Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
48,858
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

“PAK LONG dah balik!” Sebaik mencecah kaki ke dalam rumah, Syahrin Haiqal terus diterpa Fazreen dan Zureen, cahaya mata kembar bukan seiras, milik adiknya, Maizura.

“Hero dengan heroin pak long ni tak tidur lagi?” Syahrin ketawa. Dicempungnya si kembar berusia empat tahun itu dengan kedua belah tangan dan bibir dilarikan di kedua belah pipi mereka. Diciumnya pipi mereka bertalu-talu secara bergilir-gilir.

Kembar berdua itu ketawa mengekek bila pak cik yang disayangi mengangkat mereka tinggi-tinggi kemudian menghayun tubuh kecil mereka laju-laju.

“Laju lagi, pak long,” rengek Fazreen.

“Yalah… laju lagi pak long,” sambut Zureen pula.

“Laju macam ni?” Semakin besar tawa Syahrin. Tubuh kedua anak saudaranya dihayun selaju mungkin bagaikan menghayun buaian di taman permainan kanak-kanak.

Fazreen dan Zureen ketawa mengekek dengan mata terpejam-pejam. Hati terasa seram sejuk dihayun tinggi-tinggi tetapi seronok.

“Dahlah, kita berhenti. Pak long penatlah,” keluh Syahrin. Hayunannya semakin perlahan dan akhirnya terhenti. Tubuh kedua beradik kembar itu diletakkan di atas lantai.

“Kenapalah pak long cepat sangat berhenti? Seronoklah main tadi. Kita main lagi nak pak long?” rayu Zureen.

“Pak long penatlah. Esok kita main lagi ya? Sekarang masa untuk tidur. Dah pergi tidur.” Lembut Syahrin mengarah anak saudaranya dengan tangan mengusap kepala Zureen.

“Alah… pak long ni,” rajuk Zureen dengan muka mencerut geram. Rambut panjangnya yang diikat dua berhayun ke kiri dan kanan bila dia menggelengkan kepala tanda memprotes arahan pak ciknya.

“Pak long memang penatlah, kakak. Pak long kan baru balik kerja?” Fazreen memujuk kakak kembarnya. Dia yang lahir lewat lima minit daripada kakaknya, lebih memahami dan lebih cepat matang dari Zureen.

“Hah… betul tu. Pandai, Faz,” Syahrin ketawa mendengar kata-kata Fazreen. Pipi anak saudara lelakinya dicubit mesra. Zureen pula mencebik muka tidak puas hati melihat pak cik kesayangannya melebihkan si adik.

Di atas tangga, Puan Lisa beriringan dengan suaminya Encik Sharifudin melangkah turun dari tingkat atas rumah batu dua tingkat itu. Afiq Husaini, abang sulung kepada Fazreen dan Zureen mengekori di belakang atuk dan neneknya. Tersenyum manis Puan Lisa memandang muka anak bujang kesayangannya.

“Syah baru balik?” tanya Puan Lisa.

“Ya, ma. Baru kejap.” Syahrin longgarkan ikatan tali lehernya. Tangannya sempat mengisar rambut Afiq yang terpacak macam duri landak, bila anak saudaranya itu lalu di sebelahnya.

Memuncung Afiq dibuat pak ciknya macam budak-budak berumur lima tahun. Sedangkan dia sudah pun berusia sepuluh tahun.

“Afiq pun tak tidur lagi. Patutlah adik-adiknya pun mengikut sama tidur lewat.” Syahrin menegur perangai Afiq yang selalu benar tidur lewat.

“Alah... rilekslah, pak long. Esok kan cuti,” jawab Afiq selamba.

Tersenyum Syahrin mendengar jawapan anak saudaranya. Sejak berumur tujuh tahun lagi, Afiq tinggal sebumbung dengan neneknya. Mama yang mengajak cucu sulungnya itu tinggal bersama buat teman berboraknya. Hubungan Syahrin dengan Afiq agak rapat. Sebab itu kadang-kadang Afiq tidak begitu ambil kisah dengan teguran Syahrin. Pak ciknya itu nampak sahaja tegas tetapi sebenarnya berjiwa lembut dan seorang penyayang.

“Dah lama Zura dengan Akmal sampai, ma?” tanya Syahrin yang sudah beberapa bulan tidak bertemu adik keduanya, Maizura.

Maizura tidak tinggal bersama mereka. Sejak berkeluarga, Maizura terus berpindah ke Johor Bahru dan menetap di sana kerana mengikut suaminya, Nik Akmal yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Maizura juga seorang pensyarah di sana. Dia dan Nik Akmal bertemu jodoh ketika mengajar di universiti yang sama.

“Mereka sampai petang tadi,” jawab Puan Lisa.

“Faz dengan Reen pergi main sana ya? Jangan kacau pak long. Pak long kamu ni penat.” Puan Lisa mengarahkan cucu-cucunya ke ruang kecil bersebelahan dengan ruang tamu. Ruang khas yang dijadikan tempat anak-anak kecil itu bermain. Dia lemas melihat mereka asyik bergantung di lengan Syahrin.

Mendengar suara nenek yang tegas, Fazreen dan Zureen tidak tunggu lagi, terus mencicit lari ke ruang kecil yang memang dikhaskan untuk mereka bermain dan menyepahkan barang-barang permainan.

“Afiq, pergi temankan adik-adik,” arah Puan Lisa.

Afiq Husaini yang baru hendak duduk terus melangkah mendapatkan adik-adiknya.

Puan Lisa berjalan beriringan dengan suaminya ke ruang tamu dan merebahkan punggung di sofa panjang. Suaminya menurut.

Encik Sharifudin mencapai akhbar di atas meja. Dibelek-beleknya dari muka hadapan ke muka belakang mencari topik yang menarik minatnya. Dia yang punya sebuah firma guaman di Putrajaya, tidak punya banyak waktu untuk membaca akhbar kerana sebahagian besar masanya diperuntukkan untuk menyelesaikan tugas-tugasnya. Waktu malam beginilah, baru dia punya waktu untuk merehatkan fikiran dan bersantai dengan ahli keluarganya.

“Syah dari mana ni?” Puan Lisa menatap wajah anak lelaki tunggalnya yang jelas keletihan.

“Keluar makan dengan kawan,” jawab Syahrin tidak bersemangat. Pukul 9.00 malam tadi dia keluar dari pejabat. Sebagai seorang jurutera kanan di sebuah syarikat pembinaan terkemuka, dia memang sering pulang lewat. Sepulangnya dari pejabat, dia terus bertemu Milia. Hampir pukul 11.00 malam baru nampak mukanya di rumah.

“Kawan perempuan ke?” selidik Puan Lisa. Dia tersenyum memandang Syahrin. Dia tahu sejak putus tunang dengan Laila Sari dua tahun lalu, anak bujangnya ini sudah tiga kali bertukar teman wanita. Dulu teman wanitanya bernama Diana. Kemudian berganti dengan Melisa. Paling terbaru gadis yang bernama Milia itu. Namun, tiada seorang pun yang betul-betul melekat di hati Syahrin. Jika Syahrin benar-benar serius tentulah sudah dibawa salah seorang daripada mereka menghadap mama dan papanya. Ini menyebut fasal kahwin pun tidak pernah. Bila digiat-giat tentang itu, Syahrin hanya tersenyum. Belum bersedia jadi suami, jawab Syahrin.

“Syah keluar dengan Milia,” jawab Syahrin tanpa memandang mamanya.

“Dah lama Syah kawan dengan Milia. Tak nak kenalkan dengan mama?” Puan Lisa merisik ke lubuk hati anak lelaki tunggalnya.

“Syah kawan aje dengan dia, ma,” jawab Syahrin lemah. Benar-benar tidak ada mood untuk berbahas dengan mama fasal Milia atau tentang sesiapa pun. Memang bukan topik kegemarannya pun.

“Takkan kawan aje. Dah lama Syah berkawan dengan dia. Tak elok asyik usung anak dara orang siang malam tanpa apa-apa ikatan.” Puan Lisa mula berceramah.

“Syah belum sedia nak kenalkan dia pada mama dan papa. Nanti-nantilah dulu.” Syahrin mengeluh. Dia sengaja memberi alasan begitu kepada mama. Tidak terlintas di hatinya mahu membawa Milia bertemu mama. Kalau mereka bertemu pun, sudah pastilah Milia akan ditolak mama. Mama bukan suka sangat perempuan yang pakai baju mendedahkan tubuh macam Milia. Mama sukakan perempuan bertudung. Nampak manis, kata mama.

Syahrin pula tidak berselera memandang perempuan yang asyik berbaju kurung dan bertudung, biar macam mana cantik pun orangnya. Dia rimas. Sejak dia putus tunang dengan Laila Sari yang bertudung litup, dia jadi benci dengan perempuan bertudung.

Baginya, perempuan bertudung lebih teruk perangainya daripada perempuan yang tidak bertudung. Berlagak sopan dan tunjuk baik di hadapan semua orang sedangkan pada hakikatnya, mereka tidaklah semulia mana. Macam Laila Sari juga. Kalau tidak, takkanlah Laila Sari yang bertudung litup boleh tertangkap basah dengan seorang lelaki berbangsa asing di rumahnya sendiri. Berkeadaan separuh bogel pula tu! Sejak itu, dia jadi benci dengan perempuan bertudung.

“Minggu depan mama nak buat majlis makan-makan. Mama nak jemput saudara-mara dan kawan-kawan mama yang tinggal dekat-dekat sini. Syah pun boleh jemput kawan-kawan Syah. Jangan lupa ajak Milia datang sekali,” kata Puan Lisa.

Syahrin mengeluh. “Nantilah, ma. Syah belum jumpa gadis yang menepati selera mama untuk buat menantu. Kalau Syah jumpa nanti, Syah akan bawa dia jumpa mama.”

“Hmm… yalah tu. Tapi kalau Syah asyik nak berkepit dengan perempuan yang suka pakai baju tak cukup kain, sampai bila-bila pun mama takkan dapat menantu, kan?” sindir Puan Lisa. Dia ketawa.

Syahrin yang mendengarnya tersengih. Terkena dia sebiji.

“Atau pun Syah nak mama carikan untuk Syah?” Puan Lisa ambil peluang membuka cerita. Harapan hendak menyatukan Syahrin dengan Diza sememangnya belum diceritakan kepada sesiapa. Hatta kepada suaminya sendiri. Apa lagi yang empunya diri, Syahrin. Entah bagaimana penerimaan mereka berdua agaknya? Dia tidak dapat mengagak.

Mata Syahrin kecil memandang mama. Tidak berkenan dengan kata-kata mama. Tidak suka mahu dijodohkan dengan mana-mana perempuan. Terkena yang tidak masuk dengan seleranya, meletup kepalanya nanti. “Mama dah ada calon untuk Syah ke?” korek Syahrin dengan mata tajam memandang mama.

“Adalah juga,” dalih Puan Lisa. Dia mahu bermain tarik tali dulu dengan Syahrin. Mahu mengolah reaksi si bujang itu dulu.

“Siapa?” selidik Syahrin, sudah tidak senang duduk.

“Nantilah mama beritahu. Dah, pergi mandi. Lepas tu solat isyak. Maghrib tadi entah solat entah tidak anak mama ni,” perli Puan Lisa.

Dia tahu sangat perangai anak bujang seorang ini. Suka sangat melalaikan tanggungjawab kepada penciptanya. Solat selalu dibuat main-main. Kalau rajin, Syahrin bersolat. Kalau malas, solat entah ke mana. Puas dia berleter tidak suka dengan sikap kurang mengambil berat anaknya itu dengan hal-hal agama. Namun begitu, bebelannya hanya lalu ikut telinga kanan dan keluar semula di telinga kiri. Agaknya kalau dapat isteri yang betul-betul boleh membimbingnya ke jalan lurus dan tidak bengkang bengkok, barulah Syahrin boleh berubah. Tetapi, bila dan siapakah orangnya yang boleh digantungkan harapan?

Puan Lisa terkenangkan Diza. Sampai sekarang Diza masih membisu. Harapannya yang menggunung tinggi itu Diza biarkan tergantung-gantung tiada jawapan. Penat dia memujuk tetapi hingga kini, hati gadis itu masih keras bagaikan waja. Agaknya bila sudah bertentang mata dan melihat sendiri anak bujangnya ini, baru Diza akan membuka pintu hatinya untuk Syahrin. Maklumlah, dengan pakej lengkap yang ada pada Syahrin, tiada seorang perempuan pun akan mampu menolak. Perempuan yang terhegeh-hegeh hendakkan Syahrin memang ramai.

Syahrin tersengih-sengih macam kerang busuk. Cakap mama tidak mampu disangkal. Memang dia tidak bersolat takkan mahu berbohong? Buat menambah dosa yang sudah bertumpuk-tumpuk dalam jiwa.

Dengan langkah gontai, Syahrin bangun menuju ke tangga. Badannya terasa sungguh letih sehingga hendak berjalan pun dia tidak larat. Ini silap-silap lepas mandi, aku terus tidur, detiknya. Terus terlupa pada kata-kata nasihat dari mamanya tidak sampai lima minit tadi.

Tetapi... siapa pula perempuan yang mahu dijodohkan dengan aku tu? fikir Syahrin tidak selesa. Janganlah dengan perempuan yang berserkup dari kepala hingga ke hujung kaki. Lemas dia nanti. Tidak tahu ke mana hendak dihalakan pandangan jika setiap hari terpaksa berhadapan dengan perempuan sebegitu.

Syahrin memang meluat sungguh dengan gadis bertudung. Gadis bertudung hanya mengingatkannya kepada Laila Sari. Laila Sari yang dibencinya setengah mati. Mama mahukan dia berkongsi hidup dengan perempuan bertudung? Jangan harap!

Mama ni entah siapa-siapa nak dikahwinkan dengan aku, hati Syahrin membentak lagi. Geram benar dia. Tidak faham mengapa mama bersusah-payah mencarikan jodoh untuknya. Dia tidak suka mama mencampuri urusannya. Tentang isteri, biarlah dia cari sendiri. Barulah puas hati bila perempuan yang dikahwini menepati cita rasanya. Sedap mata memandang wanita yang berpenampilan anggun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Bukan isteri ‘tangkap muat’ yang berdasarkan cita rasa mama. Kalau dipaksa kahwin dengan perempuan pilihan mama, dia rela membujang sampai ke tua.

Tetapi... kalau dia disuruh mencari sendiri, alamatnya sampai ke tua juga dia tidak beristeri. Apa tidaknya, semua perempuan tidak ada yang sempurna di matanya. Ada saja cacat dan celanya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.