Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
49,697
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1
      LOCENG menandakan tamat waktu persekolahan berbunyi nyaring. Diza Irdina bangun dari kerusi. Buku persediaan mengajar dimasukkan ke dalam beg bimbitnya. Disumbat juga pencil case yang berisi segala macam alat tulis.  Di sebelah beg bimbit, sudah tersedia sebuah beg kecil berisi buku-buku latihan murid yang tidak sempat ditanda.

“Dah nak balik?” tanya Firsya yang duduk di meja sebelah. Dia menggeliatkan badan sedikit sambil memandang Diza.

“Hmm... macam biasalah. I mana boleh balik lewat. Kejap lagi nak hantar Daim ke sekolah agama pulak,” jawab Diza tanpa memandang Firsya.

Firsya mengangguk. Faham dengan rutin kehidupan Diza yang sentiasa sibuk. Sibuk Diza hingga ke malam menguruskan Daim, adiknya. Diza bagaikan seorang ayah, juga ibu kepada Daim. Mereka hanya tinggal berdua setelah ayah Diza pergi menghadap ILAHI 13 tahun lalu. Emaknya pula menyusul lima tahun kemudian. Itulah kisah yang pernah diceritakan Diza kepadanya dan teman-teman sejawat lain.

“Malam ni turn kita, kan?” Firsya menyoal lagi. Merujuk kepada kelas tambahan untuk murid-murid Tahun 6 yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini. Dia dan Diza ditugaskan mengajar pada malam ini tetapi untuk kelas berlainan biarpun subjek yang diajar masih sama iaitu Matematik.

“Ha’ah... You tak dapat datang ke malam ni?” tanya Diza.

“Taklah. I on aje. Saja tanya,” jawab Firsya.

“Kalau macam tu, I balik dululah.” Diza mengangkat beg bimbit dan beg plastik berisi buku-buku latihan muridnya. Beg tangannya disandang ke bahu.

“Okey!” Firsya mengangguk.

“Diz balik dulu, Kak Maz,” pamit Diza kepada Kak Maznah yang duduk di meja hadapan. Guru senior berusia 46 tahun itu mengangkat kepala dan tersenyum memandang Diza.

“Pandu kereta elok-elok, Diz. Jalan tengah jammed ni,” pesan Kak Maznah.

“Yalah, kak,” sambut Diza. Dia tersenyum mesra memandang Kak Maznah.

Seperti biasa Kak Maznah berpesan macam-macam kepada Diza. Lagak Kak Maznah seperti ibu menasihati anak-anaknya. Beza umur Diza dan Kak Maznah hampir 20 tahun. Kak Maznah sebaya dengan emaknya. Sebab itu selayaknya Kak Maznah dihormati dan disayangi seperti emak sendiri. Bila bersama Kak Maznah, Diza seringkali terkenangkan emak. Terlerai rindunya kepada emak bila dapat berbual-bual dengan Kak Maznah.

“Jangan berangan masa memandu, Diz. Nanti terlanggar kereta orang, buat naya aje,” sambung Kak Maznah lagi.

Diza gelak-gelak manja. “Baguslah kak kalau terlanggar kereta orang. Lagi bagus kalau kereta yang Diz langgar tu kereta Audi ke, BMW ke. Pemandunya pulak handsome, bujang lagi, dapat Diz berkenalan. Untung-untung ada jodoh, dapat Diz kahwin orang kaya. Awww!” Diza kerdip-kerdipkan mata sambil tersenyum. Sengaja mahu mencuit hati dan menyegarkan mata Kak Maznah yang kelihatan layu akibat keletihan dan mengantuk.

Kak Maznah ketawa. Seronok melihat keletah gadis yang manja semula jadi ini. “Kalau pemandu kereta yang Diz langgar tu rambutnya dah beruban, gemuk, perut dah boroi, macam mana? Nak berkenalan juga?” usiknya.

Diza gelak lagi. “Kena berkenalan jugalah, kak. Kenal untuk minta maaf aje. Tapi manalah tahu kalau-kalau dia berkenan dengan Diz dan nak jadikan Diz menantu, takkan Diz nak tolak, kan?” Diza tersenyum sambil melentokkan kepala, ala-ala gedik.

“Hah... beranganlah. Kalau si perut boroi tu yang nakkan Diz, macam mana pulak? Nak terima juga?” sakat Kak Maznah pada gadis manis yang berwajah Chinese look itu.

“Apa lagi... terima ajelah, kak. Tak kisahlah perut boroi, kepala botak beruban, asalkan poket penuh. Bila berjalan bersama, orang ingat Diz jalan dengan atuk dia. Dapat anak, orang ingat tu mesti cucu dia,” sampuk Firsya dari seberang meja. Ingatkan dia terlelap, rupa-rupanya sempat lagi dia mengutuk Diza dengan ayat-ayat ‘melampau’nya.

Terburai tawa Kak Maznah mendengarnya. Diza pula menekup mulut menahan gelak yang mahu tersembur keluar.

Remy Nuqman yang sedang berdiri di muka pintu bilik guru, terdiam lama merenung Diza. Ralit menatap wajah gadis manis yang sedang tergelak di hujung sana. Suka benar dia mendengar bunyi ketawa mersik manja itu. Sebab itulah dihari pertama ditempatkan di sekolah ini lagi, hatinya sudah terpaut kepada Diza dan jatuh hati dengan lagak manjanya. Namun, untuk diluahkan rasa hati yang membuak-buak itu, dia belum berani. Bimbang dalam diam, Diza sudah berpunya.

Melihat Diza rancak bersembang, ingin rasanya Remy tumpang sekaki mencelah perbualan si gadis dan teman-teman sejawat lain. Tapi, kakinya berat mahu melangkah masuk. Sudahnya, dia cuma berdiri terpacak di muka pintu menunggu si manja itu keluar.

Bila Diza lalu di sebelah, Remy menyisih sedikit dan menarik daun pintu lebar-lebar bagi memudahkan laluan Diza. Hajat di hati ingin menyapa gadis pujaan, namun suaranya hanya tersekat di kerongkong.

“Kenapa lambat? Awak kena denda ke?” Diza yang tidak terpandangkan Remy di balik pintu, terus sahaja bertanya sebaik saja Daim tiba di tempatnya berdiri. Di sekolah, dia bersikap formal dengan Daim. Membahasakan dirinya cikgu dan memanggil Daim, awak atau nama penuhnya. Ketika berada di sekolah, dia menganggap Daim sebagai anak muridnya dan bukan seorang adik.

“Sir suruh siapkan kerja dulu.” Bibir Daim tercebik sedikit sambil menjeling Remy yang berdiri tidak jauh daripada alongnya. Suaranya perlahan. Bimbang suaranya dibawa angin dan mencuit gegendang telinga guru bahasa Inggerisnya yang terkenal garang mengalahkan singa jantan. Sedikit sahaja anak murid buat salah, pic suaranya naik meninggi.

Tetapi yang menghairankan, dengan Daim tidak pula Remy marah-marah walaupun kadangkala Daim ada juga buat silap. Sikap Remy selalu lembut terhadap Daim. Kawan-kawan Daim selalu kata, dia anak emas dan bakal adik ipar Cikgu Remy. Sebab itu, Cikgu Remy yang garang itu tidak pernah marahkan dia.

“Ada homework?” tanya Diza dengan mata mencerlung memandang Daim.

“Ada. Bahasa Inggeris dan Matematik,” jawab Daim dengan malas. Tidak kuasa melayan sikap along. Jumpa sahaja terus bertanyakan kerja rumah. Takut sangat dia tidak menyiapkan kerja rumah. Padahal selama ini, dia belum pernah gagal menyelesaikan tanggungjawabnya yang satu itu.

“Balik sekolah nanti lepas solat, terus buat. Jangan nak tunggu malam baru awak nak buat. Petang ni nak sekolah agama. Malam nak pergi tuisyen pulak. Balik tuisyen dah letih, mengantuk. Awak tu bila dah mengantuk, homework ke mana, apa ke mana,” leter Diza tanpa menyedari ada seseorang yang masih tekun memandangnya di tepi pintu tanpa berkedip kelopak mata.

“Kalau tak faham nak buat homework yang saya beri tu, awak boleh call saya, Daim. Any time, anywhere, I’m always ready to help you.” Tanpa disangka Remy mencelah.

Tersentak Diza dibuatnya. Ingatkan pemuda kacak yang ada iras-iras wajah Remy Ishak itu, sudah berlalu ke bilik guru. Tidak disangka, Remy masih menjadi ‘penunggu pintu’ dengan senyuman melebar memandangnya dan Daim.

Diza mengukir senyuman nipis segaris. Malu bila mengingati perangainya yang lepas laku meleteri Daim tadi. Pemuda ‘penunggu pintu’ ini mesti berfikir, dia kuat berleter. Aduh! Tebal seinci dah jadi muka ni! Diza menunjal sedikit dahi, mahu menghilangkan rasa malunya.

Do you have my phone number, Daim?” tanya Remy pada Daim tetapi anak matanya lembut merenung Diza.

“Hah... tak ada. Along ada kot,” jawab Daim. Dia tersenyum-senyum sambil mengerling Diza.

Diza terkejut mendengar jawapan adiknya. Darah merah sudah menyerbu ke muka. Pantas tangan kirinya bergerak ke belakang Daim. Pinggang Daim diketilnya kuat-kuat.

“Sakitlah, along,” jerit Daim.

Remy tergelak. “Do you have my phone number, Diz?” Remy ulang soalannya. Kali ini ditujukan kepada Diza. Lembut pandangannya menyapa wajah gadis bermata kuyu di hadapannya itu. Sekali pandang macam mata orang mahu tertidur. Namun, itulah yang sering mengikat pandangannya. Bila mata sudah memandang Diza, hati rasa berat mahu memandang yang lain.

“Err... rasa macam tak ada,” kata Diza dengan muka merah jambunya. Rasa mahu menyorokkan muka di sebalik daun pintu yang sebelah lagi. Kemudian, curi-curi memandang Remy. Aduhai... sudah macam adegan filem Bollywood pula.

Jika tidak ada apa-apa hal, Diza memang jarang-jarang bercakap dengan Remy. Bimbang diusik teman-teman jika ternampak dia begitu intim dengan Remy. Nanti heboh satu sekolah kisah Cikgu Diza Irdina bercinta dengan Cikgu Remy Nuqman. Tidak mahulah dia gosip-gosip murahan macam itu. Malunya! Dia bukannya artis yang gilakan gosip.

“Sampainya hati tak ada simpan nombor I.” Remy buat muka merajuk. “Tak apa, nanti I buat missed call. Jangan lupa call I ya?” pinta Remy. Dia sempat menghadiahkan senyuman madunya pada Diza sebelum menghilangkan diri ke perut bilik guru. Maklumlah, sudah terlalu lama dia menjadi ‘penunggu pintu’. Sebelum disakat teman-teman lain, lebih baik dia segera melarikan diri daripada Diza.

Diza menarik nafas lega. Nasib baik Remy cepat-cepat angkat kaki. Kalau tidak, ‘masak’lah muka dia dipanggang rasa malu.

Beberapa minit kemudian, telefon bimbit di dalam beg tangannya lantang berbunyi. Pantas tangan Diza menggagau ke perut beg, mencari peranti yang tejerit-jerit minta diangkat. Skrin telefon bimbit direnung. Tiada nama sesiapa tertera di situ cuma sebaris nombor.

Nombor Remy ke? Yalah tu, hati Diza menjawab penuh yakin. Kalau bukan Remy, siapa lagi? Bukan ke tadi Remy sudah berpesan mahu menghantar missed call? Tetapi, kalau lama begini, bukan lagi missed call namanya. Memang Remy mahukan panggilannya dibalas. Dengan perasaan menggelabah, butang hijau ditekan dan telefon bimbit dilekapkan di telinga.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara garau di hujung sana lembut menyapa telinganya. Memang suara Remy.

“Waalaikummussalam,” balas Diza sopan.

“Diz, ni nombor I. Save ya? Jangan delete pulak.” Remy tergelak di hujung sana.

“Hmm... okey.” Diza menjawab sambil mengangguk. Macamlah Remy nampak kepala dia terangguk-angguk macam burung belatuk.

“Nanti senang I nak ajak you dating.” Sempat lagi Remy menyakat.

Merah lagi muka Diza yang baru hendak pulih mendengar lawak tidak lucu Remy. Cepat-cepat perbualannya dengan Remy ditamatkan. Telefon bimbit disumbat kembali ke dalam beg tangan. Tidak selesa hendak melayan perangai Remy yang tiba-tiba menjadi ulat bulu.

“Along ada apa-apa ke dengan Cikgu Remy tu?” usik Daim.

Diza mengerutkan kening memandang Daim. “Tak ada. Awak jangan memandai nak buat-buat cerita.” Diza buat muka serius dengan jari telunjuk menuding ke arah Daim. Memberi amaran. Dia tidak suka cerita-cerita tidak betul tentang dirinya digembar-gemburkan. Takut gosip begitu menular satu sekolah. Nanti tidak selesa hendak mengajar jika satu sekolah sudah mempunyai pandangan negatif terhadapnya.

“Tapi Cikgu Remy tu macam suka kat along aje,” provok Daim lagi.

“Jangan memandailah!” Diza mengerutkan dahi.

“Im suka aje dapat abang ipar macam Cikgu Remy tu. Dahlah handsome macam Remy Ishak, terror pulak tu dalam bahasa Inggeris. Bolehlah dia ajar Im yang bengap bahasa Inggeris ni,”

Diza ketawa. Bukan bahagia sangat digandingkan dengan Cikgu ‘Remy Ishak’ Daim itu tetapi lucu mendengar adiknya menyebut perkataan ‘bengap’ bagi menggantikan tidak pandai.

Tidak dinafikan Daim memang lemah dalam bahasa Inggeris. Setakat ini, pencapaian Daim dalam mata pelajaran penting itu hanya setakat gred B. Belum pernah Daim mendapat gred A. Diza risaukan adiknya yang bakal menduduki UPSR tahun ini.

Kalau ada yang sanggup mengajar Daim subjek bahasa Inggeris diwaktu cuti hujung minggu, dia rasa berbesar hati. Hendak mengharapkan dia mengajar, dia bukannya pandai sangat dalam grammar. Menulis ayat dalam bahasa Inggeris pun tunggang-langgang. Inikan pula mahu menulis karangan panjang berjela. Belajar ilmu songsanglah jawabnya Daim nanti.

“Kalau Cikgu Remy pinang along, along nak terima tak?” Daim tersenyum lagi sambil mengangkat-angkat kening.

“Hisy... dia ni!” Diza sudah angkat tangan mahu mengetil lengan Daim tetapi adiknya lebih pantas, terus mencicit lari meninggalkan Diza dengan muka merah padamnya.



Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.