. Dia memang belum menjamah apa-apa. Datangnya tadi hanya sempat
meneguk air suam. Dia bercadang mahu mengajak Daim bersarapan di gerai makan
dulu sebelum mula mengajar.
“Kalau macam tu sarapanlah dulu kat sini. I masak mihun goreng
aje. Entah apa rasanya,” kata Diza merendah diri. Dia yang jarang-jarang ke
dapur, malu mempamerkan skil memasaknya depan Remy. Takut gagal di tekak anak
muda itu.
“Dah pakai macam chef hotel ni, tentu rasanya pun setanding
masakan hotel,” usik Remy.
Tergelak Diza mendengarnya. “Nak tahu setanding ke tidak, kena
rasa dulu. I takut you baru rasa sesudu terus reject,” balas Diza sambil
menarik kerusi menyuruh Remy duduk. Pinggan kosong dicapai. Dia menyendukkan
juadah sarapan pagi ke dalam pinggan Remy dan diletakkan di hadapan pemuda itu.
“Kalau macam tu, you jadi ajelah chef kat kedai mamak. Masak tak
berapa sedap pun orang tetap makan. I pun hari-hari boleh rasa masakan you.”
Kian galak Remy mengusik bila Diza ramah melayannya.
“Kalau dah hari-hari makan you tak jemu ke?” usik Diza. Air kopi
yang masih berasap nipis dituang ke dalam cawan dan diletakkan bersebelahan
pinggan mihun goreng.
“Tak, kalau you yang masak,” jawab Remy tenang, dengan mata tepat
merenung ke anak mata Diza. Mendalam maksud kata-kata itu. Bagaikan menyampaikan
hasrat hati yang mahukan Diza menjadi tukang masaknya seumur hidup. Namun, hati
diulit rawan melihat gadis idaman hanya tersenyum tanpa membalas apa-apa.
Lantas, dia tunduk menjamah juadah air tangan Diza bagi menyembunyikan gelodak
rasanya.
“Macam mana?” Diza pantas bertanya bila melihat Remy diam.
Khusyuk menyuap mihun goreng ke dalam mulutnya.
“Passed.” Remy mengangkat ibu jari kanan menunjukkan
isyarat bagus, tanda Diza sudah lulus.
Diza ketawa. Bukan suka sangat mendengar pujian Remy tetapi lucu
melihat cara pemuda itu menjamah mihun. Langsung tidak mengangkat kepala. Macam
tidak pernah berjumpa mihun goreng saja gayanya.
HABIS bersarapan, Remy duduk di ruang tamu menanti Daim yang
sedari tadi tidak nampak muka. Ketika Remy sedang bersarapan tadi, Daim masuk
ke bilik. Katanya mahu bersiap. Sampai sekarang Daim belum keluar.
“Im buat apa lama sangat?” Sebaik melihat Daim, Diza yang tidak
selesa duduk melayan Remy, terus bertanya.
“Im bersiap,” kata Daim selamba.
“Bersiap apanya, lama sangat?” sungut Diza tidak puas hati. Bibir
yang memuncung terus terlopong memandang penampilan Daim. Amboi, mak! Kacaknya
dia dengan jeans dan T-shirt berkolarnya. Harum semerbak. Entah
berapa botol minyak wangi yang disembur ke badan. Ini nak ke kelas tuisyen atau
menonton wayang? Diza berdetik dalam hati.
“Lawa sangat ni. Ya ke Im nak pergi tuisyen? Entah-entah nak
pergi tengok wayang tak?” risik Diza dengan mata bulat memandang Daim.
Daim dan Remy ketawa serentak. Mereka saling berpandangan sambil
Remy mengangkat kening memandang Daim. Seperti ada rahsia di antara mereka yang
disembunyikan daripada pengetahuan Diza.
Tajam mata Diza merenung Daim sambil sesekali lirik matanya
menujah ke muka Remy, menanti penjelasan.
“Pandailah you teka.” Remy menyambung gelak. “Macam ni,
sebenarnya I nak minta izin you. Lepas Daim habis belajar nanti, I nak ajak dia
temankan I tengok wayang. Kami nak tengok Iron Man 3. Boleh ke, Diz?” Remy
meminta izin Diza dengan senyuman masih di bibir.
Tengok wayang? Detik Diza
tidak percaya. Ditenungnya muka Daim tanpa berkedip mata kerana geramkan
adiknya. Betullah perangai Daim sekarang sudah berganjak dari paksinya.
Kakaknya sekarang bukan lagi pakar rujuknya dalam segala hal. Tugas itu sedikit
demi sedikit sudah diambil alih Remy. Diza diam. Berfikir dan
menimbang-nimbang. Dia mahu menolak kerana tidak mahu Daim menjadi terlalu
rapat dengan Remy. Tetapi, melihat wajah Daim yang terlalu mengharap, dia tidak
sampai hati mahu membantah.
“Alah... bolehlah, along. Asyik belajar aje. Sesekali bagilah Im
peluang tengok dunia luar. Along pun bukannya ada masa sangat nak bawak Im
keluar. Asyik terperap dalam rumah aje. Boringlah.” Daim buat muka layu.
Betul juga kata Daim. Diza tidak ada masa untuk Daim. Dia memang
jarang-jarang mengajak Daim keluar berjalan-jalan di bandar kerana dia sendiri
bukanlah orang yang suka merayap ke sana ke mari tanpa tujuan. Rasanya tidak
adil baginya untuk menghalang Daim daripada menikmati kehidupan yang penuh
warna-warni sementelah Daim masih remaja. Hidup Daim masih terlalu panjang. Ada
banyak perkara tentang kehidupan yang patut Daim pelajari di luar sana.
Mengurung Daim di rumah, memang bukan tindakan yang bijak.
“Im boleh keluar dengan syarat balik nanti siapkan semua homework.
Along tak mahu dengar cikgu-cikgu bising cakap Im tak siap homework,”
ugut Diza sekaligus memberi kata dua untuk Daim.
“Jangan risaulah, along. Im dah siapkan semuanya malam tadi.”
Pantas Daim membalas seraya tersenyum.
Remy yang mendengar kata-kata Daim, ketawa. “So, tak ada problem
lagi ya, Diz? Boleh kami berdua bergerak sekarang?” pohon Remy sopan. Dia
tersenyum lebar menatap wajah gadis yang sudah masam-masam kelat.
Diza mengangguk kerana sudah putus modalnya hendak membantah.